Keluarga mangsa rogol kecewa kes ditutup – Berita Harian


Keluarga mangsa rogol kecewa kes ditutup

07/09/2012 – 05:40:57 AMCetakEmel Kawan
Ipoh: Keluarga seorang gadis 13 tahun yang mendakwa anak mereka dirogol remaja lelaki berusia 16 tahun tidak berpuas hati dengan keputusan polis menutup kes itu tanpa sebarang tindakan terhadap suspek.

Mereka mendakwa tidak menerima sebarang perkembangan siasatan kes berkenaan dan kecewa hanya diberitahu tiada bukti mencukupi bagi mensabitkan kesalahan itu.

Kami kesal kerana individu yang menghancurkan kehormatan ahli keluarga kami masih bebas dan tidak dikenakan sebarang tindakan, kata lelaki hanya mahu dikenali sebagai Lee, 29.

Berkenalan di Facebook

Dia mendakwa adik perempuannya berusia 13 tahun mula berkenalan dengan remaja itu melalui laman sosial Facebook tanpa pengetahuan keluarga sejak Mei lalu, sebelum mereka bertemu beberapa kali di bandar raya ini.

Perbuatan itu terbongkar apabila adik saya hilang 27 Mei lalu, dipercayai dilarikan suspek. Selepas beberapa hari, adik ditemui dan dibawa ke balai polis sebelum mengaku dia dirogol suspek, katanya di sini, semalam.

Lee berkata, susulan kejadian itu, dia membuat laporan polis, namun mendakwa sehingga kini tiada sebarang tindakan susulan diambil dan remaja terbabit masih bebas.
Adik saya masih mentah dan bawah umur, mudah terpedaya pujuk rayu lelaki itu, katanya.

Polis sepatutnya mengambil tindakan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang, katanya.

7,000 pelajar nikmati i-TR1M – Berita Harian


7,000 pelajar nikmati i-TR1M

07/09/2012 – 05:45:45 AM Oleh Norrasyidah ArshadCetakEmel Kawan
Shah Alam: Kira-kira 7,000 pelajar dari 100 sekolah menengah di Selangor akan menikmati kemudahan tuisyen percuma dalam talian menerusi program Interaktif-Tuisyen Rakyat 1Malaysia (i-TR1M).

Tuisyen itu yang akan dimulakan dalam tempoh terdekat membabitkan pelajar Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ia inisiatif Yayasan Guru Malaysia Bhd (YGMB) yang memperluaskan kemudahan tuisyen secara talian itu kepada pelajar sekolah menengah.

Pengetua atau penyelaras teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) dari 100 sekolah terbabit hadir pada perasmian perluasan i-TR1M yang disempurnakan Koordinator Barisan Nasional Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed, di sini semalam.

Program i-TR1M dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Jun lalu.

Keputusan lebih baik

Mohd Zin berkata, maklum balas terhadap i-TR1M di kawasannya, menyaksikan peningkatan sistem pembelajaran dalam talian biarpun sewaktu cuti umum, baru-baru ini.
Malah, di Sekolah Rendah Sungai Melut, pelajar Orang Asli menunjukkan keputusan yang lebih baik dalam peperiksaan bulanan selepas menggunakan i-TR1M.

Melihatkan peningkatan ini, kami mengambil keputusan untuk memperluaskan lagi program itu dan hari ini (semalam) fasa kedua I-TR1M dilancarkan dengan menambah 100 lagi sekolah bagi mengikuti program ini, katanya.

Manfaat pelajar miskin

Sementara itu, Pengarah Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGBM), Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata projek perintis berkenaan yang dilaksanakan di Selangor, akan memberi manfaat kepada pelajar miskin yang tidak mampu mendapatkan khidmat guru tuisyen swasta.

i-TR1M yang bermula pada 18 Jun lalu akan berakhir Oktober ini membabitkan 207 sekolah di negeri itu.

Program i-TR1M membantu meningkatkan prestasi akademik pelajar dari kalangan keluarga berpendapatan rendah selain membantu mereka memanfaatkan bantuan Netbook 1Malaysia dan kemudahan ICT yang disediakan kerajaan, katanya.