Asrama tempatkan 25 pelajar tahfiz Kuala Ibai terbakar – Bernama


Asrama tempatkan 25 pelajar tahfiz Kuala Ibai terbakar

9 September 2012

KUALA TERENGGANU – Tingkat dua sebuah bangunan yang menempatkan asrama dihuni 25 pelajar Maahad Tahfiz Assyifa di Kampung Kolam, Kuala Ibai di sini, terbakar dalam satu kejadian pada kira-kira 1.20 petang tadi.

Pengetua maahad tahfiz itu Ahmad Syarifuddin Ibrahim berkata ekoran insiden tersebut, semua peralatan pelajar seperti tilam dan katil gagal diselamatkan.

“Ketika kebakaran, saya sedang solat zohor bersama pelajar di surau berhampiran, tetapi saya dikejutkan dengan teriakan ibu saya Limah Awang, yang ketika itu berada di tingkat bawah menjerit ada api di tingkat dua bangunan.

“Mendengar teriakan itu, saya terus keluar dan melihat api sedang marak membakar bangunan tingkat dua. Saya bersama orang kampung serta pelajar cuba memadam kebakaran dengan menggunakan sumber air terdekat bagi menggelakkan kebakaran merebak ke tingkat bawah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata maahad tahfiz, yang menempatkan 50 pelajar tingkatan satu hingga lima, baharu diduduki tahun lepas setelah dibina semula hasil sumbangan orang ramai kerana terlibat dalam kebakaran pada awal tahun 2011.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Md Ridzuan Hasan berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira 1.25 petang dan tiga jentera bersama 28 anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

“Kita mengambil masa kira-kira 11 minit bagi mengawal keseluruhan kebakaran dan mengelakkannya daripada merebak ke tingkat bawah,” katanya.

Beliau berkata tidak ada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan, dan punca sebenar kejadian serta nilai kerugian masih disiasat.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Penyelaras Dewan Undangan Negeri Batu Buruk Wan Kamal Wan Ismail berkata pihaknya akan memberi bantuan keperluan asas seperti tilam, selimut serta peralatan lain kepada pelajar terbabit dalam masa terdekat. – Bernama

Cuepacs harap kerajaan beri bonus terbaik kepada penjawat awam – Bernama


Cuepacs harap kerajaan beri bonus terbaik kepada penjawat awam

9 September 2012
 Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman
Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman

KOTA BAHARU – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap kerajaan memberi bonus yang terbaik kepada anggota perkhidmatan awam pada Bajet 2013 yang akan dibentangkan di Parlimen 28 Sept ini.

Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman berkata sebelum ini Cuepacs memohon kerajaan memberi bonus dua bulan gaji kepada 1.4 juta penjawat awam dan pihaknya percaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempertimbangkan perkara tersebut berdasarkan kemampuan kerajaan.

“Dalam sejarah, kita tidak pernah dapat dua bulan bonus. Bonus terbaik yang pernah diberi kerajaan kepada anggota perkhidmatan awam ialan bonus sebulan gaji iaitu pada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri,” katanya kepada pemberita pada Majlis Bersama Pembantu Pertanian Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) di sini hari ini.

Omar berkata penjawat awam wajar memperoleh bonus terbaik memandangkan transformasi yang dilakukan di jabatan dan agensi kerajaan yang melonjakkan prestasi dan kecekapan mereka melaksanakan tanggungjawab.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya akan mencadangkan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) supaya memberi nama baru kepada jawatan yang berkaitan dengan pembantu seperti pembantu pertanian, pembantu pegawai tadbir dan pembantu juruteknik.

“Pembantu tidak sesuai lagi kerana jawatan itu melambangkan imej perkhidmatan awam, kita tidak mahu dengan transformasi yang dilaksanakan, mereka ini hanya bertugas sebagai membantu sahaja,” katanya.

Beliau berkata pihaknya sudah mempunyai beberapa nama baru bagi menggantikan jawatan pembantu tersebut, antaranya pegawai teknologi tani bagi menggantikan pembantu pertanian.

Mengenai penjawat awam yang bermasalah termasuk dari segi disiplin, yang dianggarkan sekitar 15,000 hingga 18,000 orang, Omar berkata mereka perlu diberi motivasi terlebih dahulu sebelum tindakan lain dikenakan seperti tindakan tatatertib.- Bernama

Calon SPM maut dalam kemalangan di Bayan Lepas – Bernama


Calon SPM maut dalam kemalangan di Bayan Lepas

9 September 2012

GEORGE TOWN – Seorang pelajar maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta di Bukit Belah, Bayan Lepas hari ini.

Nur Syazana Azeme, 17, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Balik Pulau maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan teruk di kepala.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt Hatta Md. Zin berkata kejadian pukul 7.30 pagi itu turut menyebabkan seorang lagi penunggang motosikal cedera parah.

Kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis Perodua Viva yang dipandu laju dari arah Balik Pulau cuba memotong sebuah lori, namun pemandu kereta itu gagal mengawal kenderaannya lalu bertembung dengan dua motosikal dari arah bertentangan, katanya ketika dihubungi, di sini.

“Kemalangan itu menyebabkan motosikal yang dinaiki Nur Syazana terpelanting sementara sebuah lagi motosikal yang dinaiki lelaki berusia 40-an terbabas dan terperosok di bahagian hadapan lori berkenaan,” katanya.

Beliau berkata lelaki itu dikejarkan ke Hospital Balik Pulau untuk mendapat rawatan.

Hatta berkata pemandu kereta itu kemudian menyerah diri dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan. – Bernama

Keperluan Sekolah Venakular Tidak Dipinggirkan Dalam Pelan Pendidikan – Wee – mStar


Keperluan Sekolah Venakular Tidak Dipinggirkan Dalam Pelan Pendidikan – Wee

Oleh RAHIMY RAHIM

PETALING JAYA: Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong menolak dakwaan bahawa keperluan sekolah vernakular dipinggirkan dalam membentuk pelan tindakan pendidikan kebangsaan.

“Pertama sekali, mereka tidak melihat salinan penuh laporan dan mereka hanya boleh mendapatkannya pada 11 September,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka akan melancarkan pelan pendidikan kebangsaan pada Selasa ini.

“Jika pihak-pihak tertentu terus bercakap mengenai isu tertentu tanpa membaca keseluruhan teks, saya percaya ia tidak logik dan mereka hanya membuat tekaan liar,” katanya Dr Wee kepada para pemberita pada sidang media selepas melancarkan Minggu Kejuruteraan 2012 yang dianjurkan oleh Institusi Jurutera Malaysia pada Ahad.

Dr Wee berkata demikian bagi mengulas dakwaan mengenai Kementerian Pelajaran mengabaikan keperluan sekolah venakular dalam merangka pelan tindakan terutamanya dalam bidang infrastruktur, kemudahan asas dan prosedur birokrasi kerajaan yang merumitkan serta kokurikulum.

Cermin bas sekolah kena baling – Sinar Harian


Cermin bas sekolah kena baling

WARTAWAN SINAR HARIAN
9 September 2012

TAIPING – Seorang pemandu bas sekolah terkejut apabila cermin belakang basnya pecah secara tiba-tiba ketika membawa 40 pelajar sekolah rendah di Taman Tupai Mas, Pokok Assam di sini, Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi, murid-murid dalam bas berkenaan mendakwa ternampak seorang lelaki membaling topi keledar ketika bas itu bergerak perlahan melalui kawasan tersebut.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Yusuf Mat Diah berkata, pemandu bas berkenaan telah membuat laporan polis di Balai Pokok Assam kerana bimbang dengan keselamatan penumpangnya.

“Ia merupakan kejadian kedua berlaku terhadap bas sekolah apabila kejadian hampir sama berlaku di Jalan Taman Sungai Mas, Rabu lalu namun, ia tidak melibatkan apa-apa kejadian.

“Kedua-dua kes berkenaan berkemungkinan perbuatan budak nakal. Bagaimanapun, motif kejadian masih disiasat,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melakukan  perbuatan khianat.

Berhenti sekolah akibat bengkak hati – Sinar Harian


Berhenti sekolah akibat bengkak hati

WARTAWAN SINAR HARIAN
9 September 2012
Fatin (kiri) menerima sumbangan daripada Tengku Razaleigh, kelmarin.
Fatin (kiri) menerima sumbangan daripada Tengku Razaleigh, kelmarin.

GUA MUSANG – Seorang pelajar perempuan di sini, terpaksa berhenti sekolah berikutan menghidap penyakit bengkak hati yang turut menyebabkan mata kekuningan.

Fatin Nazihah Tuan Bongsu, 13, tinggal di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Lebir hanya bersekolah sehingga tahun lima di Sekolah Kebangsaan (SK) Lebir, kerana mengalami masalah kesihatan.

Fatin berkata, setiap kali naik dan turun tangga di sekolah, dia akan pengsan kerana tidak boleh bernafas menyebabkan dia terpaksa berhenti sekolah untuk mengelak daripada berlaku kejadian tidak diingini.

“Saya sedih kerana rakan-rakan lain dapat belajar sedangkan saya terpaksa duduk di rumah,” katanya kepada pemberita.

Menurutnya, dia mempunyai dua adik-beradik sahaja dan dia anak sulung. Akibat penyakit itu dia perlu berulang-alik ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk menjalani pemeriksaan.

“Jika diizinkan saya ingin bersekolah semula bagi menjamin masa depan saya,” katanya selepas menerima sumbangan yang disampaikan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah di Dewan RKT Kesedar Lebir, dekat sini, kelmarin.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paloh, Datuk Nozula Mat Diah, Adun Galas, Ab Aziz Yusof dan Pegawai Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPPK) Cawangan Gua Musang, Muhammad Shukri Abdul Aziz.

Seramai 39 ahli keluarga RKT Lebir menerima sumbangan itu sebanyak RM300 seorang, termasuk 20 penerima orang kurang upaya (OKU), 11 ibu tunggal dan lapan penerima khas.

Ibunya, Siti Ma Sidik Ahmad, 35, yang juga ibu tunggal berkata, penyakit bengkak hati yang dihadapi anaknya itu dikesan sejak berusia 11 tahun, di mana Fatin mengalami masalah pernafasan dan matanya kuning.

Katanya, ketika itu anaknya masih boleh ke sekolah walaupun dalam keadaan tidak bermaya, dan selepas beberapa kali pengsan dia tidak membenarkan Fatin ke sekolah.

“Saya selalu membawa Fatin ke hospital  untuk menjalani  pemeriksaan kerana bimbang penyakitnya akan bertambah serius,” katanya.

Kementerian Pelajaran harap peruntukan khas untuk laksana transformasi pendidikan – Bernama


Kementerian Pelajaran harap peruntukan khas untuk laksana transformasi pendidikan

9 September 2012
Tan Sri Muhyiddin Yassin
Timbalan Presiden Umno Tan Sri MuhyiddinYassin

MUAR – Kementerian Pelajaran berharap mendapat peruntukan khas untuk melaksanakan rangka tindakan kajian semula Pendidikan Nasional dalam Bajet 2013 nanti.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata peruntukan khas diperlukan untuk melaksanakan anjakan besar-besaran dalam bidang pendidikan di negara ini melalui tiga fasa pelaksanaan pelan tindakan itu dalam tempoh 13 tahun.

Ini, katanya bagi memastikan Malaysia mampu mencapai kedudukan sebagai antara negara terbaik dalam bidang pendidikan menjelang 2025.

“Kita sudah memberitahu kepada Perdana Menteri dan beliau juga sedia maklum. Kita akan bentangkan laporan kepada beliau kerana menurutnya (rangka tindakan) ini penting dan beliau menyokong usaha ini (kajian semula Pendidikan Nasional).

“Beliau juga akan menentukan supaya jumlah peruntukan mencukupi dapat disediakan memandangkan kita memerlukan semua cadangan… ini tentu akan membabitkan belanjawan yang besar,” katanya.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian persidangan perwakilan Bahagian Umno Pagoh di Kompleks Sri Pekembar sini hari ini yang turut dihadiri isterinya, Puan Seri Noorainee Abdul Rahman.

Sementara itu mengulas mengenai pembentangan rangka tindakan kajian semula Pendidikan Nasional oleh Perdana Menteri pada Selasa ini, Muhyiddin berharap rakyat dapat menerimanya kerana ia merupakan inisiatif besar kerajaan, khususnya Kementerian Pelajaran untuk melakukan anjakan pendidikan negara.

“Kalau banyak usaha yang sudah dibuat, saya percaya ia akan bawa kesan yang lebih baik berbanding dulu,” katanya.

Namun, katanya selepas tiga bulan dilancarkan kelak, kementerian masih memberi peluang kepada mana-mana pihak yang masih ingin mengemukakan pandangan bagi tujuan penambahbaikan rangka tindakan itu.

Katanya rangka tindakan itu kemudian akan dirumuskan dan dibentangkan kepada Kabinet sebelum akhir tahun ini. – Bernama

Lumpuh akibat demam kepialu – Sinar Harian


Lumpuh akibat demam kepialu

WARTAWAN SINAR HARIAN
9 September 2012
Abdul Rahman lumpuh dan bergerak menggunakan kerusi roda sejak 38 tahun lalu akibat demam kepialu.
Abdul Rahman lumpuh dan bergerak menggunakan kerusi roda sejak 38 tahun lalu akibat demam kepialu.

MARANG – Menyayat hati. Demikianlah kisah hidup bekas guru, Abdul Rahman Ali, 66, yang lumpuh akibat serangan penyakit demam kepialu dan terpaksa berhenti kerja pada usia muda iaitu ketika berumur 22 tahun kesan akibat penyakitnya itu.

Abdul Rahman berkata, setahun sebelum itu dia adalah guru di sebuah sekolah rendah di Gua Musang, Kelantan pada awal 70-an, namun akibat kesan serangan penyakit itu dia terpaksa mengambil keputusan berhenti kerja.

“Saya kemudiannya mengambil keputusan merantau ke Besut dan menumpang tinggal di rumah seorang rakan di Kampung Beris, Besut beberapa bulan sebelum Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membawa saya ke Taman Rahmat, Pulau Kerengga ini,” katanya.

Kini sudah 39 tahun Abdul Rahman tinggal di kawasan perumahan penduduk miskin itu dan dalam tempoh itu, dia meneruskan sisa-sisa kehidupannya seorang diri kerana tidak pernah berkahwin namun mempunyai saudara mara di daerah berkenaan.

“Saya di sini (Taman Rahmat) sejak berumur 27 tahun dan saya bersyukur. Malah, bernasib baik kerana tidak menghidap penyakit kronik yang lain. Saya juga bersyukur kerana menerima bantuan bulanan JKM sebanyak RM300 sebulan,” katanya.

Bagi Abdul Rahman, tinggal di penempatan orang kurang upaya (OKU) itu tiada bezanya berbanding tinggal di luar, malah mengakui kehidupannya lebih selesa kerana mempunyai ramai teman senasib untuk berkongsi cerita.

“Walaupun hidup miskin dan keadaan saya semakin terhimpit apabila barang keperluan di pasaran ketika ini semakin hari semakin mahal, tetapi ia tidak menghalang saya untuk menjalani kehidupan normal seperti insan lain di sini.

“Malah, saya bersyukur kerana cucu-cucu saudara tidak melupakan saya, mereka tinggal di daerah ini dan sering datang melawat. Terima kasih kerajaan kerana dapat menyediakan tempat seperti ini untuk insan miskin seperti kami,” katanya.

‘Mungkin petanda penyakit’ – Metro


‘Mungkin petanda penyakit’

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: “Rasulullah SAW sendiri tidak ada ilmu kebal, luka dan berasa sakit. Maknanya kebal bukanlah ciri-ciri yang kita nak kaitkan kerana ia pemberian Allah,” kata pendakwah bebas yang juga kaunselor, Dr Rubiah Hamzah.

Beliau berkata, sesuatu perkara yang dianggap kebal atau luar biasa mungkin dipengaruhi beberapa faktor termasuk aspek amalan seharian, keadaan hidup dan pemakanan, selain kemungkinan seseorang itu berdepan masalah kesihatan membabitkan penyakit saraf.
“Sebab itu, apa saja yang berlaku kita perlu tanya semula kepada remaja berkenaan (Mohd Adam Jamaluddin), sepanjang 13 tahun usianya, apa yang sudah dilakukannya, siapa rakannya dan apa makanan dinikmatinya setiap hari.

 

“Sesuatu kelebihan itu tidak jadi dengan saja-saja tanpa keizinan Allah. Ia bercanggah fitrah manusia yang diciptakan Allah dan apa yang berlaku bukan wahyu atau sebagai petunjuk Allah supaya manusia lebih berhati-hati,” katanya.
Beliau mengulas laporan muka depan Harian Metro semalam mengenai keistimewaan Mohd Adam yang digelar ‘budak kebal’ kerana kulitnya tidak melecur ketika dibakar dan tidak berdarah apabila dicucuk objek tajam.
Kelebihan diperolehnya secara semula jadi selepas sering ‘bermain’ dengan api ketika membantu kerja ayahnya, Jamaluddin Hamzah, 48, mengusahakan bengkel kimpalan besi di Felda Gedangsa, Kuala Kubu.

 

 

Malah, Adam berkata, dia bukan saja tidak berasa panas, sebaliknya sejuk apabila api membakar kulitnya.
Mohd Adam berkata, sejak membantu ayahnya melakukan kerja kimpalan besi empat tahun lalu, dia sentiasa terdedah dengan percikan api kimpalan dan besi tajam, namun pelik mengapa kulitnya kebal. Mengulas lanjut, Dr Rubiah berkata, keistimewaan dimiliki remaja itu sepatutnya tidak didedahkan kepada umum sehingga boleh mendatangkan syirik dan sikap bermegah dalam diri.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/08

Saya ingat dah mati – Metro


Saya ingat dah mati

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

TAWAU: “Saya hanya ingat mati kerana sudah tidak berupaya menahan sakit selepas ‘pitik’ itu menembusi belakang leher ketika pergaduhan. Syukur, umur saya masih panjang,” kata Ciko, 17, yang pernah merasai azab ditusuk paku tajam dijadikan senjata oleh sekumpulan samseng di sini.

Remaja itu antara seorang daripada mangsa senjata buatan sendiri yang makin berleluasa di negara ini. Selain senjata itu, penggunaan senjata permainan paintball yang disalahgunakan untuk kegiatan jenayah juga cukup membimbangkan dan sewajarnya dibendung pihak berkuasa.
Sebagai contoh, senjata untuk permainan paintball yang cukup popular di kalangan remaja kini direka menyerupai senjata sebenar, sekali gus memungkinkan pihak tidak bertanggungjawab menggunakannya untuk kegiatan jenayah seperti rompakan terutama pada waktu malam dan awal pagi bagi mengelirukan mangsa.

 

Menurut Ciko, dalam kejadian baru-baru ini, dia terpaksa dikejarkan ke hospital dengan sebatang anak panah yang masih terpacak di belakang leher selepas diserang lebih 10 lelaki secara tiba-tiba.
“Insiden ini berlaku ketika saya bersama abang sedang berbasikal di Persiaran Traulsen sebelum ditahan sekumpulan lelaki.
“Ketika ditahan, seorang daripada mereka bertanyakan sama ada saya ‘budak flat’ dan belum sempat menjawab pertanyaan itu, salah seorang terus melepaskan tumbukan,” katanya ketika ditemui Metro Ahad di sini.

 

 

Katanya, tidak puas dengan tindakan itu, seorang daripada penyerang terbabit mengeluarkan pitik lalu terus membidik ke arah saya sehingga mengena belakang leher. Menurut Ciko, tusukan itu menyebabkan dia menjerit kesakitan sebelum pengsan, namun diselamatkan abangnya yang berjaya melarikan diri sebelum itu.
Katanya, ketika di hospital, doktor terpaksa melakukan pembedahan kecil untuk mengeluarkan pitik yang tersangkut di lehernya.

 

“Saya harap pihak berkuasa memantau perbuatan segelintir remaja samseng yang menjadikan pitik sebagai senjata.
“Saya bimbang perbuatan ini makin berleluasa berikutan pitik mudah dibuat menggunakan paku, kayu dan getah,” katanya.
Seorang lagi mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Man, 21, berkata insiden ditusuk pitik berlaku ketika dia dan seorang rakannya mahu menziarahi rakan mereka di kampung berhampiran.
“Ketika mula memasuki kampung berkenaan, kami dihampiri beberapa individu dan bertanyakan niat kami ke situ. Tidak berpuas hati dengan jawapan kami, seorang daripada mereka melepaskan pitik ke arah saya lalu terkena perut.
“Tiba-tiba saya merasakan darah membasahi baju dan sebaik menundukkan kepala, saya melihat perut saya ditusuk sejenis besi tajam dikenali sebagai pitik hingga menembusi belakang badan,” katanya.
Katanya, insiden itu berlaku terlalu pantas dan sebaik melihat dia berlumuran darah, semua samseng berkenaan melarikan diri.
“Saya dihantar ke hospital sebelum doktor terpaksa melakukan pembedahan mengeluarkan pitik sepanjang lebih 20 sentimeter,” katanya.
Difahamkan, pitik yang berasal dari Filipina juga dipanggil ‘plem padel’ oleh penduduk di sini dan dibuat menggunakan paku yang dikikir tajam.
Senjata itu kelihatan seperti anak panah dengan hujungnya yang runcing dan terbelah dua seperti mata kail dipercayai sengaja dilakukan bagi memastikan pitik sukar ditarik keluar jika tertusuk mangsa dan untuk mengeluarkannya, mangsa perlu dibedah.
Pitik memerlukan peralatan seperti getah lastik untuk melepaskan anak panah ke sasaran. Biasanya, lastik berkenaan diperbuat daripada kayu berukuran kira-kira lima sentimeter yang dibalut getah selain tiub tayar untuk dijadikan sebagai pembidik.
Menurut seorang penduduk, Amir Aziz, 26, dia sering terdengar daripada rakan lain mengenai pergaduhan menggunakan senjata itu di sekitar daerah ini.
“Pihak berkuasa perlu memandang serius perkara ini termasuk melakukan serbuan di kedai atau premis yang menjual pitik,” katanya.
“Senjata ini bukan saja boleh membawa maut, malah mampu mengakibatkan kecacatan kekal jika menembusi kepala,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/08