Saya ingat dah mati – Metro


Saya ingat dah mati

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

TAWAU: “Saya hanya ingat mati kerana sudah tidak berupaya menahan sakit selepas ‘pitik’ itu menembusi belakang leher ketika pergaduhan. Syukur, umur saya masih panjang,” kata Ciko, 17, yang pernah merasai azab ditusuk paku tajam dijadikan senjata oleh sekumpulan samseng di sini.

Remaja itu antara seorang daripada mangsa senjata buatan sendiri yang makin berleluasa di negara ini. Selain senjata itu, penggunaan senjata permainan paintball yang disalahgunakan untuk kegiatan jenayah juga cukup membimbangkan dan sewajarnya dibendung pihak berkuasa.
Sebagai contoh, senjata untuk permainan paintball yang cukup popular di kalangan remaja kini direka menyerupai senjata sebenar, sekali gus memungkinkan pihak tidak bertanggungjawab menggunakannya untuk kegiatan jenayah seperti rompakan terutama pada waktu malam dan awal pagi bagi mengelirukan mangsa.

 

Menurut Ciko, dalam kejadian baru-baru ini, dia terpaksa dikejarkan ke hospital dengan sebatang anak panah yang masih terpacak di belakang leher selepas diserang lebih 10 lelaki secara tiba-tiba.
“Insiden ini berlaku ketika saya bersama abang sedang berbasikal di Persiaran Traulsen sebelum ditahan sekumpulan lelaki.
“Ketika ditahan, seorang daripada mereka bertanyakan sama ada saya ‘budak flat’ dan belum sempat menjawab pertanyaan itu, salah seorang terus melepaskan tumbukan,” katanya ketika ditemui Metro Ahad di sini.

 

 

Katanya, tidak puas dengan tindakan itu, seorang daripada penyerang terbabit mengeluarkan pitik lalu terus membidik ke arah saya sehingga mengena belakang leher. Menurut Ciko, tusukan itu menyebabkan dia menjerit kesakitan sebelum pengsan, namun diselamatkan abangnya yang berjaya melarikan diri sebelum itu.
Katanya, ketika di hospital, doktor terpaksa melakukan pembedahan kecil untuk mengeluarkan pitik yang tersangkut di lehernya.

 

“Saya harap pihak berkuasa memantau perbuatan segelintir remaja samseng yang menjadikan pitik sebagai senjata.
“Saya bimbang perbuatan ini makin berleluasa berikutan pitik mudah dibuat menggunakan paku, kayu dan getah,” katanya.
Seorang lagi mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Man, 21, berkata insiden ditusuk pitik berlaku ketika dia dan seorang rakannya mahu menziarahi rakan mereka di kampung berhampiran.
“Ketika mula memasuki kampung berkenaan, kami dihampiri beberapa individu dan bertanyakan niat kami ke situ. Tidak berpuas hati dengan jawapan kami, seorang daripada mereka melepaskan pitik ke arah saya lalu terkena perut.
“Tiba-tiba saya merasakan darah membasahi baju dan sebaik menundukkan kepala, saya melihat perut saya ditusuk sejenis besi tajam dikenali sebagai pitik hingga menembusi belakang badan,” katanya.
Katanya, insiden itu berlaku terlalu pantas dan sebaik melihat dia berlumuran darah, semua samseng berkenaan melarikan diri.
“Saya dihantar ke hospital sebelum doktor terpaksa melakukan pembedahan mengeluarkan pitik sepanjang lebih 20 sentimeter,” katanya.
Difahamkan, pitik yang berasal dari Filipina juga dipanggil ‘plem padel’ oleh penduduk di sini dan dibuat menggunakan paku yang dikikir tajam.
Senjata itu kelihatan seperti anak panah dengan hujungnya yang runcing dan terbelah dua seperti mata kail dipercayai sengaja dilakukan bagi memastikan pitik sukar ditarik keluar jika tertusuk mangsa dan untuk mengeluarkannya, mangsa perlu dibedah.
Pitik memerlukan peralatan seperti getah lastik untuk melepaskan anak panah ke sasaran. Biasanya, lastik berkenaan diperbuat daripada kayu berukuran kira-kira lima sentimeter yang dibalut getah selain tiub tayar untuk dijadikan sebagai pembidik.
Menurut seorang penduduk, Amir Aziz, 26, dia sering terdengar daripada rakan lain mengenai pergaduhan menggunakan senjata itu di sekitar daerah ini.
“Pihak berkuasa perlu memandang serius perkara ini termasuk melakukan serbuan di kedai atau premis yang menjual pitik,” katanya.
“Senjata ini bukan saja boleh membawa maut, malah mampu mengakibatkan kecacatan kekal jika menembusi kepala,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/08

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s