Kerajaan peruntuk RM100j bantu 428 sekolah mubaligh – Bernama


Kerajaan peruntuk RM100j bantu 428 sekolah mubaligh

10 September 2012

SEGAMAT – Kerajaan memperuntukan sebanyak RM100 juta untuk membantu 428 sekolah mubaligh di negara ini, termasuk di Sabah dan Sarawak, kata Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon hari ini.

Beliau berkata dana khas itu bertujuan membantu sekolah berkenaan mendapat kemudahan yang lengkap untuk suasana pembelajaran yang lebih baik kepada pelajar.

“Ini satu pengiktirafan dan penghormatan kepada sumbangan sekolah mubaligh terhadap pembangunan pendidikan dan pembinaan negara oleh kerana sememangnya ramai pemimpin masyarakat mahupun pemimpin negara termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah melalui sistem sekolah mubaligh ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian Dana Khas Belanjawan 2012 kepada Sekolah-sekolah Mubaligh Johor dan Melaka di SMK Convent, di sini hari ini.

Koh berkata di Zon Selatan sendiri iaitu Johor dan Melaka, sebanyak RM7.6 juta diperuntukkan untuk membantu 37 sekolah mubaligh. – Bernama

Calon SPM maut kemalangan – Sinar Harian


Calon SPM maut kemalangan

SITI NUR MAS ERAH AMRAN
10 September 2012
Calon SPM maut kemalangan
Nur Syazana
Calon SPM maut kemalangan
Ahli keluarga dan rakan-rakan menunggu di bilik mayat Hospital Balik Pulau.

BALIK PULAU – Seorang pelajar tingkatan lima maut dalam kemalangan yang membabitkan empat buah kenderaan awal pagi semalam.

Mangsa, Nur Syazana Azemi, 17  maut apabila motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan.

Difahamkan, mangsa dan seorang lagi penunggang lelaki berusia 40 an yang mengikuti dari arah belakang sebuah lori muatan ais cuba memotong lori tersebut di Bukit Belah.

Bagaimanapun, pemandu kereta yang datang dari arah bertentangan tiba-tiba membuat brek mengejut sehingga menyebabkan keretanya melintang di tengah jalan.

Akibat rempuhan terbabit, lelaki tersebut terperosok di bawah lori manakala mangsa yang menunggang Honda EX5  terpelanting ke bahagian belakang kenderaan itu.

Nur Syazana yang cedera parah di kepala maut di tempat kejadian manakala lelaki terbabit hanya mengalami patah kaki dan tangan.

Mangsa yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri itu dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Desa Mutiara selepas bermalam di rumah rakannya di Bayan Lepas kerana mengikuti tuisyen bersama.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Mohd Hatta Mohd Zain berkata, pihaknya sedang menyiasat punca kemalangan yang membabitkan empat buah kenderaan iaitu sebuah kereta, lori dan dua buah motosikal.

“Mayat pelajar perempuan itu dibawa ke Hospital Balik Pulau  untuk dibedah siasat dan kita akan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi semalam.

Dalam pada itu, rakan karib mangsa, Amira Ayuni Mohd Kaharudin Ihsan, 17 berkata, Nur Syazana merupakan seorang yang amat periang.

“Kami mulai rapat sejak tingkatan tiga dan Jumaat merupakan kali terakhir kami berjumpa selepas selesai menduduki peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Semalam (kelmarin) sekolah ada buat jamuan Aidilfitri dan saya diberitahu yang arwah beria-ria mengajak rakan-rakan bergambar bersama. Saya tak sangka kejadian ini akan menimpa rakan baik sendiri dan berasa amat sedih,” katanya.

PM lancar Pelan Pendidikan esok – Kosmo


PM lancar Pelan Pendidikan esok

 

Oleh LUQMAN RIDHWAN MOHAMED NOR
luqman.ridhwan@kosmo.com.my

 

KERAJAAN sentiasa peka dengan keperluan perubahan kepada sistem pendidikan negara. – Gambar hiasan

 

KUALA LUMPUR – Pelan Pembangunan Pendidikan yang akan dilancarkan esok oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (gambar kecil) bakal melonjakkan kualiti dan pencapaian bidang tersebut pada aras yang lebih tinggi.

Melalui pelan itu, kualiti keseluruhan sistem pendidikan yang meliputi guru, modal insan, kurikulum, pentaksiran, penyampaian dan pengurusan pendidikan bakal menerima satu perubahan besar.

Pelan itu juga bukan sekadar pernyataan dasar tetapi dokumen yang memperincikan strategi dan tindakan yang akan diambil oleh Kementerian Pelajaran untuk mencapai sasarannya.

Pelaksanaannya akan dibuat secara telus dan demi mencapai matlamat itu, kepimpinan tertinggi di peringkat kementerian akan mempunyai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) tertentu yang perlu dicapai selain laporan tahunan perlu diumumkan kepada pihak awam.

Suspek dera kanak-kanak ada 12 rekod jenayah – Metro


Suspek dera kanak-kanak ada 12 rekod jenayah

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MELAKA: Polis masih memburu seorang lelaki dipercayai mempunyai kaitan dengan kematian kanak-kanak berusia enam tahun, Noor Sofia Syaqira Abdullah yang disyaki didera di Taman Seri Telok Emas, di sini, Ahad minggu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, pihaknya percaya suspek dikenali sebagai Amiezul Al-Ikram Mohamed, 32, dari Gombak, Selangor yang mempunyai 12 rekod jenayah lampau itu masih berada di dalam negara.
“Siasatan terhadap kes ini masih diteruskan dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.

 

“Bagaimanapun, kami percaya lelaki yang juga teman lelaki kepada ibu angkat kanak-kanak itu belum keluar dari negara ini,” katanya.
Akhbar ini pada 8 September lalu melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun menemui ajal dipercayai didera teman lelaki ibunya di Taman Seri Telok Emas, 2 September lalu.
Insiden itu terbongkar selepas pihak Hospital Melaka (HM) membuat laporan polis jam 7.55 pagi hari kejadian apabila mendapati mangsa, Noor Sofia Syaqira Abdullah dalam keadaan tidak bernyawa dan mempunyai kesan kecederaan di seluruh badannya.

 

 

Kanak-kanak terbabit dihantar keluarga kekasih ibu angkatnya berusia 35 tahun yang mengesyaki mangsa sudah meninggal dunia.
Dalam perkembangan lain, Raja Shahrom berkata, pihaknya juga masih mengesan Khairul Nordin, 41, suspek kes tikam abang ipar hingga maut di Kampung Serkam Pantai, dekat sini, bulan lalu.

 

“Suspek juga tidak menyerah diri meskipun rayuan dibuat oleh isteri dan anaknya melalui akhbar beberapa hari selepas kejadian yang berlaku pada 22 Ogos lalu.
“Justeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Khairul Nordin, 41, dan Amiezul Al-Ikram diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/10

Jangan simpan pekerja malas – Utusan


Jangan simpan pekerja malas

Oleh YULPISMAN ASLI
utusankelantan@utusan.com.my

KOTA BHARU 9 Sept. – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyarankan agensi dan jabatan kerajaan tidak ‘menyimpan’ penjawat awam yang dikatakan berdepan dengan masalah suka ponteng kerja.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, dianggarkan terdapat antara 15,000 hingga 18,000 kakitangan awam berdepan masalah tersebut dan mereka sukar dikenakan tindakan berdasarkan peraturan sedia ada.

Menurutnya, walaupun jumlah mereka kecil berbanding sejumlah lebih 1.2 juta penjawat awam, tindakan pekerja terbabit yang datang bekerja dan punch cardtetapi bersikap ‘sekejap ada, sekejap tidak ada’ boleh mendatangkan masalah kepada majikan.

Justeru, katanya, tindakan perlu diambil terhadap pekerja terbabit bagi memastikan sektor awam yang kini dalam proses transformasi dan penambahbaikan dapat memberikan perkhidmatan yang cekap dan berkesan kepada rakyat.

“Kita tidak mahu buang mereka secara drastik kerana nanti teraniaya pula sebab mereka sudah mempunyai keluarga dan ada hutang. Jadi, kalau boleh dipanggil, hantar kursus motivasi. Kalau tidak boleh juga, dicadang suruh dia bersara awal.

“Jika degil dan tidak mahu juga serta melakukan kesalahan yang sama sampai jabatan pun susah, elok dia dikenakan tindakan tatatertib,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Bersama Pembantu Pertanian Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan sambutan Aidilfitri di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Pengurus Besar KADA, Ibrahim Mat.

Menurut Omar, semua pihak mahu penjawat awam yang efisien kerana hanya dengan itu kehadiran mereka dapat dirasai dan diperlukan lebih-lebih lagi tempoh perkhidmatan telah dilanjutkan sehingga usia 60 tahun.

“CUEPACS juga tidak mahu dituduh bersubahat dengan orang seperti itu,” katanya

Beliau berkata, sikap dan masalah kakitangan tersebut sebenarnya boleh diatasi dengan menghantar mereka berkursus, namun apa yang berlaku ialah pihak majikan kerap bersikap tidak ambil kisah terhadap pekerja terbabit.

Sehubungan itu, katanya, dalam ‘roadshow’ CUEPACS, pihaknya telah meminta jabatan dan agensi kerajaan supaya jangan menyimpan penjawat awam seperti itu.

Dalam pada itu, Omar memberitahu, tidak ada penjawat awam yang dilaporkan terlibat dalam tindakan memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan mengibarkan bendera selain Jalur Gemilang semasa Himpunan Janji Bersih pada malam 30 Ogos lalu.