Lima sekeluarga termasuk bayi 7 bulan nyaris dijilat api di Kuala Terengganu – Bernama


Lima sekeluarga termasuk bayi 7 bulan nyaris dijilat api di Kuala Terengganu

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA TERENGGANU: Lima sekeluarga termasuk bayi perempuan berusia tujuh bulan nyaris maut setelah kediaman mereka di Kampung Wakaf Mempelam, di sini hangus dijilat api dalam kebakaran, malam tadi.

Mangsa Mohd Kamarul Arifin Ismail, 39, berkata ketika kejadian 9 malam itu dia sedang menonton televisyen di tingkat bawah manakala isteri dan tiga anaknya baru naik ke tingkat atas untuk masuk tidur.

Terhidu bau terbakar datang dari dalam rumah, beliau yang merupakan guru Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ampuan Intan Kuala Berang, Hulu Terengganu lantas memeriksa seluruh rumah namun tidak menemui sebarang kejadian pelik.

Beliau kemudiannya membuka pintu hadapan rumah dan ternampak kepulan asap serta bahang api dari kedai pendawaian elektrik bersebelahan rumahnya dan api telah mula menjilat sebahagian kediamannya.

 
“Panik dengan kejadian itu, saya terus menjerit menyuruh anak dan isteri keluar selamatkan diri dan tidak lama kemudian, api mula marak membakar rumah saya. Saya hanya sempat menyelamatkan komputer riba saja,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.

Sementara itu, pemilik kedai pendawaian elektrik dan butik pakaian wanita, Safarin Ismail berkata sebelum kejadian, bekalan elektrik kedainya tiba-tiba terputus dan kemudian dia terlihat kepulan api mula membakar pekarangan luar bangunannya.

“Masa itu saya bersama isteri dan anak berada di butik pakaian dan tiba-tiba bekalan elektrik terputus. Masa nak keluar melihat apa terjadi, saya nampak api dan terus arahkan keluarga saya lari tanpa sempat menyelamatkan barangan,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Terengganu Mohd Zulkhairul Razilah berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira 9.13 malam di mana lima jentera dengan 29 anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

Katanya ketika pihak bomba sampai, api membakar kira-kira 60 peratus rumah serta dua premis itu.

“Tindakan pantas pihak bomba kami berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak ke keseluruhan premis separa kekal itu di mana kita mengambil masa kira-kira satu jam untuk memadamkan api,” katanya.

Tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dan punca sebenar kejadian serta nilai kerugian masih disiasat. – Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/11

Beribu ulat bulu ‘banjiri’ sebuah sekolah di Sentul – Bernama


Beribu ulat bulu ‘banjiri’ sebuah sekolah di Sentul

11 September 2012

KUALA LUMPUR – Beribu-ribu ulat bulu ditemui memenuhi kawasan sekitar pondok keselamatan dan tempat pejalan kaki sebuah sekolah di Sentul di sini.

Tinjauan Bernama ke sekolah itu hari ini mendapati serangga berwarna hitam bersaiz tiga hingga lima sentimeter itu dilihat merayap di sepanjang tempat pejalan kaki sekolah berkenaan.

Menurut pengawal keselamatan sekolah tersebut yang enggan disebut namanya ketika ditemui berkata ulat bulu itu telah memenuhi kawasan tersebut sejak seminggu yang lalu.

“Saya sudah bekerja dua tahun di sini dan ini pengalaman kali pertama saya melihat ulat bulu yang sangat banyak seperti ini,” katanya.

Beliau berkata ulat bulu tersebut boleh menyebabkan gatal apabila disentuh.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Pertahanan Awam Malaysia berkata, empat orang anggota jabatan itu digerakkan ke sekolah terbabit setelah dihubungi guru besarnya.

“Kami telah menjalankan operasi selama satu jam 30 minit menyembur racun serangga dan membakar ribuan ulat bulu itu,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, punca kehadiran ulat bulu di kawasan sekolah itu belum dikenal pasti dan sedang disiasat.

Sebelum ini, sebuah sekolah rendah di Kota Tinggi, Johor, terpaksa ditutup selama dua hari juga akibat gangguan ulat bulu.  – Bernama

Pelan Pembangunan Pendidikan lahirkan pelajar berkualiti – Berita Harian


Pelan Pembangunan Pendidikan lahirkan pelajar berkualiti

11/09/2012 – 12:25:48 PMCetakEmel Kawan
KUALA LUMPUR: Pelan Pembangunan Pendidikan (PPP) 2013-2025 yang dilancarkan sebentar tadi memberi tumpuan kepada usaha melahirkan pelajar yang mempunyai enam kualiti utama bagi menghadapi cabaran masa depan.

Antaranya adalah berpengetahuan, kemahiran berfikir, berkepimpinan, kebolehan bertutur dalam pelbagai bahasa, beretika dan memberi penekanan terhadap identiti Kebangsaan.

Laporan awal PPP 2013-2025 dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, sebentar tadi.

517,139 calon duduki UPSR mulai hari ini – Bernama


517,139 calon duduki UPSR mulai hari ini

11/09/2012 – 16:41:00 PMCetakEmel Kawan
KUALA LUMPUR: Seramai 517,139 calon yang berdaftar menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di 8,284 pusat peperiksaan di seluruh negara mulai hari ini hingga Khamis.

Pelajar yang terlibat terdiri daripada 507,783 calon sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan, 9,345 calon sekolah swasta penghantar Bahasa Melayu dan 11 calon dari sekolah swasta penghantar Bahasa Cina.

Sementara itu, seramai 52,172 petugas terlibat dalam memastikan peperiksaan berjalan dengan lancar kali ini.

Di KUALA LUMPUR, ibu bapa juga kelihatan turut berada di kawasan sekolah bagi memberi semangat kepada anak-anak mereka yang menduduki peperiksaan berkenaan.

Bagi Marlina Mazlan, 36, ibu kepada Amir Daniel Ross Affendy dari Sekolah Kebangsaan Taman Melawati 2 (SKTM2) telah mengambil cuti untuk menemani anak sulungnya menduduki UPSR.

Malah, beliau turut merasa gementar dan cemas berbanding anaknya memandangkan ini adalah kali pertama anaknya berhadapan peperiksaan besar seperti ini.

Bagi pelajar Nik Aqil Baig, walaupun merasa gementar dan risau berhadapan dengan hari pertama UPSR, beliau telah berusaha merehatkan minda sebelum menghadapi peperiksaan sejak awal pagi ini.
Malah kata anak yatim ini, selain mengadakan perancangan jadual pembelajaran yang sistematik dan melakukan ulang kaji pada saat akhir, dia turut mengerjakan solat hajat.

Guru Besar SKTM2, Mohamad Alwan Ginen berkata pihak sekolah melakukan pelbagai usaha untuk memastikan pelajar bersedia menghadapi peperiksaan itu termasuk mengadakan latihan tubi serta membantu pelajar yang lemah secara berkelompok.

Di MELAKA, seramai 15,352 murid menduduki UPSR, iaitu peningkatan sebanyak 3.4 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan Jabatan Pelajaran Melaka, Megat Nasir Megat Hashim berkata daripada jumlah itu 102 calon berkeperluan khas menduduki UPSR, termasuk calon yang mengalami masalah pembelajaran, buta, pekak dan rabun.

“Tujuh pelajar hari ini terpaksa menduduki peperiksaan di hospital di negeri ini akibat kemalangan jalan raya dan sakit,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Beliau berkata 228 pusat peperiksaan dibuka di negeri itu pada tahun ini berbanding 230 tahun lalu.

Katanya bilangan petugas peperiksaan juga meningkat 29 orang tahun ini kepada 1,405 berbanding 1,376 orang tahun lalu.

Di KEDAH, seramai 40,109 pelajar mengambil UPSR di negeri ini, termasuk Zulshafakin Md Shafar, 12, dari Sekolah Kebangsaan Telaga Mas yang merupakan seorang pelajar orang kurang upaya (OKU).

Beliau yang kudung kaki kiri dari paras lutut sejak lahir berkata walaupun tidak sempurna seperti orang lain, beliau yakin mampu bersaing dengan pelajar lain untuk mendapatkan keputusan yang terbaik dalam UPSR.

Anak petani dari Kampung Telaga Mas yang bercita-cita menjadi pendidik berkata walaupun gementar tetapi yakin mampu untuk memperoleh keputusan UPSR terbaik kerana telah bersedia menghadapinya.

Sementara pasangan kembar Nasrul Shafiq dan Nasrul Shakir Rosmi yang juga anak petani berkata mereka sering mengulang kaji pelajaran di rumah, dan sentiasa menyelesaikan segala kerja rumah bersama serta memberi tumpuan kepada guru semasa sesi pembelajaran dalam kelas. – BERNAMA

Rogol gadis bawah umur: Mekanik mula jalani hukuman penjara 12 tahun – Bernama


Rogol gadis bawah umur: Mekanik mula jalani hukuman penjara 12 tahun

11/09/2012 – 17:37:20 PMCetakEmel Kawan
PUTRAJAYA: Seorang mekanik kereta yang didapati bersalah merogol seorang gadis bawah umur dalam dua kejadian tujuh tahun lalu, diperintah menjalani hukuman penjara 12 tahun mulai hari ini selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuan terakhirnya.

Effandi Mashor, 35, juga dikenakan hukuman 12 sebatan dengan rotan.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Abdul Malik Ishak sebulat suara mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan enam sebatan dengan rotan bagi setiap pertuduhan yang dihadapi Effandi.

Hukuman penjara itu diperintahkan berjalan serentak.

Abdul Malik yang bersidang bersama-sama Datuk Azahar Mohamed dan Datuk Balia Yusof Wahi, memerintahkan Effandi menjalani hukumannya dari hari ini.

Pada 20 April tahun lalu, Effandi didapati bersalah oleh Mahkamah Seseyan atas dua pertuduhan merogol gadis berumur 13 tahun dan 11 bulan di sebuah kebun mangga di Langkawi pada 11.30 pagi, 22 Jun 2005.

Dia juga merogol gadis itu di tempat kerjanya di bengkel motor juga di Langkawi pada 4.30 petang keesokannya.
Pada 16 November tahun lalu, Mahkamah Tinggi Alor Setar menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara.

Effandi, bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin di Mahkamah Sesyen dan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin di Mahkamah Tinggi sementara menunggu rayuan.

Didedahkan bahawa gadis itu kemudiannya telah melahirkan anak tetapi pegawai penyiasat tidak melakukan ujian paterniti. Tiada rekod dikemukakan mengenai bila gadis itu bersalin.

Mengikut fakta kes, laporan polis dibuat bapa gadis itu pada Mei 2006, setahun selepas kejadian itu, selepas ibu gadis itu bersemuka dengan anaknya itu selepas menemui pil pencegah kehamilan dalam poket pakaian seragam sekolahnya.

Terdahulu, peguam G. Ravi Shankar, yang mewakili Effandi, menggesa mahkamah membenarkan rayuan mekanik itu untuk mengenepikan sabitan dan hukuman penjara kerana kekurangan bukti kukuh yang anak guamnya itu bertanggungjawab melakukan jenayah itu.

Beliau berkata ujian paterniti dapat menunjukkan sama ada Effandi telah melakukan hubungan seks dengan gadis itu.

Timbalan Pendakwa Raya Kwan Li Sa dalam hujahnya berkata kegagalan menjalankan ujian paterniti tidak menjejaskan kes pihak pendakwaan kerana keterangan doktor perubatan Dr Zainura Che Isa dan ibu bapa gadis itu sudah mencukupi untuk membuktikan keteranganya yang dia telah dirogol.

Katanya gadis itu berkenalan dengan Effandi menerusi rakannya dan sering berhubungan menerusi telefon selama kira-kira setahun.

Katanya gadis itu bertemu Effandi buat pertama kalinya pada 22 Jun 2005 dan telah melakukan hubungan seks pada hari yang sama.

Kwan berkata kedua-dua mereka sering berjumpa dan mengadakan hubungan seks, sekurang-kurangnya 10 hingga 20 kali di beberapa tempat lain. – BERNAMA

Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 Fokus 11 Anjakan – mStar


Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 Fokus 11 Anjakan

KUALA LUMPUR: Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) yang dilancarkan pada Selasa menggariskan 11 anjakan yang diperlukan untuk mentransformasikan sistem pendidikan negara agar setaraf dengan sistem yang dimiliki di kalangan negara membangun bagi tempoh 13 tahun akan datang.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, program transformasi itu akan dilaksanakan dalam tiga fasa.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kemudiannya melancarkan laporan awal pelan tersebut.

Antara perkara yang boleh dijangka daripada pelaksanaannya adalah: Gelombang Pertama mulai 2013 hingga 2015.

* Peningkatan dalam kemahiran guru

* Kualiti pengajaran

* Keupayaan pegawai di peringkat negeri dan daerah

* Mutu kepimpinan sekolah

Gelombang Kedua dari 2016 hingga 2020

* Berlaku perubahan struktur sistem pendidikan negara yang menyaksikan kesemua 410,000 guru dan 10,000 pengetua atau guru besar menikmati pakej kerja baharu.

* Bahagian-bahagian di Kementerian Pelajaran distruktur semula dan kurikulum sekolah rendah dan menengah disemak semula agar sejajar dengan perkembangan sosial dan ekonomi dunia.

Gelombang Ketiga mulai 2021 hingga 2025

* Semua sekolah, guru dan pengetua atau guru besar akan menunjukkan prestasi melebihi standard minimum.

Pelan itu menyasarkan hasil pada lima aspek iaitu akses, kualiti, kesaksamaan, perpaduan dan kecekapan.

Pelan turut menyasarkan pembangunan pelajar yang memiliki enam sifat utama untuk membolehkan mereka bersaing di peringkat global iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran diwbahasa, beretika dan beragama, serta beridentiti kebangsaan.

Sebelas anjakan yang digariskan kementerian ialah:

1. Menyediakan akses sama rata untuk pendidikan berkualiti dengan standard antarabangsa;

2. Memastikan setiap pelajar fasih dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris;3. Membangunkan rakyat Malaysia yang dipacu nilai murni;

4. Menjadikan perguruan sebagai profesion pilihan;

5. Memastikan pemimpin sekolah berprestasi tinggi di setiap sekolah;

6. Memperkasakan Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah untuk menyelesaikan isu mengikut keperluan;

7. Memanfaatkan teknologi komunikasi dan maklumat untuk meningkatkan kualiti pembelajaran di seluruh Malaysia;

8. Menambah baik keupayaan penyampaian dan kapasiti kementerian;

9. Bekerjasama dengan ibu bapa, masyarakat dan sektor swasta;

10. Memaksimumkan kemenjadian pelajar bagi setiap ringgit yang dibelanja;

11. Meningkatkan ketelusan untuk kebertanggungjawaban umum.

Laporan itu juga menyatakan Kementerian Pelajaran melancarkan semakan menyeluruh sistem pendidikan pada Oktober 2011 bagi membangunkan Pelan Pembangunan Pendidikan baharu tersebut.

Menurut laporan itu, keputusan tersebut dibuat dalam konteks peningkatan standard pendidikan antarabangsa, aspirasi kerajaan untuk mempersiapkan kanak-kanak di Malaysia dalam menghadapi abad ke-21 serta harapan menggunung masyarakat serta ibu bapa terhadap dasar pendidikan.

Dalam tempoh setahun, lebih 50,000 pegawai kementerian, guru, pengetua, ibu bapa, pelajar dan orang ramai dilibatkan dalam pelbagai bentuk perbincangan.

Kementerian juga melantik panel 12 pakar tempatan dan sebuah panel empat pakar antarabangsa bagi memberi input mengenai hasil semakan.

Guru akan dijadikan profesion berprestij – Bernama


Guru akan dijadikan profesion berprestij

11 September 2012
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR – Guru akan dijadikan profesion berprestij dan bertaraf elit, yang hanya mengambil 30 peratus siswazah paling cemerlang di negara ini, demikian menurut cadangan Rangka Tindakan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini, laporan awal tentang rangka tindakan itu menyatakan bahawa Kementerian Pelajaran akan melaksanakan dengan ketat standard kemasukan bagi memastikan setiap pengambilan guru pelatih memenuhi kelayakan akademik minimum yang ditetapkan.

Ini sejajar dengan satu daripada 11 anjakan yang digariskan di dalam dokumen ke arah mentransformasikan sistem pendidikan negara – mentransformasikan jawatan guru agar menjadi profesion pilihan utama.

Rangka tindakan awal itu menyatakan Kementerian Pelajaran akan berganding bahu dengan Institut Pendidikan Guru dan Kementerian Pengajian Tinggi untuk memastikan kualiti kurikulum dan pensyarah dinaik taraf bagi melahirkan para guru seperti yang dihasratkan.

Ia juga menyatakan bahawa mulai 2013, beban guru dalam bidang pentadbiran akan diringankan bagi membolehkan mereka memberi fokus terhadap tugas mengajar.

“Ini akan dicapai dengan memperkemas dan mempermudahkan proses pengumpulan data dan pengurusan sedia ada. Sesetengah fungsi pentadbiran juga akan dipindah kepada pusat perkhidmatan terpusat atau kepada guru khusus pentadbiran di peringkat sekolah,” kata laporan itu.

Kementerian Pelajaran juga bercadang melaksanakan kemajuan kerja berasaskan kecekapan dan prestasi menjelang 2016, apabila guru diberi penilaian setiap tahun oleh pengetua masing-masing, dengan inputnya mungkin diberi rakan setugas mereka.

“Malah, guru paling baik mungkin dinaikkan pangkat daripada DG41 kepada DG54 dalam tempoh lebih cepat berbanding tempoh kenaikan pangkat purata sedia ada iaitu 25 tahun,” kata laporan itu.

Laporan itu seterusnya berkata guru yang menghadapi masalah untuk mencapai kualiti minimum pula akan diberi bimbingan sokongan tambahan untuk membantu mereka kembali berada di landasan sewajarnya.

“Guru yang sering mencatat prestasi rendah, walaupun sudah menerima sokongan tambahan, akan diberi tugas lain yang mempunyai kaitan dengan fungsi sekolah seperti pentadbiran, pegawai tatatertib atau pengurusan kokurikulum,” kata laporan itu.- Bernama

Seramai 517,139 calon duduki UPSR mulai hari ini – Bernama


Seramai 517,139 calon duduki UPSR mulai hari ini

11 September 2012
upsr
Sebahagian pelajar Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman II tekun menjawab soalan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) di dewan sekolah itu di sini, hari ini. — fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR – Seramai 517,139 calon yang berdaftar menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di 8,284 pusat peperiksaan di seluruh negara mulai hari ini hingga Khamis ini.

Pelajar-pelajar yang terlibat terdiri daripada 507,783 calon sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan, 9,345 calon sekolah swasta penghantar Bahasa Melayu dan 11 calon dari sekolah swasta penghantar Bahasa Cina.

Sementara seramai 52,172 petugas terlibat dalam memastikan peperiksaan berjalan dengan lancar kali ini.

Sementara itu di KUALA LUMPUR, ibu bapa juga kelihatan turut berada di kawasan sekolah bagi memberi semangat kepada anak-anak mereka yang menduduki peperiksaan tersebut.

Bagi Marlina Mazlan, 36, ibu kepada Amir Daniel Ross Affendy dari  Sekolah Kebangsaan Taman Melawati 2 (SKTM2) telah mengambil cuti untuk menemani anak sulungnya menduduki UPSR.

Malah beliau turut merasa gementar dan cemas berbanding anaknya memandangkan ini adalah kali pertama anaknya berhadapan peperiksaan besar seperti ini.

Bagi pelajar Nik Aqil Baig, walaupun merasa gementar dan risau berhadapan dengan hari pertama UPSR, beliau telah berusaha merehatkan minda sebelum menghadapi peperiksaan sejak awal pagi ini.

Malah kata anak yatim ini, selain mengadakan perancangan jadual pembelajaran yang sistematik dan melakukan ulang kaji pada saat akhir, dia turut mengerjakan solat hajat.

Guru Besar SKTM2, Mohamad Alwan Ginen berkata pihak sekolah melakukan pelbagai usaha untuk memastikan pelajar bersedia menghadapi peperiksaan itu termasuk mengadakan latihan tubi serta membantu pelajar yang lemah secara berkelompok.

Sementara itu, di MELAKA, seramai 15,352 murid menduduki UPSR, iaitu peningkatan sebanyak 3.4 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan Jabatan Pelajaran Melaka Megat Nasir Megat Hashim berkata daripada jumlah itu 102 calon berkeperluan khas menduduki UPSR termasuk calon yang mengalami masalah pembelajaran, buta, pekak dan rabun.

“Tujuh pelajar hari ini terpaksa menduduki peperiksaan di hospital di negeri ini akibat kemalangan jalan raya dan sakit,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata 228 pusat peperiksaan dibuka di negeri itu pada tahun ini berbanding 230 tahun lepas.

Katanya bilangan petugas peperiksaan juga meningkat 29 orang tahun ini kepada 1,405 berbanding 1,376 orang tahun lepas.

Semetara itu di KEDAH, seramai 40,109 pelajar mengambil UPSR di negeri ini, termasuk Zulshafakin Md Shafar, 12, dari Sekolah Kebangsaan Telaga Mas yang merupakan seorang pelajar orang kurang upaya (OKU).

Beliau yang kudung kaki kiri dari paras lutut sejak lahir berkata walaupun tidak sempurna seperti orang lain, beliau yakin mampu bersaing dengan pelajar lain untuk mendapatkan keputusan yang terbaik dalam UPSR.

Anak petani dari Kampung Telaga Mas yang bercita-cita menjadi pendidik berkata walaupun gementar tetapi yakin mampu untuk memperoleh keputusan UPSR terbaik kerana telah bersedia menghadapinya.

Sementara pasangan kembar Nasrul Shafiq dan Nasrul Shakir Rosmi yang juga anak petani berkata mereka sering mengulang kaji pelajaran di rumah, dan sentiasa menyelesaikan segala kerja rumah bersama serta memberi tumpuan kepada guru semasa sesi pembelajaran dalam kelas.- Bernama

Muhyiddin: KSSM, KSSR dilancar 2017 – Bernama


Muhyiddin: KSSM, KSSR dilancar 2017

11 September 2012
Muhyiddin: KSSM, KSSR dilancar 2017
Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin meneliti buku Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. – Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelajaran merancang melancarkan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) menjelang 2017.

Kurikulum sekolah di kedua-dua peringkat rendah dan menengah akan disemak semula bagi menerap gabungan ilmu dan kemahiran yang seimbang seperti fikiran kreatif, inovasi, penyelesaian masalah dan kepimpinan.

Kurikulum baru itu juga akan menyokong jalur pembelajaran yang dipertingkat untuk pelajar berprestasi tinggi menyelesaikan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam masa empat dan bukan lima tahun, dan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dalam masa lima dan bukan enam tahun.

Ini terkandung dalam Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Ia dibentangkan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran di majlis itu.

Ketika membentangkan dokumen itu, Muhyiddin berkata: “Selanjutnya, peperiksaan dan pentaksiran kebangsaan akan dirombak untuk meningkatkan tumpuan terhadap kemahiran berfikir aras tinggi, seiring pelaksanaan kurikulum baru.

“Sebagai contoh, UPSR akan mengandungi 80 peratus soalan berbentuk pemikiran aras tinggi (higher-order thinking questions).” -Bernama

Stor sekolah terbakar – Sinar Harian


Stor sekolah terbakar

WARTAWAN SINAR HARIAN
11 September 2012

PARIT BUNTAR – Stor persalinan pakaian Sekolah Kebangsaan (SK) Methodist, di sini terbakar menyebabkan peralatan meja di dalamnya musnah, semalam.

Stor yang terletak di tingkat empat blok menempat makmal dan bilik darjah di sekolah itu disedari terbakar oleh beberapa pelajar yang melalui lokasi kejadian lebih kurang jam 12 tengah hari.

Seorang pelajar yang merupakan saksi kejadian berkata,  dia bersama dua pelajar lain terhidu bau terbakar yang datang dari arah stor ketika hendak menuruni tangga.

“Pada mulanya saya tidak mengendahkannya memandangkan bau itu mungkin datang dari tempat lain yang dibawa tiupan angin.

“Bagaimanapun, bau itu semakin kuat dan kami ternampak asap tebal keluar daripada stor berkenaan dan segera memaklumkan kejadian itu kepada pihak sekolah,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian, di sini, semalam.

Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Parit Buntar berkata, mengesahkan mengenai kejadian tersebut dan tiba di lokasi kejadian lebih kurang 10 minit selepas itu.

Jelasnya, punca kejadian dan taksiran kerugian yang masih dalam siasatan,” katanya.