Najib: Transformasi pendidikan perlu bagi memenuhi aspirasi tinggi negara – Bernama


Najib: Transformasi pendidikan perlu bagi memenuhi aspirasi tinggi negara

12 September 2012
Najib Tun Razak
Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR – Malaysia memerlukan transformasi dalam keseluruhan sistem pendidikan dengan usaha meningkatkan pencapaian semua pelajar serta memenuhi aspirasi tinggi negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata negara tidak boleh hanya berdiam diri dalam persekitaran global yang semakin kompetitif.

“Perubahan yang dimaksudkan bukanlah hanya sekadar menambah bilangan kakitangan dan kemudahan, tetapi sekarang ini kita perlu juga memahami dan meningkatkan dinamik proses pengajaran dan pembelajaran,” katanya.

“Itulah sebab kita telah melancarkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan,” katanya dalam entri terbarunya dalam laman blog 1Malaysia.

Semalam, Najib melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang bakal menyediakan satu pelan komprehensif bagi satu transformasi yang pesat dan mampan dalam sistem pendidikan negara.

“Dari bagaimana kita mendekati pembelajaran pelajar, cara kita mengambil, melatih dan memberi ganjaran kepada guru-guru dan pengetua kita, sehinggalah kepada bagaimana Kementerian Pendidikan itu sendiri beroperasi – ianya membentangkan satu proses bagi perubahan itu,” katanya.

Najib berkata  sasaran itu adalah tinggi namun ianya boleh dicapai.

Antaranya termasuklah memastikan pendaftaran sejagat dari peringkat pra-sekolah sehinggalah ke peringkat pendidikan menengah atas dalam tempoh 10 tahun; mengurangkan sebanyak separuh jurang pencapaian antara golongan kaya dan miskin, bandar dan luar bandar, dan antara negeri-negeri yang membentuk Malaysia dalam tempoh 8 tahun; meningkat naik daripada negara yang tergolong dalam kumpulan pertiga terbawah ke pertiga teratas bagi penilaian- penilaian antarabangsa seperti PISA dan TIMSS dalam tempoh 15 tahun; dan membina satu sistem pendidikan yang mendidik anak-anak kita untuk menghargai identiti unik kita sebagai rakyat Malaysia.

Setiap usaha, katanya, mestilah tertumpu ke arah meningkatkan pencapaian pelajar.

“Transformasi sistem pendidikan bukannya satu usaha yang mudah dan kemungkinan besar kita akan menghadapi beberapa cabaran. Namun, yakinlah bahawa bukan sahaja Kerajaan dan Kementerian Pendidikan yang komited untuk mencapai matlamat ini, malah saya juga secara peribadi memegang teguh komitmen ini.

“Dari ibu bapa kepada masyarakat tempatan dan sektor swasta, kita semua mempunyai peranan dan kepentingan peribadi dalam memastikan sistem pendidikan kita diperbaiki,” katanya.

“Oleh itu, Insyaallah, marilah kita bersama-sama sebagai satu negara melalui perjalanan yang menarik, mencabar dan yang paling penting, perlu kita lakukan,” katanya.

Beliau berterima kasih kepada ribuan guru, pengetua, pentadbir serta pegawai dan petugas Kementerian Pendidikan yang berdedikasi kerana sistem pendidikan Malaysia telah menjadi asas pembangunan negara.

“Hakikatnya bahaaw pendidikan adalah sebahagian penting daripada pembangunan diri seseorang dan juga merupakan penyumbang kepada pembangunan sosio ekonomi negara.

“Ia memberi inspirasi kreativiti dan memupuk inovasi, menyediakan kemahiran yang dperlukan oleh golongan belia agar mampu bersaing dalam pasaran modal insan moden dan pemacu utama pertumbuhan ekonomi,” jelasnya.

Najib berkata pemerhatian perlu bagi memastikan sistem pendidikan terus mencapai kemajuan seiring dengan usaha kerajaan memperkenalkan langkah di bawah Model baru Ekonomi, Program Transformasi Ekonomi dan Program Transformasi Kerajaan.- Bernama

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s