Pelajar parah jatuh tingkat tiga
Johor Bahru: Seorang pelajar Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggong Ibrahim (IPG-KTI) parah selepas dikatakan terjatuh daripada tingkat tiga asramanya, malam Sabtu lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, gadis berusia 18 tahun dan mendaftar memasuki pusat pengajian terbabit pada Jun lalu, cedera parah di bahagian tulang belakangnya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintendan Abdul Samad Salleh, berkata kejadian disedari seorang pengawal keselamatan pusat pengajian terbabit sebelum menghubungi polis.
Cedera parah
“Berdasarkan laporan awal, mangsa dikatakan terjatuh dari tingkat tiga asramanya menyebabkan dia cedera serius di bahagian tulang belakangnya.
“Menurut seorang saksi, sebelum kejadian itu, mangsa dilihat berlegar-legar di tingkat berkenaan sebelum terjatuh,” katanya ketika dihubungi semalam.
Abdul Samad berkata, mangsa kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan dilaporkan stabil, sementara kes disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh diri.
“Kita akan menyiasat dari pelbagai sudut termasuk punca kejadian ini boleh berlaku. Saya minta semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi. Saya mohon kerjasama orang ramai yang ada maklumat berhubung kejadian ini supaya tampil membantu siasatan,” katanya.
Enggan ditemubual
Sementara itu, usaha untuk menemubual mangsa tidak berhasil, apabila wanita dipercayai ibunya yang menemani di sisi katil dalam wad, enggan ditemubual wakil media yang meninjau keadaan gadis terbabit tengah hari semalam.
Jurucakap Bahagian Hal Ehwal Pelajar IPG-KTI pula ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai kejadian terbabit dengan alasan kes itu kini diserahkan kepada siasatan polis.
“Kami belum boleh memberi apa-apa reaksi mengenai kejadian berkenaan kerana sudah menjadi kes polis,” katanya.