Puad: Isu PPSMI tidak harus timbul lagi

$entry.content.caption.value
GEORGETOWN – Isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tidak seharusnya ditimbulkan semula kerana Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 menggariskan penguasaan dwibahasa dalam kalangan pelajar.
Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata menerusi pelan itu, penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa Inggeris merupakan keutamaan.
“Kita mahu pelajar mempunyai kemahiran tinggi dalam bahasa Inggeris dan dalam masa yang sama menguasai bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Oleh itu tidak perlu bimbang,” katanya di sini hari ini.
Beliau mengulas reaksi badan bukan kerajaan yang mempertikaikan tindakan kerajaan menggugurkan PPSMI daripada pelan pembangunan pendidikan tersebut.
Laporan awal pelan dilancar semalam oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Mengulas lanjut, Mohd Puad berkata keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan PPSMI adalah tepat kerana menurut laporan Unesco, murid sekolah rendah lebih mudah menguasai ilmu jika diajar dalam bahasa ibunda.
Katanya 54 negara Komanwel yang menyertai Persidangan Menteri-menteri Pelajaran Komanwel di Mauritius baru-baru ini turut mengambil pendirian bahawa pendidikan awal mesti menggunakan bahasa ibunda.
Turut ditekankan pada persidangan itu ialah bahasa Inggeris harus dijadikan medium komunikasi dan bukan bahasa pengantar terutama di peringkat sekolah rendah, katanya.- Bernama