Rumah guru hangus gara-gara pili bomba dihalang – Sinar Harian


Rumah guru hangus gara-gara pili bomba dihalang

RUBIAH OMAR
12 September 2012
Rumah guru hangus gara-gara pili bomba dihalang
Kediaman guru dan butik ini hangus dalam kejadian kebakaran malam kelmarin di Kampung Wakaf Mempelam. Gambar kecil: Pagar batu kediaman individu yang dipecahkan bomba.

KUALA TERENGGANU – “Kami dah jangka suatu hari nanti mesti ada mangsa yang terpaksa menanggung masalah ini disebabkan pili bomba dihalang dan malam ini (malam kelmarin), ia jadi kenyataan,” demikian luahan seorang wakil penduduk di Kampung Wakaf Mempelam, di sini.

Dia yang enggan dikenali meluahkan ketidakpuasan hati berhubung kemudahan pili bomba yang disediakan, telah dihalang individu tidak bertanggungjawab ketika ditemui di lokasi kejadian kebakaran kediaman keluarga pasangan guru dan sebuah butik pakaian di Kampung Wakaf Mempelam, malam kelmarin.

Menurutnya, penduduk sudah lama menyedari pili bomba berada di kawasan kediaman individu terbabit sebelum ini, namun mereka hanya mampu melihat dan tidak tahu mana saluran yang betul untuk diajukan masalah itu, selain menganggap perkara itu terlalu peribadi.

“Kami tidak salahkan sesiapa, namun kami bimbangkan jika berlaku kecemasan seperti hari ini (malam kelmarin), menyukarkan dan melambatkan kerja-kerja menyelamat.

“Sebagai contohnya malam ini pihak bomba sendiri tidak tahu adanya pili bomba terdekat dan terpaksa menggunakan pili bomba yang agak jauh dari lokasi. Mujur penduduk beritahu mereka,” katanya.

Dalam kejadian jam 9.05 itu, pasangan guru, Noraida Ali, 32, dan suaminya Mohd Komarul Aripin Ismail, 39, terpaksa memecahkan tingkap kediaman untuk menyelamatkan diri daripada terperangkap dalam kebakaran.

Menurut Noraida, sebelum kejadian, dia berada di bilik utama di tingkat atas sedang menyusukan anak ketiga, Mariam Umairah, 7 bulan, bersama anak kedua, Sofiah Umairah, 5 tahun manakala suaminya serta anak sulung,
Iman Takqif, 7 tahun, ditingkat bawah.

“Saya terhidu bau hangit dan menyangka ia berpunca dari kipas yang dipasang, jadi saya tutup kipas itu.

“Namun, bau semakin kuat tapi saya tidak syak apa-apa sebab ingatkan jiran sedang membakar sampah,” katanya.

Asap tebal bawah katil

Namun, katanya, dia terkejut selepas ternampak asap yang begitu tebal keluar dari bawah katil dan terus membawa kedua-dua anaknya turun.

“Kami panik melihat asap begitu tebal di dalam rumah, namun suami sempat mengarahkan saya hubungi bomba sebab saya sedang memegang telefon bimbit.

“Keadaan makin kelam kabut selepas kami terdengar pekikan orang ramai meminta kami keluar dari rumah kerana api sedang marak dari kedai sebelah, sebelum kami bertindak memecahkan tingkap untuk keluar,” katanya.

Dalam kejadian itu, rumah pusaka dua tingkat milik pasangan itu musnah sama sekali termasuk sebuah butik pakaian di sebelah kediaman mereka.

Ketua Operasi, Penguasa Bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Mohd Zulkhairul Mohd Razilah berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 30 minit untuk memadamkan kebakaran termasuk mengawal api daripada merebak ke premis berdekatan dengan kekuatan 24 anggota.

“Kerugian melalui siasatan awal dianggarkan RM200,000 membabitkan kediaman pasangan guru berkenaan dan butik pakaian yang disewakan kepada orang lain oleh pasangan itu sebelum ini. Punca masih dalam siasatan,” katanya.

Boleh ambil tindakan

Berhubung isu pili bomba yang terletak di dalam pagar kediaman milik persendirian, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Penguasa Kanan Bomba 1, M Ridzuan Hasan berkata, pihaknya boleh mengambil tindakan undang-undang kepada individu yang cuba menghalang atau menyembunyikan pili bomba.

“Sekiranya individu berkenaan didapati bersalah selepas disiasat, kami boleh mengeluarkan kompaun iaitu denda RM100 bagi kesalahan pertama dan sekiranya masih berdegil, denda tidak lebih RM200 akan dikenakan.

“Bagaimanapun, siasatan terperinci akan dijalankan bagi mengenal pasti sama ada kemudahan pili bomba disediakan di atas tanah rezab kerajaan atau tanah persendirian tuan rumah,” katanya.

M Ridzuan berkata, individu yang ingin meminta kemudahan pili bomba dialihkan sekiranya dibina di atas tanah persendirian boleh memaklumkan kepada pihaknya untuk diambil tindakan segera.

“Namun, individu berkenaan perlu menyediakan salinan geran tanah yang sah dikeluarkan daripada jabatan tanah membuktikan tanah berkenaan adalah miliknya dan bukannya tanah rezab,” katanya.

Bagi orang ramai yang ingin membuat sebarang aduan berhubung masalah pili bomba boleh menghubungi pihaknya di talian 09-6224444/ 6234444 atau boleh melayari laman web http://www.bombatrg.gov.my dan seterusnya ke bahagian aduan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s