Kertas percubaan SPM bocor di FB – Sinar Harian


Kertas percubaan SPM bocor di FB

IZWAN ROZLIN
13 September 2012
Kertas percubaan SPM bocor di FB
Pautan kertas percubaan SPM yang tersebar di sebuah laman sosial Facebook.

KUALA LUMPUR – Soalan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini bagi Kuala Lumpur dan Selangor, yang berjalan dari 29 Ogos lalu hingga 21 September ini, didakwa  sudah tersebar menerusi laman sosial Facebook.

Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng berkata, maklumat tersebut diperolehi daripada seorang guru tuisyen yang memberitahu bahawa pautan kepada soalan itu dimuat turun di Facebook sehari sebelum tarikh peperiksaan bagi setiap subjek.

”Selalunya  mereka akan letak soalan itu  sehari sebelum tarikh peperiksaan bagi setiap subjek, namun  apa yang menimbulkan tanda tanya sekarang mengapa tiada tindakan diambil meskipun ada guru sekolah yang mengetahui tentang perkara ini,” katanya pada sidang media di pejabatnya hari ini.

Sementara itu, semakan Sinar Harian di laman sosial  berkenaan pada awal pagi mendapati terdapat 23,000 orang telah menerima laman tersebut, namun  selepas maklumat mengenainya tersebar di media, laman itu telah  tiada pada jam 3 petang tadi.

Hasil semakan itu mendapati terdapat 10 subjek yang didakwa kertas percubaan SPM sebenar peperiksaan telah dimuat turun  di laman tersebut.

“Saya harap pihak berkuasa termasuk Kementerian Pelajaran dapat menyiasat dan mengenakan tindakan tegas ke atas mereka yang terlibat kerana kertas percubaan yang dimuat turun adalah 99.9 peratus  tepat seperti soalan sebenar,” katanya.

Pelajar maut terperosok bawah treler – Sinar Harian


Pelajar maut terperosok bawah treler

WARTAWAN SINAR HARIAN
13 September 2012

KEMAMAM – Seorang pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan Cheneh Baru, yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi, maut selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah treler.

Kejadian di Jalan Cerul-Bukit Sagu, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, Nor Asmawi Mohamad Nor, 17, yang terperosok di bawah treler, meninggal serta merta di tempat kejadian.

Perlanggaran berlaku secara berdepan mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam yang mengesahkan kejadian berkenaan berkata, semasa kejadian dipercayai mangsa menunggang beramai-ramai dengan rakannya, sebelum motosikal mangsa masuk ke laluan treler.

“Ketika kejadian penunggang motosikal tidak memakai topi keledar,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurut Che Suza, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kemaman untuk dibedah siasat bagi menentukan punca kematian.

“Bedah siasat mendapati sebab kematian adalah kerana cedera di kepala,” katanya.

Remaja maut dirempuh kereta – Sinar Harian


Remaja maut dirempuh kereta

WARTAWAN SINAR HARIAN
13 September 2012

KUANTAN – Seorang remaja maut selepas motosikal yang ditunggangi bergesel dengan sebuah motosikal lain sebelum dirempuh kereta di Jalan Tanjung Pasir- Bukit Goh berhampiran Pasar Raya Jaya Gading, malam kelmarin.

Dalam kemalangan kira-kira jam 9.55 malam itu, mangsa, Muhamad Firdaus Razali, 16 dari Kampung Datuk Abdul Aziz, Bukit Goh mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Seorang lagi penunggang cedera ringan manakala pemandu kereta, seorang wanita  berusia 26 tahun yang juga penyelia sebuah asrama tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Tanjung Pasir menghala ke Bukit Goh.

Menurutnya, ketika sampai di lokasi kejadian, motosikal mangsa dipercayai bergesel dengan sebuah motosikal jenis Yamaha Ego ditunggangi seorang lelaki.

“Akibat pergeseran itu, motosikal mangsa terbabas ke laluan bertentangan lalu dirempuh kereta yang berada di laluan tersebut,” katanya di sini, semalam.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat manakala penunggang yang cedera menerima rawatan di hospital sama.

Pelajar SMSS cipta Mobile Sunpack – Sinar Harian


Pelajar SMSS cipta Mobile Sunpack

NORHIDAYYU ZAINAL
13 September 2012
Pelajar SMSS cipta Mobile Sunpack
Ketika sertai salah satu pertandingan.
Pelajar SMSS cipta Mobile Sunpack
Pelbagai anugerah yang diraih melalui ciptaan generator mesra alam ini.

Suasana di setiap pasar malam sentiasa riuh-rendah dengan suara tawar-menawar pelanggan dan penjaja yang cuba menarik perhatian setiap pelanggan.

Selain suasana sebegitu, terdapat perkara lain yang benar-benar mencuri perhatian di pasar malam iaitu bunyi daripada mesin generator.

Generator berenjin diesel ini mengeluarkan bunyi bingit dan asap tebalnya boleh menyumbang kepada penambahan kadar pencemaran alam sekitar.

Namun, pasar malam menjadi satu tempat terbaik melakukan kajian tinjauan terhadap penggunaan generator, terutama bunyi bingit yang keluar dan cara peniaga mengendalikan generator mereka.

Rata-rata peniaga pasar malam masih lagi menggunakan generator sebagai perkakas utama dalam membekal tenaga elektrik disebabkan mereka tidak mempunyai pilihan lain.

Maka atas kesedaran itu, sekumpulan pelajar dari Sekolah Menengah Sains Selangor (SMSS) mula menjana idea untuk menghasilkan sebuah generator yang mesra alam.

Mobile Sunpack

Sekumpulan pelajar tersebut terdiri daripada Ahmad Nasri Othman, Muhammad Zulkifli Amiruddin, Muhammad Syamil Musa, Khairul Muhammad Akmal Khairul Azhar dan Ashraff Khan Fairuz Khan.

Mereka dikendalikan oleh dua guru dari sekolah berprestasi tinggi tersebut iaitu Aini Arifah Abdul Karim dan Roselina Azizan.

Aini Arifah berkata, projek reka cipta dan inovasi itu dinamakan sebagai Mobile Sunpack, iaitu sebuah generator penjana elektrik yang menggunakan tenaga solar sebagai sumber tenaga utama.

Menurutnya, ia lebih ringan, mesra pengguna, mudah dibawa, digunakan di mana-mana, tidak mengeluarkan bau, tiada bunyi bising, dan yang paling utama – tidak membebaskan sebarang gas yang boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar.

“Produk ini berpotensi untuk dijadikan sebagai alternatif utama dalam menggantikan penjana kuasa berasaskan minyak yang digunakan di pasar malam pada masa kini,” katanya kepada Konsumer ketika ditemui,     baru-baru ini.

Beliau berkata, idea untuk menghasilkan penjana kuasa mesra alam ini tercetus apabila pelajar SMSS berbelanja di sebuah pasar malam, seterusnya meneliti bagaimana penggunaan generator ketika mereka berniaga.

“Mereka mendapati generator yang digunakan oleh peniaga pasar malam mengeluarkan bunyi sangat bising.

“Ia juga menggunakan gas diesel dengan berterusan bagi menghidupkan generator, seterusnya menjadi sumber utama untuk memasang lampu sepanjang malam,” katanya.

Menurutnya, Mobile Sunpack ialah sebuah generator yang hanya menggunakan panel solar fleksibel dan boleh digulung untuk dimuatkan di dalam beg, serta boleh dijemur pada bila-bila masa untuk mengecas bateri pada alat ini.

“Kita boleh mengecas selama dua jam 40 minit bagi mendapatkan tahap pengecasan maksimum sehingga mampu menerangkan tiga lampu pendarfluor dan bertahan selama enam jam,” katanya.

Aini Arifah berkata, buat masa ini, pihaknya sedang dalam perancangan untuk mempertingkatkan lagi mutu Mobile Sunpack dengan memperkecilkan saiz, menjadikannya lebih kompak atau meninggikan tahap kuasa voltan dengan menggunakan transformer.

Menurutnya, Mobile Sunpack bersifat mesra alam, murah dan sasaran pasarannya lebih menyeluruh.

“Ia juga merangkumi keperluan orang ramai untuk pelbagai kegunaan dan boleh dibawa dengan mudah.

“Selepas ini, kaki-kaki pancing yang membawa produk ini ke lubuk-lubuk pancing tidak lagi perlu menyalakan unggun api atau memancing dalam gelap,” selorohnya.

Raih kejayaan

Dalam pada itu, katanya, buat julung kali pada April lalu, Mobile Sunpack dipertandingkan dalam Malaysian International Young Inventors Olympiad (MIYIO) dan International Engineering Invention & Innovation Exhibition (i-ENVEX) serta memenangi Anugerah Emas dan membawa pulang Anugerah Khas dari Korea Invention Academy.

Produk ini turut memperoleh pengiktirafan di Iasi, Romania, apabila memenangi perak dan sebuah lagi Anugerah Khas dalam European Exhibition for Creativity and Innovation (Euroinvent) pada Mei lepas.

“Pada Jun lalu, Mobile Sunpack sekali lagi mendapat pingat perak melalui Macau Communic Expo yang diadakan di Macau dan juga satu anugerah khas dari Korea University Invention Association,”  katanya.

Aini Arifah  berkata, hasil usaha sama antara pelajar sekolah ini dengan Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) dan sebuah syarikat pembekal panel solar, Ooex Enterprise.

“Hasil kerjasama ini berjaya merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadikan 2012 sebagai tahun inovasi.

“Produk ini boleh menjadi satu tenaga alternatif untuk menghasilkan tenaga elektrik yang tidak mencemarkan alam sekitar,” jelasnya.

Katanya, mungkin lebih ramai peniaga pasar malam atau penjaja gerai pinggir jalan atau kontraktor akan beralih kepada inovasi terbaru ini demi kesejahteraan orang ramai dan juga alam sekitar.

Agenda transformasi letakkan Malaysia sebagai negara kedua paling bahagia – Bernama


Agenda transformasi letakkan Malaysia sebagai negara kedua paling bahagia

13 September 2012

KUALA LUMPUR – Matlamat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi, merupakan agenda perubahan inklusif, yang bukan hanya berkisar kepada pertumbuhan ekonomi, malah mengambil kira ranking kebahagiaan Malaysia.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata Perdana Menteri sangat serius dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP) bagi meningkatkan pendapatan per kapita semua rakyat Malaysia, dan pada masa yang sama, menyediakan bantuan infrastruktur dan kewangan bagi meningkatkan kedudukan Malaysia dalam indeks kebahagiaan.

“Kerajaan sedia ada mahukan pertumbuhan inklusif. Ia bukan sahaja berpendapatan tinggi, keluaran dalam negara kasar yang lebih tinggi, malah indeks kebahagiaan juga tinggi.

“Kita mahu merapatkan lagi jurang, supaya semua rakyat Malaysia dapat menikmati limpahan pertumbuhan ekonomi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri pelancaran awal Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin.

Dalam Laporan Kebahagiaan Dunia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu baru-baru ini, Malaysia diletakan sebagai negara kedua paling bahagia di Asia Tenggara, selepas Singapura.

Laporan itu yang mengumpul respons kajian yang diterima dari tahun 2005 hingga pertengahan tahun 2011, mengukur tahap kebahagiaan 156 negara, dengan Malaysia menduduki tempat ke-51.

Negara-negara kaya Scandinavia seperti Denmark, Finland dan Norway menduduki tiga tangga teratas, manakala negara di Afrika Barat, Togo, merupakan negara paling tidak bahagia.

Mengenai UTC, Ahmad Husni berkata pusat baharu berharga RM15 juta itu yang terletak di Pudu Sentral (dahulunya Stesen Bas Puduraya), akan memberi perkhidmatan kepada 1.6 juta penduduk ibu kota.

“Ia adalah UTC kedua di Malaysia selepas Melaka. Kami mahu membuka UTC di setiap ibu negeri.

“UTC akan merapatkan jurang antara agensi-agensi kerajaan dan rakyat Malaysia bagi memberi perkhidmatan yang lebih baik pada rakyat secara lebih cekap.

UTC Kuala Lumpur akan dilancarkan secara rasmi oleh Najib, yang juga Menteri Kewangan, pada 22 Sept, 2012. – Bernama

Pelajar cedera dipukul senior – Sinar Harian


Pelajar cedera dipukul senior

WARTAWAN SINAR HARIAN
13 September 2012

REMBAU – Hanya kerana bergurau di dalam surau selepas solat isyak, seorang pelajar tingkatan satu sebuah sekolah menengah berasrama di daerah ini mengalami kecederaan dipercayai dipukul dua senior tingkatan lima sekolah sama, malam Isnin lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa dan rakannya juga berusia 13 tahun dipercayai dipanggil dua senior berkenaan untuk masuk ke bilik dorm bagi memilih untuk melakonkan watak bertumbuk atau ditumbuk.

Menurut sumber, sebaik sahaja diarahkan untuk memilih watak itu, mangsa dan rakannya sepakat memilih watak bertumbuk sebelum melakonkannya.

“Bagaimanapun, salah seorang senior berkenaan tidak berpuas hati lalu memukul mangsa sehingga cedera di bahagian mata sebelah kanan dan betis sebelah kanan.

“Manakala, seorang lagi senior memukul mangsa dengan menggunakan penyapu. Malah, mangsa juga diugut akan dibelasah sekiranya memberitahu pihak sekolah berhubung insiden berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian, dekat sini, semalam.

Sumber berkata, pada keesokan harinya iaitu kira-kira jam 11.30 pagi, warden sekolah berkenaan menghubungi bapa mangsa untuk menyatakan anaknya mengalami kecederaan dan lebam-lebam.

Menurutnya, bapa mangsa yang bergegas datang ke sekolah segera menanyakan anaknya perkara sebenar dan lama kelamaan, anaknya mengaku dirinya dipukul senior sekolah berkenaan.

“Malah, kejadian dipukul juga bukanlah kali pertama di mana sebelum ini dia pernah mengalami nasib sama tetapi tidak memberitahu bapanya, namun tidak ingat tarikh kejadian kali pertama itu berlaku.

“Bapa mangsa segera membawa mangsa ke hospital dan membuat laporan polis selepas pemeriksaan bagi tujuan keselamatan anaknya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Mizan Md Dom mengesahkan insiden berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Salah pelajar, bukan sekolah – Kosmo


Salah pelajar, bukan sekolah

MAHADZIR memujuk Muhammad Faiz supaya tabah dalam pertemuan
di rumah mereka di Bukit Beruntung semalam.

 

KUALA LUMPUR – Siasatan Jabatan Pelajaran Selangor mendapati dakwaan seorang pelajar Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya (1) Bukit Beruntung, Rawang bahawa dia dilarang daripada menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kelmarin sebagai tidak berasas.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd. Ghafar Mahmud berkata, apa yang sebaliknya berlaku ialah pelajar itu, Muhammad Faiz Mahadzir tidak hadir ke sekolah pada hari pertama peperiksaan itu kelmarin.

Katanya, pelajar itu juga tidak hadir ke sekolah untuk beberapa hari sebelum itu.

“Pihak sekolah tidak menghalang pelajar itu menduduki peperiksaan.

“Rekod sekolah menunjukkan dia tidak hadir pada hari pertama peperiksaan walaupun Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SUP) telah memaklumkan kepada pelajar untuk hadir,” katanya kepada pemberita selepas mengiringi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meninjau perjalanan peperiksaan UPSR di Sekolah Kebangsaan Sultan Hisamuddin Alam Shah di sini semalam.

Kosmo! semalam melaporkan kenyataan bapa pelajar itu, Mahadzir Mokhtar, 42, yang mendakwa sewaktu Muhammad Faiz datang ke sekolah pada Isnin lalu, guru besar sekolah tersebut telah meminta anaknya itu supaya tidak menduduki UPSR atas alasan dikhuatiri boleh menjejaskan reputasi sekolah berkenaan.

Muhammad Faiz kemudian dikatakan merajuk sehingga tidak mahu ke sekolah bagi menduduki UPSR pada Selasa lalu walaupun selepas puas dipujuk oleh bapanya.

Mahadzir kemudian membuat laporan di Balai Polis Bukit Sentosa serta Pejabat Pelajaran daerah Hulu Selangor.

Abd. Ghafar menjelaskan, pihaknya setakat ini menerima sembilan aduan berhubung dakwaan berlaku penyelewengan berkaitan UPSR, namun siasatan mendapati kesemuanya tidak berasas.

Ikuti berita selanjutnya di akhbar Kosmo!

‘Macam kena tarik’ – Metro


‘Macam kena tarik’

Oleh Siti A’syah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SEPANG: “Saya rasa panas, kaki terasa macam ada orang tarik dan tak boleh bergerak,” kata seorang pelajar tingkatan dua yang diserang histeria dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Kampong Datuk Abu Bakar Baginda di sini, semalam.

Mangsa yang dikenali sebagai Nurul, 14, berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 9 pagi iaitu selepas dia menghantar rakannya ke sebuah bilik rawatan kerana dikatakan lemah semangat akibat kejadian histeria di sekolah berkenaan. “Rakan saya itu memang seorang yang lemah semangat, sebab itu saya membantunya ke bilik rawatan di sekolah. Pada masa itu, di bilik berkenaan memang ada beberapa pelajar.
“Saya pun kemudian terus berjalan semula ke kelas, tetapi dalam perjalanan itu saya pula terkena gangguan.

 

“Saya rasa badan panas dan tak boleh bergerak sehinggakan saya terpaksa dibantu rakan dan guru untuk ke bilik rawatan.
“Waktu itu saya menjerit ‘panas, panas’. Beberapa orang guru dan pelajar cuba menenangkan saya dengan membacakan ayat suci al-Quran. Ada guru yang memegang saya, tetapi saya gigit tangan seorang daripada mereka dan minta dilepaskan,” katanya yang ditemui sebaik pulih daripada gangguan itu.
Sementara itu, menurut sumber, seramai kira-kira 50 pelajar diserang histeria bagi tempoh dua hari bermula kelmarin. “Kejadian dialami Nurul hampir sejam itu turut membabitkan pelajar lain, sehingga pembelajaran di sekolah berkenaan tergendala,” katanya. Katanya, berikutan itu pihak sekolah terpaksa mengarahkan semua pelajar pulang lebih awal daripada rutin harian persekolahan serta memberi mereka cuti rehat selama dua hari bermula hari ini dan esok. “Selepas kes itu, pihak sekolah tidak dapat meneruskan sesi pembelajaran seperti biasa, malah meminta pelajar membaca surah Yasin sebelum mengeluarkan arahan supaya pulang ke rumah masing-masing,” katanya. Menurut sumber itu lagi, dia percaya gangguan berkenaan ada kaitan dengan beberapa tempat di dalam kawasan sekolah itu yang dikatakan agak ‘keras’.

 

 

“Pihak sekolah pernah mengeluarkan arahan supaya pelajar terutama yang lemah semangat menjauhkan diri dari tempat itu. “Antara tempat itu di belakang dewan serta blok dua yang menempatkan makmal, bilik muzik dan bilik kemahiran hidup,” katanya. Sementara itu, tinjauan Harian Metro mendapati pihak sekolah menampal notis cuti rehat di pintu pagar sekolah.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/13

Perut hampir pecah – Metro


Perut hampir pecah

Oleh Pretty Licha
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MUKAH: “Hati saya sayu melihat perut budak lelaki itu hampir pecah,” kata saksi kemalangan jalan raya yang meragut nyawa kanak-kanak berusia lapan tahun apabila lori dipandu bapanya merempuh sebuah lori lain di Sungai Selat, Jalan Bintulu-Tatau, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11.20 pagi itu, Bryant Tiong Kung Yan, murid tahun dua sekolah rendah di bandar Sibu, mati di tempat kejadian akibat cedera di perut selepas lori membawa muatan gam dipandu bapanya, Tiong Ing Tung, 44, merempuh belakang lori baja.
Saksi berkenaan, Edward Banting, 21, berkata, ketika kejadian dia memandu keretanya mengekori lori berkenaan sebelum pemandu lori di depannya menekan brek secara tiba-tiba sambil mengelak sesuatu sebelum berhenti secara mengejut.

 

“Saya sendiri nyaris merempuh belakang lori dipandu mangsa, tetapi disebabkan berada pada jarak yang selamat, saya mengelak daripada terbabit dalam kemalangan itu.
“Sejurus kemudian saya melihat pemandu lori berkenaan turun dengan kepalanya berlumuran darah menuju ke arah tempat duduk sebelah pemandu,” katanya. Edward berkata, dia memberhentikan kereta dan terkejut apabila mendapati pemandu lori itu cuba mengeluarkan anak lelakinya yang tidak sedarkan diri, tersepit di tempat duduk penumpang.
“Ketika itu saya sempat melihat perut kanak-kanak itu cedera parah dan banyak darah keluar. Selepas 10 minit, kami mengeluarkan kanak-kanak itu, namun tubuhnya langsung tidak bergerak,” katanya.

 

 

Pemandu lori baja terbabit, Latip anak Kerani, 42, berkata ketika kemalangan, lalu lintas di jalan berkenaan sesak kerana ada kerja naik taraf jalan dilakukan menyebabkan kenderaan berderet menunggu giliran melepasi kawasan pembinaan.
“Tiba-tiba lori saya dirempuh kuat dari belakang. Saya turun dan mendapati lori lain melanggar bahagian belakang kenderaan saya.

 

“Ketika itu saya nampak pemandunya cedera di kepala manakala seorang kanak-kanak berlumuran darah tersepit di tempat duduk depan,” katanya.
Difahamkan, Bryant menemani bapanya menghantar muatan gam ke Bintulu berikutan cuti sekolah sempena Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang berlangsung sekarang. Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian beberapa minit kemudian akibat cedera parah pada badan, manakala bapanya dihantar ke Hospital Bintulu untuk rawatan lanjut dan dilaporkan menerima rawatan sebagai pesakit luar.
Mayat kanak-kanak malang itu dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat dan kemalangan berkenaan menyebabkan keadaan lalu lintas di situ sesak lebih tiga jam.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/13

Tabung khas bantu pelajar – Metro


Tabung khas bantu pelajar

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA KUBU BARU: Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) akan melancarkan tabung bencana alam khas membantu pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kubu Baru yang tinggal sehelai sepinggang, berikutan kebakaran di asrama maktab itu, kelmarin.

Pengerusinya, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, seramai 40 pelajar daripada 429 yang tinggal sehelai sepinggang perlu dibantu segera selepas pakaian mereka musnah dalam kebakaran itu.
Katanya, sembilan kolej cawangan KPTM akan digerakkan untuk menjalankan kutipan dana berkenaan.

 

“Pelajar terbabit juga akan dibekalkan satu set persalinan pakaian baru dalam masa terdekat sebelum menerima sumbangan dana KPTM itu,” katanya ketika melawat pelajar terbabit di sini, semalam.
Dalam kejadian 9.30 malam kelmarin, sembilan bilik asrama lelaki blok K asrama itu musnah dijilat api ketika penghuninya mengulang kaji di bilik kuliah terletak 100 meter dari situ.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/13