Baca, fahami sebelum buat kesimpulan – Utusan


Baca, fahami sebelum buat kesimpulan

MUHYIDDIN Yassin meninjau perjalanan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah di Sekolah Kebangsaan Sultan Hisamuddin Alam Shah, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/AZLIZA HAILANI

KUALA LUMPUR 12 Sept. – Tan Sri Muhyiddin Yassin mengajak semua pihak agar membaca dan memahami dengan teliti Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang dibentangkan semalam, sebelum membuat sebarang kesimpulan mengenainya.

Timbalan Perdana Menteri menegaskan, ini kerana terdapat pihak tertentu memberi ulasan yang salah terhadap laporan itu seperti mendakwa kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran tidak memberi penekanan kepada bidang sains dan teknologi.

“Sebelum buat apa-apa kesimpulan atau keputusan, elok baca dahulu. Saya tahu sebahagian besar belum baca lagi tetapi sudah ada komen-komen mengatakan kita tak beri penekanan kepada bidang sains dan teknologi. Ia tak betul. Bidang itu sejak dahulu kita sudah beri penekanan dan dalam laporan ini, kita akan terus tekankan.

“Lebih daripada soal itu, kita mahu meningkatkan pencapaian dalam setiap bidang mata pelajaran baik Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains. Ia memang bidang yang kita tekankan dalam kurikulum,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau perjalanan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Kebangsaan Sultan Hisamuddin Alam Shah, Jalan Sultan Salahuddin di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd. Ghafar Mahmud dan Pengarah Peperiksaan Lembaga Peperiksaan, Dr. Na’imah Ishak.

Terdahulu, Muhyiddin ditemani Abd. Ghafar dan Na’imah meninjau 87 calon yang menduduki UPSR di sekolah berkenaan.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 dengan menegaskan bidang pendidikan bukan modal yang harus diperdagangkan bagi tujuan meraih laba politik.

Muhyiddin berkata, laporan awal pelan itu masih terbuka untuk penambahbaikan dan mana-mana pihak boleh terus mengemukakan pandangan jika memikirkan ada perkara tertentu yang perlu disertakan.

“Kementerian Pelajaran akan mengadakan hari terbuka, mungkin dua hari pada bulan depan. Di situ kita mengajak semua peringkat masyarakat untuk melihat kali terakhir sebelum laporan akhir disediakan.

“Selepas itu kita akan buat persiapan untuk laporan akhir. Ia akan dibentangkan ke Kabinet pada Disember ini. Apabila diterima, maka kita akan laksanakan pelan tersebut tahun depan yang merangkumi tiga gelombang,” ujarnya.

Katanya, bagi memastikan pelan pembangunan itu mencapai sasaran Kementerian Pelajaran akan mewujudkan Unit Penyampaian Pendidikan selain membentuk Jawatankuasa Pemantau yang diwakili wakil kementerian berkenaan, ibu bapa serta ahli akademik.

“Jawatankuasa terbabit diharap dapat memberi pandangan dari semasa ke semasa tentang perkara yang patut kita lakukan dan bidang mana yang harus diberikan lebih penekanan. Ini adalah langkah-langkah susulan.

“Namun, apa yang penting ialah setiap perakuan itu perlu mengambil kira falsafah pendidikan, dasar pelajaran yang kita laksanakan selama ini dan apa-apa yang mahu dibuat itu adalah sesuatu yang praktikal, munasabah dan tidak lari daripada tujuan untuk meningkatkan kualiti pendidikan. Perkataan kunci dalam laporan ini ialah kualiti,” tegasnya.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut mengucapkan selamat maju jaya kepada semua 517,139 calon yang menduduki UPSR di seluruh negara.

“Bertenang dan jawab soalan dengan baik. Kita juga berharap ibu bapa akan bantu memberi semangat serta dorongan kepada anak-anak supaya mereka memberikan tumpuan. Saya harap mereka mencapai kejayaan,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s