Mati lepas dua bulan dibakar – Metro


Mati lepas dua bulan dibakar

Oleh Norul Awatif Romli
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
YUGAVINAYAGAR...dibakar suspek curi petrol
YUGAVINAYAGAR…dibakar suspek curi petrol

KLANG: Hanya kerana mahu menghalang sekumpulan individu cuba mencuri minyak petrol motosikal milik ibunya, seorang remaja lelaki berusia 15 tahun bertarung nyawa dan terlantar di hospital dua bulan selepas dibakar hidup-hidup individu terbabit di Desa Idaman, Taman Sentosa, di sini, 29 Julai lalu.

Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia di Hospital Selayang (HS), di sini, jam 6.30 pagi semalam.
Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, mangsa, P Yugavinayagar,15, ditemui jiran dalam keadaan terbaring dengan keseluruhan badannya melecur berhampiran motosikal di tempat meletak kenderaan pangsapuri.

 

Mangsa yang cedera serius di seluruh anggota badan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang sebelum dirujuk ke HS untuk rawatan lanjut.
Difahamkan, kecederaan akibat kebakaran yang dialami menyebabkan mangsa koma sepanjang ditempatkan di HS selain kaki kanannya dipotong kerana mengalami jangkitan kuman.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusof berkata, mangsa dipercayai dibakar individu tidak dikenali gara-gara berang perlakuannya mencuri minyak dari motosikal disedari mangsa.

 

 

Katanya, polis masih menyiasat motif dan punca kejadian memandangkan tiada saksi yang melihat atau berada di tempat kejadian.
“Polis mendapat laporan mengenai kejadian dua hari selepas insiden apabila ibu mangsa membuat laporan polis.

 

“Setakat ini, tiada tangkapan dibuat dan siasatan terperinci terus dijalankan,” katanya.
Mohamad berkata, berdasarkan laporan awal mendapati mangsa dilaporkan meninggal dunia akibat kegagalan organ dalaman berfungsi selepas mengalami cedera serius akibat dibakar.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK) kerana sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata dan Seksyen 435 KK kerana khianat dengan menggunakan api.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/13

Kekal 20 tahun – Metro


Kekal 20 tahun

Oleh Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA TERENGGANU: Mahkamah Tinggi di sini, semalam mengekalkan hukuman penjara 20 tahun dan 10 sebatan yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen Kemaman ke atas seorang pekerja kilang kelapa sawit atas pertuduhan merogol murid tahun lima yang juga anak arwah rakannya kira-kira dua tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa membuat keputusan itu selepas Mohd Zainuddin Awi (gambar), 33, dari Jalan Masjid Padang Kubu, Kemaman didapati bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan.
Terdahulu, Mohd Zainuddin dalam rayuannya memohon mahkamah meringankan hukuman terhadapnya, namun Mohd Yazid mengekalkan hukuman yang dikenakan Mahkamah Sesyen sebelum ini kerana perbuatan tertuduh adalah tidak bermoral selain mengambil kira faktor usia mangsa yang masih muda dan juga anak kepada arwah rakan sendiri.

 

Mengikut pertuduhan, Mohd Zainuddin didakwa merogol mangsa berusia 11 tahun di kawasan semak di Kampung Masjid Padang Kubu Ayer Puteh, Kemaman kira-kira jam 8.30 malam pada 5 Mei 2010.
Bagi kesalahan itu, Mohd Zainuddin yang masih bujang berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Jazamuddin Ahmad Nawawi.

 

 

Mengikut fakta kes, mangsa baru pulang dari mengaji al-Quran di Masjid Padang Kubu, Kemaman kira-kira jam 8.30 malam pada 5 Mei 2010 dipanggil tertuduh sebelum membawanya ke tepi sebuah rumah yang terletak berhampiran kawasan masjid berkenaan.
Sebaik sampai di lokasi kejadian, tertuduh memberikan RM2 kepada mangsa sebelum menanggalkan pakaian dan merogol mangsa.

 

Mangsa memaklumkan Mohd Zainuddin sudah beberapa kali melakukan perbuatan terkutuk itu sejak mangsa bersekolah di tahun tiga dan memberikannya duit setiap kali kejadian itu berlaku.
Bagaimanapun, mangsa tidak pernah menceritakan kejadian itu kepada sesiapa sehingga ditanya ibunya pada 23 Mei 2010 sebelum bapa saudara mangsa membuat laporan di Balai Polis Ayer Puteh pada 24 Mei 2010.
Susulan laporan, Mohd Zainuddin yang juga rakan baik kepada arwah bapa mangsa dan tinggal berhampiran rumah mangsa ditahan sepasukan polis di hadapan Pondok Polis Padang Kubu, Kemaman pada keesokan harinya.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/13

Bapa bedil kepala sendiri – Metro


Bapa bedil kepala sendiri

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
MAUT...Ravindran menembak kepalanya menggunakan pistol  buatan China.
MAUT…Ravindran menembak kepalanya menggunakan pistol buatan China.

BAWA...anggota polis mengangkat mayat  Ravindran yang ditemui mati berhampiran kawasan ladang limau di Kampung Rapat, semalam.
BAWA…anggota polis mengangkat mayat Ravindran yang ditemui mati berhampiran kawasan ladang limau di Kampung Rapat, semalam.

IPOH: Rasa kesal atas tindakan menembak anaknya dalam satu kejadian petang kelmarin, dipercayai menjadi punca bekas anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), membunuh diri dengan menembak kepalanya sendiri.

Mayat lelaki itu ditemui terbujur berhampiran kawasan ladang limau di Kampung Rapat, berhampiran pinggir Lebuh raya Utara-Selatan, di sini, kira-kira jam 11.30 pagi semalam.

S Ravindran, 44, didakwa melepaskan dua das tembakan ke arah kaki anaknya, R Hariharen, 15, selepas bertengkar dengan isterinya di hadapan rumah mereka di Taman Panorama Indah, Gunung Rapat, di sini, jam 4.40 petang kelmarin.

Sumber polis berkata, dia ditemui mati oleh orang awam yang kebetulan melalui kawasan itu sebelum melaporkannya kepada pihak polis.

 

 

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/13

Polis nasihat waspada peragut di LRT – Berita Harian


Polis nasihat waspada peragut di LRT

13/09/2012 – 05:08:47 AMCetakEmel Kawan
Kuala Lumpur: Orang ramai dinasihatkan berhati-hati ketika berada di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) berikutan beberapa kejadian ragut didalangi sekumpulan pelajar sekolah menengah.

Dalam kejadian terbaru, pagi kelmarin, tiga pelajar sekolah menengah berusia 14 hingga 17 tahun, mencabul dan meragut seorang pelajar perempuan sebuah kolej swasta berusia 21 tahun di Stesen LRT Jalan Hang Tuah.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh, berkata salah seorang suspek berjaya ditahan sepasukan pegawai dan anggotanya yang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah di lokasi sama.

Hasil siasatan mendapati suspek yang berasal dari Desa Tasik, Sungai Besi di sini, dan dua rakannya yang masih bebas, menolak mangsa hingga terjatuh dan mencabulnya sebelum meragut telefon bimbit.

Sepasukan polis yang berada di lokasi itu mengejar ketiga-tiga pelajar terbabit yang memakai pakaian biasa sebelum menahan suspek utama yang membawa telefon milik mangsa, katanya pada sidang media di sini, semalam.

Polis turut menemui pisau lipat, dipercayai digunakan suspek untuk mengugut dan menakutkan mangsanya.

Suspek yang turut memiliki rekod jenayah samun secara berkumpulan yang dilakukannya di Daerah Dang Wangi, Mac lalu, kini ditahan reman mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan untuk siasatan lanjut, manakala dua rakannya sedang diburu.

Pelajar lelaki suspek kes cabul ditahan – Berita Harian


Pelajar lelaki suspek kes cabul ditahan

13/09/2012 – 05:15:36 AMCetakEmel Kawan
Arau: Polis sudah menahan seorang pelajar lelaki sebuah sekolah menengah di sini untuk siasatan selepas didakwa mencabul pelajar perempuan sekolah sama sebelum mencederakan mangsa dalam kejadian awal minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussain, ketika mengesahkan kejadian itu, berkata mangsa berusia 16 tahun membuat laporan polis Isnin minggu lalu di Balai Polis Arau, di sini.

Polis sudah menahan suspek berusia 16 tahun sehari selepas kejadian untuk siasatan dan merakam keterangan mangsa serta mencari senjata tumpul yang digunakan suspek ketika kejadian.

Sengaja cederakan mangsa

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan dan Seksyen 354 akta sama kerana mencabul kehormatan, katanya di sini, semalam.

Katanya, dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi pada 3 September lalu, suspek yang ditemani seorang rakannya dikatakan menemui mangsa di dewan sekolah sebelum bertindak meramas buah dada pelajar perempuan itu.

Mangsa yang terkejut kemudian menendang suspek untuk melepaskan diri, tetapi dia diserang dan dipukul dengan kayu dipercayai kaki meja oleh suspek. Mangsa yang cedera berjaya melarikan diri dan memaklumkan perkara itu kepada guru, katanya.

Pandangan pelan pendidikan – Berita Harian


Pandangan pelan pendidikan

13/09/2012 – 05:27:21 AM Oleh Syed Azwan Syed AliCetakEmel Kawan
Kuala Lumpur: Kementerian Pelajaran akan menganjurkan program Hari Terbuka, bulan depan bagi membolehkan masyarakat meneliti, mengkaji dan memberi maklum balas terhadap kandungan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata program dua hari itu memberi peluang kepada pihak berkepentingan melontarkan cadangan dan pandangan sebelum laporan akhir pelan dibentangkan kepada Kabinet, Disember depan.

Teliti laporan awal

Sambil meminta semua pihak berkepentingan meneliti laporan awal pelan itu sebelum membuat sebarang ulasan atau kesimpulan, beliau berkata, sebarang cadangan dan pandangan yang mahu dikemukakan, perlulah mengambil kira matlamat meningkatkan kualiti pendidikan negara, praktikal serta munasabah.

“Kunci utama adalah meningkatkan mutu pendidikan. Kalau cadangan itu dilihat boleh menambah baik kualiti pendidikan, kita sedia menerimanya dan masukkan dalam laporan akhir pelan,” katanya selepas meninjau 89 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Sekolah Kebangsaan Sultan Hisamuddin Alam Shah, di sini semalam.

Laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang merangkumi 11 anjakan utama bagi mengubah sistem pendidikan negara dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semalam. Pelaksanaannya akan dibahagikan kepada tiga gelombang atau peringkat pelaksanaan bermula 2013-2015, 2016-2020 dan 2021-2025.

Siri penerangan
Beliau berkata, kementerian juga akan mengadakan beberapa siri penerangan di seluruh negara bagi membolehkan rakyat mendapat pandangan jelas mengenai pelan terbabit, selain mencetak bahan penerangan dalam bahasa yang mudah agar semua pihak dapat memahami kandungannya.

Selain itu, Muhyiddin berkata, kementeriannya akan mewujudkan Unit Penyampaian Pendidikan yang akan melaporkan secara terus kepadanya untuk memacu pelaksanaan.

Kementerian Pelajaran juga, katanya, turut bercadang menubuhkan jawatankuasa pemantau dianggotai wakil kementerian, ibu bapa dan ahli akademik.

Manfaat pelajar, pendidik – Berita Harian


Manfaat pelajar, pendidik

13/09/2012 – 05:34:12 AMCetakEmel Kawan
Keputusan kerajaan mengubah sistem pendidikan negara mendapat sokongan semua pihak dan pada masa sama memberikan pelbagai cadangan penambahbaikan.

Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kelmarin itu bagi memastikan setiap rakyat mendapat pendidikan terbaik bersandarkan keperluan semasa dan masa hadapan mencabar.

Generasi sekarang makin cerdik

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, berkata anak-anak zaman sekarang semakin cerdik dan cepat matang, jadi tak perlu bersekolah terlalu lama.

Dengan perubahan ini, pada usia 21 tahun mereka sudah lulus sebagai siswazah.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pula berkata, laporan itu memberi petanda baik kepada masa depan pendidikan negara dan yakin ia dapat membantu kerajaan terus melakukan transformasi pendidikan yang merentasi politik bagi melahirkan generasi berwibawa.

Bekas Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Tan Sri Dr Ibrahim Abu Shah, berkata pelan itu adalah satu rancangan jangka panjang yang memberi banyak manfaat kepada pendidik.
Saya lihat, apa yang ditegaskan Perdana Menteri adalah untuk meningkatkan prestasi pendidik. Untuk itu, ia memerlukan perubahan sikap semua pihak dalam bidang pendidikan, katanya.

Di Jerantut, Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohd Sabri Arshad yang menyokong pelan itu mahu laporan itu dilaksanakan dengan penuh teliti, komprehensif dan berhati-hati dari semua sudut bagi mengelak kegagalan.

Presiden Kesatuan Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KGLMSM), Jemale Paiman, pula berpendapat laporan pelan tindakan holistik itu membabitkan semua lapisan masyarakat di bandar dan luar bandar dalam usaha menjaga piawaian pendidikan setara.

Ini akan merapatkan jurang perbezaan mutu pendidikan di bandar dan luar bandar kerana selama ini ramai beranggapan perbezaan lokasi menentukan mutu dan kejayaan sesebuah sekolah, katanya.

Pengerusi Pusat Kajian Dasar Awam, Institut Kajian Strategik dan Kepimpinan Asia (ASLI), Tan Sri Ramon Navaratnam pula menyarankan beberapa penambahbaikan dilakukan untuk menjadikan pelan itu lebih inklusif.

Katanya, dasar pendidikan negara sepatutnya menghapuskan sistem dikotomi dengan memastikan semua aliran sekolah diberi karektor kebangsaan dan bersifat inklusif untuk kepentingan perpaduan nasional.

Tidak dinyatakan bagaimana sekolah vernakular, mubaligh dan sekolah agama yang dikategorikan sekolah jenis kebangsaan dan menerima bantuan kewangan terhad, boleh dijadikan sekolah bantuan penuh dan sekolah kebangsaan. Majoriti pelajar di sekolah mubaligh adalah pelajar Melayu, maka kajian semula adalah perlu, katanya.

Ketua jabatan diingatkan tidak abai kebajikan, keperluan anggota bawahan – Bernama


Ketua jabatan diingatkan tidak abai kebajikan, keperluan anggota bawahan

13/09/2012 – 11:55:34 PMCetakEmel Kawan
KUCHING: Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa hari ini mengingatkan semua ketua jabatan dan agensi kerajaan supaya sentiasa mengambil berat kebajikan serta kemudahan kerja penjawat awam di bawah jabatan masing-masing.

Beliau berkata, jangan hanya mengharapkan mereka untuk memberikan perkhidmatan terbaik dan berkelas dunia kepada rakyat namun pada masa sama mereka bekerja dengan kemudahan dan suasana sebaliknya.

“Ketua jabatan jangan hanya melihat apa yang berlaku di hadapan kaunter perkhidmatan, lihat juga apa yang ada di belakang kaunter sama ada ia juga bertaraf dunia,” katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan dengan ketua jabatan dan agensi kerajaan negeri Sarawak di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Katanya, selain itu beliau turut menggalakkan lebih ramai ketua jabatan dan agensi untuk turun padang melihat dengan lebih dekat pelaksanaan dasar kerajaan agar ia sampai kepada golongan sasar iaitu rakyat selain mencari penyelesaian segera kepada sebarang isu yang dibangkitkan.

— BERNAMA

Nasib 10,200 graduan pendidikan diketahui 28 September ini – Bernama


Nasib 10,200 graduan pendidikan diketahui 28 September ini

13/09/2012 – 17:57:02 PMCetakEmel Kawan
NILAI: Nasib 10,200 graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan yang sehingga kini masih belum ditawarkan pekerjaan sebagai guru akan diketahui pada pembentangan Belanjawan 2013, 28 September ini.

Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, semua graduan terbabit diharap dapat bersabar kerana kedudukan mereka sebagai guru akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada hari itu.

“Ada timbul isu masalah pengangguran bagi graduan pendidikan kerana selepas menamatkan pelajaran dan memperoleh ijazah, mereka tidak ditawarkan pekerjaan di Kementerian Pelajaran.

“Bagaimanapun, kita sudah dimaklumkan masalah ini dan jalan penyelesaian sudah diambil namun ia hanya akan diumumkan oleh Perdana Menteri pada Belanjawan nanti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Politeknik Nilai di sini, hari ini.

Ditanya sama ada Perdana Menteri akan mengumumkan berita baik untuk graduan berkenaan, Mohamed Khaled berkata beliau sendiri tidak mengetahuinya, namun berharap ia adalah khabar gembira kepada graduan terbabit.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled berkata kementeriannya kini dalam usaha untuk memantapkan mutu program pengajian di politeknik iaitu dengan menawarkan lebih banyak program pengajian peringkat ijazah.

Katanya, pada tahun ini, politeknik menawarkan lebih 10 program pengajian peringkat ijazah dalam bidang kejuruteraan, perdagangan dan perkhidmatan dan menerima 12,000 permohonan daripada pelajar.
“Program pengajian ijazah ini dilaksanakan sama ada secara berkembar dengan institusi lain, secara anugerah bersama dengan institusi lain yang setara atau program pengajian yang dibangun dan dilaksana sendiri oleh politeknik.

“Apabila jumlah program peringkat ijazah sudah banyak, berkemungkinan kita akan mempertimbang mana-mana Politeknik untuk diangkat menjadi Kolej Universiti atau Universiti,” katanya.

– BERNAMA

Terap nilai tangkis pengaruh globalisasi – Muhyiddin – Utusan


Terap nilai tangkis pengaruh globalisasi – Muhyiddin

SHAH ALAM 12 Sept. – Golongan pendidik terutama mereka yang berada di sekolah-sekolah agama perlu memastikan para pelajar memiliki gagasan, budaya, nilai dan etika moral yang tinggi bagi menangkis pengaruh globalisasi.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perhatian juga perlu diberikan kepada pendidikan watak atau karakter di samping menekankan elemen kreatif dan inovatif.

“Hanya dengan cara dan pendekatan itu kita akan dapat melahirkan masyarakat yang berfikir serta memiliki keperibadian luhur.

“Inilah ciri-ciri modal insan yang dikehendaki negara,” kata beliau.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berucap merasmikan Majlis Makan Malam Amal sempena Sambutan 20 Tahun Penubuhan Sekolah Kiblah dan Maahad Tahfiz Kiblah di sini malam ini.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut menyaksikan penyerahan cek bernilai RM4.2 juta yang disampaikan wakil Emir Qatar, Sheikh Abdullah Al-Jalaly kepada Yayasan Kebajikan Nusantara (Yakin) bagi tujuan pembangunan Sekolah Kiblah.

Penyampaian cek itu turut disaksikan Mufti Masjidil Haram, Mekah, Sheikh Sulaiman As-Saloomi.

Hadir sama, Pengerusi Yakin merangkap Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah dan Maahad Tahfiz Kiblah, Tan Sri Hashim Meon.

Sekolah Kiblah merupakan salah sebuah daripada 22 sekolah menengah agama swasta berdaftar dengan Kementerian Pelajaran yang melaksanakan sistem pendidikan dwikurikulum iaitu kurikulum kebangsaan dan kurikulum dini/Azhari.

Muhyiddin berkata, para pelajar perlu diterapkan dengan nilai-nilai aspirasi budaya kecemerlangan dan membuang sikap-sikap negatif yang boleh meninggalkan sesuatu bangsa ke belakang.

“Masyarakat tetap melihat pendidikan keagamaan sesuatu yang penting dalam membentuk keperibadian dan akhlak mulia generasi negara di samping membangkitkan kesedaran hidup beragama, mengajar, membimbing dan mendidik masyarakat melalui penanaman iman dan amal soleh,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap sekolah agama swasta seperti Sekolah Kiblah dapat mengatur langkah ke hadapan dan menyusun strategi tertentu untuk meletakkan statusnya seiring dengan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) di bawah kementerian.