Selamat Menyambut Hari Malaysia – 16 September


Selamat Menyambut Hari Malaysia – 16 September

Himpunan Berita (HB) ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Malaysia pada 16 September ini. Semoga negara kita aman, maju dan makmur.

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Salam Kemerdekaan,

Editor

Guru bahasa Jepun ditemui meninggal dunia di rumah – Berita Harian


Guru bahasa Jepun ditemui meninggal dunia di rumah

14/09/2012 – 21:12:35 PMCetakEmel Kawan
BAGAN DATOH: Seorang guu bahasa Jepun di Sekolah Menengah Sains Bagan Datoh ditemui meninggal dunia di kuarters perumahan guru di sekolah itu pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, mangsa dipercayai meninggal dunia akibat sakit jantung kira-kira jam 6 petang.

Anak mangsa berusia 7 tahun ditemui tertidur atas tubuh mangsa dipercayai keletihan selepas menangis tidak henti selama beberapa jam.

Pelajar tingkatan tiga dikhuatiri lemas – Bernama


Pelajar tingkatan tiga dikhuatiri lemas

14 September 2012

KUANTAN – Seorang pelajar lelaki tingkatan tiga dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai Pahang dekat Jerantut, petang tadi.

Dalam kejadian 4.20 petang itu, Nor Izwan Mohd Noor, 15, berasal dari Kampung Lubuk Payung dekat Kuala Tahan, Jerantut dikatakan terjatuh ketika melalui kawasan sungai berkenaan.

Menurut Ketua Polis daerah Jerantut, Supt Azid Ismail, pihak polis dimaklumkan orang awam berhubung kejadian terbabit.

“Gerakan mencari dan menyelamat mangsa dilakukan sehingga jam 7 petang tadi tapi gagal,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata operasi terbabit akan diteruskan awal pagi esok. – Bernama

TPM umum RM2.5j pasang penapis air di 500 sekolah Kelantan – Sinar Harian


TPM umum RM2.5j pasang penapis air di 500 sekolah Kelantan

WARTAWAN SINAR HARIAN
14 September 2012
Muhyiddin Yassin
Tan Sri Muhyiddin Yassin

KOTA BHARU – Sebanyak RM2.5 juta diperuntukkan untuk 500 sekolah di Kelantan bagi projek pemasangan penapis air untuk mendapatkan bekalan air bersih.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, projek itu akan dimulakan dalam masa terdekat untuk memastikan anak-anak di Kelantan sihat dan tidak menggunakan air tercemar.

“Kita tak mahu tengok anak-anak di Kelantan sakit dan kita harap mereka dapat belajar dalam keadaan baik.

“Projek ini akan dilaksanakan pada masa terdekat bagi memastikan bekalan air bersih dapat dibekalkan di sekolah-sekolah di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Aidilfitri di kompleks sekolah-sekolah wakaf Mek Zainab di sini pagi tadi.

Bapa dakwa anak parah dipukul, dibuang sekolah tanpa sebab – Sinar Harian


Bapa dakwa anak parah dipukul, dibuang sekolah tanpa sebab

RUBIAH OMAR
14 September 2012
Bapa dakwa anak parah dipukul, dibuang sekolah tanpa sebab
Bapa dakwa anak parah dipukul, dibuang sekolah tanpa sebab

KUALA TERENGGANU – Seorang bapa mendakwa anak lelakinya menjadi mangsa dera, buli dan pukul oleh beberapa pelajar asrama dalam satu kejadian 13 Julai lalu di sebuah sekolah, dekat sini.

Bapa pelajar terbabit, Ghazali Mat Min, 50, mendakwa, dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, anaknya, Muhammad Nor Aiman, 16, bukan sahaja cedera parah, tetapi dibuang sekolah pada 2 Ogos ‘tanpa sebab musabab’.

Ghazali berkata, demi memperjuangkan nasib anaknya, dia meminta Jabatan Pendidikan Negeri menjalankan siasatan terhadap sekolah terbabit.

Dia mendakwa sepanjang bulan lalu sahaja, seramai 14 pelajar sudah dibuang sekolah, sedangkan mereka sepatutnya diberi peluang kedua sebelum tindakan tegas dikenakan.

Katanya sejurus mendapat tahu anaknya dibuang sekolah, saya terus berjumpa pihak sekolah untuk membuat rayuan supaya anak saya diterima kembali belajar di situ memandangkan tahun
depan dia akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), namun malangnya tidak diterima.

“Saya kesal dengan apa yang berlaku. Mengapa anak saya yang menjadi mangsa dibuang sekolah sedangkan beberapa pelajar yang memukul dan mendera anak saya tidak dikenakan apa-apa tindakan, walaupun pelajar itu sendiri membuat pengakuan bersalah di depan saya dan warden bertugas,” dakwanya ketika ditemui di pekarangan Balai Polis Gong Badak, di sini, semalam.

Ghazali, seorang peniaga, telah mengambil keputusan membuat laporan polis bagi meminta penyiasatan segera dilakukan berhubung kejadian menimpa anaknya itu dan mahu nasib anaknya
dibela.

“Saya terpaksa mengambil keputusan ini walaupun sudah bersetuju sebelum ini agar tidak melaporkan kepada polis dengan harapan pihak sekolah dapat menjalankan siasatan dan mengenakan tindakan sewajarnya terhadap pelajar terbabit.

“Sebelum ini saya sudah memberi ruang dan masa kepada pihak sekolah supaya menjalankan siasatan dalaman secara terperinci dan mengambil tindakan sewajarnya, namun sehingga hari ini, senyap sahaja,” katanya.

Pada masa sama, Ghazali turut meluahkan rasa kecewa dan kesalnya kerana mendakwa warden bertugas hanya memberitahu kejadian menimpa anak sulungnya itu 16 jam selepas kejadian.

“Pihak sekolah atau warden langsung tidak memaklumkan kejadian hinggalah saya ke sekolah untuk mengambilnya. Ketika itu anak saya dalam keadaan lemah. Saya terus membawanya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

“Macam-macam boleh berlaku dalam tempoh itu malah boleh mengakibatkan kematian jika lewat mendapatkan rawatan,” dakwanya lagi.

Penjenayah bawah umur kantoi – Sinar Harian


Penjenayah bawah umur kantoi

NOR AINNA HAMZAH
14 September 2012
Penjenayah bawah umur kantoi
Mizan (tiga, kiri) menunjukkan barang yang dirampas selepas berjaya menumpaskan Geng Roben

REMBAU – Masih di bangku sekolah, tetapi sudah berani melakukan kegiatan pecah rumah.

Itulah yang dilakukan Geng Roben dianggotai sembilan pelajar dari dua sekolah menengah di daerah ini yang akhirnya berjaya ditumpaskan polis.

Kumpulan berkenaan diketuai pelajar sekolah berusia 14 tahun sebelum ini dipercayai terbabit dalam 13 kes pecah rumah sejak Mei hingga Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Mizan Md Dom berkata, polis percaya mereka sudah melakukan sekurang-kurangnya lapan kes pecah rumah di Taman Sri Rembau dan lima di Taman Rembau Utama, dekat sini.

Beliau berkata, susulan siri pecah rumah di kedua-dua taman perumahan yang terletak bersebelahan itu, polis percaya ia dilakukan warga tempatan, bagaimanapun agak mengejutkan apabila hasil siasatan mendapati ia dilakukan penjenayah bawah umur.

Menurutnya, polis melakukan tangkapan pertama 5 September lalu membabitkan pelajar berusia 14 tahun di kawasan sebuah sekolah di daerah ini ketika waktu persekolahan.

“Penangkapan itu berjaya mengesan dan menangkap lapan lagi anggota geng berkenaan yang juga pelajar sekolah,” katanya.

Beliau berkata, modus operandi kumpulan berkenaan ialah dengan menceroboh rumah menerusi tingkap naco yang batangnya sudah dibengkokkan.

Katanya, sebahagian besar kes pecah rumah berkenaan dilakukan pada waktu malam.

“Berikutan penahana itu, kita berjaya merampas satu telefon bimbit jenis Nokia, selain tiga tali pinggang, sehelai baju-T jenis Umbro, dua pasang kasut sukan jenis Nike dan Kronos, dua rantai leher, masing-masing satu rantai leher silver dan cincin; topi keledar, dompet serta wang tunai berjumlah RM3,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau, di sini
semalam.

Mizan berkata, kesemua pelajar berkenaan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

“Tujuh daripada pelajar berkenaan telah dibacakan pertuduhan kali pertama di mahkamah hari ini (semalam), sementara dua lagi masih disiasat,” katanya.

Bekas guru dipenjara, sebat kerana dadah – Sinar Harian


Bekas guru dipenjara, sebat kerana dadah

WARTAWAN SINAR HARIAN
14 September 2012

AYER KEROH – Mahkamah Tinggi Ayer Keroh, di sini semalam menjatuhkan hukuman penjara 31 tahun dan 23 sebatan terhadap seorang bekas guru atas empat kesalahan memiliki dadah.

Bagaimanapun, Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dalam penghakimannya, memerintahkan hukuman berkenaan dijalankan serentak.

Hukuman itu dijatuhkan terhadap Mohd Fuad Othman, 43, dari Tangkak, Johor, selepas Hakim berpuas hati dengan fakta dan keterangan sepanjang prosiding.

Tertuduh sebelum ini mengaku tidak bersalah semasa pertama kali dihadapkan ke mahkamah dua tahun lalu.

Bagaimanapun, dia menukar pengakuan kepada bersalah sejurus jurubahasa mahkamah selesai membacakan pertuduhan terhadapnya.

Berdasarkan pertuduhan pilihan, tertuduh didakwa memiliki 3,628 gram dadah berbahaya jenis kanabis di sebuah rumah di Solok Bukit Baru Dalam, kira-kira jam 6.40 petang, 24 Disember 2010.

Tertuduh turut dituduh memiliki sebanyak 10 biji pil Eramin 5, 38.63 gram metaphetamin, syabu dan ganja pada masa, tarikh dan lokasi sama.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh bersama seorang rakan diberkas semasa operasi dan menemui pelbagai jenis dadah di beberapa bahagian rumah, selain anggota tubuh tertuduh.

Pelajar 15 tahun ditahan berasmara di belakang sekolah – Sinar Harian


Pelajar 15 tahun ditahan berasmara di belakang sekolah

WARTAWAN SINAR HARIAN
14 September 2012

KULIM – Polis menahan seorang pelajar perempuan 15 tahun dan masih memakai uniform sekolah ketika berasmara dengan kekasihnya berusia 21 tahun di belakang sebuah sekolah menengah di sini, kira-kira jam 4 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, polis menerima aduan dari orang awam sebelum menahan pasangan terlibat.

Ketika pemeriksaan dijalankan, polis mendapati pelajar perempuan sudah membuka tudung dan berkelakuan sumbang bersama teman lelakinya.

“Lelaki tidak bekerja dan tinggal bersama abangnya di sebuah taman perumahan di sini. Polis menasihati pasangan itu untuk tidak mengulangi perlakuan yang dilakukan sebelum mengarahkan mereka beredar,” katanya.

Tidak berakhir di situ, mereka kemudiannya ke rumah lelaki berkenaan dengan harapan selamat dari gangguan pihak berkuasa

Bagaimanapun, perbuatan mereka disedari penduduk dan memaklumkan kepada Pejabat Agama Islam Daerah Kulim Kedah (PADK) untuk membuat serbuan.

Ketika serbuan, pasangan perempuan cuba menyembunyikan diri dalam almari baju gagal mengaburi mata pihak berkuasa.

Mereka kemudiannya dibawa ke Balai Polis Kulim untuk membuat laporan dan ditahan untuk dirakamkan keterangan.

Ghuzlan menasihatkan ibu bapa supaya bersikap lebih peka terhadap pergerakan anak-anak mereka dan jangan sesekali mengabaikan tanggungjawab.

Katanya, semakin ramai pelajar perempuan ditahan kerana berkelakuan sumbang.

“Minggu ini sahaja, empat pelajar sekolah terdiri dari dua pelajar lelaki dan dua pelajar perempuan berusia di antara 16 hingga 17 tahun ditahan polis bersama Skim Rondaan Sukarela (SRS) ketika membuat rondaan cegah jenayah.

“Mereka ditahan ketika berkelakuan sumbang di taman permainan di sini kira-kira jam 1 pagi.

“Dari soal siasat, pasangan itu mengaku ingin melakukan hubungan terlarang di taman permainan di mana mereka ditahan,” katanya.

Remaja antara dituduh rompak bersenjata – Sinar Harian


Remaja antara dituduh rompak bersenjata

WARTAWAN SINAR HARIAN
14 September 2012

KOTA BHARU – Tiga termasuk seorang remaja berusia 16 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan melakukan rompakan bersenjata ke atas seorang kakitangan hotel di Tanah Merah, bulan lalu.

Tertuduh pertama, pesalah juvenil yang sudah tidak bersekolah didakwa bersama dua lagi rakannya, Mohammad Faqrie Zakaria, 22, dan Mohd Firdaus Mian, 28.

Mereka bertiga berdepan tuduhan bersama seorang lagi yang masih bebas merompak mangsa, Muhammad Amirul Asyraf Roslee, 16, dengan menggunakan senjata parang serta sabit.

Kesalahan dikatakan berlaku pada jam 3 pagi, 23 Ogos lalu.

Dalam kejadian itu, wang tunai mangsa berjumlah RM400 dan sebuah telefon bimbit jenis Samsung Duos dilarikan.

Pada prosiding semalam, kesemua mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Susulan itu, Hakim Azman Mustpha menetapkan sebutan semula pada 19 September depan.

Kes bersambung di Mahkamah Pasir Mas. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Asmah Azhari.

Mengaji dalam bilik tidur – Metro


Mengaji dalam bilik tidur

Oleh Shalfarina Shahriman
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUANTAN: Itulah kelas dan itu juga asrama. Situasi berkenaan terpaksa ditempuh kira-kira 25 pelajar Pusat Tahfiz Miftahul Qura’ Bukit Bay Route, di sini, apabila menjadikan balai raya kampung berkenaan sebagai institusi bagi mendalami ilmu agama.

Biarpun hidup serba kekurangan, ia bukan penghalang bagi pelajar berkenaan meneruskan usaha menjadi hafiz berjaya.
Pengurus pusat tahfiz berkenaan, Mohd Abdul Salam Abdul Ghani berkata, institusi itu memulakan operasi di Indera Mahkota 2, di sini, selama setahun, namun berpindah ke Bukit Bay Route sejak Mei tahun lalu.

 

atas sebab tertentu.
“Selepas berbincang dengan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) ini, mereka bersetuju memberikan balai raya berhampiran surau sebagai tempat pengajian memandangkan ia jarang digunakan.
“Pusat ini turut mempunyai bangunan asrama sumbangan sebuah badan korporat, namun hanya dijadikan bilik menyimpan barang pelajar memandangkan ruangnya agak sempit,” katanya.

 

 

Menurutnya, atas sebab itu, pelajar masih menggunakan balai raya sebagai tempat tidur pada waktu malam, manakala pada waktu siang, mereka menjadikan bangunan itu sebagai kelas mempelajari al-Quran.
Sementara itu, pelajar, Mohd Shahmi Azman,13, berkata, dia memilih tahfiz berkenaan atas rasa cintakan bidang agama dan bercita-cita menjadi guru agama pada masa akan datang.

 

“Setakat ini, saya boleh menghafaz lima juzuk al-Quran selepas tinggal di sini hampir lima bulan.
“Saya seronok menghafaz al-Quran bersama rakan. Insya-Allah selepas menamatkan pengajian, saya ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang syariah di Madrasah Darul Ulum Mustafa, Yaman,” katanya yang berasal dari Jerantut.
Sehubungan itu, orang ramai yang mahu menghulurkan bantuan kepada institusi berkenaan boleh berbuat demikian dengan menghubungi Abdul Salam di talian 017-9114082 atau menerusi akaun bank atas nama Pusat Tahfiz Miftahul Qura’ nombor akaun 172001880731213 (Bank Al Rajhi).

 

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/14