Remaja mengaku rompak, cederakan wanita – Sinar Harian


Remaja mengaku rompak, cederakan wanita

WARTAWAN SINAR HARIAN
15 September 2012

AYER KEROH – Seorang remaja yang mendakwa hidup sebatang kara, mengaku bersalah merompak dan mencederakan seorang wanita berusia 37 tahun di sebuah hotel bajet di  Taman Melaka Raya, 3 September lalu.

Remaja berusia 15 tahun itu yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Ida Rahayu Sharif, semalam.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan dan merompak Wong Shew Hong, 37, di dalam bilik sebuah hotel bajet di Taman Melaka Raya, kira-kira jam 11.45 pagi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan dihukum penjara, denda dan sebat.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Inspektor Muhammad Juhari Haron, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Ida Rahayu menetapkan 24 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi membolehkan serahan dokumen laporan akhlak tertuduh.

Sementara menanti tarikh berkenaan, Ida Rahayu memerintahkan tertuduh ditempatkan di Asrama Bukit Baru.

Dipanah petir ketika pegang telefon bimbit – Sinar Harian


Dipanah petir ketika pegang telefon bimbit

WARTAWAN SINAR HARIAN
15 September 2012
Aniq dipanah petir
Aniq Syazwan sambil diperhatikan bapanya (kanan) melakonkan semula bagaimana keadaan tangannya yang kaku selepas terkena renjatan elektrik akibat panahan petir.
Aniq dipanah petir
Ketika menerima rawatan di Hospital Kemaman.

CHUKAI – “Waktu itu saya sedang caj telefon bimbit dan letakkannya atas paha sambil tangan diletakkan atas telefon itu namun tak semena-mena saya rasakan terkena renjatan elektrik lalu saya yang berada di atas katil dalam bilik tidur tercampak di tepi dinding dengan badan kaku serta kejang,” kata Aniq Syazwan Abu Bakar, 16.

Aniq Syazwan nyaris maut akibat panahan petir menyambar wayar elektrik hingga menyebabkan dia terkena renjatan dalam kejadian ketika hujan lebat dan kilat sambar menyambar kira-kira jam 8.12 malam di rumahnya di Taman Mawar 2, Jalan Tempurung, dekat sini, tiga hari lalu.

Pelajar tingkatan empat ini yang masih sedarkan diri sejurus renjatan itu hanya mampu membuka mata dan melihat kedua-dua tangannya bertukar menjadi biru kehitaman sebelum tidak sedarkan diri ketika kedua ibu bapanya memasuki bilik tidurnya.

“Semasa terkena renjatan itu saya lihat cahaya menyambar tangan lantas saya tercampak ke tepi dinding. Kejadian ini buatkan saya trauma dan serik untuk memegang telefon bimbit lagi semasa petir atau kilat,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sementara itu, bapa Aniq Syazwan yang juga kakitangan Pejabat Penerangan Daerah Kemaman, Abu Bakar Abdullah, 55, berkata, semasa kejadian dia sedang berwirid di ruang solat di rumahnya sebelum terdengar bunyi ‘prakkk’ lalu bekalan elektrik terpadam sebelum terdengar sayup-sayup anak bongsunya daripada lima beradik itu meraung kesakitan.

“Ketika itu terdetik di hati saya mungkin anak bongsu saya sudah meninggal. Lalu dalam keadaan gelap saya dapat capai telefon bimbit isteri sebagai sumber cahaya dan menuju ke bilik adik (nama panggilan untuk Aniq).

“Bila masuk ke biliknya, saya suruhnya mengucap kerana sangkakan keadaannya sudah tenat tapi Alhamdulillah waktu saya masuk ke dalam biliknya bersama isteri, Pasiah Hamzah, 51, dia masih sedarkan diri tetapi badannya kejang seperti robot sebelum kami menghantarnya ke Hospital Kemaman,” katanya sambil menganggap kejadian berkenaan satu keajaiban dan kebesaran Allah SWT kerana anaknya masih selamat.

Difahamkan akibat panahan petir itu, televisyen dan mentol di rumah dua jiran mereka turut meletup. Aniq Syazwan ditahan dalam wad selama dua hari kerana dikhuatiri kesan arus elektrik boleh memudaratkan otak dan jantungnya sebelum dibenarkan pulang petang kelmarin.

Pelajar melecur barbeku meletup – Metro


Pelajar melecur barbeku meletup

Oleh Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
SAKIT...Muhammad Azreen yang parah menerima rawatan di PPUKM.
SAKIT…Muhammad Azreen yang parah menerima rawatan di PPUKM.

KUALA LUMPUR: Lima pelajar sebuah sekolah menengah di Taman Mulia, Bandar Tun Razak, Cheras, di sini, pagi semalam melecur teruk selepas berlaku letupan ketika mereka berbarbeku sempena majlis rumah terbuka Adilfitri di sekolah berkenaan jam 9.30 pagi semalam.

Mangsa membabitkan pelajar tingkatan empat dan seorang tingkatan lima dengan empat daripada mangsa parah akibat melecur 25 hingga 45 peratus dari paras pinggang hingga muka.
Menurut seorang daripada mangsa, Mohd Hidayad Mohd Yazid, 16, ketika kejadian dia bersama 20 rakan memerhati seorang guru mencurahkan cecair pelarut ke dalam api, apabila secara tiba-tiba berlaku letupan kuat serta api menyambar mereka yang berada di sekeliling alat barbeku.

 

“Baju saya terbakar pada bahagian seluar dan lengan, saya kemudian menanggalkan seluar dengan bantuan rakan.
“Selepas kejadian, guru yang mencurah cecair itu menghantar saya dan seorang rakan yang parah, Muhammad Azreen Rahim, 16, ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk mendapatkan rawatan,” katanya ketika ditemui di sini, malam tadi.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah mengesahkan menerima laporan kejadian itu daripada keluarga pelajar yang cedera.

 

 

Menurutnya, setakat ini kes berkenaan tiada unsur jenayah dan lebih menjurus kepada kemalangan.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/15

Guru wanita mati di sisi bayi menangis – Utusan


Guru wanita mati di sisi bayi menangis

Oleh AINSAFRE BIDIN
utusanperak@utusan.com.my.

BAGAN DATOH 14 Sept. – “Luluh hati saya apabila melihat dia kaku tidak bernyawa dengan anaknya yang berusia tujuh bulan menangis teresak-esak sambil memeluk ibunya”.

Begitu luahan seorang guru yang menemui rakan setugasnya itu di Kuarters Sekolah Sains Bagan Datoh di sini yang mati disyaki akibat serangan jantung, kelmarin.

Mayat Normaya Mokhtar, 33, yang mengajar bahasa Jepun di sekolah itu hanya ditemui kira-kira pukul 7.30 pagi semalam oleh Siti Fairouz Saikhudin, 30, selepas merasa curiga apabila mangsa tidak menjawab khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantarnya sejak kelmarin.

Menurut Siti Fairouz, lebih menimbulkan tanda tanya apabila panggilan dan ketukan pintu rumah mangsa juga tidak berjawab.

Bimbang dengan keadaan tersebut, Siti Fairouz berkata, dia berusaha memasuki rumah mangsa dan akhirnya berjaya membuka pintu dengan menggunakan kunci yang dijumpai di bawah pelapik kaki di hadapan rumah Normaya.

Lima pelajar melecur – Utusan


Lima pelajar melecur

Mohd. Fadzli Syah yang melecur di leher, dada, perut, siku dan lutut akibat terkena percikan bara api menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 14 Sept. – Kegembiraan pelajar sebuah sekolah menengah di Cheras di sini, memasak BBQ sempena jamuan Aidilfitri bertukar tragedi apabila lima daripada mereka melecur termasuk tiga parah gara-gara seorang guru menyimbah pencair (thinner) ke dalam tempat pemanggang mengandungi bara api sehingga berlaku letupan.

Mangsa yang parah terdiri daripada dua pelajar tingkatan empat dan seorang tingkatan lima manakala dua lagi yang cedera ringan tidak dapat dipastikan.

Difahamkan kesemua mereka melecur tujuh hingga 25 peratus.

Dalam kejadian pukul 10 pagi itu, kesemua mangsa merupakan antara 20 pelajar yang dibahagikan tugas untuk menyediakan ayam panggang pada majlis berkenaan.

Pelajar yang hilang ditemui mati lemas – Bernama


Pelajar yang hilang ditemui mati lemas

KUANTAN 15 Sept. – Mayat seorang pelajar yang terjatuh ke dalam sungai Pahang dekat Jerantut petang semalam, ditemui pagi ini.

Mayat Nor Izwan Mohd Noor, 15, ditemui di lokasi dia dilaporkan terjatuh, pada jam 10.43 pagi.

Menurut Ketua Polis Daerah Jerantut, Supritenda Azid Ismail, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Jerantut untuk bedah siasat.

“Operasi mencari dan menyelamat disertai pasukan polis, Jabatan Pertahanan Awam, bomba dan penduduk kampung menemui mayat mangsa yang timbul di permukaan sungai,” katanya kepada Bernama. – BERNAMA