Guru tampil beri keterangan – Sinar Harian


Guru tampil beri keterangan

AHMAD ISMADI ISMAIL
16 September 2012
Abd Rahim Hamzah
Guru lelaki yang dipercayai mencurahkan bahan cecair pelarut.

KUALA LUMPUR – Seorang guru di sebuah sekolah menengah di Bandar Tun Razak tampil beri keterangan bagi membantu siasatan berhubung kes lima pelajarnya melecur teruk selepas berlaku letupan ketika mereka barbeku, pagi kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras Superintendan Abd Rahim Hamzah berkata, setakat ini kes berkenaan tiada unsur jenayah dan lebih menjurus kepada kemalangan.

“Guru lelaki terbabit tampil beri keterangan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan,” katanya.

Kejadian pada jam 9.30 pagi itu, pelajar berkenaan sedang sibuk menyediakan makanan sebelum alat barbeku yang digunakan meletup menyebabkan mereka melecur.

Kejadian itu melibatkan pelajar tingkatan empat dan seorang tingkatan lima. Empat daripadanya parah akibat melecur 25 hingga 45 peratus dari paras pinggang hingga muka.

Salah seorang mangsa, Mohd Hidayat Mohd Yazid, 16, berkata, dia bersama rakannya sedang menghidupkan api sebelum didatangi seorang guru yang mencadangkan agar api dihidupkan menggunakan bahan cecair pelarut bagi mempercepatkan api dinyalakan.

“Setelah guru berkenaan mencurahkan bahan cecair pelarut itu, secara tiba-tiba berlaku letupan kuat serta api menyambar kami yang berada di sekeliling alat barbeku,” katanya.

Pelajar yang melecur dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) oleh guru di sekolah berkenaan.

Mohd Hidayat melecur teruk di kaki serta tangan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Taman Mulia, Mohd Hanim Tahir berkata, beliau kesal dengan tindakan pihak sekolah yang tidak melakukan pemantauan rapi semasa aktiviti terbabit dilakukan.

“Saya mohon pihak sekolah perlu bertanggungjawab di atas kejadian yang menimpa anak murid mereka, difahamkan salah seorang daripada mangsa perlu menjalani pembedahan,” katanya.

Sekolah lambat maklum – Metro


Sekolah lambat maklum

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Keluarga seorang daripada lima pelajar sebuah sekolah menengah di Taman Mulia, Bandar Tun Razak, di sini, yang melecur teruk selepas terkena letupan dapur barbeku di sekolah kelmarin, kesal dengan kecuaian dan kelewatan pihak sekolah memaklumkan kejadian.

Menurut Muhammad Azhar Rahim, 21, abang Muhammad Azreen, 16, antara mangsa yang dirawat di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), dia hanya mendapat tahu mengenai kejadian itu menerusi rakan.
“Rakan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) di telefon meminta saya datang segera ke PPUKM kerana adik kemalangan di sekolah.

 

“Walaupun keadaan ketika itu kecoh, pihak sekolah masih mendiamkan diri sehingga pelajar terpaksa ditahan di wad,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Katanya, keluarga pelajar hanya dihubungi pihak sekolah pada sebelah petang, menyebabkan ada waris berang kerana lambat diberitahu.
“Saya tak faham kenapa pihak sekolah lambat memaklumkan kami mengenai kejadian ini, sedangkan ia berlaku pada sebelah pagi.

 

 

“Adakah mereka mahu menyembunyikan perkara ini? Sehingga kini (semalam) pihak sekolah belum menghubungi keluarga saya bagi bertanya khabar adik,” katanya.
Muhammad Azhar berkata, keluarganya merancang bertemu empat lagi keluarga pelajar yang cedera dalam letupan itu untuk berbincang kemungkinan mengambil tindakan undang-undang.

 

“Buat masa ini, kami sekeluarga menumpukan perhatian terhadap adik yang masih dirawat.
“Doktor tidak membenarkan adik menerima pelawat kecuali ibu dan bapa kerana dia belum pulih selepas melecur dari paras pinggang hingga muka,” katanya.
Harian Metro semalam melaporkan, lima mangsa membabitkan pelajar tingkatan empat dan seorang tingkatan lima, dengan empat daripada mereka parah, akibat melecur 25 hingga 45 peratus dari paras pinggang hingga muka selepas berlaku letupan ketika mengadakan barbeku sempena majlis rumah terbuka Aidilfitri sekolah, jam 9.30 pagi.
Letupan berlaku selepas seorang guru mencurahkan cecair pelarut cat ke dalam api sebelum tiba-tiba berlaku letupan kuat serta api menyambar pelajar di sekeliling dapur barbeku.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 285 Kanun Keseksaan kerana melakukan kecuaian ketika menggunakan api dan bahan mudah terbakar.

Murid UPSR dikhuatiri lemas – Utusan


Murid UPSR dikhuatiri lemas

KUCHING 15 Sept. – Seorang murid lelaki yang baru selesai menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Khamis lalu dikhuatiri lemas ketika bermain papan luncur di Sungai Sarawak berhampiran Kampung Sinjan, Petra Jaya hari ini.

Kejadian berlaku pukul 10.45 pagi ketika Zulhaziq Fadhzely Randy, 12, bermain papan luncur bersama bapa saudaranya, Awang Ahmad Awang Joly, 55, di sungai itu yang terletak 20 kilometer dari rumahnya.

Difahamkan, ketika mereka sedang leka bermain tiba-tiba papan luncur itu dipukul ombak kecil menyebabkan mangsa yang juga anak bongsu daripada enam beradik terjatuh dan lemas.

Bagaimanapun, Awang Ahmad terselamat selepas dibantu oleh penduduk kampung manakala Zulhaziq dihanyutkan ombak dan gagal dikesan.

Sehingga pukul 4 petang ini, mangsa yang merupakan murid tahun enam di Sekolah Kebangsaan (SK) St. Thomas belum ditemui dan usaha mencari serta menyelamat giat dijalankan oleh sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya.

Sektor Pendidikan Fokus Utama Bajet 2013 – Ahmad Husni – Bernama


Sektor Pendidikan Fokus Utama Bajet 2013 – Ahmad Husni

IPOH: Sektor pendidikan menjadi fokus utama Bajet 2013 yang bakal dibentang pada 28 September ini, bertujuan memangkin pelaksanaan program transformasi pendidikan, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata, ini kerana sektor pendidikan memainkan peranan penting dalamusaha mempertingkat ekonomi negara.

“Perubahan dari segi ekonomi memerlukan pengetahuan dan kemahiran yang berbeza pada masa sekarang dan akan datang,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Pemimpin Bersama Rakyat Parlimen Tambun sempena Persidangan Perwakilan Umno bahagian itu pada Sabtu.

Dalam Belanjawan 2012, sektor pendidikan mendapat peruntukan terbesar iaitu RM50.02 bilion.

Ahmad Husni juga berkata, dalam penyediaan bajet, perbincangan akan diadakan dengan setiap kementerian, dan peruntukan ditentukan berasaskan kepada kedudukankewangan negara.

“Ada kementerian yang kurang sedikit (daripada kementerian lain) kerana kita lihat keutamaan mana yang harus kita bagi dalam Bajet 2013,” katanya.

Beliau berkata, fokus juga akan diberi terhadap usaha memperkukuh BidangKeberhasilan Utama Negara (NKRA) yang ditetapkan kerajaan.

“Dari segi peruntukan pembangunan pula, kita telah mengadakan satu model yang berbeza daripada negara lain, malah negara lain sedang berusaha ke arah itu.

“Kita ada peruntukan untuk pembangunan tetapi kita telah memperkenalkan perkongsian awam-swasta di mana sektor swasta akan membiayai sebahagian besardaripada perbelanjaan,” katanya.

Ahmad Husni berkata, selain fokus terhadap NKRA dan Program Transformasi Ekonomi (ETP), Bajet 2013 akan menjaga kepentingan masyarakat dalam keadaan kedudukan ekonomi dunia yang tidak begitu stabil. – BERNAMA

Mayat pelajar ditemui terapung di dalam sungai – Bernama


Mayat pelajar ditemui terapung di dalam sungai

15 September 2012

KUANTAN – Mayat seorang pelajar yang terjatuh ke dalam sungai Pahang dekat Jerantut petang semalam, ditemui pagi tadi.

Mayat Nor Izwan Mohd Noor, 15, ditemui di lokasi dia dilaporkan terjatuh, pada jam 10.43 pagi.

Menurut Ketua Polis Daerah Jerantut, Supt Azid Ismail, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Jerantut untuk bedah siasat.

“Operasi mencari dan menyelamat yang disertai pasukan polis, Jabatan Pertahanan Awam, bomba dan penduduk kampung menemui mayat mangsa yang timbul di permukaan sungai,” katanya kepada Bernama.

Punca pelajar berkenaan terjatuh secara tiba-tiba masih disiasat, katanya. – Bernama

Polis minta kerjasama cari gadis lembam hilang – Sinar Harian


Polis minta kerjasama cari gadis lembam hilang

WARTAWAN SINAR HARIAN
15 September 2012
Polis minta kerjasama cari gadis lembam hilang
Umar Ali menunjukkan gambar mangsa yang hilang sejak 21 Ogos lalu.

ALOR GAJAH  – Polis meminta kerjasama orang ramai untuk membantu menjejaki seorang gadis lembam, A Vantha, 16, yang dilaporkan hilang selepas tiga hari tinggal bersama ibu saudaranya di sebuah taman, di sini, 21 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, bapa mangsa, K Annandan, 37, menghantar mangsa pada 18 Ogos lalu untuk tinggal bersama ibu saudaranya, R Sarida, 25, di taman berkenaan.

Difahamkan, kehilangan mangsa yang juga anak sulung daripada lapan beradik itu turut dikaitkan dengan seorang lelaki dikenali sebagai Bulat.

“Mangsa dihantar ke rumah ibu saudaranya di sebuah taman di sini pada 18 Ogos lalu kerana mangsa bekerja di sebuah kedai di kawasan kilang solar di Rembia sebelum disedari hilang kira-kira jam 10.30 pagi pada 21 Ogos.

“Kehilangan mangsa disedari ibu saudaranya yang ketika itu sibuk menguruskan bapanya yang terlantar sakit sebelum didatangi majikan mangsa yang menjemputnya di rumah setiap hari,” katanya.

Menurutnya, ibu saudara mangsa terkejut kerana menyangka mangsa keluar awal dijemput majikannya sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah.

“Mangsa yang juga orang kurang upaya (OKU) masih menuntut di tingkatan empat di sebuah sekolah menengah di Jasin, keluar rumah sehelai sepinggang.

“Mangsa keluar dengan hanya membawa dompet berisi MyKad,” katanya.

Umar Ali berkata, bapa mangsa cuba menghubungi telefon bimbit anaknya tetapi dijawab seorang lelaki yang mendakwa mangsa ada bersamanya.

“Berdasarkan siasatan, nombor telefon bimbit mangsa masih digunakan dan dikesan di sekitar Kuala Sungai Baru,” katanya.

Sehubungan itu katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat mangsa, diminta segera menghubungi Inspektor Shuhaida Mohd Idris menerusi talian 06-5562222.

Mosti kerjasama dengan Kementerian Pelajaran jayakan Pelan Pembangunan Pendidikan – Bernama


Mosti kerjasama dengan Kementerian Pelajaran jayakan Pelan Pembangunan Pendidikan

15 September 2012

KUCHING – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sedia bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran dalam menjayakan Pelan Pembangunan Pendidikan (2013-2025).

Menterinya Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili berkata pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Pelajaran bagi mengenal pasti keperluan yang boleh disediakan kepada sekolah yang memerlukan bantuan serta sokongan daripada MOSTI.

“Untuk sekolah di pedalaman khususnya di Sabah dan Sarawak memang memerlukan  teknologi seperti wifi ataupun sistem solar untuk membekalkan tenaga elektrik dan MOSTI boleh berbincang untuk mengadakan kerjasama dengan Kementerian Pelajaran,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis perasmian Karnival Sains dan Inovasi Zon Sarawak di sini hari ini.

Maximus berkata MOSTI juga akan terus giat mempromosikan bidang sains dan teknologi kepada generasi muda melalui beberapa program yang telah dan akan dilaksanakan.

Katanya program seperti karnival sains dan inovasi di seluruh negara itu boleh mendekatkan lagi rakyat khasnya golongan muda dalam bidang tersebut melalui beberapa aktiviti perkongsian ilmu berasaskan sains, kreativiti dan inovasi. – Bernama

35 pelajar sekolah berkayak sambut Hari Malaysia – Bernama


35 pelajar sekolah berkayak sambut Hari Malaysia

15 September 2012

BESUT – Seramai 35 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Besut mempunyai cara tersendiri dalam meraikan Hari Malaysia esok, dengan berkayak sejauh 95 batu nautika atau 55 kilometer merentasi dua pulau di perairan Terengganu selama dua hari, bermula hari ini.

Pengetua SMK Kuala Besut Mohd Ramli Mat Amin berkata kumpulan pelajar itu akan merentasi Pulau Perhentian dan Pulau Redang dengan menggunakan 15 buah kayak yang dilepaskan Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Besut, Mohd Yasmin Yusof di Pantai Bukit Keluang di sini.

“Seramai 13 pelajar wanita mengikuti ekspedisi yang turut disertai dua guru. Ekspedisi itu akan mengambil masa selama enam jam untuk sampai ke Pulau Perhentian sebelum berhenti rehat.

“Mereka akan berkayak ke Pulau Redang esok selama tujuh jam sebelum pulang ke Kuala Besut pada Selasa. Anggota ekspedisi telah menjalani latihan fizikal dan ketahanan mental sejak dua minggu lepas,” katanya kepada pemberita hari ini.

Mohd Ramli berkata ketika di Pulau Perhentian, pelajarnya akan menyertai aktiviti pemuliharaan terumbu karang dan pembersihan persekitaran pulau dengan kerjasama Jabatan Laut Malaysia.

Katanya program yang julung kali diadakan itu mendapat kerjasama Jabatan Taman Laut Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia serta Biro Pendidikan Pemuda Umno Besut. – Bernama

LGBT: Kementerian Pelajaran tidak pernah beri garis panduan – Bernama


LGBT: Kementerian Pelajaran tidak pernah beri garis panduan

15 September 2012

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) tidak pernah memberi pengesahan kepada mana-mana pihak menyedia atau mengeluar garis panduan mengenai golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) untuk tujuan pengedaran ke sekolah seluruh negara.

“Pengesahan kepada garis panduan tersebut tidak pernah dikeluarkan,” menurut kenyataan KPM sebagai merujuk kepada laporan media baru-baru ini berkaitan pengesahan garis panduan LGBT yang dibincangkan di Seminar Keibubapaan mengenai isu LGBT di Pulau Pinang pada 13 Sept lepas.

Menurut kenyataan itu, KPM memandang berat isu LGBT yang berlaku dalam masyarakat dewasa ini dengan mengambil beberapa inisiatif memerangi gejala tersebut.

“KPM akan sentiasa memberi bimbingan secara langsung dan tidak langsung kepada semua murid (dan pelajar) untuk mengelakkan diri mereka daripada terjebak dengan gejala yang tidak sihat ini,” menurut kenyataan itu.

Media sebelum ini melaporkan bahawa pihak kementerian menyokong satu ‘Garis Panduan’ kepada ibu bapa untuk mengenal pasti ‘simptom’ Gay dan Lesbian pada anak mereka bagi mengambil langkah untuk membetulkan keadaan itu.

Antara isi garis panduan itu adalah, “Simptom” gay mempunyai badan sasa dan gemar menunjukkan badan dengan memakai baju berkolar-V dan tidak berlengan serta suka membawa beg besar sama seperti yang digunakan wanita apabila keluar manakala “Simptom” lesbian adalah tertarik kepada wanita serta gemar keluar, makan, dan tidur dengan wanita. – Bernama

Permohonan Ke Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kawalan


Permohonan Ke Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kawalan

Sukacita dimaklumkan bahawa Permohonan Ke Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kawalan boleh dibuat di Laman Web Rasmi Kementerian Pelajaran Malaysia bermula 15 September 2012.
Segala kerjasama daripada pihak tuan amat dihargai.
Keterangan lanjut lawat di sini: http://parents.sekolahmalaysia.com/
Terima kasih.