Pelajar berkayak sejauh 175 km – Sinar Harian


Pelajar berkayak sejauh 175 km

WARTAWAN SINAR HARIAN
17 September 2012
Pelajar berkayak sejauh 175 km
Peserta bersama guru di pantai Bukit Keluang sebelum memulakan ekspedisi berkayak menawan dua pulau sejauh 175 kilometer yang dilakukan sempena Hari Malaysia, semalam.

BESUT –  Seramai 35 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Besut termasuk 16 pelajar perempuan menyertai ekspedisi berkayak sejauh 175 kilometer dari sini ke Pulau Perhentian dan Redang Sempena Sambutan Hari Malaysia, semalam.

Ekspedisi mengharung gelombang Laut Cina Selatan yang mengambil masa 11 jam itu adalah anjuran sekolah berkenaan dengan kerjasama pelbagai agensi keselamatan termasuk Biro Pendidikan Umno Bahagian Besut.

Pengetuanya, Ramli Mat Amin berkata, kesemua peserta bertolak dari pantai Bukit Keluang kira-kira jam 9 pagi dan setelah empat jam membuat pendayungan, mereka tiba di Pulau Perhentian.

Menurutnya, mereka adalah yang berani menyahut cabaran tersebut menempuh gelombang demi menawan dua pulau pe-ranginan tersohor dunia itu.

“Peserta diawasi polis, Jabatan Laut dan tujuh guru yang mengiringi dengan bot bagi memastikan tidak berlaku sebarang kejadian tidak diingini sepanjang ekspedisi,” katanya pada majlis perlepasan yang disempurnakan Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria.

Ramli berkata, keseluruhan pergi dan balik ekspedisi adalah sejauh 95 batu nautika (175 kilometer) pada hari pertama berkayak ke Pulau Perhentian.

Manakala, pada hari kedua meneruskan cabaran ke Redang yang memakan masa dayungan selama tujuh jam.

Menurutnya, cabaran tersebut julung kali dilakukan pelajar di negeri ini mencatat sejarah dan rekod tersendiri.

Malah, sekolah berkenaan berjaya membentuk Skuad Berkayak Lasak.

“Bagi memantapkan stamina peserta yang terdiri daripada pelajar tingkatan empat dan enam itu telah menjalani latihan ketahanan fizikal selama dua minggu sebagai persediaan menghadapi cabaran itu sebelum ekspedisi bermula,” katanya.

Ekspedisi berkayak itu mendapat tajaan Bank Rakyat dan beberapa agensi lain.

Netbook 1Malaysia: Rosak sebelum sempat digunakan – Sinar Harian


Netbook 1Malaysia: Rosak sebelum sempat digunakan

WARTAWAN SINAR HARIAN
17 September 2012
Netbook 1Malaysia: Rosak sebelum sempat digunakan
Mohd Pauzi menunjukkan Netbook 1Malaysia milik anaknya yang terpaksa dibaiki.

TEMERLOH – Entah di mana silapnya, berdozen Netbook 1Malaysia yang diedarkan kepada pelajar di daerah ini terpaksa dihantar ke kedai komputer untuk dibaiki atas pelbagai kerosakan.

Ada antara ibu bapa yang ditemui kecewa kerana hanya sempat menggunakan produk itu dalam tempoh seminggu, malah lebih teruk ada yang mendakwa langsung tidak boleh menggunakannya sejak diterima tiga bulan lalu.

Mohd Pauzi Abdul Ghani, 32, dari Bandar Bera, berkata, dia sedikit terkilan apabila dimaklumkan anaknya, netbook berkenaan langsung tidak boleh digunakan.

Menurutnya, netbook yang diterima anaknya dalam satu majlis pengagihan Jun lalu itu cuba dihidupkan, namun langsung tidak boleh berfungsi.

“Saya sedikit terkilan kerana sudah membeli modem untuk mengakses internet tetapi netbook pula rosak, saya hantar baiki pada 19 Jun lalu dan hari ini baru siap dibaiki,” katanya sewaktu mengambil semula netbooknya di salah sebuah kedai komputer, di sini.

Mohd Pauzi berkata, sebagai bapa penerima, dia tidak menafikan sumbangan kerajaan dalam membantu pelajaran anaknya, tetapi sedikit terkilan apabila produk yang dibekalkan tidak berkualiti.

“Saya takut benda-benda macam ini dimanipulasikan pihak tertentu, mungkin pembekal sendiri tidak mengetahui produk mereka tidak berkualiti, tambahan pula ia diedarkan dalam kuantiti yang banyak dari kilang,” katanya.

Mohd Pauzi berkata, dia dimaklumkan memang ramai ibu bapa yang mengeluh mengenai produk itu kerana ada yang baru pakai seminggu sudah rosak.

Sementara itu seorang lagi bapa, Wahid Ahmad Salleh berkata, anaknya juga langsung tidak sempat menggunakan netbook tersebut.

“Anak saya punya pun sama, dapat dalam keadaan sudah rosak, terpaksa hantar ke kedai untuk dibaiki,” katanya.

Sinar Harian yang melakukan tinjauan selama setengah jam semalam turut mendapati dalam tempoh itu tiga pelanggan datang ke kedai semuanya berkaitan netbook yang rosak.

Sinar Harian dimaklumkan kebanyakan ibu bapa menghantar netbook yang rosak pada Jun lalu iaitu selepas menerima pengagihan secara berkelompok di salah sebuah sekolah, di sini.

Menurut pekedai, ada juga ibu bapa yang marahkan mereka sedangkan mereka langsung tidak mengetahui hujung pangkal produk itu.

“Kami hanya bantu orang ramai, kebanyakan netbook yang dihantar mengalami masalah hardisk, motherboard dan screen rosak,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang, Datuk Mohd Sharkar Shamsudin menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memastikan produk dibekalkan itu berkualiti supaya tidak menyusahkan orang ramai.

“Kita akan usahakan penyelesaian isu ini kerana kita tidak mahu bantuan yang diberikan kerajaan menjadi bebanan pula kepada ibu bapa apabila produk tidak berkualiti,” katanya.

* Tulisan ini sebahagian daripada laporan khas dibawa oleh Sinar Harian edisi Isnin, 17 September 2012

Rayu anak pulang, lari sejak 10 September – Sinar Harian


Rayu anak pulang, lari sejak 10 September

WARTAWAN SINAR HARIAN
17 September 2012
Rayu anak pulang, lari sejak 10 September
Nurulakmal (tengah) bersama keluarganya menunjukkan gambar Siti Noor Fatiah (gambar kecil) yang lari dari rumah.

AMPANG – Seorang bapa merayu anak perempuannya yang melarikan diri dari rumah sejak 10 September lalu pulang ke rumah setelah berlaku perselisihan faham bersama keluarga baru-baru ini.

Nurulakmal Mahmud, 37, berkata, dia menyedari anak perempuannya, Siti Noor Fatiah, 16, tiada di rumah dan kesemua barangan di dalam almari anaknya kosong setelah dia pulang bekerja.

“Pada hari kejadian, isteri saya hantar Siti ke sekolah, namun pengawal keselamatan mendakwa Siti pulang semula ke rumah pada jam 8 pagi dan keluar semula pada jam 11 pagi dengan membawa beg baju menaiki teksi,” katanya kepada Sinar Harian di Taman Dagang Ampang, semalam.

Menurutnya, kehilangan anaknya dipercayai berpunca daripada tegurannya yang tidak mahu anaknya berkawan dengan lelaki liar sehingga menjejaskan persekolahannya.

“Pada 2 September lalu, saya pernah menegur dua lelaki yang pada ketika itu bersama dengan Siti di kedai dan memberi nasihat kepada lelaki tersebut supaya jangan berkawan dengan Siti kerana masih bersekolah,” katanya yang turut mencari anaknya dengan menyiarkan gambar Siti di Facebook.

Sementara itu abang Siti Noor Fatiah, Mohd Fahimi Nurulakmal, 17, berkata, adiknya pernah memberitahu ingin melarikan diri kerana kononnya menghadapi tekanan keluarga.

“Adik saya pernah berkata mahu tinggal bersama teman lelakinya yang sanggup menyara kehidupannya dan mahu bebas daripada kongkongan keluarga,” katanya.

Ibu tiri Siti Noor Fatiah, Wan Latifah Wan Naim, 44, mengakui pernah berlaku sedikit perselisihan faham antara dia dan anak tirinya sebelum ini.

“Sebagai seorang ibu, saya selalu menegur anak saya demi untuk kebaikan dan keselamatan dirinya tetapi sering mendapat tentangan.

“Saya berharap dia pulang semula ke rumah dan keluarga sentiasa terbuka untuk berbincang bagi menyelesaikan masalah yang dihadapinya,” katanya.

Kepada sesiapa yang mempunyai maklumat dan ternampak Siti Noor Fatiah, boleh menghubungi Nurulakmal di talian 013-3422266.

Netbook 1Malaysia: Jabatan Pelajaran, sekolah pilih penerima – Sinar Harian


Netbook 1Malaysia: Jabatan Pelajaran, sekolah pilih penerima

WARTAWAN SINAR HARIAN
17 September 2012

JOHOR BAHRU – Proses pemilihan dan pemberian bagi program Netbook 1Malaysia ditentukan Jabatan Pelajaran dan sekolah yang mengenal pasti keperluan penerima, kata Pemangku Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Wilayah Selatan, Mohamed Faiezal Othman.

Beliau berkata, pengagihan netbook atas Inisiatif Jalur Lebar Negara (NBI) itu berbeza mengikut negeri.

Menurutnya, 110,285 diperuntukkan bagi negeri Johor sejak program pemberian itu dilancarkan pada 2010.

“Kita memasuki fasa ketiga pengagihan di mana fasa pertama sebanyak 22,500 dan fasa kedua sebanyak 48,585 telah diberikan kepada penerima layak dengan menyasarkan pelajar sekolah.

“Manakala baki 39,200 bagi fasa ketiga ini sedang berjalan dan dijangkakan akan diberikan menjelang akhir tahun ini dengan baki sehingga hari ini (semalam) 22,700 yang belum diedarkan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Mohamed Faeizal berkata, bagi fasa terakhir pemberian netbook ini dipilih oleh Ahli Parlimen kerana ia diagihkan kepada komuniti dengan sasaran 50 peratus isi rumah tangga Malaysia mempunyai akses jalur lebar.

Katanya, SKMM Wilayah Selatan mengakui menerima aduan berbentuk lisan mengenai kerosakan netbook tersebut, namun tiada aduan secara rasmi dibuat kepada pihaknya.

Jelasnya, sebarang kerosakan dan masalah berkaitan gajet itu perlu dikemuka kepada pembekal dilantik.

“Setiap netbook yang diberikan dibekalkan dengan jaminan setahun dengan nombor talian hotline tertera di bawah netbook terbabit,” katanya.

Bagi negeri Johor, sebanyak 18 pembekal dilantik mengendalikan pemberian Netbook ini sepanjang tiga tahun program ini dijalankan.

Guru bahasa arab keturunan Palestin terima anugerah kecemerlangan kedua – Bernama


Guru bahasa arab keturunan Palestin terima anugerah kecemerlangan kedua

17 September 2012

KUALA TERENGGANU – Seorang guru bahasa arab berketurunan Palestin dari Jordan hari ini sekali lagi menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Yayasan Terengganu setelah menerima kali pertama pada 2007.

Abdelrahman Ibrahim Suleiman Islaleh, 29, warga Jordan, membuktikan bahawa batas bahasa dan budaya bukan halangan buatnya berkhidmat sepenuh hati memberikan ilmu kepada pelajarnya di Sekolah Imtiaz Besut.

“Saya datang ke Terengganu sejak tahun 2004 lagi dan semasa dua minggu saya di sini, saya sudah boleh bertutur Bahasa Melayu. Saya amat suka dengan budaya dan cara hidup orang di sini.

“Saya sungguh selesa tinggal di Terengganu khasnya di Besut kerana persekitarannya lebih kurang sama dengan tempat tinggal saya di Jordan dulu,” katanya kepada pemberita, berbahasa Melayu loghat Terengganu.

Terdahulu, beliau bersama 27 yang lain menerima anugerah itu daripada Setiausaha Kerajaan Terengganu, Datuk Mazlan Ngah di sini.

Abdelrahman Ibrahim berkata sejak menetap di sini, beliau hanya sekali pulang ke Jordan iaitu pada 2007 selama dua minggu untuk berkahwin.

“Saya dan isteri orang Jordan, tetapi dua anak perempuan saya Zainah berumur dua tahun dan Dimah pula empat bulan orang Besut,” katanya sambil ketawa.

Beliau berkata selain mengajar bahasa Arab, dia turut mengadakan kelas Al-Quran untuk kakitangan Sekolah Imtiaz serta kuliah di masjid-masjid dan dewan orang ramai sekitar Besut.

Abdelrahman Ibrahim yang kini sedang memohon untuk belajar di Universiti Malaya untuk PhD dalam bidang Teknologi Pendidikan berkata kontraknya dengan Yayasan Terenganu akan tamat pada 2014.

“Saya akan buat permohonan dengan Yayasan Terengganu agar saya diambil berkhidmat dan kekal di Terenggnau,” katanya. – Bernama

Lelaki bersama anak tak pulang sejak 1 September – Metro


Lelaki bersama anak tak pulang sejak 1 September

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KAMPUNG GAJAH: Kehilangan dua beranak, Mohd Razali Bidin, 46, dan anak tunggalnya, Mohd Izani, 7, terus menimbulkan tanda tanya apabila mereka berdua tidak pulang ke rumah sejak 1 September lalu.

Mohd Razali yang menetap di Felcra Changkat Lada keluar rumah bersama anaknya itu menaiki motosikal pada petang 1 September lalu.
Namun, selepas 17 hari, kedua-dua mereka masih gagal dihubungi, malah usaha menjejaki mereka menerusi saudara terdekat mangsa gagal memperoleh maklumat.

 

Adik ipar Mohd Razali, Fariza Zubir, 30, ketika dihubungi semalam berkata, kali terakhir dia menemui abang iparnya ketika menziarahi keluarga mentuanya di Kampung Teluk Kepayang, pada pagi 1 September lalu.
Menurut Fariza, dia dimaklumkan kehilangan dua beranak itu dua hari kemudian oleh bapanya selepas mereka tidak pulang ke rumah selain gagal dijejaki terutama menerusi talian telefon.
“Saya tidak pasti kenapa mereka berdua menghilangkan diri, namun tidak menolak kemungkinan sedih selepas kakaknya yang juga isteri Mohd Razali, Che Om Abdullah, 46, meninggal dunia akibat penyakit asma pada 27 Ogos lalu.

 

 

“Mungkin mereka terlalu sedih dengan pemergian arwah kakak saya. Namun, lebih membimbangkan mereka menghilangkan diri tanpa pesanan,” katanya.
Katanya, dia juga bimbang kerana Mohd Izani tidak pergi ke sekolah hampir dua minggu.

 

“Selain itu, adik Mohd Razali yang menetap di Tambun, Ipoh sudah membuat laporan di Balai Polis Tambun,” katanya.
Sesiapa yang mempunyai maklumat dan terserempak dengan Mohd Razali dan anak lelakinya itu boleh menghubungi Fariza di talian 013-4657611 atau 013- 5949530.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/17

‘Saya sedar ketika tertimbus’ – Bernama


‘Saya sedar ketika tertimbus’

17/09/2012 – 01:14:41 AMCetakEmel Kawan
Kuala Terengganu: Masa ditimbus tanah, saya sedar dan terasa ada orang pijak (tanah di atas) sebelum orang kampung menyedari saya tertimbus.

Masa kejadian itu, saya berada berhampiran lori dan secara tiba-tiba, tanah itu runtuh dan menghempap kami, menyebabkan kami gagal menyelamatkan diri, kata seorang kelindan lori, Mohd Hanifah Mohd Nawi, 19, ketika menceritakan pengalaman ngeri ditimbus tanah, kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.50 petang di Kampung Kuala Ping, Mohd Hanifah bersama rakannya, Mohd Azharulnizam Daud, 24, yang juga pemandu lori ditimbus tanah ketika melihat adik Mohd Azharulnizam iaitu Mohd Zuraime, 17, melakukan kerja menarah tanah menggunakan jengkaut.

Seorang terkorban, dua mangsa lagi terselamat

Mohd Hanifah bernasib baik apabila hanya patah tangan, tetapi Mohd Azharulnizam terkorban selepas tanah setinggi 10 meter yang sedang ditarah itu runtuh.

Mohd Zuraime berjaya menyelamatkan diri.

Saya tertimbus di dalam tanah rasanya dalam 20 minit. Saya bernasib baik kerana berjaya diselamatkan oleh orang ramai, kata Mohd Hanifah kepada pemberita di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini.
Katanya, kejadian yang menimpa mereka berlaku terlalu pantas dan jika diberi pilihan, dia tidak lagi ingin melakukan kerja itu kerana serik serta takut setiap kali teringatkan insiden itu.
BERNAMA