Kes Remaja Hamil Luar Nikah: ‘Satu Kelahiran Setiap Hari’ – mStar


Kes Remaja Hamil Luar Nikah: ‘Satu Kelahiran Setiap Hari’

Oleh IVY SOON

KLANG: Semakin ramai remaja Malaysia hamil luar nikah dengan beberapa hospital utama mencatatkan sekurang-kurangnya satu kes setiap hari.

Menurut Ketua Jabatan dan Pakar Perunding Kanan, Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Dr Mohamad Farouk Abdullah, kira-kira 12,000 anak luar nikah dilahirkan di hospital tersebut.

“Kami ingat kes remaja hamil luar nikah hanya berlaku di Klang tetapi senario sama turut dihadapi enam hospital pakar di Selangor,” katanya.

“Remaja berusia 12 tahun merupakan remaja termuda melahirkan anak di hospital ini,” kata Dr Mohamad Farouk pada seminar ‘Pregnant by Choice, Not by Chance or Force’.

Ia dianjurkan hospital tersebut sempena bulan Perancangan Keluarga.

Kementerian Kesihatan merekodkan kira-kira 18,652 kelahiran oleh remaja berusia di bawah 19 tahun pada 2011 berbanding hanya 5,962 kes pada separuh kedua 2010.

Pegawai perubatan kebajikan sosial HTAR, Nurul Azira Mahamad Jafar berkata, dia menguruskan sekurang-kurangnya satu kes remaja hamil luar nikah setiap hari pada tahun ini.

“Saya pernah mengendalikan 14 kes, bilangan tertinggi dalam tempoh sehari melibatkan remaja hamil di usia muda,” katanya.

Nurul Azira memberitahu dia pernah menguruskan kes yang melibatkan remaja hamil luar nikah, mangsa rogol dan penderaan seksual di hospital tersebut dalam tempoh enam tahun.

Kebanyakan remaja yang hamil ini diarahkan oleh klinik untuk merujuk kepada hospital.

Ini kerana, kehamilan di usia remaja dianggap kes berisiko tinggi.

Seorang remaja berdepan risiko dua kali ganda untuk meninggal dunia akibat komplikasi kehamilan atau ketika melahirkan anak berbanding wanita berusia 20-an.

Kebanyakan remaja datang ke hospital mengadu mengalami ketidakselesaan di bahagian perut.

Sebagai sebahagian daripada protokol hospital, doktor akan melakukan pemeriksaan kehamilan ke atas mereka.

Sekiranya disahkan hamil, mereka akan dimasukkan ke wad dan pihak hospital akan memaklumkan perkara itu kepada keluarga remaja terbabit.

Nurul Azira berkata, remaja di bawah usia 18 tahun yang hamil dan anak mereka dilindungi di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 serta akan dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Dalam kebanyakan kes, remaja hamil luar nikah kerana mereka melakukan hubungan seks dengan pasangan masing-masing.

“Mereka terdiri daripada keluarga bermasalah dan berpendapatan rendah. Ada sesetengah daripada mereka melarikan diri dari rumah.

“Kami menjalin hubungan baik dengan remaja-remaja ini. Oleh kerana takut, mereka tidak akan menceritakan perkara itu kepada keluarga, jadi kami perlu mendapat kepercayaan mereka untuk memperoleh maklumat keluarga,” katanya.

Nurul Azira berkata, kebanyakan ibu bapa malu apabila dimaklumkan mengenai keadaan anak mereka.

“Mereka bimbang jiran akan mengetahui perkara tersebut. Terdapat juga segelintir ibu bapa yang mengakui gagal mengawal tingkah laku anak mereka.

“Kebiasaannya kami akan menasihatkan remaja terbabit dan ibu bapa mereka untuk mendapatkan kaunseling,” katanya.

Jelasnya lagi, sekiranya ibu bapa tidak dapat menjaga ibu dan anak tersebut, mereka boleh menyerahkan kedua-duanya kepada JKM.

Beliau menceritakan kes remaja berusia 13 tahun yang melahirkan anak luar nikah baru-baru ini.

“Ibu bapanya berkata mereka enggan memberi jaminan bahawa remaja tersebut tidak akan hamil semula sekiranya bapa kepada anak luar nikah itu tinggal di kawasan sama,” katanya.

“Jadi mereka bersetuju untuk menghantar remaja dan bayi tersebut ke JKM,” katanya.

Program Tajaan 1MDB Mungkin Dipanjangkan Kepada Bilal, Siak & Guru KAFA – Bernama


Program Tajaan 1MDB Mungkin Dipanjangkan Kepada Bilal, Siak & Guru KAFA

SEPANG: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu berkata program penajaan haji 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bukan sahaja akan diteruskan, malah mungkin akan digandakan jumlahnya sekiranya ‘ada rezeki’.

Beliau berkata program itu juga tidak mustahil akan dipanjangkan kepada kelompok bilal dan siak serta guru-guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), setelah sasaran menghantar para imam dan ketua kampung serta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dapat dicapai.

Dalam ucapannya pada majlis pelepasan jemaah haji 1MDB di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, Perdana Menteri turut berpesan agar jemaah Malaysia, yang merupakan duta kecil negara ke sana, agar menjaga kelakuan dan tutur kata, kerana adab sopan inilah yang menyebabkan Malaysia dihormati oleh masyarakat dunia.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Seramai 400 imam, ketua kampung dan pengerusi JKKK dari seluruh negara yang belum pernah mengerjakan ibadat haji diberi peluang menjadi tetamu Allah secara percuma melalui program itu kali ini, di mana surat tawaran diserahkan kepada mereka oleh Perdana Menteri pada 27 Ogos lalu.

Ini merupakan kumpulan kedua selepas kumpulan pertama 111 imam dan pengerusi JKKK menerima tajaan itu tahun lalu. Perdana Menteri turut berpesan agar jemaah Malaysia tidak bimbang berkenaan tarikh pilihan raya, sebaliknya menumpukan perhatian terhadap amal ibadat agar dapat melaksanakan segala rukun dan syarat haji serta umrah dengan sempurna.

“Dan juga, sebagai tetamu Allah, doa tuan-tuan amat mahal dan mustajab di sisi Allah, oleh itu mohon disudikan untuk tuan-tuan mendoakan kesejahteraan dan kemakmuran negara, para pemimpin serta rakyat keseluruhannya,” katanya.

Najib juga berkata berubah kepada suatu keadaan yang lebih baik merupakan satu tuntutan dan ajaran asas dalam agama Islam, dan usaha perbaikan atau ‘islah’ itu merupakan agenda terpenting kerajaan pimpinan beliau.

Beliau berkata ‘islah’ itulah yang menjadi roh kepada gagasan program transformasi nasional, untuk meletakkan negara menjadi sebuah negara Islam moden yang maju dan berpendapatan tinggi. “Sesungguhnya, kita tidak pernah melupakan bahawa agenda Islam merupakan teras dalam kita membangun serta memajukan negara Malaysia ini. ‘Islah’ yang menyeluruh dan berstrategik ini juga amat menepati kehendak Perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama negara.

“Apa yang lebih penting untuk difahami bahawa rahmat yang dibawa oleh ‘islah’ ini bukannya terhad kepada orang Islam sahaja bahkan rahmat ini dapat dinikmati sama dengan sebaik-baiknya oleh warga negara yang bukan Islam,” katanya. –BERNAMA

Galak guru jadi imam, bilal – Sinar Harian


Galak guru jadi imam, bilal

WARTAWAN SINAR HARIAN
22 September 2012
Galak guru jadi imam, bilal
Sebahagian imam dan bilal yang hadir pada Program Multaqa Imam dan Bilal Masjid anjuran Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu bertempat di Dewan Auditorium Jaheat.

KUALA TERENGGANU – Guru agama dan kakitangan kerajaan di negeri ini digalakkan menjadi imam dan bilal secara sukarela atau sambilan bagi mengatasi masalah ketiadaan khidmat tersebut sekiranya imam dan bilal tetap mengalami keuzuran.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat berkata, ramai kalangan guru sekolah dan kakitangan kerajaan yang tidak boleh memberi komitmen tetapi berminat dan bersedia berkhidmat sebagai imam atau bilal.

Namun katanya ada kalangan mereka ini memang telah memberi khidmat walaupun tidak secara formal.

“Imam dan bilal atau pengerusi masjid disarankan dapatkan khidmat orang agama sekitar yang terdiri daripada kalangan guru agama dan kakitangan kerajaan bagi mengatasi masalah kekurangan imam dan bilal.

“Nama mereka boleh diberikan kepada Pejabat Agama supaya dapat dibuat pelantikan secara formal dan memberi sijil tauliah sebagai imam dan bilal sukarela atau sambilan.

“Saya percaya ada kalangan mereka ini berminat tetapi tidak dapat memberi komitmen sepenuhnya seperti mana imam dan bilal lantikan tetap,” katanya.

Bagaimanapun kata beliau, mereka tiada halangan sekiranya khidmat mereka diperlukan pada bila-bila masa secara sukarela sekiranya imam atau bilal tetap dalam keuzuran.

Beliau berkata demikian kepada media selepas hadir merasmikan Program Multaqa Imam dan Bilal Masjid daerah Kuala Terengganu di Dewan Auditorium Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (Jaheat).

Hadir sama, Pengarah Jaheat, Samsiah Awang dan juga Pegawai Agama Daerah Kuala Terengganu, Mohd Ariffin Jusoh.

Program yang dianjurkan  Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu itu disertai 300 peserta.

Mengulas lanjut, Khazan berkata, imam dan bilal digalakkan meningkatkan ilmu pengetahuan dengan mengikuti kelas dan kursus supaya kefahaman lebih meluas dan mendalam dalam sesuatu perkara  untuk disampaikan kepada orang ramai.

Guru prasekolah cedera dilanggar kereta peragut – Sinar Harian


Guru prasekolah cedera dilanggar kereta peragut

ROSALWANI CEH SOH
22 September 2012

KOTA BHARU – Seorang guru prasekolah patah tulang pinggul dan cedera di beberapa bahagian badan selepas dirempuh kereta peragut di Pasir Tumboh dekat sini, pagi semalam.

Kejadian mengakibatkan mangsa, Zura Ashikin Mustafa, 48, diseret hampir tiga meter sebelum dilanggar kereta yang dinaiki suspek, yang berjaya melarikan beg tangan mangsa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Suprintendan Idris Abd Rafar berkata, mangsa kini ditempatkan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk rawatan susulan.

PM lancar cawangan pertama Kedai Buku 1Malaysia – Bernama


PM lancar cawangan pertama Kedai Buku 1Malaysia

22 September 2012

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan Kedai Buku 1Malaysia yang pertama di Bangunan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuala Lumpur di sini.

Kedai itu merupakan kedai utama dengan beberapa cawangan lain bakal dibuka di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Orang ramai berpeluang membeli bahan bacaan terbitan tempatan dan luar negara selain alat tulis pada harga lebih kompetitif berbanding harga pasaran.

Kedai Buku itu bertempat di tingkat satu, diharap dapat menyubur budaya membaca di kalangan rakyat dan berfungsi sebagai ‘game changer’ dengan bertindak sebagai pemangkin penyatuan antara kaum.

Selain menawarkan produk buku, kedai itu juga membekalkan keperluan sekolah, perpustakaan serta aktiviti pertemuan bagi penulis dan penerbit tempatan. – Bernama

Cacing dari mulut budak terbiar – Metro


Cacing dari mulut budak terbiar

Oleh Azlan Hafeedz
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PASIR PUTEH: “Ketika tiba di sini, budak lelaki ini dimandikan dan disabun berulang kali bagi menghilangkan daki yang melekat di seluruh badan.

“Melihat perutnya yang buncit, kemungkinan ada cacing kerawit dan ketika badannya digoyang, keluar tujuh cacing kerawit sepanjang sejengkal dari mulut, hidung dan telinga,” kata Mat Piah Mat Daud, 57, pembantu am Rumah Anak Yatim Markaz Al-Aitam, Padang Pak Amat, Jalan Pasir Puteh-Kota Bharu, dekat sini.
Mat Piah menceritakan pengalamannya membawa pulang seorang budak lelaki berusia lapan tahun yang dikatakan langsung tidak mengenali dunia luar apabila menetap di kawasan hutan terpencil di Kampung Kolam, Tok Uban, Pasir Mas, dua bulan lalu.

 

Budak lelaki itu, Muhammad Nasir Mahmood dikatakan lebih gemar memakan buah-buahan hutan seperti langsat dan salak di kawasan rumah selain minat bergayut pada dahan pokok kecil serta mandi dalam kubang berlumpur yang digunakan kerbau.
Menurut Mat Piah, keperitan hidup Muhammad Nasir berpunca daripada keluarganya yang hidup dalam kemiskinan dan pada masa sama lebih banyak bermain bersendirian selepas ibunya, Roseyatimah Shafiei, 38, mengalami masalah mental.
Katanya, bapa Muhammad Nasir, Mahmood Sulong, 74, meninggal dunia, tiga tahun lalu akibat sakit tua menyebabkan keluarga itu terus dihimpit kemiskinan apabila kehilangan tempat bergantung.

 

 

“Muhammad Nasir mempunyai dua abang dan seorang kakak. Bapa Roseyatimah dikenali sebagai Pak Chu, berusia lingkungan 80-an yang tinggal berhampiran rumah mereka menjadi tempat bergantung walaupun warga emas itu turut hidup serba kekurangan.
“Kehidupan mereka ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang apabila makan nasi sekali sehari selain terpaksa berkongsi dua ikan selar sebesar dua jari dewasa. Disebabkan terlalu leka bermain, Muhammad Nasir dikatakan sering terlepas makan bersama keluarganya menyebabkannya memakan buah-buahan hutan,” katanya ketika ditemui di Markaz Al-Aitam, baru-baru ini.

 

Mat Piah berkata, kasihan melihat keadaan Muhammad Nasir selain tidak mahu cucunya itu terus terbiar, Pak Chu terpaksa meminta bantuan saudaranya supaya kanak-kanak itu dihantar ke Markaz Al-Aitam untuk dijaga.
“Selepas dimaklumkan saudara Pak Chu, saya ditugaskan menjemput Muhammad Nasir di rumahnya. Saya bersama seorang rakan terpaksa berjalan kaki sejauh satu kilometer untuk tiba di rumah Muhammad Nasir kerana tidak boleh dimasuki kenderaan.
“Saya tidak sanggup melihat penderitaan Muhammad Nasir dan keluarganya yang tinggal di bangsal buruk hampir runtuh selain keadaan persekitaran kurang menyenangkan dipenuhi lalat, langau serta kotor. Malah, Muhammad Nasir turut bertelanjang ketika kami tiba di rumahnya dan paling memeranjatkan, kanak-kanak itu sedang mengutip sesuatu dalam pasir sebelum memakannya,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, selepas dua bulan tinggal di sini, perubahan diri Muhammad Nasir semakin ketara apabila boleh membaca secara perlahan walaupun terpaksa makan secara berasingan kerana belum dapat menyesuaikan diri dengan rakan lain.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/22

Kanak-kanak 12 tahun ditemui mati lemas di lombong – Bernama


Kanak-kanak 12 tahun ditemui mati lemas di lombong

2012/09/22 – 14:19:19 PMCetakEmel Kawan
BATU GAJAH: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun ditemui lemas di sebuah lombong berhampiran rumahnya di Jalan Bemban, Desa Harmoni dekat sini ketika sedang mandi bersama beberapa rakannya semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Shahrun Anuar Abdul Latif berkata, mayat Mohd Danial Al-Aris Abdul Talib pelajar tahun enam Sekolah Kebangsaan Siputeh di sini ditemui oleh unit penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat pada jam 10.20 malam tadi.

Mayatnya dihantar ke Hospital Batu Gajah untuk bedah siasat, katanya kepada pemberita di sini hari ini ini.

Beliau berkata, kejadian berlaku pada jam 5.35 petang semalam ketika mangsa bersama tiga rakan sebayanya pergi ke lombong yang jaraknya 200 meter daripada rumahnya.

Ketika mereka sedang mandi, mangsa dikatakan gagal berenang lalu tenggelam, manakala tiga rakannya cuba membantu tetapi gagal lalu meminta bantuan penduduk kampung berhampiran.

Polis yang menerima maklumat kejadian itu dengan bantuan Pasukan Bomba dan Penyelamat mengadakan operasi mencari dan mayat mangsa ditemui di dasar lombong berkenaan. – BERNAMA

CUEPACS harap kerajaan tambah imbuhan tetap perumahan penjawat awam dalam belanjawan – Bernama


CUEPACS harap kerajaan tambah imbuhan tetap perumahan penjawat awam dalam belanjawan

 

KUALA LUMPUR 22 Sept. – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan menambah Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) kepada penjawat awam dalam belanjawan yang akan dibentangkan di Parlimen 28 September ini.

Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng berkata, ini perlu kerana kos perumahan kini khususnya di bandar raya amat tinggi.

“Di kawasan bandar raya apabila wujudnya projek perumahan baru, timbul masalah yang mana orang yang berkemampuan sahaja yang dapat membeli rumah,” katanya. – BERNAMA

Kanak-kanak 9 tahun dicabul datuk tiri warga Indonesia – Bernama


Kanak-kanak 9 tahun dicabul datuk tiri warga Indonesia

 

JERANTUT 22 Sept. – Seorang lelaki warga Indonesia ditahan selepas dipercayai mencabul cucu tirinya yang berusia sembilan tahun.

Kejadian cabul itu berlaku di rumah nenek mangsa dekat Felda Sungai Tekam di sini.

Menurut Ketua Polis daerah Jerantut, Supritenden Azid Ismail, kejadian tersebut dimaklumkan abang mangsa yang berusia 12 tahun kepada ibunya, 32, yang pulang ke rumah berkenaan sebelum laporan polis dibuat semalam.

“Kedua-dua beradik itu menetap bersama neneknya di sini, manakala ibunya pula bekerja di Kelantan. Kejadian dipercayai berlaku sejak Jun lepas,” katanya di sini hari ini.

Azid berkata, suspek berusia 40-an bekerja sebagai penoreh getah dan berkahwin dengan nenek mangsa, berusia 50-an sejak 13 tahun lepas.

Katanya, suspek ditahan polis pukul 3 petang semalam di rumahnya dan kini ditahan reman di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut selama empat hari bagi membantu siasatan. – BERNAMA