SMK Tunku Anum juara Liga Bola Sepak Remaja KPM kali ke-3 – Bernama


SMK Tunku Anum juara Liga Bola Sepak Remaja KPM kali ke-3

23 September 2012

ALOR SETAR – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Anum Tunku Abdul Rahman, Kedah muncul juara Liga Bola Sepak Remaja Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) Bawah 17 Tahun setelah menewaskan SMK Mutiara Impian, Pulau Pinang 4-1 di Stadium Darul Aman di sini, malam tadi.

Ini merupakan kejuaraan kali ketiga SMK Tunku Anum (Sekolah Sukan negeri Kedah) setelah muncul juara pada tahun 2010 dan 2011.

Tuan rumah membuka jaringan pada minit ke-10 menerusi tandukan penyerang pasukan itu, Muhammad Syafiq Ahmad sebelum Pulau Pinang menyamakan kedudukan pada minit ke-20 menerusi tendangan kencang Muhammad Azrul Zulkifli.

Kedah yang terus mengasak kubu lawan menyumbat gol kedua hasil jaringan Muhammad Azri Zulkiflee yang bijak menyepak bola selepas ditepis penjaga gol Pulau Pinang, Muhammad Zulfadhli Ahmad Kamal.

Minit ke-63 Muhammad Azri sekali lagi merobek gol Pulau Pinang menerusi tandukan dan Muhammad Syafiq muncul wira setelah menambah gol keempat pasukan tuan rumah pada minit ke-74 menerusi tendangan kencang setelah melepasi pertahanan pasukan pelawat.

Kedah yang dibarisi pemain berusia 17 tahun membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, medal dan piala. Muhammad Syafiq dinobatkan sebagai pemain terbaik dan penjaring terbanyak iaitu 24 gol sepanjang Liga KPM.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Exco Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Jeffery Low Han Chaw yang juga Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA). Turut hadir Timbalan Pengarah Pelajaran Kedah, Rooslee Ismail.

Pengurus Pasukan SMK Tunku Anum, Mohd Zaini Othman berkata beliau bersyukur kerana sekolah mengekalkan kejuaraan bagi tiga tahun berturut-turut.

Katanya beliau amat terharu dengan semangat dan komitmen yang ditunjukkan oleh pemainnya dan berharap beberapa pemain pelapis akan meneruskan kejayaan tersebut pada masa akan datang.

Sementara itu, penyerang pasukan tuan rumah, Muhammad Syafiq berkata dia amat gembira dan beryukur kerana dapat membantu pasukannya mencipta kemenangan di Liga KPM buat kali ketiga.

Muhammad Syafiq yang berusia 17 tahun berkata selepas ini beliau akan menyertai sebuah pasukan bola sepak bagi menimba ilmu dan pengalaman dan menjadikannya sebagai platfom untuk menjadi pemain profesional.

“Saya akan cari pasukan bola sepak selepas ini. Kalau ada tawaran dari mana-mana pihak saya terima. Jika Kedah tawarkan saya tetap akan terima,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s