Kafe Siber jalankan aktiviti judi diserbu, 16 set komputer dirampas – Bernama


Kafe Siber jalankan aktiviti judi diserbu, 16 set komputer dirampas

25 September 2012

KUANTAN – Sebanyak 16 set komputer bernilai kira-kira RM32,000 dirampas polis dalam serbuan di sebuah kafe siber di Jalan Beserah di sini, dipercayai menjalankan kegiatan perjudian tanpa lesen, awal hari ini.

Dalam serbuan 12.15 pagi itu, polis turut menahan seorang remaja lelaki berumur 15 tahun yang merupakan penjaga premis itu dan seorang pelanggan lelaki berusia 29 tahun.

Pegawai Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang ASP Noor Asyikin Shamsuri berkata premis terbabit didapati tidak memiliki lesen sebagai kafe siber serta dipercayai menjalankan aktiviti perjudian internet secara haram.

“Semua barang rampasan dan suspek terbabit  dibawa ke Ibu Pejabat Polis daerah Kuantan untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita. – Bernama

Pekerja mesin cetak dipenjara dua tahun cabul kanak-kanak – Bernama


Pekerja mesin cetak dipenjara dua tahun cabul kanak-kanak

25 September 2012

KUALA LUMPUR – Seorang pekerja membaik pulih mesin cetak dipenjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan mencabul kehormatan seorang kanak-kanak perempuan berumur enam tahun, minggu lepas.

Majistret Siti Shakirah Mohtarudin memerintahkan Rikki Azaraai Khan Agha Khan, 20, menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 19 September lepas.

Rikki Azaraai Khan didakwa mencabul kehormatan kanak-kanak itu di tangga tengah tingkat 3, Blok B, Teratak Muhibbah 2, Taman Desa, Brickfields, di sini pada 4.15 petang, 19 September lepas.

Tertuduh, yang tidak diwakili peguam, didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, seorang suri rumah berusia 32 tahun menerima aduan daripada kawan anaknya bahawa anak perempuannya diganggu seorang lelaki lalu dia bergegas ke tempat kejadian dan mendapati anaknya berdiri dalam keadaan menangis dan seluar dalam anaknya berada di lantai.

Suri rumah itu kemudian ternampak seorang lelaki berlari menuruni tangga, lalu mengejarnya dengan bantuan penduduk sekitar sehingga tertangkapnya lelaki berkenaan sebelum membawa anaknya ke balai polis untuk membuat laporan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Noor Mawarni Abd Halim memohon mahkamah menjatuhi hukuman yang dapat memberi keinsafan, amaran dan pengajaran terhadap tertuduh.

“Tertuduh berusia 20 tahun tergamak melakukan perbuatan sedemikian (mencabul) kepada kanak-kanak berumur enam tahun. Perbuatan itu mengakibatkan kanak-kanak itu mengalami trauma,” katanya. – Bernama

Jabatan Pelajaran Selangor perkenal sukan murid prasekolah – Bernama


Jabatan Pelajaran Selangor perkenal sukan murid prasekolah

25 September 2012

SHAH ALAM – Jabatan Pelajaran Selangor memperkenalkan pertandingan sukan ‘Kid Athletics’ kepada murid prasekolah bagi mendidik mereka cara bersukan yang betul.

Pengerusi Teknik Olahraga Selangor, Majlis Sukan Sekolah Negeri (MSSN) Zainal Tambi Chik berkata bersukan melalui kaedah ‘Kid Athletics’ akan menerapkan semangat berpasukan selain meningkatkan kemahiran psikomotor murid.

“Kaedah ini merupakan adaptasi dari konsep sukan multilateral dari negara Jerman.

“Berbanding kaedah sebelum ini, pelajar prasekolah diberi penekanan hanya untuk menang berbanding konsep ‘fun game’, iaitu konsep bergembira di samping mendapat kemahiran,” katanya kepada pemberita di Karnival Prasekolah Peringkat Negeri Selangor 2012, di sini hari ini.

Beliau berkata kaedah sukan itu turut diyakini dapat membangunkan potensi pelajar selain meningkatkan kemahiran sosioemosi mereka.

Katanya sukan itu merangkumi enam disiplin yang menumpukan kepada semua pergerakan fizikal iaitu ‘slalom’ (lari zigzag), ‘backthrow’ (baling belakang), ‘hurdle’ (larian berpagar), ‘rotational throw’, ‘javelin’ (lontar lembing) dan acara akhir melibatkan kelima-lima disiplin, iaitu acara Formula 1.

“Peringkat umur paling bawah ialah antara umur 5 ke 14 tahun dan ke atas…sukan ini meliputi semua pergerakan yang melibatkan melontar, membaling, berlari dan melompat,” katanya.

Zainal berkata Sekolah Kebangsaan Seksyen 7, Shah Alam, menjadi lokasi pertama pelancaran sukan ‘Kids Athletics’ dan sukan itu akan diadakan secara bergilir mulai tahun depan merangkumi sekolah sekitar Selangor. – Bernama

Pelajar tingkatan enam ditahan belasah teman wanita – Bernama


Pelajar tingkatan enam ditahan belasah teman wanita

25 September 2012

KUANTAN – Seorang pelajar Tingkatan Enam di Lipis ditahan selepas terbabit dalam kes samun dan membelasah teman wanitanya yang juga pelajar sekelasnya.

Dalam kejadian 5.40 petang semalam iu, pelajar perempuan berusia 18 tahun itu dipukul dengan topi keledar di kepala selain ditendang berkali-kali oleh suspek.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Lipis, Supt Abdul Razak Hassan, suspek turut bertindak melarikan rantai leher mangsa yang bernilai RM1,000 selepas membelasahnya.

“Kes dipercayai gara-gara teman wanita suspek didakwa gagal menjelaskan hutang yang tidak diketahui jumlahnya,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Dalam kejadian di Tanjung Lipis, Lipis itu, mangsa ditemani tiga rakannya untuk bertemu dengn suspek bagi menyelesaikan kes hutang yang membabitkan suspek dan mangsa.

“Tiba di tempat berkenaan, suspek terus melenting dan bertindak memukul mangsa. Mangsa yang cedera di kepala dan muka menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Kuala Lipis,” katanya.

Abdul Razak berkata suspek kemudiannya melarikan diri dengan motosikal, bagaimanapun berjaya ditahan pihak polis pada jam 10 malam tadi selepas mangsa membuat laporan polis pada jam 6.10 petang kejadian.

Katanya siasatan awal mendapati suspek mempunyai satu kes jenayah mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan tahun lepas yang bakal dibicara bulan depan.

“Suspek kini ditahan reman di Lokap Balai Polis Kuala Lipis selama  empat hari bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya. – Bernama

Sekolah Dalam Hospital ke-4 dibuka di HUSM – Bernama


Sekolah Dalam Hospital ke-4 dibuka di HUSM

25 September 2012

KOTA BAHARU – Selepas kejayaan tiga sekolah perintis di Lembah Klang, program ‘Sekolah Dalam Hospital’ diperluas dengan pembukaan sekolah keempat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di sini.

Penaung Jawatankuasa Hati Nurani, Puan Sri Noorainee Abd Rahman yang melawat sekolah itu hari ini, berkata dalam masa terdekat beberapa sekolah lagi akan dibuka.

“Apapun Kementerian Pelajaran akan mengumumkan dengan lebih lanjut,” katanya kepada pemberita selepas lawatan itu.

Program ‘Sekolah Dalam Hospital’ digerakkan jawatankuasa itu menerusi Yayasan Nurul Yaqeen, bertujuan memastikan pelajar yang menerima rawatan di hospital tidak ketinggalan dalam pelajaran mereka.

Sejak dilancarkan pada Julai 2011, tiga sekolah perintis dibuka di Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ampang dan Hospital Serdang yang menerima lebih 6,000 pelajar, sementara sekolah di HUSM itu pula beroperasi pada 18 Sept lepas dan kini mempunyai kira-kira 10 pelajar.

Sehingga kini terdapat hampir 30 guru mahir dari Kementerian Pelajaran ditempatkan di sekolah berkenaan dengan mengajar mata pelajaran khusus bagi pelajar sekolah rendah dan menengah.

Mengulas lanjut, Noorainee yang juga isteri Timbalan Perdana Menteri, berkata beliau berpuas hati dengan kelancaran perjalanan operasi semua sekolah terbabit.

Pada lawatan itu, Noorainee turut menziarahi seorang mangsa ragut Zura Ashikin Mustafa, 48, yang cedera parah dalam kejadian di Pasir Tumboh, dua hari lepas.

Sementara itu Naib Canselor USM, Prof Datuk Dr Omar Osman dalam ucapannya berkata universiti tersebut bersedia membantu sembilan guru yang mengajar di sekolah berkenaan melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Kita mahu mereka menjadi sebahagian daripada warga USM yang telah membantu dan berjasa untuk mengajar di sekolah ini,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pelajar yang menghidap kencing manis, Mohd Affendi Asmardi, 13, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Besut mengakui masih merindui rakan-rakan di sekolahnya.

“Buat masa ini saya akan cuba sesuaikan di sekolah ini semasa dalam tempoh menerima rawatan agar pelajaran saya tidak tertinggal,” katanya yang menghidap penyakit itu sejak tiga tahun lepas.

Bagi Raja Nurain Raja Jamaluddin, 11, yang menghidap kanser tulang, dia berasa gembira berada di sekolah itu kerana mempunyai ramai rakan yang senasib dengannya.

Seorang pesakit tumor ‘liposarcoma’, Fazira Amira Amir Hamzah, 16, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Kudin, Raub, Pahang, berkata melalui sekolah itu dia dapat mengikuti pembelajaran yang tertinggal sejak hampir sebulan kerana menerima rawatan kemoterapi. – Bernama

Akademi Golf di Terengganu buka penyertaan kepada pelajar sekolah – Bernama


Akademi Golf di Terengganu buka penyertaan kepada pelajar sekolah

25 September 2012

KUALA TERENGGANU – Persatuan Golf Terengganu (PGT) mempelawa lebih ramai pelajar sekolah untuk menyertai akademinya yang dibuka bulan lepas.

Pesidennya, Ahmad Zubir Azhari berkata akademi tersebut yang terletak di Kuala Terengganu Golf Resort (KTGR), di Kampung Tok Jembal, Gong Badak dekat sini sudah mempunyai 20 orang pelajar.

“Akademi ini terbuka kepada pelajar-pelajar berumur antara 7 hingga 16 tahun lelaki dan wanita. Ia baru dibuka dan masih tidak ramai yang mengetahui mengenainya.

“Kita harap lebih ramai ibu bapa akan menghantar anak mereka menyertai akademi ini dalam usaha mencari bakat terpendam untuk diketengahkan suatu hari nanti,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata akademi itu dibuka dua kali seminggu iaitu setiap hari Jumaat dan Sabtu.

Katanya yuran panyertaan ialah RM30 sebulan dengan latihan diuruskan oleh beberapa orang jurulatih golf yang bertauliah serta berpengalaman.

Ahmad Zubir berkata akademi itu mendapat sokongan daripada Persatuan Golf Malaysia (MGA) yang turut menghantar pegawai untuk memantau latihan sebulan sekali.

Beliau berkata akademi yang pertama seumpamanya diwujudkan di Terengganu itu juga bertujuan untuk memperkenal dan mengkomersialkan sukan golf di kalangan pelajar di negeri ini.

“Pelajar akademi ini akan diasuh dari awal mengenai teknik-teknik sukan golf supaya mereka menjadi pemain yang mahir apabila keluar kelak,” katanya.

Latihan adalah seawal pukul 7 pagi hingga 12 tengah hari dan ibu bapa yang berminat dialu-alukan untuk menghantar anak mereka ke KTGR. -Bernama

Kerajaan mahu selaras hukuman rogol bawah umur – Bernama


Kerajaan mahu selaras hukuman rogol bawah umur

25 September 2012
Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz
Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersedia mengkaji cadangan menubuhkan jawatankuasa untuk menyelaras hukuman rogol melibatkan gadis bawah umur untuk memastikan golongan itu dilindungi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz.

Bagaimanapun, katanya keputusan berhubung perkara itu perlu mendapat persetujuan daripada pihak mahkamah.

Beliau berkata, perkara itu telah dibincangkan dalam satu pertemuan dengan Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria.

“Pada peringkat awal, Ketua Hakim telah berikan pandangan iaitu kemungkinan jawatankuasa yang disebut itu (jawatankuasa menyelaras hukuman) boleh ditubuhkan kalau sekiranya pihak eksekutif, kerajaan bersetuju tetapi ia cuma boleh menyelaraskan hukuman,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai).

Nurul Izzah ingin tahu sama ada kerajaan bersedia mewujudkan jawatankuasa seperti yang terdapat di United Kingdom yang menyelaras secara konsisten semua hukuman rogol gadis bawah umur.

Nazri berkata, sekiranya jawatankuasa itu ditubuhkan, ia akan berperanan dari aspek penyelarasan hukuman dan bukannya mengkaji semula keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah.

“Dalam soal sistem perundangan kita, mesti ada kata muktamad. Bahayanya (jika) kita mempunyai jawatankuasa untuk semak balik semua hukuman yang dijatuhkan mahkamah, kerana ia seolah ada satu lagi peringkat yang diwujudkan lebih tinggi daripada mahkamah,” katanya.

Sementara itu, Nazri berkata, menurut rekod Jabatan Peguam Negara terdapat 5,976 kes yang telah dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan di bawah kesalahan rogol melibatkan gadis di bawah umur 16 tahun atau rogol statutory sejak tahun 2007 hingga Ogos 2012.

“Seramai 5,119 orang telah dipertuduh dengan kesalahan rogol melibatkan gadis di bawah 16 tahun. Sebahagian daripada 5,119 orang yang didakwa itu menghadapi lebih daripada satu kesalahan menjadikan jumlah kes 5,976,” katanya.

Menurut beliau, daripada 5,119 yang didakwa, sejumlah 1,631 orang disabitkan atas kesalahan berkenaan manakala 327 orang dilepaskan dan dibebaskan selepas tamat perbicaraan.

Dalam pada itu, 446 orang dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan itu. – Bernama

SM Sukan Gong Badak bakal lahir lebih ramai ahli sukan – Bernama


SM Sukan Gong Badak bakal lahir lebih ramai ahli sukan

25 September 2012

SEKOLAH sukan kedua di Gong Badak berhampiran Kompleks Sukan Gong Badak di Kuala Terengganu, yang bakal beroperasi dua tahun lagi, dijangka melahirkan ramai ahli sukan bertaraf antarabangsa dalam tempoh enam hingga 10 tahun akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman berkata pembinaan sekolah sukan di kawasan seluas lapan hektar itu akan bermula tahun depan dengan peruntukan awal kerajaan persekutuan sebanyak RM25 juta.

Beliau berkata, sekolah sukan itu dijangka mampu menampung antara 800 hingga 1,000 pelajar dan akan mempunyai kemudahan bertaraf antarabangsa yang mampu melahirkan ahli sukan terlatih dan berkemahiran tinggi dalam bidang sukan.

“Kesempatan untuk melahirkan ramai ahli sukan berprestasi tinggi itu akan digunakan semaksima mungkin oleh Terengganu supaya lebih ramai anak negeri berkecimpung dalam sukan bertaraf dunia,” katanya kepada pemberita di Besut, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Razif mengunjugi keluarga Pegawai Pelajaran Daerah Setiu Allahyarham Mohd Azmy Zakaria yang meninggal dunia akibat kanser Khamis lepas.

Mohd Azmy juga adalah Pengetua pertama Sekolah Menengah Sukan Bukit Nenas Setiu.

Turut hadir Pengarah Pelajaran Negeri Zakaria Hussin yang turut menyampaikan sumbangan wang dari Tabung Bantuan Kebajikan Pendidikan (BAKEP) Terengganu kepada balu Allahyarham, Zawiah Khamis di kediamannya di Kampung Bukit Puteri di sini.

Ahmad Razif berkata Sekolah Menengah Sukan Bukit Nenas (SMSBN) Setiu, yang pertama di Terengganu, akan terus menjadi pusat untuk pelajar lepasan sekolah rendah yang berbakat dalam sukan.

Beliau berkata SMSBN akan mengendalikan ahli sukan di peringkat awal sehingga mereka mencapai tahap tertentu sebelum berpeluang memasuki Sekolah Menengah Sukan Gong Badak.

Sekolah Menengah Sukan Gong Badak itu akan menggunakan tenaga pengajar yang dibekalkan oleh Kementerian Pelajaran dan 40 peratus daripada pelajarnya pula diambil dari seluruh negara. – Bernama

‘Cikgu rimau’ mohon maaf – Metro


‘Cikgu rimau’ mohon maaf

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Guru lelaki yang menggigit lengan seorang murid tahun enam di sebuah sekolah di Bandar Sri Putra, Kajang sehingga cedera menghubungi keluarga kanak-kanak itu untuk memohon maaf.

Bapa murid itu yang hanya mahu dikenali sebagai Abu Bakar, 49, berkata guru itu menghubungi dia semalam untuk memohon maaf dengan alasan tidak sengaja berbuat demikian.
“Tapi bagi saya sudah terlambat dia mahu memohon maaf, kalau kejadian itu tidak dilaporkan di Harian Metro, saya tidak fikir dia akan menghubungi saya,” katanya yang dihubungi semalam.

 

Abu Bakar berkata, laporan polis juga sudah dibuat, jadi terpulang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.
“Saya difahamkan siasatan polis sudah berjalan, jadi saya menunggu apa tindakan selepas ini,” katanya.
Harian Metro semalam melaporkan mangsa, Farhan, 12, cedera di bahu kiri akibat digigit guru kerana tidak dapat menyebut perkataan ‘boys’ dengan betul.

 

 

Akibat kejadian jam 8 pagi Khamis lalu itu, anak bongsu daripada empat beradik mengalami tekanan perasaan dan trauma. Berikutan itu, bapa mangsa membuat laporan di Balai Polis Bangi pada malam kejadian. Sementara itu, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, berdasarkan maklumat daripada Pegawai Pelajaran Daerah Hulu Langat, guru terbabit sekadar bergurau.
“Murid itu tidak trauma dan datang ke sekolah seperti biasa namun kejadian itu masih dalam siasatan polis,” katanya yang dihubungi semalam.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/25