Rayuan Urusan Kenaikan Pangkat PPPS Gred DG44 Ke PPPS Gred DG48
Day: September 26, 2012
Arahan YAB Perdana Menteri No. 1 Tahun 2009 mengenai Gerakan Pemantapan Keutuhan Sistem Pengurusan Pentadbiran Kerajaan Malaysia: Penubuhan Jawatankuasa Keutuhan Tadbir Urus di Kementerian Pelajaran Malaysia.
Arahan YAB Perdana Menteri No. 1 Tahun 2009 mengenai Gerakan Pemantapan Keutuhan Sistem Pengurusan Pentadbiran Kerajaan Malaysia: Penubuhan Jawatankuasa Keutuhan Tadbir Urus di Kementerian Pelajaran Malaysia.
Pelajar perempuan dibelasah rakan sekelas – Sinar Harian
Pelajar perempuan dibelasah rakan sekelas
26 September 2012
KUALA LIPIS – Seorang pelajar lelaki tingkatan enam, di sini, ditahan selepas terbabit dalam kes pukul dan samun rakan sekelasnya.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5.45 petang semalam, mangsa, pelajar perempuan berusia 18 tahun dipukul dengan helmet di kepala, selain ditendang berkali-kali oleh suspek.
Menurutnya, suspek turut bertindak melarikan rantai leher mangsa yang bernilai RM1,000 selepas membelasah mangsa.
“Kes itu dipercayai gara-gara rakan wanita suspek gagal menjelaskan hutang yang tidak diketahui jumlahnya,” katanya di sini, semalam.
Abdul Razak berkata, dalam kejadian di Rumah Rehat Tanjung Lipis itu, mangsa ditemani tiga rakannya bertemu suspek dipercayai bagi menyelesaikan kes hutang berkenaan.
“Tiba di tempat berkenaan, suspek terus melenting dan bertindak memukul mangsa. Mangsa yang cedera di kepala dan muka menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Kuala Lipis,” katanya.
Abdul Razak berkata, suspek kemudiannya melarikan diri dengan motosikal, bagaimanapun berjaya ditahan polis pada jam 8 malam selepas mangsa membuat laporan polis pada jam 6.10 petang.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek mempunyai satu kes jenayah mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang akan dibicarakan Oktober ini.
“Suspek kini ditahan reman di lokap Balai Polis Kuala Lipis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.
Gadis terjebak dalam masalah moral – Sinar Harian
Gadis terjebak dalam masalah moral
26 September 2012
JOHOR BAHRU – Keseronokan melakukan seks kali pertama selepas terpengaruh dengan video lucah di Internet menyebabkan seorang gadis berusia 13 tahun sanggup meniduri tujuh lelaki, termasuk beberapa penjawat awam, sejak awal tahun ini.
Tanpa memikirkan risiko ke atas dirinya, gadis kecil ini rela bersama lelaki berkenaan di hotel bajet dan rumah sewa di bandar raya ini, meskipun baru berkenalan beberapa hari menerusi Internet tanpa mengenakan bayaran.
Gadis berkenaan juga bangga menceritakan pengalamannya kepada rakan sekolahnya, sebelum aktiviti sumbangnya itu terbongkar apabila ibunya mengesyaki anaknya kerap keletihan setiap kali pulang ke rumah, selain sering dipanggil guru kaunseling berikutan masalah ponteng sejak Julai lalu.
Membuat pendedahan tersebut, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru, Manayi Ibrahim berkata, perkara itu telah dirujuk kepada pihak polis dan JKM untuk tindakan susulan berikutan mangsa di bawah umur.
“Bagi menyelamatkan gadis berkenaan, kami terpaksa menahannya selama 30 hari di pusat perlindungan JKM mengikut Seksyen 46 (2) (bb) Akta Kanak-Kanak 2001 bagi membantu menjalankan siasatan.
“Selepas dirujuk ke mahkamah, remaja berkenaan diarahkan menjalani perintah tahanan sementara selama tiga tahun di Batu Gajah, Perak dan dia akan dihantar ke sana hujung bulan ini untuk proses pemulihan.
“Diharapkan pendedahan ini menjadi pengajaran kepada semua ibu bapa, supaya mengawasi tingkah laku anak-anak mereka agar tidak mudah terpengaruh dengan anasir tidak baik,” katanya kepada media semasa Majlis Penutup Seminar Keselamatan Kanak-kanak dan Keluarga di @Mart Kempas, di sini, semalam.
Majlis berkenaan telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Rinting, Chia Song Cheng yang merupakan wakil rasmi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri Johor, Dr Robia Kosai.
Dalam pada itu, Song Cheng ketika membacakan teks ucapan Robia memberitahu, statistik JKM negeri merekodkan sebanyak 133 kes kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan telah diselamatkan sehingga Ogos tahun ini.
“Manakala pada tahun lalu menunjukkan sebanyak 158 kes kanak-kanak memerlukan pemeliharaan dan perlindungan. Berdasarkan statistik ini ianya amat menyedihkan dan mendatangkan kebimbangan kepada kita apabila memikirkan adakah anak-anak kita selamat berada di persekitaran.
“Masyarakat perlu sedar tanggungjawab sebagai ibu bapa, anggota keluarga dan anggota masyarakat untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak mereka selain perlu mengambil tahu dan peduli bagi memastikan keselamatan masyarakat sekeliling terjamin,” katanya.
Pelajar tingkatan lima maut – Sinar Harian
Pelajar tingkatan lima maut
26 September 2012
TAPAH – Seorang pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini maut dalam perjalanan ke sekolah, pagi tadi.
Mangsa, Ariffin Ramli, 17, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Butong Adil maut di tempat kejadian selepas motosikal yang ditungganginya terbabas.
Cuepacs harap bonus satu setengah bulan – Sinar Harian
Cuepacs harap bonus satu setengah bulan
26 September 2012

Menjelang Bajet 2013
SHAH ALAM – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yakin Bajet 2013 yang akan dibentangkan Jumaat ini akan menyediakan bonus satu setengah bulan kepada penjawat awam.
Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, kerajaan sudah memberikan bonus setengah bulan kepada penjawat awam sempena sambutan Aidilfitri lalu.
“Kita tuntut bonus dua bulan gaji sebelum ini dan setengah bulan sudah dapat, jadi baki lagi sebulan setengah itu kita harap dapat diberikan dalam belanjawan kali ini,” katanya kepada Sinar Harian Online.
Selain itu, Cuepacs juga menuntut agar kerajaan menyediakan lebih banyak skim perumahan mampu milik di kawasan bandar dengan membina rumah sekitar RM80,000 hingga RM200,000 dan RM80,000 hingga RM150,000 di kawasan pedalaman.
“Harga rumah yang ada sekarang ini tinggi dan tidak mampu dimiliki golongan berpendapatan RM2,000.
“Jadi, kita harap selepas ini kerajaan dapat menentukan juga harga rumah yang mampu dibeli oleh penjawat awam yang mendapat gaji RM2,000 hingga RM5,000,” katanya.
Omar berkata, elaun perumahan sewa bulanan yang ditawarkan ketika ini iaitu RM180 sudah tidak relevan pada masa ini, oleh itu, Cuepacs mahu ia ditingkatkan kepada RM350 hingga RM450.
Sementara itu, Omar juga menyatakan bahawa nasib 40,000 pekerja kontrak wajar diperjuangkan dengan mengubah status mereka kepada pekerja tetap.
Malah, Cuepacs juga mahu faedah pinjaman perumahan dikurangkan kepada satu peratus selain melakukan perubahan ke atas Sistem Saraan Malaysia.
“Kini, penjawat awam menikmati faedah pinjaman perumahan empat peratus, jadi kami mahu ia dikurangkan kepada satu peratus. Kita harap perkara ini diambil perhatian kerana ini memang ditunggu oleh penjawat awam,” katanya.
5,119 sudah dituduh rogol gadis bawah umur – Metro
DEWAN Rakyat di sini, semalam diberitahu bahawa Jabatan Peguam Negara sudah membawa 5,976 kes di bawah kesalahan rogol membabitkan gadis bawah umur berusia 16 tahun atau rogol statutori sejak 2007 hingga Ogos lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, bagi tempoh sama sejak 2007 hingga Ogos lalu terdapat 5,119 orang sudah dituduh atas kesalahan rogol membabitkan gadis bawah umur 16 tahun.
“Sebahagian daripada 5,119 yang dituduh itu dipertuduh atas lebih daripada satu kesalahan menjadikan jumlah kes 5,976.
“Daripada 5,119 orang yang dipertuduh, 1,631 sudah disabitkan atas kesalahan berkenaan, manakala 327 orang sudah dilepas dan dibebaskan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan berkenaan,” katanya.
Mohamed Nazri berkata demikian ketika menjawab soalan utama Liang Teck Meng (BN-Simpang Renggam) yang meminta Perdana Menteri menyatakan berapa ramai yang terbabit kes rogol gadis bawah umur sudah dihukum penjara bagi 10 tahun lalu.
Dalam soalan tambahan, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar turut ingin mengetahui kesediaan kerajaan mewujudkan jawatankuasa Jatuh Hukum Rogol seperti dilaksanakan di United Kingdom (UK).
Menurutnya, di UK, hukuman penjara sampai mati dikenakan terhadap perogol yang merogol gadis bawah umur berusia 13 tahun.
“Pada saya objektif utama untuk memperketatkan undang-undang membabitkan rogol untuk memastikan gadis bawah umur dilindungi,” katanya.
Mohamed Nazri kemudian berkata, beberapa badan bukan kerajaan (NGO), jabatan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang menyampaikan bantahan terhadap keputusan Noor Afizal Azizan (dibebaskan bon berkelakuan baik kerana merogol gadis bawah umur).
“Saya sudah menghantar memorandum kepada pihak berkenaan dan dalam pertemuan itu pihak berkenaan sedang membincangkan dan sudah tentu ia datang dari pihak mahkamah.
“Dalam peringkat awal Ketua Hakim sudah memberikan pandangan, kemungkinan Jawatankuasa boleh ditubuhkan sekiranya pihak Eksekutif kerajaan bersetuju, tetapi cuma bagaimana untuk menyelaraskannya, tetapi dalam kes Noor Afizal, dia sudah dilepaskan,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/26
Sekolah diserang tibi – Metro
IPOH: Wabak penyakit batuk kering atau tibi mencetuskan panik kepada ratusan pelajar dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Tasek, di sini, apabila lebih 200 daripada mereka diarahkan menjalani saringan kesihatan selepas disyaki mengalami simptom awal penyakit itu.
Sehingga kini, seramai 34 guru dan pelajar disyaki mengalami simptom tibi berdasarkan pemeriksaan dan saringan kesihatan dilakukan.
Difahamkan, wabak berkenaan mula dibawa seorang pelajar tingkatan lima sekolah itu selepas menerima jangkitan itu daripada bapanya yang juga seorang kontraktor berusia 47 tahun.
Pelajar itu dikesan menghidap penyakit itu selepas menjalani pemeriksaan kesihatan di sebuah hospital swasta pada 3 September lalu akibat menghidap batuk teruk, demam dan susut badan dua minggu sebelum itu.
Siasatan awal mendapati, bapa mangsa disahkan menghidap penyakit tibi pada April lalu dan dipercayai berpunca akibat kerap mengendalikan warga asing di tempat kerjanya.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/26
2 sahabat baik ditelan lubuk – Metro
USUNG…anggota bomba dan penyelamat Balai Kuala Kubu Bharu mengangkat jenazah mangsa yang lemas di Air Terjun Sungai Kedondong, Batang Kali, semalam.
BATANG KALI: “Saya lemah lutut dan trauma kerana hanya mampu melihat dua rakan karib tenggelam dan timbul ditelan lubuk pusar tanpa mampu berbuat apa-apa,” kata Khairul Anwar Md Asri, 16, menceritakan detik cemas dialami Muhammad Syawal Syahiran Kamarolzaman, 18, dan Alif Anwar Amiruddin, 21, yang lemas ketika mandi di Air Terjun Sungai Kedondong, Jalan Genting Highlands, dekat sini semalam.
Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 11.57 pagi, ketika dia bersama lapan rakan sekerja lain berkunjung ke pusat perkelahan itu bagi menghabiskan cuti.
Katanya, rakan lain berumur 16 dan 21 tahun yang berada atas tebing juga hanya mampu melihat dua mangsa terkapai-kapai lemas ketika mereka mula turun hendak mandi di kawasan itu. “Saya terkedu dan trauma melihat kejadian berlaku di depan mata itu.
“Saya nampak Alif cuba selamatkan Muhammad Syawal tetapi gagal malah mereka lemas bersama,” katanya ketika ditemui Harian Metro di sini, semalam. Menurutnya, pada awalnya, mereka cuba meninjau kawasan cetek dan ketika itu, Alif turun ke sungai sebelum diikuti Muhammad Syawal.
Katanya, mereka cuba mencari kawasan cetek kerana Muhammad Syawal tidak tahu berenang.
Beliau berkata, rakan lain cuba menyelamatkan mereka dengan menghulurkan sebatang kayu tetapi gagal.
Khairul Anwar berkata, sebelum kejadian, Alif sempat menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada teman wanitanya mengatakan dia mahu pergi tanpa menyatakan tempat dituju.
Menurutnya, SMS itu dihantar jam 8.54 pagi sebelum mereka bergerak ke tempat kejadian dari Kuala Lumpur.
Sementara itu, Penolong Penguasa Bomba Hulu Selangor, Noor Azhar Tajudin berkata, kedua-dua mayat mangsa ditemui pada jarak kira-kira 15 meter dari lokasi mangsa mandi.
Menurutnya, mayat pertama iaitu Alif ditemui jam 12.50 tengah hari dan Muhammad Syawal jam 2.05 petang di celah batu.
Mayat dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) untuk bedah siasat.
Bapa Muhammad Syawal yang juga anggota polis bertugas di Brickfields, Koperal Kamarolzaman Ismail, 44, ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik HKKB, berkata, dia bergegas ke HKKB selepas mendapat panggilan daripada isterinya, Laila A Hasan, 41, memaklumkan kejadian malang menimpa anaknya itu.
Katanya, anaknya kerap bercuti ke beberapa kawasan air terjun bersama keluarga setiap hujung minggu dan cuti umum.
“Saya sedih menerima dugaan Allah ini namun pasrah dengan suratan takdir.
“Arwah tidak menceritakan lokasi dituju dan hanya memberitahu ibunya, mahu berkonvoi menaiki motosikal ke Batang Kali,” katanya.
Bapa kepada Alif, Amiruddin Hashim, berkata, keluarganya dihubungi rakan anaknya itu pagi semalam dan bergegas ke HKKB untuk mengetahui kejadian sebenar.
Katanya, kejadian malang menimpa anaknya cukup pilu dan bagaikan sukar diterima kerana berlaku terlalu pantas.
“Kami masih tidak percaya apa yang berlaku. Kebahagian keluarga hilang sekelip mata. Tidak sangka cuti anak bertukar mimpi buruk akhirnya.
“Arwah seorang anak bertanggungjawab, penyayang dan kelakar,” katanya ditemani isterinya, Seripah Mat Kasim, 43, di sini semalam.
Turut menziarahi keluarga mangsa di sini adalah sepupu Seripah, isteri Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Selayang, Datuk Sohaimi Shahadan iaitu Datin Rabiatul Adawiah Arshad.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/26
Instrumen bersepadu nilai kompetensi pegawai pendidikan – Bernama
Instrumen bersepadu nilai kompetensi pegawai pendidikan
KUALA LUMPUR 26 Sept. – Kementerian Pelajaran sedang membangunkan “1Unified Instrument” atau instrumen bersepadu untuk menilai tahap kompetensi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di seluruh negara, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata, berdasarkan penilaian itu, pegawai yang dikenal pasti tidak mencapai tahap kompetensi ditetapkan akan diberi latihan melalui modul latihan bersesuaian, mengikut tahap kompetensi mereka.
“Dalam konteks ini, tenaga kepakaran di institut pendidikan guru, Institut Aminuddin Baki, Pusat Pengajaran Bahasa Inggeris dan bahagian-bahagian tertentu di Kementerian Pelajaran akan digembeleng dan digerakkan sebagai jurulatih utama untuk melaksanakan latihan peningkatan profesionalisme, diterajui sepenuhnya oleh Bahagian Pendidikan Guru,” katanya ketika menjawab soalan Mohd. Nor Othman (BN-Hulu Terengganu) pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini. – BERNAMA