Muhyiddin: Sekolah Menengah Chong Hwa Kuantan akan laksana KBSM – Bernama


Muhyiddin: Sekolah Menengah Chong Hwa Kuantan akan laksana KBSM

27 September 2012

KUALA LUMPUR – Sekolah Menengah Chong Hwa, Kuantan yang telah diluluskan sebagai institusi pendidikan swasta pada 26 Julai lepas, akan menjalankan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) seperti yang termaktub dalam surat kelulusan dan permohonan asal.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pada masa yang sama, sekolah itu ada melaksanakan kurikulum di luar kurikulum kebangsaan yang ditentukan oleh pihak sekolah.

Katanya kewujudan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) diberi “status quo” mengikut peruntukan Seksyen 151, Akta Pendidikan 1995 selari dengan ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika beliau menjadi Menteri Pelajaran semasa membentangkan Rang Undang-undang Pendidikan 1995 pada 18 Disember tahun itu.

“Sejak Akta Pendidikan 1996 berkuatkuasa, semua SMPC dikawal selia oleh Bahagian Pendidikan Swasta, Kementerian Pelajaran Malaysia.

“Kewujudan 60 buah SMPC adalah berdasarkan latar belakang sejarah di mana setelah Akta Pelajaran 1961 berkuatkuasa, sebahagian sekolah-sekolah menengah Cina memilih untuk menjalankan kurikulum kebangsaan lalu digelar sebagai Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) atau sekolah conforming manakala selebihnya berdikari menjadi SMPC,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Hee Loy Sian (PKR-Petaling Jaya Selatan) mengenai status sebenar Sekolah Menengah Chong Hwa Kuantan serta sama ada SMPC hanya kekal sejumlah 60 buah sepertimana yang ada sekarang. – Bernama

Muhyiddin: Kelas peralihan di SMK dijangka dimansuh menjelang 2017 – Bernama


Muhyiddin: Kelas peralihan di SMK dijangka dimansuh menjelang 2017

27 September 2012
Tan Sri Muhyiddin Yassin
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Kerajaan bercadang untuk melaksanakan kurikulum Bahasa Melayu yang sama dengan Sekolah Kebangsaan untuk pelajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), bermula dengan murid kohort Tahun Empat pada 2014.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran berkata dengan peningkatan penguasaan Bahasa Melayu murid SJKC dan SJKT, dijangkakan kelas-kelas peralihan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di seluruh negara akan dapat dimansuh menjelang 2017.

Beliau berkata cadangan yang akan dilaksana melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 akan dapat memendekkan tempoh persekolahan murid-murid SJKC dan SJKT yang memilih untuk belajar di SMK.

“Kementerian akan memastikan murid-murid SJKC dan SJKT yang mempunyai masalah dalam pembelajaran bahasa Melayu diberi sokongan yang secukupnya melalui kelas-kelas pemulihan yang diadakan sehingga lima jam seminggu.

“Selain itu, kementerian juga akan memastikan pelaksanaan kurikulum ini tidak membebankan murid-murid SJKC dan SJKT, yang menggunakan bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantar utama untuk mata pelajaran lain,” katanya ketika menutup Festival Bahasa dan Sastera 2012 di sini hari ini.

Festival tiga hari itu diadakan khusus untuk murid-murid Sekolah Menengah Kebangsaan, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan, Sekolah Menengah Persendirian Cina, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil di seluruh negara.

Acara forum, pidato, bercerita, membaca puisi, menulis dan menyanyi dalam bahasa kebangsaan dianjurkan sepanjang festival itu.

Muhyiddin berkata kementerian juga akan menyediakan latihan yang secukupnya kepada guru-guru bahasa Melayu di SJKC dan SJKT supaya mereka dapat menyampaikan pengajaran dengan baik dan berkesan.

Beliau berkata tumpuan akan diberi kepada keupayaan guru untuk mengamalkan pengajaran dan pembelajaran berpusatkan murid bagi memenuhi keperluan murid yang berbeza.

“Sekiranya perlu, guru bahasa Melayu tambahan akan diberikan latihan khusus bagi mengelak masalah kekurangan guru di SJKC dan SJKT.

“Menerusi kombinasi dua aspek ini, iaitu meningkatkan standard kurikulum dan memberikan sokongan tambahan kepada murid, kementerian yakin penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan murid-murid di SJKC dan SJKT akan dapat dimantapkan lagi,” katanya.

Muhyiddin berkata kerajaan turut menggalakkan setiap murid di negara ini menguasai bahasa asing sebagai nilai tambah, khususnya untuk meningkatkan pemerolehan ilmu dan memenuhi keperluan kerjaya. – Bernama

Pelajar tingkatan empat maut, motosikal terbabas – Bernama


Pelajar tingkatan empat maut, motosikal terbabas

27 September 2012

KUANTAN – Seorang pelajar Tingkatan Empat maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas dan melanggar tiang lampu jalan di Jalan Teluk Sisek dekat Pantai Teluk Chempedak, di sini hari ini.

Gabriel Rajiv Backer, 16, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan dalam kejadian kira-kira 11.40 pagi itu.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusoff berkata pelajar lelaki itu menetap di Taman Bukit Pelindung di sini dan merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Teluk Chempedak,

Mayat pelajar itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan untuk bedah siasat, katanya ketika dihubungi hari ini. – Bernama

30,335 guru lepasan diploma dilantik ke PPPS – Ka Siong – Bernama


30,335 guru lepasan diploma dilantik ke PPPS – Ka Siong

KUALA LUMPUR 27 Sept. – Seramai 30,335 guru dalam skim Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD) telah dilantik ke skim Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) dari 2005 hingga 11 Sept lepas.

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong berkata pengumuman Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai penambahbaikan gaji dan memendekkan tempoh kenaikan pangkat untuk guru telah menggalakkan PPPLD melanjutkan pelajaran mereka ke universiti supaya mendapat kelayakan ijazah bagi kenaikan pangkat ke PPPS.

“Memang cara ini fleksibel untuk (bergerak) dari PPPLD ke PPPS. Pengalaman mengajar sebagai PPPLD tidak dihapuskan, dengan cara ini kita menggalakkan kenaikan pangkat ke PPPS,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Mohamad Shahrum Osman (BN-Lipis) mengenai perkembangan pelantikan guru bukan siswazah kepada bersiswazah pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Wee menjelaskan kelayakan bagi PPPLD gred DG32 Khas Untuk Penyandang (KUP) telah dipertimbangkan dan diluluskan kenaikannya oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pelajaran (LKPPP).

“Jika guru PPPLD bergred DG32 telah dilantik ke PPPS bergred DG41 pada tarikh lebih awal daripada layak dinaikkan secara time-based gred DGA32 KUP, maka guru itu tidak layak untuk dipertimbangkan kenaikan pangkatnya.

“Sebaliknya jika tarikh pelantikan sebagai PPPS DG41 adalah lewat daripada tarikh layak untuk kenaikan secara time-based gred DGA32 KUP, guru itu layak untuk dipertimbangkan oleh LKPP untuk kenaikan ke DGA32 secara time-based,” katanya. – BERNAMA

Kementerian Siasat Soalan Bersih 3.0 Dalam Percubaan SPM – mStar


Khamis September 27, 2012
Kementerian Siasat Soalan Bersih 3.0 Dalam Percubaan SPM

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran memandang serius berhubung dakwaan soalan peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dikatakan mengandungi soalan berkaitan perhimpunan Bersih 3.0.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Wee Ka Siong berkata, pihaknya akan menyiasat dakwaan berkenaan namun mengesahkan masih belum menerima sebarang laporan atau bukti dikemukakan berhubung perkara itu.

“Soalan percubaan SPM tidak dibuat oleh kementerian, sebaliknya oleh Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) atau pihak sekolah sendiri. Hanya soalan SPM sebenar saja yang pihak kementerian buat.

“Semua pihak boleh membuat dakwaan dan menyebarkannya di internet tetapi kesahihannya masih belum diketahui,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen, di sini, Khamis.

Baru-baru ini tersebar di internet termasuk laman Facebook mengenai soalan percubaan SPM yang mempunyai soalan berhubung perhimpunan Bersih 3.0.

Soalan yang dipercayai subjek pendidikan moral itu juga mengandungi dua gambar ketika berlakunya perhimpunan berkenaan pada 28 April lalu.

Dengan merujuk kepada gambar yang diberi, soalan itu bertulis ”Adakah wajar atau tidak bagi seseorang warganegara itu untuk menyertai perhimpunan haram?”.

Mengulas lanjut Wee berkata mulai tahun depan, semua soalan peperiksaan percubaan akan dibuat pihak sekolah sendiri bagi mengurangkan bebanan JPN.

“Kita akan seragamkan perkara itu di seluruh negara. Jadi, pihak sekolah akan bertanggungjawab terhadap soalan yang dirangka mereka, ” katanya.

Peniaga didakwa cabul anak jiran – Sinar Harian


Peniaga didakwa cabul anak jiran

WARTAWAN SINAR HARIAN
27 September 2012

AYER KEROH – Seorang peniaga makanan ringan mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan atas dakwaan mencabul seorang anak jirannya.

Hanafi Jojari, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Ida Rahayu Sharif semalam.

Mengikut pertuduhan, Hanafi didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dengan cara memeluk, meraba punggung dan cuba membuka baju mangsa dengan niat mahu mencabul.

Perbuatan itu dilakukan di Bukit Rambai, kira-kira jam 4.30 petang pada 22 September lalu.

Hanafi dituduh di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan dipenjara maksima 10 tahun atau denda atau sebatan atau kedua-duanya.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Inspektor Muhamad Juhari Haron, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Muhamad Juhari memohon mahkamah mengenakan jaminan RM5,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh memohon supaya jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Ida Rahayu membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan  menetapkan 31 Oktober depan tarikh sebutan semula kes.

Calon SPM maut kemalangan – Sinar Harian


Calon SPM maut kemalangan

WARTAWAN SINAR HARIAN
27 September 2012
Calon SPM maut kemalangan
ARIFFIN

TAPAH – Perjalanan seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke Sekolah Menengah Kebangsaan Buyong Adil, di sini, berakhir tragedi apabila terlibat dalam satu kemalangan maut di Kilometer 3.5 Jalan Tapah-Changkat Petai, Tapah Road, pagi semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 7.30 pagi itu melibatkan sebuah motosikal yang ditunggang mangsa dalam perjalanan ke sekolahnya.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superitenden Som Sak a/l Din Keliaw berkata, mangsa, Ariffin Ramli, 17, berasal daripada Kampung Batu 5, Tapah Road, menunggang motosikal jenis Yamaha.

Katanya, motosikal yang ditunggang mangsa dari arah Tapah Road ke Tapah secara tiba-tiba hilang kawalan setiba tempat kejadian.

Menurutnya, mangsa ketika itu menunggang di selekoh lokasi kejadian dengan keadaan jalan basah kerana hujan dan mengakibatkannya terbabas.

Beliau berkata,  motosikal yang ditunggang terlanggar besi penghadang di tepi jalan dan  mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mangsa dibawa ke Hospital Tapah bagi tindakan lanjut.

“Hasil bedah siasat mendapati  pelajar itu mengalami  kecederaan parah di  bahagian kepala.

“Jenazah mangsa telah dituntut oleh keluarganya untuk urusan pengebumian.

“Pihak kami menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian dan siasatan masih dijalankan di bawah Sekyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Kuning, Datuk Samsudin Abu Hassan turut melawat keluarga mangsa di Hospital Tapah, di sini, semalam.

Permohonan Masuk Ke Tingkatan Empat MRSM Dibuka 1 Oktober – Bernama


Khamis September 27, 2012
Permohonan Masuk Ke Tingkatan Empat MRSM Dibuka 1 Oktober

KUALA LUMPUR: Permohonan kemasukan ke Tingkatan Empat Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bagi tahun 2013 akan dibuka secara ‘online’ mulai 1 Oktober ini selama sembilan hari.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Bahagian Komunikasi Korporat Mara, permohonan dan keterangan lanjut boleh dibuat dengan melayari laman web, http://www.mara.gov.my.BERNAMA

Ambil langkah waspada – Metro


Ambil langkah waspada

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

IPOH: Guru dan pelajar sekolah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Tasek, di sini, masih bimbang dijangkiti wabak penyakit batuk kering atau tibi apabila mereka menggunakan alat penutup mulut dan hidung ketika berada di kawasan sekolah.

Malah, kebanyakan pelajar menggunakan penutup mulut sepanjang mengikuti sesi pembelajaran di dalam kelas selepas dinasihati ibu bapa masing-masing sebagai langkah pencegahan.
Salah seorang pelajar yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd, 16 berkata, walaupun khuatir terhadap penyakit berbahaya itu, dia terpaksa ke sekolah berikutan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan menjelang tidak lama lagi.

 

Menurutnya, dia mempunyai masa kira-kira sebulan untuk menyiapkan diri sebelum menempuh peperiksaan besar itu kelak.
“Kami dimaklumkan penyakit tibi ini sudah berkurangan dan semua pelajar sekolah dinasihati segera memaklumkan kepada guru sekiranya mengalami simptom batuk atau demam,” katanya. Bagaimanapun, ramai pelajar sekolah itu didapati tidak menghadiri sesi persekolahan atas nasihat ibu bapa masing-masing berikutan bimbang ia boleh menjejaskan kesihatan anak masing-masing.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon, meluangkan masa melawat sekolah berkenaan pagi semalam bagi meninjau keadaan dan mendapatkan maklumat terkini dari pihak sekolah.

 

 

Dia yang ditemui berkata, pelajar dan guru sekolah tidak perlu bimbang berikutan penularan penyakit itu berjaya dikawal segera dari merebak.
Menurutnya, salah seorang pelajar sekolah itu berusia 17 tahun dikenal pasti membawa wabak Tibi itu dan masih diberi rawatan susulan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

 

“Seramai 207 guru dan murid sekolah berkenaan yang mempunyai hubungan dengan pelajar terbabit sudah diberi ujian saringan perubatan,” katanya. “Sebelum ini, seramai 34 guru dan pelajar sekolah itu disyaki mengalami simptom Tibi berdasarkan pemeriksaan dan saringan kesihatan awal dilakukan. Namun 13 guru dan 21 murid terbabit disahkan tidak menunjukkan simptom penyakit Tibi dan dibenarkan meneruskan proses pembelajaran di sekolah,” katanya.
Beliau berkata, semua mereka diberi suntikan khas dan bacaan menunjukkan 34 sampel mereka negatif dan tidak mengandungi kuman tibi.
“Berdasarkan maklumat, tanda-tanda penyakit batuk kering adalah sering berpeluh tengah malam, kehilangan berat badan dan kerap batuk berkahak. Wabak ini mudah merebak melalui batuk dan selsema,’’ tambahnya.
Difahamkan wabak penyakit mencetuskan panik pada warga sekolah itu sejak Jumaat lalu apabila ratusan pelajar dibawa ke HRPB untuk mendapatkan rawatan.
Wabak berkenaan mula dibawa seorang pelajar tingkatan lima di sekolah itu selepas menerima jangkitan itu daripada bapanya yang juga seorang kontraktor berusia 47 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/27

14 lepas ujian tibi – Metro


14 lepas ujian tibi

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan mengesahkan sebanyak 14 mangsa yang disyaki mempunyai simptom penyakit batuk kering atau tibi membabitkan pelajar dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Tasek, Ipoh, Perak mempunyai keputusan negatif.

Menterinya, Datuk Seri Dr Liow Tiong Lai berkata, mengikut ujian saringan dijalankan terhadap 170 guru dan pelajar di sekolah itu pada 21 September lalu mendapati 34 daripada mereka mempunyai simptom tibi.
“Selepas ujian saringan, mereka turut menjalani ujian X-ray dan keputusan memaklumkan 14 bebas dari penyakit berbahaya itu. Menerusi keputusan ini, Kementerian Kesihatan berharap orang ramai tidak terlalu bimbang dengan situasi terbabit,” katanya ketika ditemui pada majlis Persidangan Kebangsaan Penyelidikan Klinikal (NCCR) kali keenam di sini, semalam.

 

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/27