Bajet 2013: Kakitangan awam diberi bonus satu setengah bulan – Sinar Harian


Bajet 2013: Kakitangan awam diberi bonus satu setengah bulan

WARTAWAN SINAR HARIAN
28 September 2012
Najib Tun Razak
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Budget 2013 di Bangunan Parlimen, petang ini.

SHAH ALAM – Bajet 2013 menyediakan bonus satu setengah bulan gaji bagi kakitangan awam, demikian diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Kerajaan telah pun membayar bonus setengah bulan kepada kakitangan awam sempena sambutan Aidilfitri lalu.

AKAN MENYUSUL

BR1M 2.0 rangkumi bantuan kepada individu bujang 21 tahun ke atas – Bernama


BR1M 2.0 rangkumi bantuan kepada individu bujang 21 tahun ke atas

2012/09/28 – 17:59:53 PMCetakEmel Kawan
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri hari ini mengumumkan pelaksanaan program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) buat kali kedua, dengan kriteria penerima diperluas kepada individu bujang berumur 21 tahun ke atas yang berpendapatan tidak lebih RM2,000 sebulan, yang akan menerima bantuan RM250.

Datuk Seri Najib Razak berkata, bantuan yang dikenali sebagai BR1M 2.0 itu membabitkan peruntukan RM3 bilion dan mula dibayar awal tahun depan itu akan memberi manfaat kepada 4.3 juta isi rumah serta 2.7 juta individu bujang.

Beliau berkata, bagi memudahkan pelaksanaan, penerima sebelum ini tidak lagi perlu mendaftar untuk kali kedua, manakala pemohon baru boleh mendaftar mulai November ini secara online atau datang sendiri ke kaunter di Pejabat Pembangunan Negeri, Pejabat Daerah dan Pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri di seluruh negara.

“Hakikatnya bantuan kepada isi rumah dan individu bujang ini bukanlah satu langkah populis, malah manifestasi sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan mampu mengurus kewangan negara dengan berhemah,” katanya semasa membentangkan Belanjawan 2013 di Dewan Rakyat di sini.

BR1M 2.0 adalah susulan kepada BR1M tahun ini yang menyaksikan kerajaan persekutuan memberi bantuan RM500 kepada setiap isi rumah berpendapatan RM3,000 sebulan ke bawah, yang dimanfaatkan oleh 4.3 juta isi rumah, yang membabitkan peruntukan kerajaan menjangkau hampir RM2.16 bilion.

Selain BR1M, kerajaan turut menampilkan beberapa lagi langkah bagi membantu meringankan bebanan rakyat seperti pengenalan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) dan banyak lagi.

Perdana Menteri berkata, kerajaan akan memperuntukkan RM386 juta untuk membuka 57 lagi KR1M di Sabah, Sarawak dan Labuan dalam usaha menyeragam harga barangan keperluan di kawasan itu dengan Semenanjung Malaysia, di samping merendahkan lagi harganya.
Beliau berkata secara umum harga barangan keperluan di kawasan itu adalah lebih mahal berbanding di Semenanjung Malaysia disebabkan kos penghantaran dan pengagihan yang tinggi, dan kerajaan menampilkan pelbagai inisiatif bagi menanganinya termasuk Program Penyeragaman Harga, pemberian subsidi pengangkutan dan pembukaan kedai KR1M.

Najib berkata, kerajaan juga akan menanggung kos penghantaran produk dari Semenanjung Malaysia ke Sabah, Sarawak dan Labuan, termasuk penghantaran ke kawasan pedalaman.

“Sebagai contoh di Ba’Kelalan, Sarawak, gas memasak 14 kg setong dijual pada harga RM70. Dengan program penyeragaman harga, gas memasak itu boleh dibeli hanya dengan harga RM26.60 setong,” katanya.

Najib berkata, bagi BB1M pula, program itu akan diteruskan kepada setiap penuntut Institusi Pengajian Tinggi dan pra-universiti dengan nilai baucar ditingkatkan daripada RM200 kepada RM250, dan langkah itu melibatkan peruntukan RM325 juta dan memanfaatkan 1.3 juta penuntut di seluruh negara. – BERNAMA

Pencen minimum pesara kerajaan naik kepada RM820: Najib – Bernama


Pencen minimum pesara kerajaan naik kepada RM820: Najib

2012/09/28 – 17:18:47 PMCetakEmel Kawan
KUALA LUMPUR: Kadar pencen minimum bagi pesara kerajaan yang berkhidmat sekurang-kurangnya 25 tahun akan dinaikkan daripada RM720 kepada RM820, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata pelarasan pencen itu akan mengambil kira bayaran pencen bermula 1 Januari 2013.

“Kerajaan tidak akan lupa jasa pesara yang pernah mencurahkan khidmat bakti dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada negara.

“Langkah ini melibatkan seramai 50,371 pesara, termasuk penerima pencen terbitan, dengan peruntukan tambahan sebanyak RM60 juta setahun,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2013 di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Sementara itu, kerajaan turut mencadangkan pengurangan caj bayaran pemprosesan pasport berkuatkuasa Januari 2013 dalam usaha mengiktiraf golongan warga emas.

Najib berkata, caj bayaran pemprosesan pasport untuk tempoh sah laku selama lima tahun bagi warga emas akan dikurangkan sebanyak 50 peratus daripada RM300 kepada RM150.

“Manakala, bagi caj bayaran pengurusan pasport untuk tempoh dua tahun dikurangkan kepada RM80,” katanya.
Tambahnya, pengurangan caj bayaran pasport itu turut diperluaskan kepada kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah. – BERNAMA

Galak anak berpeluh dengan bersukan – Bernama


Galak anak berpeluh dengan bersukan

28 September 2012

KUALA LUMPUR – Dunia kanak-kanak adalah dunia yangsepatutnya dipenuhi dengan pelbagai aktiviti bermain. Usah disekat-sekat kerana fitrahnya kanak-kanak itu akan bermain, berlari, melompat dan pelbagai lagi aktiviti lasak yang ingin mereka terokai.

Sayangnya, tidak semua kanak-kanak berpeluang melakukan aktiviti luar. Hari ini, lebih ramai yang gemar bermain di hadapan komputer, PSP atau paling kurang pun permainan XBOX yang memberi peluang mereka bergerak dan sekurang-kurangnya bersenam dalam rumah.

Persolan yang timbul, adakah kesibukan ibu bapa hari ini menyekat keperluan anak untuk bermain dan bersosial bersama rakan sebaya?

Ibu bapa hari ini perlu lebih kreatif mencari peluang dan ruang untuk anak berpeluh. Jika faktor keselamatan yang dibimbangkan, terdapat banyak kem dan klinik sukan yang sering dianjurkan oleh pelbagai pertubuhan dan persatuan.

Mungkin peluang keemasan menerusi program Play More Learn More (PMLM) anjuran Nestle Product Sdn Bhd boleh disertai anak yang gemarkan aktiviti luar.

Kempen PMLM Milo@Nestle pada dasarnya menepati konsep pembangunan sukan remaja di Malaysia dan menyasarkan kepada kanak-kanak sekolah rendah. Antara yang telah berlangsung ialah Kem PMLM di Johor, Terengganu dan Selangor.

Kem sukan ini adalah satu usaha berterusan daripada Nestle dengan kerjasama pihak sekolah, ibu bapa dan kelompok masyarakat setempat. Dimulakan sejak tahun 2009, kempen berbentuk kem dan klinik sukan ini bertujuan menggalakkan kanak-kanak menceburi bidang sukan dan menjalani hidup yang seimbang dan tidak hanya tertumpu kepada pelajaran semata-mata.

Bermain bina kemahiran sosial

Dalam kem tersebut, kanak-kanak ini berpeluang mendapat tunjuk ajar secara langsung daripada atlet-atlet profesional negara.

Antaranya ialah atlet bola keranjang negara, Peter Ng.

Ng, 23, pelajar tahun dua jurusan Sukan Rekreasi UPM dan boleh dijadikan contoh remaja yang membesar dengan memiliki kebebasan bermain.

Bagi Ng secara tidak langsung kebebasan tersebut menyebabkan minda dan tubuhnya cerdas. Kesannya beliau dapat menumpukan perhatian dalam pelajaran.

Mengakui galakan ibu bapa serta guru adalah pendorong kejayaannya dalam sukan dan akademik, Ng berkata sokongan keluarga dari sudut menyediakan kelengkapan seperti kasut dan pakaian yang sesuai sejak di sekolah rendah adalah antara faktor yang mendorong beliau bermain dan belajar bersungguh-sungguh.

Anak kelahiran Sibu ini menyokong sepenuhnya kempen PMLM ini berikutan ia mengajar kanak-kanak akan teknik asas dalam bersukan.

Program ini, menurut Ng, memberi ruang kepada kanak-kanak untuk belajar dengan cara yang menyeronokkan. Malah ia pendekatan positif untuk perkembangan kesihatan dan pendidikan.

“Mereka juga belajar cara berkomunikasi dan membina hubungan sosial dengan keluarga dan rakan dengan cara yang menyeronokkan.

Peserta ditunjukkan teknik-teknik sebenar dalam permainan yang mereka sertai. Selain menambah pengetahuan tentang disiplin berpasukan, mereka turut dilatih untuk membentuk sahsiah diri dan kebolehan bersosial.

“Banyak yang saya pelajari melalui bersukan. Di sinilah tempatnya untuk kita membina persahabatan dan perasaan hormat menghormati.

“Dalam acara berpasukan pula, secara tidak langsung sifat kepimpinan juga terbentuk menerusi kerjasama berpasukan. Paling utama, ia juga membentuk keyakinan diri kepada individu terutama kanak-kanak yang sedang membesar,” tambah Ng.

Ng mengakui zaman kanak-kanak adalah zaman yang indah untuk dikenang jika mereka diberi peluang bermain sepuas-puasnya. Ia menjadi lebih bermakna dengan adanya sokongan dan galakan daripada individu berpengalaman sehingga hobi bermain bola keranjang akhirnya membawa Ng menjadi pemain profesional.

Gilap potensi anak

Bagi ibu bapa yang ingin melihat potensi anak mereka berkembang, kem PMLM mungkin boleh menjadi titik mula buat mereka. Setidak-tidaknya mereka berpeluang mempelajari kemahiran bersosial.

Program PMLM memberi peluang peserta mempelajari teknik asas bermain bola sepak, bola jaring, ping pong, futsal dan bola keranjang yang mendapat tunjuk ajar jurulatih pakar sukan tersebut.

Pertandingan turut dilangsungkan sebaik selesai klinik sukan. Pada akhir setiap kem, kanak-kanak ini akan mewakili pasukan masing-masing dalam perlawanan persahabatan yang diadakan.

Berilah anak bermain dan belajar sepuas-puasnya, bukankah ia satu perkara yang menyeronokkan mereka? Inilah peluang mereka mempelajari kemahiran yang boleh digunakan sepanjang hayat.

Kepada ibu bapa yang berminat dengan program ini, maklumat lanjut boleh didapati di <http://www.facebook.com/MiloMalaysia&gt;. Ibu bapa diharap sentiasa menggalakkan anak bermain dan berpeluh kerana bersukan adalah satu daripada cara yang dapat menghilangkan stres anak. – Bernama

BAJET 2013 – Petang Ini!


BAJET 2013 – Petang Ini!

Jam 3.30 petang ini, Bajet 2013 akan dibentangkan oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak.

Teks Ucapan Bajet 2013

Teks Ucapan Bajet 2013 boleh diperolehi oleh orang ramai pada 28 September 2012 jam 5.30 petang di Lobi, Blok Tengah, Kementerian Kewangan, Presint 2, Putrajaya.

Teks Ucapan Bajet 2013 dan Lampiran boleh dimuat turun melalui Laman Rasmi Bajet 2013 http://www.treasury.gov.my pada jam 6.00 petang. Teks ini juga boleh dimuat turun melalui laman web agensi-agensi Kementerian Kewangan seperti berikut:

Jabatan Kastam Di Raja Malaysia
www.customs.gov.my
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia
www.hasil.gov.my
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia
www.sc.com.my
Bank Negara Malaysia
www.bnm.gov.my

Laporan Ekonomi 2012/2013

Laporan Ekonomi 2012/2013 boleh dimuat turun melalui Laman Rasmi Bajet 2013 pada 28 September 2012 sejurus selepas YAB Dato’ Sri Mohd Najib Bin Haji Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan membentangkan ucapan.

Buku Laporan Ekonomi 2012/2013 boleh dibeli dengan harga RM55.00 pada 28 September 2012 bermula jam 5.00 petang di Lobi Kementerian Kewangan Malaysia, Kedai PNMB Putrajaya, No 72, Jalan Diplomatik, Presint 15 (Presint Diplomatik), 62050 Putrajaya, Tel: 03-88811970 dan Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB), Jalan Chan Sow Lin, 50554 Kuala Lumpur, Tel: 03-92366888 atau layari laman web http://www.printnasional.com.my untuk maklumat lanjut.

Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2013

Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2013 boleh dimuat turun melalui Laman Rasmi Bajet 2013 pada 28 September 2012 sejurus selepas YAB Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan membentangkan ucapan.

Saluran Media

Ucapan Bajet 2013 juga boleh diikuti melalui saluran media berikut:

Saluran Video

Saluran Radio

*** Saluran Media ini hanya boleh diikuti dengan menggunakan pelayar Mozilla Firefox sahaja

pic

Mobile Bajet 2013

Kandungan Laman Rasmi Bajet 2013 juga boleh dilayari melalui peranti mudah alih dengan menaip alamat URL seperti berikut: http://www.treasury.gov.my/bajetmobile

pic

Perisian

Perisian-perisian berikut adalah perlu untuk membaca teks ucapan dan laporan ekonomi dan juga mengikuti secara langsung Ucapan Bajet 2013.

Kementerian Akan Latih Guru Bahasa Di Sekolah Vernakular – mStar


Kementerian Akan Latih Guru Bahasa Di Sekolah Vernakular

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran sedia melatih guru-guru Bahasa Malaysia di sekolah-sekolah vernakular bagi memastikan bahawa subjek tersebut boleh diajar dengan berkesan.

Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata program latihan Bahasa Malaysia adalah selaras dengan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan Negara 2013-2025, yang bertujuan untuk menyeragamkan pengajaran Bahasa Malaysia di sekolah-sekolah vernakular dengan sekolah kebangsaan pada tahun 2014.

“Dengan latihan, guru akan menjadi lebih dekat dengan pelajar, di mana keperluan dan kehendak setiap pelajar dapat dipenuhi,” katanya pada Bahasa 2012 dan Sastera Festival penyampaian hadiah majlis di Dewan Bahasa dan Pustaka di sini.

“Dalam melaksanakan Bahasa Malaysia standard kurikulum, pelajar-pelajar di sekolah Tamil dan Cina dengan masalah dalam Bahasa Malaysia akan diberi bimbingan dalam kelas pemulihan, yang akan diadakan sekurang-kurangnya lima kali seminggu.

“Jika perlu, guru-guru Bahasa Malaysia akan dihantar ke sekolah-sekolah vernakular untuk menyelesaikan masalah kekurangan guru di sana,” katanya.

Pada kejayaan kumpulan pelajar pro-establishment dalam pilihan raya kampus universiti awam, Muhyiddin berkata ia boleh menjadi tanda bahawa pelajar telah menyokong kerja Kerajaan dan usaha untuk negara.

“Kami berharap mereka akan menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik kerana mereka adalah pemimpin masa depan kita,” kata Muhyiddin.

Kavyan sokong selaraskan subjek BM di SK, SJK – Sinar Harian


Kavyan sokong selaraskan subjek BM di SK, SJK

UTHAYA SANKAR SB
28 September 2012

KETIKA berucap pada majlis perasmian penutupan Festival Bahasa dan Sastera di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 27 September 2012, Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan bahawa kerajaan bercadang melaksanakan kurikulum Bahasa Malaysia yang sama dengan Sekolah Kebangsaan (SK) untuk murid di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), bermula dengan murid kohort Tahun Empat pada 2014.

Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang diasaskan pada 1999 menyokong penuh langkah ini ke arah memartabatkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi, bahasa komunikasi dan bahasa kebangsaan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum; termasuk di sekolah beraliran bahasa ibunda.

Kavyan berpendapat bahawa belum terlewat untuk menyelaraskan standard mata pelajaran Bahasa Malaysia di SK, SJKT dan SJKC. Hal ini memandangkan jurang antara ketiga-tiga aliran itu perlu dikurangkan dan cara paling mudah adalah dengan menyamakan standard mata pelajaran Bahasa Malaysia.

Buat masa ini, UPSR bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia juga dilaksanakan dalam tiga tahap berbeza bagi murid SK, SJKC dan SJKT. Kavyan berpendapat bahawa amalan itu perlu dihentikan kerana secara tidak langsung, hak kanak-kanak pelbagai kaum di sekolah berlainan aliran untuk menguasai Bahasa Malaysia seperti dinafikan menerusi sistem pendidikan yang berbeza.

Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, dengan peningkatan penguasaan Bahasa Malaysia dalam kalangan murid SJKC dan SJKT, dijangkakan kelas-kelas peralihan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di seluruh negara akan dapat dimansuh menjelang 2017.

Kavyan juga sangat mengalu-alukan dan sangat menyokong pemansuhan kelas peralihan secara sepenuhnya. Pada pendapat Kavyan, tidak ada alasan mengapa murid yang belajar di Malaysia perlu memberi – atau diberi – alasan belum menguasai Bahasa Malaysia dan perlu mengikuti kelas peralihan selama setahun sebelum masuk ke Tingkatan Satu di SMK.

Kavyan juga bersetuju dengan cadangan Menteri Pelajaran iaitu  murid-murid SJKC dan SJKT yang mempunyai masalah dalam pembelajaran Bahasa Malaysia diberi sokongan yang secukupnya melalui kelas-kelas pemulihan yang diadakan sehingga lima jam seminggu.

Sejak 1999, Kavyan terlibat dalam mengendalikan pelbagai acara ke arah memartabatkan Bahasa Malaysia di SK, SJKT dan SJKC. Berdasarkan pengalaman itu, Kavyan bersedia membantu Kementerian Pelajaran bagi menjayakan hasrat meningkatkan penguasaan Bahasa Malaysia dalam kalangan murid-murid pelbagai kaum di SK, SJKC dan SJKT.

Kavyan juga berharap, guru-guru Bahasa Malaysia di SJKC dan SJKT diberikan latihan tambahan sebagai persediaan untuk memblehkan mereka mengendalikan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) secara benar-benar berkesan, selaras hasrat kerajaan memartabatkan Bahasa Malaysia di sekolah beraliran bahasa ibunda.

Ke arah itu, Kavyan juga bersedia mengendalikan latihan berupa program Latihan Dalam Perkhidmatan bagi para guru terbabit di seluruh negara. Kavyan bersedia berkongsi pengalaman, ilmu dan panduan menjadikan P&P lebih menarik dan berkesan; khususnya di SKJC dan SJKT.

Kavyan yang menggunakan slogan “Bahasa Malaysia, Bangsa Malaysia” terdiri daripada sekumpulan penulis dan peminat sastera Bahasa Malaysia dalam kalangan kaum India. Sejak November 2011, keahlian Kavyan terbuka kepada masyarakat pelbagai kaum sebagai usaha mendaulatkan Bahasa Malaysia ke arah pembinaan Bangsa Malaysia menerusi karya sastera kebangsaan.
Uthaya Sankar SB, Presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan)

83 murid keracunan makanan – Sinar Harian


83 murid keracunan makanan

WARTAWAN SINAR HARIAN
28 September 2012
Ahmad
Ahmad masih keletihan akibat keracunan selepas minum susu kotak di sekolah, semalam.

MUAR – Seramai 83  murid Sekolah Rendah Kebangsaan Parit Setongkat, Jalan Salleh di sini mengalami cirit-birit dan muntah dipercayai akibat keracunan makanan dalam kejadian pagi semalam.

Kejadian dilaporkan berlaku pada jam 10.30 pagi, iaitu kira-kira setengah jam selepas sekumpulan murid berkenaan diberikan minuman susu kotak secara percuma pada waktu rehat dan kemudiannya mengadu sakit perut dan mengalami muntah-muntah.

Difahamkan daripada kira-kira 950 murid di sekolah berkenaan yang diberikan susu tersebut, hanya 83 murid yang melibatkan murid darjah satu hingga darjah enam mengalami keracunan makanan.

Sekumpulan kakitangan Pusat Kesihatan daerah dikejarkan ke sekolah berkenaan untuk merawat murid-murid yang terlibat dengan  memberikan suntikan dan ubat kepada mereka yang ditempatkan dalam bilik Kemahiran Hidup.

Tinjauan Sinar Harian ke sekolah berkenaan mendapati kantin sekolah sedang dibersihkan dan kerja-kerja membuang bekalan susu  giat dijalankan.

Namun pihak sekolah enggan mengulas lanjut mengenai kejadian itu.

Dalam pada itu, Sinar Harian turut berusaha mendapatkan kenyataan dari Pusat Kesihatan Muar, namun  gagal kerana menyatakan kes tersebut masih dalam siasatan dan belum disahkan sama ada benar-benar disebabkan oleh susu kotak berkenaan ataupun sebaliknya.

Salah seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 10, berkata, selepas setengah jam minum susu itu, tiba-tiba tekaknya berasa loya dan disertai sakit perut yang memulas.

Menurutnya, ketika itu dia berada dalam kelas untuk mengikuti sesi pembelajaran seterusnya.  Pada mulanya dia menyangka sakit biasa tetapi sakit itu  menyerang kali kedua hingga memaksanya berlari ke tandas.

“Dalam tandas saya muntah sebanyak tiga kali dan cirit birit dua kali. Saya berasa sangat lemah, namun tetap  menggagahkan diri masuk ke dalam kelas.

“Di dalam kelas beberapa rakan lain turut mengalami masalah yang sama sehingga memaksa guru membawa kami ke dalam bilik lain untuk rawatan,” katanya.

Katanya lagi, selepas diberikan suntikan dan ubat oleh petugas kesihatan, keadaannya beransur pulih dan dibenarkan pulang ke rumah.

Ibu kepada Ahmad yang enggan dikenali berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan anaknya mengalami keracunan makanan selepas  minum susu sebaik pulang daripada sekolah.

“Namun saya sangat bersyukur kerana dia selamat dan keracunan yang dialaminya tidak serius,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr Robia Kosai ketika dihubungi berkata,  pihak sekolah perlu untuk memastikan semua bekalan makanan dan minuman di sekolah sentiasa bersih serta segar.

“Masalah keracunan makanan ini mesti diselesaikan segera kerana ia melibatkan kanak-kanak.

“Kanak-kanak memerlukan persekitaran sekolah dan suasana pembelajaran yang selesa untuk supaya tumpuan terhadap pelajaran tidak terjejas,” katanya

Pemandu bas mengaku tidak bersalah rogol budak 13 tahun – Bernama


Pemandu bas mengaku tidak bersalah rogol budak 13 tahun

28 September 2012

KUANTAN – Seorang pemandu bas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tuduhan merogol seorang budak perempuan berusia 13 tahun pada Julai lalu.

Sauruddin Anuar Mohidin, 39, dari Endau, Rompin, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran Bazilla, B 244, Jalan Bypass-Kuantan pada 9 pagi, 27 Julai lalu.

Dia yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara 20 tahun dan sebatan jika  sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Amalina Zainal Mokhtar kemudian memohon wang jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap tertuduh.

Mohd Azhar membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin selepas tertuduh merayu agar jumlah itu dikurangkan dengan alasan empat anaknya masih bersekolah, isteri tidak bekerja dan  pendapatannya sebagai pemandu bas hanya RM1,000 sebulan.

Mohd Azhar menetapkan 29 September ini untuk sebutan semula kes. – Bernama

Kena cekup dalam sekolah, cubaan lari gagal – Sinar Harian


Kena cekup dalam sekolah, cubaan lari gagal

WARTAWAN SINAR HARIAN
28 September 2012
Kena cekup dalam sekolah, cubaan lari gagal
Suspek (kanan) dibawa ke Balai Polis Padang serai sebelum dipindahkan ke IPD Kulim untuk siasatan lanjut.

KULIM – Seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun ditahan di tempat meletak motosikal sekolahnya di sini dipercayai menaiki motosikal menggunakan enjin curi kira-kira jam 1.15 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, ketika serbuan dibuat, suspek sedang menunggang motosikal dan cuba keluar dari kawasan sekolah.

Menurutnya, menyedari kehadiran polis yang datang menghampirinya, suspek melarikan diri bagaimanapun polis yang turut menunggang motosikal berjaya memintas suspek sebelum ditahan.

“Dari pemeriksaan dijalankan mendapati rangka motosikal digunakan suspek adalah motosikal jenis lain manakala enjinnya pula dilaporkan hilang beberapa bulan lalu di Tanjung Tokong, Pulau Pinang.

“Suspek mengaku membeli casis motosikal itu dengan harga RM140 dari seorang pengusaha bengkel motosikal, manakala enjinnya dibeli dengan harga RM40 dari seorang kenalan,” katanya kepada Sinar Harian.

Ghuzlan berkata, suspek kemudiannya dibawa ke Balai Polis Padang Serai sebelum dipindahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 379 (a) Kanun Keseksaan kerana mencuri motosikal.

“Polis sedang memantau beberapa sekolah di mana ada dalam kalangan pelajarnya menggunakan motosikal curi.

“Mencuri motosikal adalah satu perlakuan jenayah serius dan ia boleh dihukum dengan penjara atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau menasihatkan ibu bapa supaya prihatin terhadap kenderaan digunakan anak mereka kerana kebanyakan remaja kini membeli alat ganti dipercayai barang curi.

Menurutnya, sehingga kini polis sudah menahan beberapa pelajar sekolah kerana terlibat dalam kegiatan mencuri dan menggunakan motosikal  curi di sekitar Kulim dan mereka sudah dihadapkan ke mahkamah.

“Pelajar sekolah bukanlah satu lesen untuk membolehkan mereka melakukan jenayah. Undang-undang tidak mengenal usia dan siapa mereka.

“Sekiranya mereka didapati memiliki motosikal atau alat ganti dikhuatiri dicuri, polis akan mendakwa mereka di mahkamah,” katanya.