Mogok lapar, bangunan sekolah tidak dibina – Sinar Harian


Mogok lapar, bangunan sekolah tidak dibina

WARTAWAN SINAR HARIAN
30 September 2012
Mogok lapar, bangunan sekolah tidak dibina
Ibu bapa melakukan demonstrasi aman di hadapan sekolah terbabit.

KUALA PILAH – Hasrat lebih 200 ibu bapa murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Kuala Pilah untuk melihat bangunan sekolah baru dibina masih lagi kabur apabila permohonan mereka dipandang sepi.

Malah rata-rata mereka melahirkan rasa kecewa dan menuntut pembinaan bangunan baru sekolah itu demi masa depan anak-anak mereka.

Jika pihak berkaitan tidak mengambil serius perkara itu, ibu bapa SJKT ini akan membuat mogok lapar dan menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Sekolah yang dibina sejak 1954 itu hanya mempunyai keluasan tanah 0.2 hektar sahaja sekali gus menimbulkan rasa tidak selesa kepada 183 murid.

Pelbagai masalah timbul seperti ruang bilik darjah sangat sempit dan tidak menepati skala ditetapkan, malah lebih mengecewakan tandas pelajar serta guru terlalu hampir dengan bilik darjah sekali gus mengundang bau busuk.

Bapa, T Paramanathan, 45, berkata, kedudukan bilik darjah tahun enam dan prasekolah juga terlalu dekat dengan kantin sekali gus menimbulkan rasa tidak selesa kerana terlalu bising.

“Murid tidak dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran kerana keadaan yang sangat bising selain bilik darjah yang sempit. Di samping itu, pencahayaan bilik darjah juga berkurangan dan kadangkala terpaksa memasang lampu meskipun waktu siang.

“Pihak Jabatan Kesihatan juga mengesahkan ke semua bilik darjah tidak menepati spesifikasi kecerahan kelas. Justeru itu, perkara ini perlu diberi perhatian oleh pihak kerajaan,” katanya.

Menurutnya, isu tanah dan pembinaan bangunan baru SJKT itu sudah dipanjangkan kepada Pejabat Pelajaran Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan (JPNS), pemimpin kawasan, MIC, Menteri Besar Negeri Sembilan dan kepada Perdana Menteri.

“Meskipun kami berusaha memanjangkan perkara ini kepada pihak berkaitan, namun isu terbabit masih belum ada jalan penyelesaian yang membanggakan.
“Kami (ibu bapa) dan masyarakat India, di sini berasa amat kecewa dan bimbang dengan masa depan anak-anak kami,” katanya.

Paramanathan berkata, baru-baru ini, pihak Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan dan unit pembangunan dari Putrajaya serta JPNS berkunjung ke SJKT terbabit.

“Mereka memberitahu kepada kami mengenai tiga perkara iaitu sekolah ini tidak dapat dibina pada masa sekarang dan berkemungkinan pada 2014 atau 2015. Sekolah ini juga tidak akan dibina pada tapak sedia ada dan berpindah ke kawasan lain.

“Selain itu, sumbangan Community Chest dari Genting Highland sebanyak RM1.5 juta tidak akan dibenarkan untuk digunakan bagi pembinaan bangunan baru sekolah tersebut. Kami amat kecewa di atas jawapan yang diberikan oleh mereka,” katanya.

Sementara itu, N Gayatir, 26, berkata, dia juga tidak bersetuju dengan jawapan yang diberikan  pihak berkaitan.

“Saya tidak mahu sekolah ini dibina di tempat lain kerana ia akan menyusahkan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka.

“Saya pernah bersekolah di sini, memang sehingga kini tiada perubahan langsung dan ia sama sahaja sejak dibina pada 1954. Saya difahamkan, semua tapak sekeliling sekolah dibeli oleh pihak swasta dan hanya satu-satu sahaja tapak sekolah milik kerajaan. Jika tempat ini dibangunkan, sekolah ini bagaimana pula statusnya?,” katanya.

Manakala, M Tamilselvan, 48, berkata, pihak berkenaan perlu memandang serius perkara itu.

“Pihak kerajaan khususnya perlu membantu kami kerana kami mengundi mereka. Jika kebajikan masyarakat India tidak dibela, siapa lagi kami mahu minta pertolongan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Senawang, P Gunasekaran berkata, pihaknya sudah menghantar surat kepada JPNS berhubung masalah lokasi sebenar tanah dan peruntukan yang dikhaskan untuk SJKT.

“Saya sudah menghantar surat pada 2010 kepada JPNS selaku wakil kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah ini. Saya menegaskan, pihak berkaitan perlu tampil ke hadapan untuk memberitahu lokasi sebenar ,” katanya.

Katanya, pihak kerajaan perlu memandang serius perkara itu supaya ibu bapa tidak rasa terabai dan tertipu.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s