Tujuh sekolah terlibat program perintis golf peringkat akar umbi – Bernama


Tujuh sekolah terlibat program perintis golf peringkat akar umbi

30 September 2012

PETALING JAYA – Tujuh buah sekolah terpilih di Kuala Lumpur dan Selangor akan terlibat dalam program perintis sukan golf peringkat akar umbi kelolaan Persatuan Golf Malaysia (PGM) dan Kementerian Pelajaran.

Sekolah berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Utama Damansara II, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St John, SMK Sri Hartamas, SMK Jalan Empat Bandar Baru Bangi, SK Bukit Damansara, SK St John I dan SK Saujana Impian.

Naib Presiden PGM Datuk Mohamed Zain Yusuf berkata program pembangunan golf di tujuh sekolah terpilih itu akan dibiayai sebahagiannya melalui peruntukan kerajaan sebanyak RM500,000 setahun.

Beliau berkata setiap sekolah terpilih itu akan memilih maksimum seramai 35 pelajar menyertai program tersebut.

“Mereka (murid) akan melakukan latihan dan diberi pendedahan asas tentang golf di padang sekolah masing-masing dalam masa tiga atau empat bulan sebelum memulakan latihan intensif di pusat golf berdekatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan kelab golf SK Bandar Utama Damansara II di sini hari ini.

Mohamed Zain berkata PGM menyumbang dua set kayu golf kepada setiap sekolah terpilih untuk permulaan.

“Kita berharap dengan adanya program ini, pemain profesional bertaraf antarabangsa dapat dilahirkan dan mewakili negara di Sukan Olimpik pada 2020,” katanya.

Beliau berkata sokongan dan penglibatan syarikat korporat penting untuk menjayakan program pembangunan golf peringkat akar umbi itu.

“Kita masih mempunyai masalah mengenai kos pengangkutan, persatuan berharap program ini mendapat perhatian syarikat korporat di Malaysia untuk menyuntik semangat golongan muda bergiat dalam sukan golf.

“Peruntukan yang ada masih belum mencukupi untuk menanggung kesemua kos berkaitan dengan program perintis ini. Kos melibatkan sewa bas sahaja melibatkan satu jumlah agak besar bagi satu sekolah. Jadi kita harap ada pihak di luar sana tampil termasuk ibu bapa bersama dengan persatuan menjayakan program perintis ini,” katanya.

Mohamed Zain berkata PGM telah memberi latihan khusus sukan golf kepada 44 guru di seluruh negara sejak akhir tahun lepas. – Bernama

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s