KARNIVAL KERJAYA PERKHIDMATAN AWAM – SPP


KARNIVAL KERJAYA PERKHIDMATAN AWAM

KARNIVAL KERJAYA PERKHIDMATAN AWAM
 

Karnival Kerjaya Perkhidmatan Awam akan diadakan di Foyer, Bangunan Persekutuan Ipoh (Greentown), Jalan Dato’ Seri Ahmad Said 30450 Ipoh, Perak pada 3 dan 4 Oktober 2012 (Rabu dan Khamis) dari jam 9.00 pagi hingga 4.00 petang.

Muat naik pada 27 September 2012

SEMAKAN KEPUTUSAN DAN PENEMPATAN PROGRAM PENSISWAZAHAN GURU (PPG) AMBILAN 2/2012 KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA


SEMAKAN KEPUTUSAN DAN PENEMPATAN PROGRAM PENSISWAZAHAN GURU (PPG) AMBILAN 2/2012 KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

Semakan keputusan dan penempatan bagi Program Pensiswazahan Guru (PPG) ambilan 2/2012 telah dibuka untuk disemak. Untuk semakan lanjut klik link di bawah.

KLIK DI BAWAH
 

Jika tidak dapat klik, anda boleh melawat terus di sini. http://apps.moe.gov.my/kdp/ppg92012/ppgtawar/

Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Bahagian Pendidikan Guru di talian
03-8884 1242 / 1260 / 1245 / 1228 / 1272

Cuepacs mohon bonus dikecuali cukai – Bernama


Cuepacs mohon bonus dikecuali cukai

1 Oktober 2012
logo cuepacs
Cuepacs

 

KUALA LUMPUR – Cuepacs memohon agar bonus kepada penjawat awam pada  Disember dan Januari ini, dikecualikan daripada cukai pendapatan.
Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, penjawat awam sememangnya amat menghargai keputusan kerajaan memberi bonus satu setengah bulan, iaitu yang terbaik pernah diberikan setakat ini.
“Kalau boleh dipertimbangkan, berilah bonus yang ‘solid’,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentang Belanjawan 2013 yang bertema ‘Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat: Sebuah Janji Ditepati’ di Dewan Rakyat, mengumumkan pemberian bonus satu setengah bulan kepada penjawat awam, dengan bonus setengah bulan sudah diberikan Ogos lepas.
Sementara itu, merujuk pengumuman Perdana Menteri berhubung peruntukan RM1.9 bilion kepada Perbadanan Perumahan 1Malaysia (PR1MA), Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) dan Jabatan Perumahan Negara bagi memulakan inisiatif membina 123,000 unit rumah mampu milik di kawasan strategik, Omar berkata, pihaknya menyambut baik langkah itu kerana dapat membantu penjawat awam memiliki kediaman sendiri.
Beliau berkata, bagaimanapun, pihaknya meminta kerajaan memberi perhatian terhadap beberapa perkara bagi memastikan inisiatif itu dapat memberi nikmat paling maksimum kepada orang ramai.
Omar juga berharap pihak yang terbabit dengan inisiatif perumahan itu dapat memberi pinjaman 100 peratus kepada pembeli, iaitu pembeli tidak perlu membayar 10 atau 20 peratus daripada harga rumah.
Katanya, selain itu, kerajaan perlu memastikan pembeli adalah dari kalangan mereka yang belum memiliki kediaman sendiri, dan unit rumah tersebut pula diharap dapat disiapkan sepenuhnya sebelum dijual. – Bernama

Polis Tahan Lima Lelaki Culik Remaja – Bernama


Polis Tahan Lima Lelaki Culik Remaja

 

Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim menunjukkan wang tebusan yang berjaya ditemui semula selepas berjaya menahan lima lelaki termasuk seorang warga Myanmar yang disyaki terbabit menculik seorang remaja lelaki berumur 13 tahun di Jalan Kampung Pisang, Alor Setar, Kedah, Selasa lepas pada sidang media Ahad. -fotoBERNAMA

 

ALOR SETAR: Polis menahan lima lelaki termasuk seorang warga Myanmar yang disyaki terbabit menculik seorang remaja lelaki berumur 13 tahun di Jalan Kampung Pisang di sini, pada Selasa lepas.

Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata dua suspek diberkas di sini pada malam Khamis dan tiga lagi ditahan di sebuah kuil di Sungai Petani, dua malam lepas.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kesemua suspek berumur 20-an hingga 50-an itu menculik remaja tersebut di Jalan Kampung Pisang ketika mangsa pulang dari pusat tuisyen kira-kira pukul 10 malam.

“Selepas menculik, suspek menghubungi keluarga remaja itu kira-kira pukul 11 malam hari yang sama menuntut wang tebusan sebanyak RM500,000.

“Penculik bagaimanapun bersetuju menerima RM350,000 setelah berunding dengan keluarga remaja tersebut dan membebaskannya pada Khamis lepas setelah menerima wang tebusan,” katanya kepada pemberita, di sini, Ahad.

Ahmad berkata remaja tersebut kini masih dalam keadaan trauma.

Katanya hasil laporan yang dibuat keluarga remaja berkenaan, polis berjaya menahan kesemua suspek dan menemui wang tebusan sebanyak RM349,700.

Beliau berkata kesemua suspek ditahan reman mulai semalam sehingga Khamis ini.

Katanya polis masih menyiasat sama ada kelima-lima suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan menganggap kes itu selesai dengan penahanan kesemua lelaki terbabit.BERNAMA

Ibu kendong tiga anak redah asap – Sinar Harian


Ibu kendong tiga anak redah asap

NIK MUHD RAFIQ ABD GHANI
1 Oktober 2012
Hasmah tidak dapat menahan sebak apabila melihat rumah sewanya hangus depan mata.
Hasmah tidak dapat menahan sebak apabila melihat rumah sewanya hangus depan mata.
rumah terbakar
Ketua Cawangan Pas Alor Tembesu, Hassan Abdul Aziz (kiri) dan Ketua Umno Cawangan Alor Tembesu, Ramlee Abdul Rahman (dua,kiri) sepakat menyelesaikan masalah dihadapi Hasmah.
rumah terbakar
Anggota bomba dibantu orang awam bertungkus lumus memadamkan api yang turut memusnahkan sebahagian besar struktur kediaman banglo dua tingkat milik pasangan Mohd Nasir dan Norai

Dungun – Tindakan nekad seorang ibu mengendong tiga anaknya termasuk dua pasangan kembar meredah asap berjaya menyelamatkan diri daripada disambar api yang marak dengan cepat selepas rumah mereka terbakar, dalam satu tragedi kebakaran di sini, petang semalam.

Kejadian kira-kira jam 3.40 petang itu dipercayai berlaku ketika Hasmah Kadmin, 48, bersama tiga anaknya, Putra Alis, 8, dan pasangan kembar, Putri Shalwani, 4, serta Putri Shalwana sedang berada di ruang tamu di rumah sewanya, dekat sini.

Seorang lagi anak lelakinya, Mohd Nor Hafiz Syekih,19, difahamkan berada di tempat kerjanya di Batu 48.

Menurut Hasmah yang bekerja sebagai pembantu kedai, ketika kejadian dia tidak bekerja dan sedang melihat anaknya melukis sebelum tiba-tiba melihat percikan api dari bahagian siling rumah.

Hasmah berkata, seketika kemudian, api tiba-tiba semakin besar lalu marak dengan cepat sehingga menyambar siling rumah menyebabkan dia bertindak memaut tiga anaknya meredah asap sebelum berlari keluar sambil menjerit meminta tolong jiran.

Katanya, biarpun menyedari bahaya yang bakal menimpa, namun demi keselamatan anaknya, dia sanggup meredah asap lalu berjaya keluar daripada kawasan rumah yang letaknya kira-kira 50 meter dari jalan berturap itu.

“Tanpa berfikir panjang, saya terus berlari keluar menyelamatkan diri sambil mengendong tiga anak saya.

“Masa itu, saya hanya ingat Tuhan yang boleh selamatkan anak-anak saya,” kata Hasmah yang masih hiba dengan tragedi berkenaan.

“Bagaimana nak ke mahkamah”

Hasmah berkata, lebih memeritkan apabila tugas menggalas tanggungjawab menyara keluarga kini terletak atas bahunya berikutan suaminya kini sedang menjalani tahanan di penjara atas kesalahannya mencederakan dan hampir membunuh seorang anaknya, dua minggu menjelang Aidilfitri lalu.

Menurutnya, keesokan harinya (hari ini) dia sepatutnya memberi keterangan di mahkamah Kuala Terengganu mengenai dakwaan ke atas suaminya itu.

“Saya hendak ke mahkamah macam mana? Semua dokumen termasuk kad pengenalan saya hangus.

“Pakaian pula tiada, duit apatah lagi,” kata Hasmah yang masih trauma dengan kejadian menimpa mereka tiga beranak itu.

Katanya, kehidupannya sekarang amat terhimpit kerana terpaksa memulakan hidup baru tanpa sebarang harta, apatah lagi dia terpaksa melaluinya seorang diri.

“Saya tak tahu hendak tinggal di mana, rumah sewa, pakaian kami semua hangus.

“Ujian terhadap saya terlalu berat, saya tidak tahu bagaimana menghadapinya,” katanya.

Hasmah buat sementara waktu tinggal di rumah jiran sebelum pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Alor Tembesu menguruskan tempat tinggalnya secara tetap.
Lari sebaik lihat api

“Sebaik terhidu bau asap, saya jenguk melalui tingkap lalu lihat api di rumah sebelah, saya terus menjerit mengarahkan anak-anak supaya menyelamatkan diri kerana ada kebakaran,” kata Noraini Zakaria, 46, mangsa yang terselamat dalam kebaka-ran melibatkan empat rumah di Alor Tembesu, dekat sini, petang semalam.

Ketika kejadian, Noraini bersama tiga anaknya, Mohd Arif Fitri Zakaria, 19, Nor Farah Nabihah, 14, Mohd Hazim, 5, seorang anak saudaranya, Mohd Mukhli Mahathir, 7, serta ibunya, Mek Ngah Mohd, 68, berada dalam rumah tersebut.

Noraini berkata, dalam keadaan kelam kabut itu, dia sempat mendapatkan beg tangan yang mengandungi wang dan dokumen sebelum berlari keluar menyelamatkan diri bersama ahli keluarga termasuk ibunya, Mek Ngah yang uzur itu.

“Ketika itu saya baru selesai menunaikan solat Zuhur, api dari rumah sebelah marak dengan cepat menyebabkan kami semua panik.

“Nasib baik semua dapat menyelamatkan diri, jika tidak mungkin kami akan terperangkap dalam api dan asap tebal,” katanya.

Ketika kebakaran, suami Noraini, Mohd Nasir Zakaria, 49, difahamkan berada di Johor Bahru atas urusan kerja.

Menurut anak perempuan Noraini, Nor Farah Nabihah, ketika kebakaran itu bermula, dia sedang berehat di ruang tamu sebelum terdengar jeritan abangnya selepas melihat api melalui tingkap rumah.

“Masa itu saya baru pulang dari sekolah dan sedang berehat.

“Tiba-tiba abang saya terpandang api lalu menjerit agar kami keluar menyelamatkan diri,” katanya yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Omar, Dungun.

Sebuah rumah gagal diselamatkan

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Dungun, Penolong Penguasa Nor Azizi Che Noh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan di bilik kawalan jam 3.40 petang sebelum mengarahkan dua jentera bersama anggota penyelamat bergegas ke lokasi dan tiba beberapa minit kemudian.

Sebuah rumah gagal diselamatkan manakala tiga lagi yang lain termasuk sebuah banglo dua tingkat hampir 60 peratus musnah.

“Sebuah jentera dari Balai Bomba Paka turut dipanggil untuk membantu operasi memadam api.

“Punca kejadian dan nilai keseluruhan kerugian dialami empat keluarga mangsa terlibat masih dalam siasatan pihak bomba,” katanya.

Turut membantu memadam api termasuk unit kebakaran Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan penduduk kampung.

Adun Sura, Wan Hassan Mohd Ramli dan Pembantu Khas Pegawai Pembangunan Dun Sura, Hafizu Din turut hadir menziarahi mangsa terlibat.

Pelajar, guru bebas Tibi – Sinar Harian


Pelajar, guru bebas Tibi

WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Oktober 2012

IPOH – Kesemua pelajar dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Tasek yang disyaki menghidap batuk kering atau Tibi, disahkan bebas daripada wabak itu.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, Jabatan Kesihatan Negeri mengesahkan perkara itu selepas mereka menjalani ujian X-ray.

“Kesemua daripada 34 individu yang kita saring itu didapati normal. Bagaimanapun mereka akan terus berada di bawah pemerhatian Jabatan Kesihatan bagi memastikan mereka bebas sepenuhnya daripada jangkitan Tibi.

“Pemerhatian ini akan dijalankan dalam tempoh dua tahun dan dalam tempoh itu kita akan perhatikan mereka dari semasa ke semasa,” katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Persidangan Majlis Masyarakat Sivil Amanjaya di Dewan Serbaguna, Bangunan Perak Darul Ridzuan, semalam.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas perkembangan terkini 13 guru dan 21 pelajar SMK Jalan Tasek, di sini terpaksa melakukan pemeriksaan lanjut selepas didapati menunjukkan simptom awal penyakit tersebut, baru-baru ini.

Sementara itu, menurut beliau, seorang pelajar yang menghidap penyakit berkenaan pula sudah pun menjalani rawatan selama lebih dua minggu dan sudah sihat.

Menurut Hang Soon, keluarga pelajar itu juga diperiksa dan mendapati mereka berada dalam keadaan normal.

Guru besar sudah disiasat kes cabul murid – Sinar Harian


Guru besar sudah disiasat kes cabul murid

WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Oktober 2012

TELUK INTAN – Polis sedang menunggu ‘lampu hijau’ daripada pihak Timbalan Pendakwaraya untuk pendakwaan terhadap seorang guru besar yang didakwa mencabul dua murid sekolahnya pada 19 September lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisoner Goh Kok Liang berkata, pihaknya sudah selesai menyediakan kertas siasatan berdasarkan soal siasat yang dijalankan terhadap suspek sebelum ini dan kertas siasatan itu sudah diserahkan kepada Timbalan Pendakwaraya untuk tindakan selanjutnya.

“Kami masih belum mendapat tarikh pendakwaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, semalam.

Sebelum ini, seorang guru besar di salah sebuah sekolah rendah di bandar ini,  didakwa melakukan perbuatan mencabul dua murid sekolahnya.

Namun begitu, perbuatan tidak moral yang dilakukan terhadap dua murid perempuan berusia 11 tahun itu menjerat dirinya sendiri apabila satu laporan polis telah dibuat pada 24 September lalu.

Dalam kejadian kira-kira 3.40 petang, suspek berusia 52 tahun itu menumpangkan kedua-dua mangsa untuk pulang ke rumah masing-masing.

“Bagaimanapun, suspek tidak menghantar terus kedua-dua muridnya pulang sebaliknya membawa mereka ke rumahnya di Pekan Baru, dekat sini.

Semasa di rumah suspek, kedua-dua mangsa telah dipeluk dan dicium oleh suspek sebelum mangsa menjerit dan mendesak supaya dihantar pulang ke rumah,” katanya.

Menurut Kok Liang, satu laporan polis dibuat oleh penjaga murid tersebut pada 24 September lalu dan berdasarkan maklumat itu, pihaknya telah menahan guru besar terbabit untuk membantu siasatan.

Setelah selesai soal siasat dilakukan, suspek dilepaskan dengan jaminan polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara selama 10 tahun atau denda dan sebat.

Insurans murid atasi masalah bas haram – Metro


Insurans murid atasi masalah bas haram

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Peruntukan skim perlindungan insurans kepada murid yang menggunakan khidmat bas sekolah berpermit seperti diumumkan Perdana Menteri dalam Bajet 2013 Jumaat lalu mampu mengatasi masalah bas haram.

Pengerusi Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Bumiputra Kuala Lumpur dan Selangor, Ahmad Fauzi Murad berkata, perlindungan insurans itu menggalakkan pengusaha bas sekolah haram memohon permit.
“Bagi pengusaha berpermit, kami mempunyai perlindungan insurans dan usaha kerajaan ini bagus untuk menggalakkan pengusaha haram memohon permit.

 

“Sehubungan itu, kami berharap Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) melonggarkan peraturan bagi memudahkan mereka mendapatkan permit,” katanya.
Menurutnya, ibu bapa digalak mendapatkan perkhidmatan bas sekolah yang memiliki permit kerana anak mereka mendapat jaminan perlindungan insurans.
“Kami selaku pengusaha bas sekolah bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan. Bagaimanapun, pemberian rebat tunai dan subsidi kadar faedah menggantikan bas sekolah berusia 25 tahun berkapasiti 12 hingga 18 tempat duduk, lebih kepada van.

 

 

“Biasanya tiada van digunakan lebih daripada 25 tahun kerana pemiliknya akan membeli baru selepas 10 atau 15 tahun. Jadi saya harap pemberian dapat diperluaskan kepada bas sekolah yang mempunyai kapasiti lebih besar,” katanya.
Jumaat lalu, Perdana Menteri mengumumkan Skim Perlindungan Insurans Kemalangan Diri, hilang upaya kekal dan kematian kepada semua murid yang menggunakan khidmat bas sekolah berpermit. Skim yang memanfaatkan dua juta pelajar dan murid itu menyediakan perlindungan maksimum RM100,000 dengan kos premium RM40 juta untuk tempoh dua tahun yang akan diselia SPAD. Selain itu, kerajaan mencadangkan pengusaha bas sekolah diberi rebat tunai RM10,000 dan subsidi kadar faedah dua peratus untuk pinjaman penuh bagi menggantikan bas lama berusia 25 tahun kepada bas baru berkapasiti antara 12 hingga 18 tempat duduk.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/01

Tonton kawan kena perkosa – Metro


Tonton kawan kena perkosa

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
mfirdaus@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Termakan pujukan rakan ponteng sekolah, seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun terpaksa menempuh detik hitam dalam hidupnya apabila dikurung dua hari dan dirogol dalam kedai mencuci kereta di Sungai Pelong, di sini.

Dalam kejadian jam 7 pagi, 24 September lalu, mangsa yang berjalan ke ke sekolahnya di Kundang dikatakan dipujuk rakan sebaya dengannya ponteng sekolah pada hari berkenaan.

Menurut sumber, mangsa dibawa ke kedai mencuci kereta sebelum dirogol dan dikurung di kawasan berkenaan hampir dua hari.

“Mangsa meloloskan diri dan tampil membuat laporan di Balai Polis Sungai Pelong, di sini, jam 8 pagi (kelmarin),” kata sumber itu kepada Harian Metro semalam.

 
Menurutnya, di dalam aduannya mangsa mendakwa dia dibawa ke sebuah kedai mencuci kereta dengan motosikal dinaiki dua lelaki tidak dikenalinya berusia awal 20-an.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/01

Ayah rentung dalam van – Metro


Ayah rentung dalam van

Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
PILU...Nor Aini Syahirah (kiri) dan adiknya, Nor Aina Syafiqah (tengah) ditenteramkan ahli keluarga. Gambar kecil, Daud.
PILU…Nor Aini Syahirah (kiri) dan adiknya, Nor Aina Syafiqah (tengah) ditenteramkan ahli keluarga. Gambar kecil, Daud.

KOTA TINGGI: Sukar digambarkan kesedihan dirasai empat beradik ketika melihat ayah mereka mati terbakar selepas van Nissan Vanette dinaiki mereka berlanggar sebuah kereta di Kilometer 11, Jalan Lok Heng-Mawai, di sini, semalam.

Dalam kemalangan jam 9.15 pagi itu, anggota polis berpangkat koperal, Daud Talib, 46, rentung selepas tersepit di tempat duduk pemandu dan gagal diselamatkan.

Turut terkorban dalam kemalangan jam 9.15 pagi itu ialah Adibah Hashim, 48, pemandu kereta Proton Iswara yang bertembung van dipandu Daud.

Isteri Daud, Salina Kadis, 44, parah manakala empat anak dan tiga anak saudara berusia lima hingga 17 tahun yang berada dalam van sama cedera ringan.

 
Kejadian berlaku apabila Adibah hilang kawalan sebelum kereta dipandunya termasuk ke laluan bertentangan dan bertembung van dinaiki Daud sekeluarga.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/01