Ibu kendong tiga anak redah asap – Sinar Harian


Ibu kendong tiga anak redah asap

NIK MUHD RAFIQ ABD GHANI
1 Oktober 2012
Hasmah tidak dapat menahan sebak apabila melihat rumah sewanya hangus depan mata.
Hasmah tidak dapat menahan sebak apabila melihat rumah sewanya hangus depan mata.
rumah terbakar
Ketua Cawangan Pas Alor Tembesu, Hassan Abdul Aziz (kiri) dan Ketua Umno Cawangan Alor Tembesu, Ramlee Abdul Rahman (dua,kiri) sepakat menyelesaikan masalah dihadapi Hasmah.
rumah terbakar
Anggota bomba dibantu orang awam bertungkus lumus memadamkan api yang turut memusnahkan sebahagian besar struktur kediaman banglo dua tingkat milik pasangan Mohd Nasir dan Norai

Dungun – Tindakan nekad seorang ibu mengendong tiga anaknya termasuk dua pasangan kembar meredah asap berjaya menyelamatkan diri daripada disambar api yang marak dengan cepat selepas rumah mereka terbakar, dalam satu tragedi kebakaran di sini, petang semalam.

Kejadian kira-kira jam 3.40 petang itu dipercayai berlaku ketika Hasmah Kadmin, 48, bersama tiga anaknya, Putra Alis, 8, dan pasangan kembar, Putri Shalwani, 4, serta Putri Shalwana sedang berada di ruang tamu di rumah sewanya, dekat sini.

Seorang lagi anak lelakinya, Mohd Nor Hafiz Syekih,19, difahamkan berada di tempat kerjanya di Batu 48.

Menurut Hasmah yang bekerja sebagai pembantu kedai, ketika kejadian dia tidak bekerja dan sedang melihat anaknya melukis sebelum tiba-tiba melihat percikan api dari bahagian siling rumah.

Hasmah berkata, seketika kemudian, api tiba-tiba semakin besar lalu marak dengan cepat sehingga menyambar siling rumah menyebabkan dia bertindak memaut tiga anaknya meredah asap sebelum berlari keluar sambil menjerit meminta tolong jiran.

Katanya, biarpun menyedari bahaya yang bakal menimpa, namun demi keselamatan anaknya, dia sanggup meredah asap lalu berjaya keluar daripada kawasan rumah yang letaknya kira-kira 50 meter dari jalan berturap itu.

“Tanpa berfikir panjang, saya terus berlari keluar menyelamatkan diri sambil mengendong tiga anak saya.

“Masa itu, saya hanya ingat Tuhan yang boleh selamatkan anak-anak saya,” kata Hasmah yang masih hiba dengan tragedi berkenaan.

“Bagaimana nak ke mahkamah”

Hasmah berkata, lebih memeritkan apabila tugas menggalas tanggungjawab menyara keluarga kini terletak atas bahunya berikutan suaminya kini sedang menjalani tahanan di penjara atas kesalahannya mencederakan dan hampir membunuh seorang anaknya, dua minggu menjelang Aidilfitri lalu.

Menurutnya, keesokan harinya (hari ini) dia sepatutnya memberi keterangan di mahkamah Kuala Terengganu mengenai dakwaan ke atas suaminya itu.

“Saya hendak ke mahkamah macam mana? Semua dokumen termasuk kad pengenalan saya hangus.

“Pakaian pula tiada, duit apatah lagi,” kata Hasmah yang masih trauma dengan kejadian menimpa mereka tiga beranak itu.

Katanya, kehidupannya sekarang amat terhimpit kerana terpaksa memulakan hidup baru tanpa sebarang harta, apatah lagi dia terpaksa melaluinya seorang diri.

“Saya tak tahu hendak tinggal di mana, rumah sewa, pakaian kami semua hangus.

“Ujian terhadap saya terlalu berat, saya tidak tahu bagaimana menghadapinya,” katanya.

Hasmah buat sementara waktu tinggal di rumah jiran sebelum pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Alor Tembesu menguruskan tempat tinggalnya secara tetap.
Lari sebaik lihat api

“Sebaik terhidu bau asap, saya jenguk melalui tingkap lalu lihat api di rumah sebelah, saya terus menjerit mengarahkan anak-anak supaya menyelamatkan diri kerana ada kebakaran,” kata Noraini Zakaria, 46, mangsa yang terselamat dalam kebaka-ran melibatkan empat rumah di Alor Tembesu, dekat sini, petang semalam.

Ketika kejadian, Noraini bersama tiga anaknya, Mohd Arif Fitri Zakaria, 19, Nor Farah Nabihah, 14, Mohd Hazim, 5, seorang anak saudaranya, Mohd Mukhli Mahathir, 7, serta ibunya, Mek Ngah Mohd, 68, berada dalam rumah tersebut.

Noraini berkata, dalam keadaan kelam kabut itu, dia sempat mendapatkan beg tangan yang mengandungi wang dan dokumen sebelum berlari keluar menyelamatkan diri bersama ahli keluarga termasuk ibunya, Mek Ngah yang uzur itu.

“Ketika itu saya baru selesai menunaikan solat Zuhur, api dari rumah sebelah marak dengan cepat menyebabkan kami semua panik.

“Nasib baik semua dapat menyelamatkan diri, jika tidak mungkin kami akan terperangkap dalam api dan asap tebal,” katanya.

Ketika kebakaran, suami Noraini, Mohd Nasir Zakaria, 49, difahamkan berada di Johor Bahru atas urusan kerja.

Menurut anak perempuan Noraini, Nor Farah Nabihah, ketika kebakaran itu bermula, dia sedang berehat di ruang tamu sebelum terdengar jeritan abangnya selepas melihat api melalui tingkap rumah.

“Masa itu saya baru pulang dari sekolah dan sedang berehat.

“Tiba-tiba abang saya terpandang api lalu menjerit agar kami keluar menyelamatkan diri,” katanya yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Omar, Dungun.

Sebuah rumah gagal diselamatkan

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Dungun, Penolong Penguasa Nor Azizi Che Noh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan di bilik kawalan jam 3.40 petang sebelum mengarahkan dua jentera bersama anggota penyelamat bergegas ke lokasi dan tiba beberapa minit kemudian.

Sebuah rumah gagal diselamatkan manakala tiga lagi yang lain termasuk sebuah banglo dua tingkat hampir 60 peratus musnah.

“Sebuah jentera dari Balai Bomba Paka turut dipanggil untuk membantu operasi memadam api.

“Punca kejadian dan nilai keseluruhan kerugian dialami empat keluarga mangsa terlibat masih dalam siasatan pihak bomba,” katanya.

Turut membantu memadam api termasuk unit kebakaran Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan penduduk kampung.

Adun Sura, Wan Hassan Mohd Ramli dan Pembantu Khas Pegawai Pembangunan Dun Sura, Hafizu Din turut hadir menziarahi mangsa terlibat.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s