KUALA LUMPUR: Peruntukan skim perlindungan insurans kepada murid yang menggunakan khidmat bas sekolah berpermit seperti diumumkan Perdana Menteri dalam Bajet 2013 Jumaat lalu mampu mengatasi masalah bas haram.
Pengerusi Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Bumiputra Kuala Lumpur dan Selangor, Ahmad Fauzi Murad berkata, perlindungan insurans itu menggalakkan pengusaha bas sekolah haram memohon permit.
“Bagi pengusaha berpermit, kami mempunyai perlindungan insurans dan usaha kerajaan ini bagus untuk menggalakkan pengusaha haram memohon permit.
“Sehubungan itu, kami berharap Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) melonggarkan peraturan bagi memudahkan mereka mendapatkan permit,” katanya.
Menurutnya, ibu bapa digalak mendapatkan perkhidmatan bas sekolah yang memiliki permit kerana anak mereka mendapat jaminan perlindungan insurans.
“Kami selaku pengusaha bas sekolah bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan. Bagaimanapun, pemberian rebat tunai dan subsidi kadar faedah menggantikan bas sekolah berusia 25 tahun berkapasiti 12 hingga 18 tempat duduk, lebih kepada van.
“Biasanya tiada van digunakan lebih daripada 25 tahun kerana pemiliknya akan membeli baru selepas 10 atau 15 tahun. Jadi saya harap pemberian dapat diperluaskan kepada bas sekolah yang mempunyai kapasiti lebih besar,” katanya.
Jumaat lalu, Perdana Menteri mengumumkan Skim Perlindungan Insurans Kemalangan Diri, hilang upaya kekal dan kematian kepada semua murid yang menggunakan khidmat bas sekolah berpermit. Skim yang memanfaatkan dua juta pelajar dan murid itu menyediakan perlindungan maksimum RM100,000 dengan kos premium RM40 juta untuk tempoh dua tahun yang akan diselia SPAD. Selain itu, kerajaan mencadangkan pengusaha bas sekolah diberi rebat tunai RM10,000 dan subsidi kadar faedah dua peratus untuk pinjaman penuh bagi menggantikan bas lama berusia 25 tahun kepada bas baru berkapasiti antara 12 hingga 18 tempat duduk.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/01