Ibu bapa perlu sokong usaha kerajaan untuk kecemerlangan pendidikan – Bernama


Ibu bapa perlu sokong usaha kerajaan untuk kecemerlangan pendidikan

2 Oktober 2012

SIK – Ibu bapa seharusnya menyokong usaha kerajaan ke arah kecemerlangan pendidikan untuk semua kaum di negara ini menjelang 2015, kata Pengarah Pelajaran Negeri Kedah Mansor Lat.

Beliau berharap mereka tidak akan terpengaruh dengan dakyah pihak tertentu yang ingin menggagalkan usaha kerajaan itu.

“Kerajaan meletakkan bidang pelajaran di satu tahap yang tinggi untuk melahirkan rakyat dan generasi yang berilmu dan sanggup berhadapan dengan kemajuan global,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan sambutan 100 Tahun Sekolah Kebangsaan Sik hari ini.

Pada majlis itu, sekolah tersebut turut menghargai jasa dan kecemerlangan bekas pelajar termasuk bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Allahyarham Tan Sri Dr Hamid Osman, Sasterawan Negara Datuk Shahnon Ahmad dan tokoh sejarah negeri Kedah Datuk Wan Shamsuddin Wan Yusof.

Mansor turut menyampaikan sumbangan serta penghargaan kepada tiga pelajar sekolah itu yang berjaya ke peringkat kebangsaan program saintis muda. – Bernama

Remaja 17 tahun ditahan bersama kekasih, disyaki edar dadah – Bernama


Remaja 17 tahun ditahan bersama kekasih, disyaki edar dadah

2 Oktober 2012

KUANTAN – Seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun dan kekasihnya yang berusia 23 tahun, ditahan polis kerana dipercayai terbabit dalam pengedaran dadah di sekitar daerah Temerloh.

Mereka ditahan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh pukul 3 petang semalam, di Jalan Pintasan Perindustrian Mentakab.

Menurut pemangku Ketua Polis Daerah Temerloh Supt Zundin Mahmood, pasangan terbabit ditahan di dalam sebuah kereta jenis Perodua Viva dipercayai sedang menunggu pelanggan di kawasan itu.

Hasil pemeriksaan polis ke atas kereta berkenaan, mereka menemui satu beg sandang yang mengandungi 17 peket serbuk putih dan hijau disyaki dadah jenis heroin, seberat 219.9 gram, katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

“Polis turut menemui tiga peket plastik yang mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 9.90 gram dan semua bahan terlarang itu dibawa masuk dari negeri jiran untuk pasaran di daerah ini,” katanya.

Zundin berkata polis turut merampas wang tunai berjumlah RM2,280 dipercayai hasil kegiatan menjual dadah.

Lelaki berkenaan yang juga seorang duda dipercayai terbabit menjual dadah sejak beberapa bulan lepas setelah bercerai dengan isterinya, kata Zundin dan menambah pasangan itu baharu sahaja berpacaran.

Katanya pasangan terbabit direman selama dua minggu dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. – Bernama

Tak sempat hadiri temuduga – Sinar Harian


Tak sempat hadiri temuduga

WARTAWAN SINAR HARIAN
2 Oktober 2012
Mayat mangsa dibawa ke HT untuk bedah siasat. Gambar kecil: Shahideen.
Mayat mangsa dibawa ke HT untuk bedah siasat. Gambar kecil: Shahideen.

REMBAU – Hasrat seorang remaja untuk menghadiri temuduga di salah sebuah stesen minyak di Jalan Utama Seremban-Tampin hari ini (semalam) hancur berkecai apabila terbabit dalam kemalangan maut di kilometer empat, Jalan Pedas-Kundur-Linggi, dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 1.15 pagi itu, mangsa, Wan Mohammad Shahideen Wan Majid, 17, yang menunggang motosikal jenis Honda Wave maut di tempat kejadian selepas merempuh seekor kerbau.

Manakala, rakan mangsa, Mohd Firdaus Azrizan, 17, yang menunggang motosikal Honda EX5 di belakangnya pula dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja’afar di Seremban untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Menurut bapa mangsa, Wan Majid Wan Musa, 49, ketika kejadian, dia yang sudah nyenyak tidur terperanjat apabila rakan anaknya datang ke rumah di Taman Pedas Perdana dan memaklumkan anaknya maut dalam kemalangan berhampiran taman
berkenaan.

“Saya dan isteri kemudiannya bergegas ke tempat kejadian dan tidak menyangka pertemuan selepas Maghrib tadi (kelmarin) merupakan pertemuan terakhir kami dengan anak ketiga kami ini.

“Isteri saya sehingga kini masih bersedih dan sepatutnya hari ini (semalam) arwah menghadiri temuduga kerja pertamanya.

“Sebelum ini dia hanya mengikut saya bekerja dan menyimpan hasrat untuk membuka bengkel di rumah setelah habis mengikuti pelajaran di GiatMara Linggi,” katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat Hospital Tampin, dekat sini, semalam.

Bagi abang mangsa, Wan Shahrin Wan Majid, 22, adiknya itu memang seorang yang pendiam tetapi sangat ringan tulang sekiranya diminta untuk membantu sesiapa sahaja termasuk saudara-mara yang menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan.

“Malah, adik saya ini juga tidak kuat makan nasi dan mampu bertahan lebih dua hari dengan hanya makan roti sahaja.

Bagaimanapun, sebelum kejadian, rakan-rakannya yang turut sama makan di deretan kedai berhampiran Kolej Komuniti Rembau terperanjat apabila adik mampu menghabiskan dua pinggan nasi.

“Tidak sangka perubahan itu membawa petanda adik akan pergi selamanya meninggalkan kami semua.

Jenazah arwah akan dikebumikan di Kampung Semerbok iaitu kampung sebelah mak kami,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, ketika kejadian mangsa dan rakannya dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing selepas makan malam bersama rakan-rakan lain.

Melaka perluas kursus, bengkel animasi kepada pelajar sekolah – Bernama


Melaka perluas kursus, bengkel animasi kepada pelajar sekolah

2 Oktober 2012

MELAKA – Kerajaan Negeri Melaka melalui bahagian K-ekonomi Jabatan Ketua Menteri akan memperluaskan penganjuran kursus, bengkel serta seminar animasi kepada pelajar sekolah di negeri itu.

Pengarah Bahagian K-Ekonomi Dr Mohamed Sulaiman Sultan Suhaibuddeen berkata langkah itu bertujuan memberi pendedahan berhubung potensi bidang animasi kepada pelajar.

“Bidang animasi berupaya menjadi satu profesion yang cerah dan menguntungkan di masa depan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Seminar Animasi 2012 yang dirasmikan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam di sini.

Beliau berkata sebelum ini kursus, bengkel serta seminar yang dianjurkan pihaknya bersama Multimedia Development Corporation (MDEC) lebih tertumpu kepada pelajar universiti dan usahawan.

Katanya sebagai permulaan, dua sekolah telah dipilih sebagai perintis program tersebut iaitu Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Ghafar Baba Jasin dan Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah Ayer Keroh.

Sejumlah RM1.5 juta diperuntukkan setiap tahun oleh Kerajaan Negeri Melaka bagi membangunkan bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) sejak 2001, katanya.

Sementara itu, Pengurus Pembangunan Sektor Bahagian Multimedia Kreatif MDEC Azmir Mutalib berkata pelajar dan golongan muda seharusnya memanfaatkan bidang animasi di negara ini yang menjanjikan pelbagai pulangan menguntungkan.

Beliau berkata berdasarkan statistik, pendapatan yang diperolehi daripada industri animasi pada tahun lepas adalah berjumlah RM6.1 bilion dengan nilai eksport sebanyak RM363 juta.

Katanya siri animasi tempatan ‘Boboiboy’ mencatat rating tertinggi bagi siri animasi di kaca televisyen Malaysia dengan jumlah penonton seramai 1.7 juta orang sekali gus berjaya menandingi siri animasi Jepun ‘Doraemon’ iaitu seramai 1.6 juta. – Bernama

Guru syukur kesan kanser awal hasil pemeriksaan sendiri – Bernama


Guru syukur kesan kanser awal hasil pemeriksaan sendiri

2 Oktober 2012

ALOR SETAR – Amalan melakukan pemeriksaan sendiri membolehkan seorang guru mengesan penyakit kanser payu dara yang dihidapinya dari peringkat awal lagi.

Rodziah Awang, 47, yang mula dikesan menghidap kanser payu dara pada pertengahan September tahun lepas kini boleh menarik nafas lega selepas pembedahan yang dilakukan sebulan selepas itu berjaya dan doktor memberitahu dia sudah sihat dan hanya perlu menjalani pemeriksaan dan rawatan berkala.

Katanya dia tidak mengalami apa-apa simptom sehinggalah pemeriksaan yang dilakukannya sendiri mendapati terdapat benjolan pada payu dara kanannya.

“Syukur sangat-sangat semasa membuat pemeriksaan di hospital doktor memberitahu kanser saya baru berada pada tahun dua dan boleh dirawat,” katanya kepada pemberita selepas menerima cek bernilai RM18,000 melalui Skim Kebajikan Ikhlas Barakah Persatuan Sukan Kebudayaan Perkhidmatan Pelajaran Kedah (PSKPPK) di Sekolah Kebangsaan Bukit Payung dekat sini hari ini.

Rodziah berkata, dia juga bersyukur kerana telah mencarum dengan Skim Kebajikan Ikhlas Barakah PSKPPK walaupun sebelum ini dia kurang yakin dengan perkhidmatan insurans.

“Saya baru sahaja mencarum dengan skim itu pada Mei tahun lepas dan tidak sangka hari ini saya menerima sebanyak RM18,000 selepas mencarum skim itu,” katanya.

Antara penyakit yang dilindungi skim itu ialah kanser, lumpuh, kemurungan keterlaluan, Parkinson, kencing manis dan jantung. – Bernama

SPRM cadang modul integriti dimasukkan dalam buku teks sekolah – Bernama


SPRM cadang modul integriti dimasukkan dalam buku teks sekolah

2012/10/02 – 16:03:21 PMCetakEmel Kawan
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan supaya Kementerian Pelajaran memasukkan modul integriti dan pencegahan rasuah ke dalam tiga mata pelajaran di sekolah rendah dan menengah bermula tahun depan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Sutinah Sutan berkata, cadangan memasukkan modul tersebut ke dalam mata pelajaran Pendidikan Agama, Pendidikan Sivik dan Pendidikan Moral itu telah dihantar ke kementerian pada Jun lepas, malah pihaknya juga sudah berbincang dengan Jabatan Kokurikulum kementerian itu berhubung cadangan berkenaan.

“Selain itu, kita juga sudah berbincang dengan Institut Pendidikan Guru untuk menubuhkan sekretariat pencegahan rasuah di semua pusat latihan perguruan bagi melatih guru-guru pelatih berkaitan nilai-nilai murni seperi amanah, jujur, ikhlas dan integriti, iaitu antara elemen yang akan dimasukkan dalam modul itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan persidangan Pencegahan Rasuah bersama Pengetua, Guru Besar dan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah-Sekolah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Beliau berkata, dengan adanya modul itu, peranan pihak sekolah dalam membentuk modal insan yang cemerlang juga akan menjadi lebih berkesan.

Sutinah berkata penekanan nilai-nilai integriti dari bangku sekolah mampu menjadi benteng kukuh dalam menghindarkan pelajar daripada terjebak dalam aktiviti rasuah selepas memasuki alam pekerjaan.

“Dalam membentuk modal insan yang cemerlang pihak sekolah juga mempunyai peranan penting dan sekiranya cadangan ini dilaksanakan, kita yakin pelajar-pelajar akan menjadi lebih berwibawa dan berintegriti apabila bekerja kelak,” katanya. – BERNAMA

Remaja trauma dicabul dalam kereta api – Sinar Harian


Remaja trauma dicabul dalam kereta api

WARTAWAN SINAR HARIAN
2 Oktober 2012

TAMPIN – Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun berhadapan detik memalukan apabila dirinya menjadi mangsa cabul seorang lelaki berusia 40-an di dalam gerabak kereta api yang ketika itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Singapura, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, mangsa yang bersendirian dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kluang, Johor dan ketika itu sedang nyenyak tidur.

Menurut Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang, ketika kejadian, remaja perempuan berkenaan terasa tubuhnya diraba seseorang dan sebaik membuka matanya, dia ternampak seorang lelaki sedang berdiri di sebelah tempat duduknya.

“Mangsa yang ketakutan bergegas menyelamatkan diri dan memaklumkan insiden berkenaan kepada kakitangan Kereta Api Tanah Melayu Berhad (KTMB) bagi menangkap lelaki yang bertindak biadap terhadapnya.

“Akhirnya setibanya di Stesen Kereta Api Gemas, kakitangan KTMB menyerahkan suspek yang beralamat di Kuala Lumpur ke Balai Polis Gemas untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada Sinar Harian, dekat sini, semalam.

Sementara itu, Kooi Cheang berkata, suspek telah ditahan reman dan akan dibacakan pertuduhan di Mahkamah Majistret Rembau besok (hari ini) susulan kes berkenaan yang disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut,” katanya.

Kencing likat darah – Metro


Kencing likat darah

Oleh Suraya Roslan dan Sitie Nurhajatulziemah Mohd Nor
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
DERITA...Muhammad Fahmi dirawat di HTJS.
DERITA…Muhammad Fahmi dirawat di HTJS.

SEREMBAN: Air kencing dipenuhi darah berwarna hitam pekat, tidak boleh berjalan dan hanya boleh bersolat atas kerusi berikutan kaki berasa kebas.

Demikian masalah kesihatan dialami seorang mangsa buli di sebuah sekolah menengah agama di Pedas, dekat sini, akibat didera senior yang memaksa mangsa melakukan ketuk ketampi melebihi 200 kali hanya gara-gara tidak mengambil air minuman.

Mangsa, Muhammad Fahmi Mazzalan, 14, yang kini dirawat di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) berkemungkinan menghadapi masalah buah pinggang dan hati akibat ‘senaman’ melampau dalam kejadian 26 September lalu.

“Tiga hari selepas kejadian itu, sejurus kencing saya terkejut mendapati mangkuk tandas dipenuhi darah berwarna hitam pekat,” kata pelajar tingkatan dua itu ketika ditemui wartawan Harian Metro di wad HTJS, di sini, semalam.

 

 

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/02

Remaja tampil serah diri – Berita Harian


Remaja tampil serah diri

2012/10/02 – 06:52:23 AM Oleh Hardi Effendi YaacobCetakEmel Kawan
Kuala Lumpur: Tidak sampai 24 jam selepas seorang rakan jenayahnya ditembak mati, seorang remaja berusia 17 tahun menyerah diri bagi membantu siasatan berhubung kejadian dua anggota polis ditembak penjenayah di Jalan Kuchai Lama, Rabu lalu.

Remaja beralamat di Taman Wahyu, Jinjang, di sini datang berseorangan dan menyerah diri di Balai Polis Kepong, kira-kira jam 11 pagi semalam selepas gambarnya bersama seorang lagi suspek, Wan Fadrulzaman Wan Mohd Fadhil, 30, dari Mentakab, Pahang disiarkan media.

Suspek kini direman

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah memaklumkan suspek kini direman dan polis percaya dia mempunyai maklumat bagi membantu siasatan kes dua anggota polis ditembak, termasuk mengenalpasti lokasi persembunyian seorang lagi suspek.

Dalam kejadian jam 3 pagi kelmarin di tempat letak kereta Taman Desa Water Park, polis menembak mati seorang daripada tiga suspek utama kes tembakan yang mencederakan dua anggota polis di Jalan Kuchai Lama, di sini 26 September lalu.

Dia sebelum itu dikejar polis dari Lingkaran Tengah Syed Putra, berhampiran pusat beli-belah Mid-Valley selepas enggan memberhentikan kenderaan untuk diperiksa. Polis kemudian menemui sepucuk pistol semi-auto mengandungi sebutir peluru, satu kelopak mengandungi sebutir peluru hidup 9mm jenis Luger serta sebilah kapak dalam kereta suspek.

Ku berkata, polis sedang memburu seorang lagi suspek yang turut dianggap penjenayah berbahaya kerana memiliki senjata api, selain sanggup bertindak ganas jika berasa terancam.
Berdasarkan maklumat, suspek itu dipercayai masih berada di ibu negara dan sedang bersembunyi berikutan gambarnya yang disiarkan media hari ini (semalam). Orang ramai yang pernah melihat atau mempunyai maklumat mengenai lelaki itu diminta segera memaklumkan mana-mana balai polis, katanya.

Polis tampar pelajar mohon maaf – Utusan


Polis tampar pelajar mohon maaf

KUBANG PASU 1 Okt. – Setelah lebih setahun seorang bekas pelajar Sekolah Menengah Tanjong Pauh di sini ditampar polis, anggota itu tampil hari ini untuk memohon maaf di atas perbuatannya.

Dalam kejadian berlaku Mac tahun lalu, anggota itu dikatakan menampar Muhammad Danial Ainol Anwar semasa mangsa cuba menyelamatkan rakannya yang dituduh melakukan kesalahan untuk dibawa berjumpa Guru Penolong Kanan sekolah itu.

Anggota tersebut secara kebetulan berada di pekarangan sekolah kira-kira pukul 1.30 petang.

Bapa mangsa, Ainol Anwar Ahmad, 43, berkata, permohonan maaf itu disampaikan oleh anggota tersebut kepadanya sambil melahirkan rasa kesal.

“Saya sedia menerima permohonan maaf itu dan harap kesilapan sama (menampar) tidak berulang kepada orang lain,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Sila dapatkan naskhah Utusan Malaysia hari ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121002/je_07/Polis-tampar-pelajar-mohon-maaf#ixzz287DEIojN
© Utusan Melayu (M) Bhd