Tak sempat hadiri temuduga – Sinar Harian


Tak sempat hadiri temuduga

WARTAWAN SINAR HARIAN
2 Oktober 2012
Mayat mangsa dibawa ke HT untuk bedah siasat. Gambar kecil: Shahideen.
Mayat mangsa dibawa ke HT untuk bedah siasat. Gambar kecil: Shahideen.

REMBAU – Hasrat seorang remaja untuk menghadiri temuduga di salah sebuah stesen minyak di Jalan Utama Seremban-Tampin hari ini (semalam) hancur berkecai apabila terbabit dalam kemalangan maut di kilometer empat, Jalan Pedas-Kundur-Linggi, dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 1.15 pagi itu, mangsa, Wan Mohammad Shahideen Wan Majid, 17, yang menunggang motosikal jenis Honda Wave maut di tempat kejadian selepas merempuh seekor kerbau.

Manakala, rakan mangsa, Mohd Firdaus Azrizan, 17, yang menunggang motosikal Honda EX5 di belakangnya pula dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja’afar di Seremban untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Menurut bapa mangsa, Wan Majid Wan Musa, 49, ketika kejadian, dia yang sudah nyenyak tidur terperanjat apabila rakan anaknya datang ke rumah di Taman Pedas Perdana dan memaklumkan anaknya maut dalam kemalangan berhampiran taman
berkenaan.

“Saya dan isteri kemudiannya bergegas ke tempat kejadian dan tidak menyangka pertemuan selepas Maghrib tadi (kelmarin) merupakan pertemuan terakhir kami dengan anak ketiga kami ini.

“Isteri saya sehingga kini masih bersedih dan sepatutnya hari ini (semalam) arwah menghadiri temuduga kerja pertamanya.

“Sebelum ini dia hanya mengikut saya bekerja dan menyimpan hasrat untuk membuka bengkel di rumah setelah habis mengikuti pelajaran di GiatMara Linggi,” katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat Hospital Tampin, dekat sini, semalam.

Bagi abang mangsa, Wan Shahrin Wan Majid, 22, adiknya itu memang seorang yang pendiam tetapi sangat ringan tulang sekiranya diminta untuk membantu sesiapa sahaja termasuk saudara-mara yang menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan.

“Malah, adik saya ini juga tidak kuat makan nasi dan mampu bertahan lebih dua hari dengan hanya makan roti sahaja.

Bagaimanapun, sebelum kejadian, rakan-rakannya yang turut sama makan di deretan kedai berhampiran Kolej Komuniti Rembau terperanjat apabila adik mampu menghabiskan dua pinggan nasi.

“Tidak sangka perubahan itu membawa petanda adik akan pergi selamanya meninggalkan kami semua.

Jenazah arwah akan dikebumikan di Kampung Semerbok iaitu kampung sebelah mak kami,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, ketika kejadian mangsa dan rakannya dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing selepas makan malam bersama rakan-rakan lain.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s