Cabul kanak-kanak: Kakitangan DBKL dipenjara 2 tahun, disebat – Bernama


Cabul kanak-kanak: Kakitangan DBKL dipenjara 2 tahun, disebat

3 Oktober 2012

KUALA LUMPUR – Seorang petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Majistret selepas didapati bersalah mencabul seorang kanak-kanak lelaki berumur 10 tahun, tiga tahun lepas.

Majistret Adilah Mohtar membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan terhadap A. Kalaivanan, 29.

“Keterangan tertuduh hanya berbentuk penafian semata-mata apabila gagal membawa saksi untuk membuktikan bahawa dia berada di tempat kejadian untuk minum ‘bir’,” kata Adilah dalam penghakimannya.

Beliau memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu berkuat kuasa hari ini.

Kalaivanan didakwa menggunakan kekerasan jenayah ke atas kanak-kanak lelaki itu dengan niat hendak mencabul kehormatannya di sebuah flat di Taman Cheras Utama di sini pada 6.30 petang, 23 Februari 2009.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Sementara itu, mangsa ketika diberi peluang oleh mahkamah untuk menyatakan perasaannya mengenai kejadian itu, memberitahu bahawa dirinya masih dalam ketakutan dan trauma untuk keluar seorang diri.

“Saya rasa takut, malu dan kawan ejek. Lima bulan untuk hilangkan rasa trauma, saya tidak pergi sekolah sebab kawan-kawan mengejek serta tidak dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran,” katanya.

Bapa mangsa yang turut diberi peluang yang sama memberitahu mahkamah yang beliau berasa terganggu memandangkan anak lelakinya itu masih trauma dengan kejadian itu.

“Apabila nampak ramai orang, dia akan takut dan mengambil masa lama untuk hilangkan perasaan itu. Perangainya juga berubah dan cepat marah serta mudah melenting,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ooi Chean Ling memohon mahkamah  mengenakan hukuman berbentuk pengajaran terhadap tertuduh, namun peguam M. Mathavan yang mewakili tertuduh meminta mahkamah mempertimbangkan yang anak guamnya adalah
penanggung tunggal keluarga dan tiada rekod jenayah lampau. – Bernama

Terengganu Rancang ‘Summer Camp’ Untuk Pelajar Cemerlang SPM Tahun Depan – Bernama


Terengganu Rancang ‘Summer Camp’ Untuk Pelajar Cemerlang SPM Tahun Depan

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu akan mengadakan program ‘Summer Camp’ atau kem musim panas bagi pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia tahun depan, bagi mendedahkan mereka dengan kehidupan di kampus.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata program perintis itu akan diadakan dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

“Antara lain program bertujuan memastikan pelajar Terengganu bersedia dari aspek mental dan fizikal sebelum melanjutkan pelajaran ke perantauan yang semestinya menuntut emosi dan kesabaran tinggi,” katanya kepada pemberita, di sini, Rabu.

Selain itu katanya, program juga bertujuan menangani kelemahan penuntut Terengganu pada aspek komunikasi sama ada dalam bahasa Inggeris mahupun bahasa Melayu.

Beliau sebelum itu merasmikan Program Pertandingan Memasyarakatkan Inovasi Pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) 2012 di UMT, yang disertai 17 kumpulan dari IPT Pantai Timur bagi memilih enam kumpulan mewakili Zon Pantai Timur ke peringkat kebangsaan.

Mengulas mengenai usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan lagi kemahiran kreativiti dan reka cipta pelajar di sekolah menengah, Ahmad Razif berkata kerajaan negeri akan menganjurkan pertandingan itu dengan kerjasama UMT sebagai konsultan.

“Ini bertepatan dengan hasrat kerajaan yang ingin pelajar lebih kreatif dan inovatif dalam menghadapi persaingan sengit dalam dunia serba canggih sekarang,” katanya. -BERNAMA

Peraturan Larang Pelajar Bawa, Guna Telefon Bimbit Di Sekolah Masih Kekal – Bernama


Peraturan Larang Pelajar Bawa, Guna Telefon Bimbit Di Sekolah Masih Kekal

KUALA LUMPUR: Setakat ini Kementerian Pelajaran (KPM) masih mengekalkan peraturan larangan membawa dan menggunakan telefon bimbit oleh pelajar sekolah melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 2/2009.

Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, satu sesi perbincangan meja bulat telah diadakan pada 25 Ogos lepas melibatkan pihak berkepentingan antaranya pengetua, guru dan ibu bapa membincangkan keperluan serta cadangan berkaitan penggunaan peralatan komunikasi oleh pelajar sekolah.

“KPM sedang meneliti secara menyeluruh pendapat serta pandangan masyarakat termasuk tokoh akademik, pemimpin badan bukan kerajaan (NGO), guru, ibu bapa danmurid-murid sebelum satu keputusan muktamad diumumkan,” kata Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri dalam jawapan bertulis kepada soalan Liang Teck Meng(BN-Simpang Renggam) di Parlimen di sini, Rabu.

Liang ingin tahu perkembangan terkini mengenai hasrat kementerian itu membenarkan pelajar sekolah membawa telefon bimbit dan alat-alat elektronik ke sekolah serta kesan sampingan sekiranya dasar ini dilaksanakan.

Muhyiddin berkata, kementerian telah menjalankan kajian dalam kalangan pelajar serta guru sekolah bagi mendapatkan pandangan mengenai penggunaan peralatan komunikasi di sekolah.

Katanya, kajian melibatkan 274 responden itu dijalankan di sembilan sekolah di daerah Seremban dan Port Dickson.

Pada Julai lepas, kementerian itu mengusulkan cadangan membenarkan pelajarmembawa peralatan komunikasi seperti telefon bimbit dan iPad ke sekolah bermulatahun depan.

Bagaimanapun, cadangan itu mendapat bantahan terutama daripada persatuan ibubapa dan guru yang rata-rata berpandangan langkah tersebut akan mengundang lebihbanyak masalah selain menjejaskan pembelajaran pelajar. – BERNAMA

JPN P.Pinang siasat dakwaan anak dirotan atas silap kecil – Bernama


JPN P.Pinang siasat dakwaan anak dirotan atas silap kecil

3 Oktober 2012

GEORGE TOWN – Jabatan Pelajaran Negeri Pulau Pinang telah mengarahkan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Seberang  Perai Utara untuk menyiasat dakwaan sekumpulan ibu bapa yang anak mereka dirotan guru atas kesalahan kecil.

Pengarahnya Ahmad Tarmizi Kamaruddin berkata sebuah panel khas akan menyiasat perkara itu dengan memanggil murid dan guru yang terlibat serta guru besar sekolah.

Siasatan dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya seminggu, katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

“Tindakan susulan adalah berdasarkan siasatan yang pihak PPD jalankan dan jika dakwaan ibu bapa berkenaan betul, pihak kita tidak teragak-agak akan mengambil tindakan tata tertib ke atas guru terbabit,” katanya.

Mengenai dakwaan ibu bapa bahawa guru wanita terbabit menghidap masalah mental, Ahmad Tarmizi berkata semua dakwaan akan disiasat oleh panel yang ditubuhkan itu.

“Saya tidak pasti sama ada guru berkenaan menghadapi masalah mental atau sebaliknya kerana tiada rekod kesihatan berkenaan perkara terbabit,” katanya.

Semalam, sekumpulan ibu bapa membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Dua di sini, mendakwa anak mereka dirotan guru atas kesalahan kecil.

Mereka turut mendakwa aduan yang dibuat kepada pihak sekolah tidak diberi perhatian sewajarnya oleh guru besar sekolah di Sungai Dua itu.
– Bernama

Budak 12 tahun dirogol, diugut rahsiakan perbuatannya – Sinar Harian


Budak 12 tahun dirogol, diugut rahsiakan perbuatannya

WARTAWAN SINAR HARIAN
3 Oktober 2012
Budak 12 tahun dirogol, diugut rahsiakan perbuatannya
Som Sak menunjukkan gambar individu yang merupakan suspek kes rogol kanak-kanak 12 tahun.

TAPAH – Kunjungan seorang kanak-kanak ke kediaman kakak angkatnya menjadi igauan ngeri apabila dirogol oleh lelaki tak dikenali dalam satu kejadian di Kampung Petalin Baru, Bidor, di sini, 12 September lalu.

Mangsa yang berusia 12 tahun itu bukan sahaja dirogol, malah turut diugut suspek supaya tidak memberitahu perbuatan jijiknya kepada orang lain.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superitendan Som Sak a/l Din Keliaw berkata, pada 6 September lalu, kanak-kanak yang berasal dari Slim Village mengikut seorang rakan ke rumah kakak angkatnya di Kampung Petalin Baru untuk bermalam di sana selama beberapa hari.

Bagaimanapun, menurutnya, pada 12 September lalu, seorang lelaki yang juga jiran sebelah rumah telah memecah masuk kediaman berkenaan.

“Suspek yang juga penganggur itu pecah masuk rumah tersebut melalui pintu dan merogol mangsa yang berada seorang diri di dalam sebuah bilik di kediaman berkenaan, kira-kira 12.30 malam.

“Suspek turut mengugut mangsa supaya tidak melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa atau orang lain,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Daerah, Asisten Superitenden Md Nasri Fadzir.

Kata Som Sak, pada keesokan harinya mangsa pulang ke rumah di Slim Village dan menceritakan kejadian berkenaan kepada ibunya sebelum satu laporan polis dibuat berkenaan kes itu.

Jelasnya, mangsa dihantar ke Hospital Slim River sebelum ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh untuk pemeriksaan dan mendapati anak sulung daripada lima beradik itu disahkan dirogol.

“Hasil siasatan polis, pihaknya telah mengenal pasti suspek yang dikenal sebagai Mohd Hadi Baharom, 50, dari Kampung Petalin Baru, Bidor.

“Suspek juga berada di bawah pengawasan polis dalam kes dadah dan dipercayai melarikan diri ke Kuala Lumpur,” katanya.

Kata beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan orang ramai mempunyai maklumat boleh menghubungi hotline IPD Tapah 05-4015222 atau SMS rakan Cops 32728 atau ke balai polis berhampiran.

Pelajar terdedah risiko bahaya – Sinar Harian


Pelajar terdedah risiko bahaya

NORAFIZA JAAFAR
3 Oktober 2012
Kawasan projek
Kawasan projek digunakan pelajar untuk ulang alik ke sekolah setiap hari dibimbangi membahayakan keselamatan mereka.

BATU CAVES – Pembinaan projek perumahan yang terlalu hampir dengan kawasan Sekolah Kebangsaan Sungai Kertas di sini yang tidak dilengkapi dengan ciri keselamatan didakwa mengundang bahaya dan hanya menunggu masa untuk runtuh.

Difahamkan tiga bulan lalu, pemilik tanah jenis persendirian itu telah dikenakan tindakan termasuk arahan menghentikan projek selepas berlaku runtuhan tebing.

Namun, tinjauan Sinar Harian semalam mendapati, projek yang siap 80 peratus itu telah bermula seperti biasa dan terdapat seorang pekerja sedang mengecat rumah jenis dua tingkat enam pintu itu.

Menurut penduduk yang enggan dikenali, tebing yang runtuh tidak dibaiki sebaliknya hanya ditutupi plastik dan pita kuning yang digunakan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah ditanggalkan.

Sumber memaklumkan, tebing yang runtuh itu menyebabkan sistem saliran di bawah tebing tertimbus.

“Apabila hujan, air akan menutupi jalan serta melimpah ke rumah penduduk di tanah rendah,” katanya.

Justeru, dia meminta supaya pihak berkaitan memantau perkara itu dan membaiki sistem saliran dalam kadar segera untuk mengelakkan banjir kilat.

Keadaan juga katanya berbahaya kepada pelajar memandangkan lokasinya yang bersebelahan dengan sekolah dan digunakan oleh pelajar untuk berulang alik dari sekolah ke rumah.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Komunikasi MPS, Mohamad Zin Masoad berkata, pihaknya mengakui sebelum ini pemilik telah diberikan notis kerja tanah kerana menjalankan projek tanpa kebenaran.

“Pihak Jabatan Kejuruteraan akan ke tapak esok (hari ini) bagi memastikan mereka menjalankan kerja dengan kebenaran MPS.

“Selain pematuhan undang-undang, ia perlu bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini seperti banjir, tanah runtuh dan sebagainya,” katanya.

Budak trauma dikejar anjing – Sinar Harian


Budak trauma dikejar anjing

WARTAWAN SINAR HARIAN
3 Oktober 2012
Anjing sentiasa berkeliaran di kawasan perumahan sehingga mengundang ketidakselesaan penduduk.
Anjing sentiasa berkeliaran di kawasan perumahan sehingga mengundang ketidakselesaan penduduk.

RAWANG – Penghuni di pangsapuri Lili Rawang Perdana, di sini bimbang dengan kehadiran anjing liar yang berkeliaran di kawasan perumahan mereka.

Haiwan liar tersebut bergerak secara berkumpulan dan kerap membuat bising pada waktu malam sehingga menceroboh kediaman penduduk sehingga ke tingkat empat menggunakan tangga.

Malah penduduk mendakwa, kanak-kanak yang bermain di taman permainan di sini turut menjadi mangsa anjing liar yang bertindak mengejar mereka.

Ibu mangsa, Aizura Ahsan, 37, berkata, dua anaknya berusia lima dan tujuh tahun dikejar anjing tersebut sehingga ke rumah sewaktu membeli nasi lemak berhampiran sekitar jam 8 pagi.

“Anak trauma untuk keluar rumah dan bernasib baik kejadian disedari jiran yang bertindak menghalau anjing tersebut.

“Kes hampir sama juga pernah berlaku ke atas kanak-kanak berusia dua tahun sewaktu sedang bermain di taman permainan namun sempat diselamatkan ibunya yang berada di tempat kejadian,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sementara itu, Pengerusi Badan Pengurusan Bersama, Zulkifli Yaakob berkata, pihaknya telah membuat aduan perkara berkenaan sebanyak dua kali kepada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Badan Pengaduan Awam.

Menurutnya, aduan telah dibuat tiga bulan lalu selepas tertekan dengan gangguan anjing yang kerap membuat bising, menyelongkar sampah dan menceroboh rumah penduduk.

“Van MPS ada yang lalu-lalang namun masih tiada tindakan diambil bagi mengatasi masalah anjing liar ini,” katanya.

Selain itu katanya, hasil pemerhatiannya mendapati terdapat tiga keluarga di pangsapuri itu membela anjing di kawasan perumahan bertingkat itu.

“MPS mempunyai kuasa untuk mengenakan tindakan ke atas mereka seperti kompaun kerana memberi keadaan kurang selesa kepada penduduk lain,” katanya.

1,300 murid berdepan bahaya – Sinar Harian


1,300 murid berdepan bahaya

WARTAWAN SINAR HARIAN
3 Oktober 2012
1,300 murid berdepan bahaya
Hassan (kiri) dan Johan menunjukkan zink yang tercabut dan bahaya yang bakal mengundang kepada warga SK Agama Taman Johor Jaya.

JOHOR BAHRU – Setiap hari murid-murid yang belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Agama Taman Johor Jaya, di sini, berdepan bahaya selepas projek menaik taraf sekolah berkenaan tidak dilengkapi sistem keselamatan yang sempurna.

Masalah ini menyebabkan lebih 1,300 murid dan guru dari dua sesi iaitu sesi pagi dan petang di sekolah berkenaan diancam risiko mengalami kecederaan ekoran tempat berkenaan tidak diselia dengan baik oleh pihak yang terlibat.

Selain soal keselamatan warga sekolah itu yang menjadi taruhan, perkara lebih serius lagi dibimbangi berlaku adalah zink yang menutupi kawasan pembinaan itu tercabut dan kemungkinan akan berterbangan dan merosakkan kenderaan yang di parkir di sekitar kawasan tersebut sekiranya keadaan cuaca tidak baik.

Menurut Ahli Jawatankuasa (AJK) Badan Kebajikan SK Agama Taman Johor Jaya, Johan Abd Rahman, perkara ini amat merisaukannya lebih-lebih lagi anaknya yang belajar di tahun enam sekolah itu mungkin menjadi salah seorang mangsa sekiranya hal ini tidak diatasi segera.

“Memanglah buat masa ini, tiada murid yang dilaporkan tercedera kerana bermain di kawasan itu, tetapi perkara ini tidak boleh dibiarkan kerana hal ini tidak sepatutnya berlaku sekiranya projek naik taraf dengan menambah sebuah lagi bangunan ini disiapkan mengikut jangka masa yang ditetapkan.

“Kalau tidak silap saya, projek ini bermula sejak Februari tahun lalu dan siap penghujung tahun 2011. Tetapi perkara ini berlarutan dan hingga kini ia masih tidak siap meskipun hampir memasuki bulan Oktober tahun ini.

“Ramai ibu bapa telah mengadu kerana bimbang dengan soal keselamatan anak masing-masing. Kami telah membawa perkara ini ke peringkat mesyuarat dan aduan turut dibuat beberapa kali, tetapi tiada tindakan susulan diambil,” katanya kepada Sinar Harian, baru-baru ini.

Keresahan itu turut disuarakan oleh seorang lagi bapa murid sekolah itu, Hassan Budin yang turut khuatir dengan malang yang bakal menimpa dua anaknya yang bersekolah di situ dan murid-murid lain lebih-lebih lagi pada waktu puncak iaitu pertukaran sesi pagi ke petang.

“Kalau kita lihat, projek ini hanya siap 10 peratus sahaja pembinaannya. Ia umpama terbengkalai hingga menyebabkan zink-zink yang menutupi kawasan pembinaan telah tercabut satu persatu dan mengundang bahaya warga sekolah ini.

“Saya dimaklumkan, guru-guru di sekolah ini sering memberi peringatan agar menjauhi kawasan pembinaan tersebut. Tetapi biasalah budak-budak mungkin sibuk bermain hingga lupa nasihat guru mereka.

“Oleh itu, kami harap pihak terbabit mengambil tindakan yang sewajarnya untuk mengatasi masalah ini. Tetapi janganlah sampai bila ada yang tercedera baru tindakan diambil,” katanya.

Bagaimanapun, usaha Sinar Harian mendapatkan penjelasan daripada pihak yang bertanggungjawab gagal apabila mereka tidak dapat dihubungi.

Ajal menjemput di riba ibu – Metro


Ajal menjemput di riba ibu

Oleh Anja Asmara
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PONTIAN: “Afiff baring di pangkuan saya dan kira-kira 15 minit kemudian, dia menghembuskan nafas terakhir,” kata ibunya, Russiah Ibrahim, 44, ketika ditemui di kediamannya di Taman Nong Chik, Batu 36, Jalan Johor, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6 pagi kelmarin, anaknya, Muhammad Afiff Faris Ahmad Seri, 15, meninggal dunia di pangkuannya ibunya selepas mengadu pening kepala.
Russiah berkata, Afiff sebelum itu baru saja selesai berwuduk dan mahu menunaikan solat Subuh.

 

“Afiff mengadu pening kepala dan saya terus meribanya. Saya kemudiannya mengurut dahi Afiff dengan minyak.
“Bagaimanapun, saya terkejut apabila mendapati bibir, kuku tangan dan kakinya bertukar kebiruan. Saya terus mengusap dadanya, manakala Afiff seolah-olah tidur berdengkur sebelum nafasnya terhenti,” katanya.
Menurut Russiah, dia memanggil jiran sebelum menghubungi Hospital Pontian serta suaminya, Ahmad Seri Abu Bakar, 48, yang ketika itu bekerja di Tanjung Bin.

 

 

Katanya, pasukan perubatan yang tiba kemudiannya melakukan pemeriksaan sebelum mengesahkan Afiff sudah meninggal dunia.
Ahmad Seri pula berkata, Afiff yang juga pelajar pintar adalah anak ketiga daripada lima beradik dan bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Penggawa Barat (SMKDPB).

 

Afiff bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) minggu depan.
Menurut Ahmad Seri, dia bergegas pulang ke rumah sejurus menerima panggilan telefon daripada isterinya pada jam 6.15 pagi.
“Tiba di rumah, Afiff sudah meninggal dunia. Saya reda di atas pemergian Afiff kerana Allah lebih menyayanginya.
“Afiff seorang yang rajin dan suka menolong ibunya memasak,” katanya.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zahaliman Jamin ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tiada unsur jenayah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/03

‘Penat nak balik’ – Metro


‘Penat nak balik’

Oleh Omar Osman
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SUNGAI PETANI: Hanya kerana tidak mahu pulang dengan berjalan kaki, tiga remaja mencuri motosikal Honda EX5 di depan pasar raya, di sini, sebelum tindakan mereka membawa padah apabila ditahan, kelmarin.

Ketiga-tiga remaja berusia 12 dan 14 tahun termasuk dua baru menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mencuri motosikal berkenaan pada 22 September lalu sebelum rahsia mereka terbongkar.
Mereka termasuk seorang pelajar sekolah agama di Kelantan ditahan di Kampung Che Bema, Sungai Layar Ujung, di sini, jam 4.30 petang oleh anggota Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Sungai Petani selepas menerima maklumat awam. Sumber berkata, ketiga-tiga remaja ditahan di rumah seorang daripada mereka sebelum membawa anggota polis ke parit dipenuhi semak-samun dan membawa kepada penemuan motosikal curi berkenaan.

 

Katanya, hasil soal siasat, mereka mengaku mencuri motosikal berkenaan yang diletakkan di tempat letak motosikal di depan pasar raya kerana mahu pulang ke rumah mereka.
“Mereka mendakwa diturunkan rakan mereka di Hentian Bas Sungai Petani selepas pulang dari Alor Setar dan terlihat motosikal berkenaan ketika melalui kawasan pasar raya itu.
“Dua daripada remaja itu memeriksa motosikal berkenaan manakala seorang lagi rakan menunggu dalam gerai terbiar sebagai pemerhati.

 

 

“Sebaik mendapati motosikal berkenaan tidak berkunci, mereka menolaknya ke gerai itu lalu berusaha menghidup enjin dengan cara menyambung wayar lampu depan sebelum melarikan kenderaan itu,” katanya.
Menurutnya, remaja terbabit kemudian meletak motosikal itu di sebuah rumah terbiar berhampiran dan berkongsi menggunakannya dengan beberapa rakan sebelum meleraikan komponen serta enjin untuk dijual.

 

Katanya, mereka mendakwa mencuri motosikal itu kerana kepenatan pulang ke rumah berjalan kaki walaupun hanya enam kilometer.
Sementara itu, jurucakap polis berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung tangkapan terhadap tiga remaja berkenaan selepas diambil keterangan dan diserahkan kepada ibu bapa mereka.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/03