1,300 murid berdepan bahaya – Sinar Harian


1,300 murid berdepan bahaya

WARTAWAN SINAR HARIAN
3 Oktober 2012
1,300 murid berdepan bahaya
Hassan (kiri) dan Johan menunjukkan zink yang tercabut dan bahaya yang bakal mengundang kepada warga SK Agama Taman Johor Jaya.

JOHOR BAHRU – Setiap hari murid-murid yang belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Agama Taman Johor Jaya, di sini, berdepan bahaya selepas projek menaik taraf sekolah berkenaan tidak dilengkapi sistem keselamatan yang sempurna.

Masalah ini menyebabkan lebih 1,300 murid dan guru dari dua sesi iaitu sesi pagi dan petang di sekolah berkenaan diancam risiko mengalami kecederaan ekoran tempat berkenaan tidak diselia dengan baik oleh pihak yang terlibat.

Selain soal keselamatan warga sekolah itu yang menjadi taruhan, perkara lebih serius lagi dibimbangi berlaku adalah zink yang menutupi kawasan pembinaan itu tercabut dan kemungkinan akan berterbangan dan merosakkan kenderaan yang di parkir di sekitar kawasan tersebut sekiranya keadaan cuaca tidak baik.

Menurut Ahli Jawatankuasa (AJK) Badan Kebajikan SK Agama Taman Johor Jaya, Johan Abd Rahman, perkara ini amat merisaukannya lebih-lebih lagi anaknya yang belajar di tahun enam sekolah itu mungkin menjadi salah seorang mangsa sekiranya hal ini tidak diatasi segera.

“Memanglah buat masa ini, tiada murid yang dilaporkan tercedera kerana bermain di kawasan itu, tetapi perkara ini tidak boleh dibiarkan kerana hal ini tidak sepatutnya berlaku sekiranya projek naik taraf dengan menambah sebuah lagi bangunan ini disiapkan mengikut jangka masa yang ditetapkan.

“Kalau tidak silap saya, projek ini bermula sejak Februari tahun lalu dan siap penghujung tahun 2011. Tetapi perkara ini berlarutan dan hingga kini ia masih tidak siap meskipun hampir memasuki bulan Oktober tahun ini.

“Ramai ibu bapa telah mengadu kerana bimbang dengan soal keselamatan anak masing-masing. Kami telah membawa perkara ini ke peringkat mesyuarat dan aduan turut dibuat beberapa kali, tetapi tiada tindakan susulan diambil,” katanya kepada Sinar Harian, baru-baru ini.

Keresahan itu turut disuarakan oleh seorang lagi bapa murid sekolah itu, Hassan Budin yang turut khuatir dengan malang yang bakal menimpa dua anaknya yang bersekolah di situ dan murid-murid lain lebih-lebih lagi pada waktu puncak iaitu pertukaran sesi pagi ke petang.

“Kalau kita lihat, projek ini hanya siap 10 peratus sahaja pembinaannya. Ia umpama terbengkalai hingga menyebabkan zink-zink yang menutupi kawasan pembinaan telah tercabut satu persatu dan mengundang bahaya warga sekolah ini.

“Saya dimaklumkan, guru-guru di sekolah ini sering memberi peringatan agar menjauhi kawasan pembinaan tersebut. Tetapi biasalah budak-budak mungkin sibuk bermain hingga lupa nasihat guru mereka.

“Oleh itu, kami harap pihak terbabit mengambil tindakan yang sewajarnya untuk mengatasi masalah ini. Tetapi janganlah sampai bila ada yang tercedera baru tindakan diambil,” katanya.

Bagaimanapun, usaha Sinar Harian mendapatkan penjelasan daripada pihak yang bertanggungjawab gagal apabila mereka tidak dapat dihubungi.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s