Budak 12 tahun dakwa dirogol lelaki 50 tahun
Hasil siasatan mendapati lelaki berusia 50 tahun itu tinggal berjiran dengan keluarga angkat rakan mangsa dan pernah terbabit beberapa kes dadah. Mangsa dari Slim Village, Slim River mendakwa dirogol lelaki terbabit ketika tidur berseorangan dalam bilik di rumah itu, awal pagi 12 September lalu.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliaw, berkata mangsa ke rumah keluarga angkat rakannya di Kampung Petalin Baru, Bidor dan bermalam beberapa hari sebelum dirogol jam 12.30 pagi, 12 September ketika tidur berseorangan dalam bilik.
Keesokannya, mangsa pulang ke rumahnya di Slim Village dan menceritakan kepada ibunya. Susulan itu, ibu mangsa membuat laporan polis dan pemeriksaan mengesahkan murid berkenaan dirogol.
Lelaki itu juga dikenali keluarga angkat rakan mangsa dan dia bebas keluar masuk rumah itu. Suspek yang mempunyai beberapa rekod jenayah terutama kes dadah dipercayai melarikan diri ke Kuala Lumpur selepas kejadian, katanya di sini semalam.