Pasangan kekasih culik budak dipenjara seumur hidup – Berita Harian


Pasangan kekasih culik budak dipenjara seumur hidup

2012/10/05 – 05:58:19 AMCetakEmel Kawan
Gao dan teman lelakinya dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup oleh Mahkamah Tinggi, semalam. - Foto BERNAMAGao dan teman lelakinya dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup oleh Mahkamah Tinggi, semalam. – Foto BERNAMA

Georgetown: Sepasang kekasih dihukum penjara seumur hidup semalam selepas didapati bersalah menculik seorang kanak-kanak lelaki sembilan tahun dan memperoleh wang tebusan RM200,000, tiga tahun lalu.

Lai Khan Mei, 35, dan teman wanitanya, Gao Bingju, 25, seorang warga China, didapati bersalah melarikan dan mengurung mangsa di rumah di Taman Gemilang Ria, Bukit Mertajam, jam 5.30 petang, 19 Disember 2009.

Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd Amin Firdaus Abdullah turut menjatuhkan hukuman 15 kali sebatan terhadap Khan Mei selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Wang pemberian rakan

Beliau berkata, mahkamah menolak keterangan Khan Mei yang mengatakan wang yang ditemui ketika dia dan Gao ditangkap di Genting Highlands adalah pemberian kawan-kawannya.

“Mahkamah mendapati keterangan dikemukakan pihak pendakwaan berjaya membuktikan identiti kedua-dua tertuduh terlibat dalam kes ini,” katanya. – BERNAMA

JPA kaji selaras gaji graduan – Berita Harian


JPA kaji selaras gaji graduan

2012/10/05 – 06:13:07 AM Oleh Nurhayati AbllahCetakEmel Kawan
Kerajaan cadang mekanisme baru gred penjawat awam

Ipoh: Kerajaan sedang mengkaji untuk menyelaras tangga gaji penjawat awam berkelulusan ijazah yang kini memulakan kerjaya dengan Gred 41.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa berkata, pelarasan itu perlu bagi mencapai sasaran masyarakat berpendapatan tinggi dan negara maju menjelang 2020.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan gred yang dicadangkan. Penggredan perjawatan awam berkelulusan ijazah kini bermula daripada gred 41, diikuti Gred 44, Gred 48, Gred 52, Gred 54, Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) C, JUSA B, JUSA A, Turus 3, Turus 2, Turus 1 dan Ketua Setiausaha Negara.

Penyelarasan gaji

“Ia di peringkat awal perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk melihat segala aspek mengenai pelarasan gaji bagi penjawat awam berkelulusan graduan.

“Sebagai graduan, mereka memasuki kerja bermula dengan Gred 41 dan boleh mencapai jawatan setinggi Ketua Setiausaha Negara, tetapi tidak semua boleh mencapai tahap sedemikian.
“Jadi, kita mencadangkan satu mekanisme baru untuk memastikan pelarasan mengenai penggredan serta had gaji berasaskan kemampuan sedia ada,” katanya selepas merasmikan penutup Persidangan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Malaysia, di sini semalam.

Mengenai cadangan CUEPACS memohon bonus satu setengah bulan dikecualikan daripada cukai, Ali berkata, ia membabitkan perbincangan di peringkat Kementerian Kewangan.

“Kita perlu melihat cadangan itu dalam pelbagai aspek serta apa juga implikasi kewangan sebelum membuat keputusan,” katanya.

Berhubung dakwaan pembangkang bilangan 1.4 juta penjawat awam terlalu ramai sehingga meningkatkan kos kerajaan, Ali berkata, bilangan itu seimbang bagi membantu menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Apa yang penting, matlamat penjawat awam ialah meningkatkan produktiviti dengan kreatif dan berinovasi,” katanya.

INFO: Tangga Gaji Permulaan
– Gred 41 RM1,690
– Gred 44 RM2,976
– Gred 48 RM4,349
– Gred 52 RM4,894
– Gred 54 RM5,160.

Demi nyawa keluarga – Utusan


Demi nyawa keluarga

Oleh FADZLY IZAB
pengarang@utusan.com.my

MELAKA 4 Okt. – Keberanian seorang bapa terjun dari tingkat atas rumah teres dua tingkat yang didiaminya di Taman Malim Jaya di sini untuk mengambil tangga menyelamatkan nyawa empat ahli keluarganya yang lain daripada rentung, awal pagi ini.

Dalam kebakaran kira-kira pukul 3 pagi itu, mangsa, Gan Kim Hui, 57, nekad terjun menerusi tingkap sebelum pergi mendapatkan tangga di rumah jirannya.

Menurut adik iparnya, Tay Kok Chang, 42, semasa kejadian, Kim Hui, isterinya, Tay Li Ngoh, 52, serta tiga anak mereka berusia 16 hingga 31 tahun tidur dalam dua bilik berasingan di tingkat atas rumah itu.

“Anak mangsa berumur 31 tahun kemudian terjaga setelah terhidu bau asap dari ruang tamu tingkat bawah rumah mereka.

“Dia kemudian mengejutkan semua ahli keluarga. Bimbang sesuatu buruk, Kim Hui bertindak pantas memecahkan tingkap bilik rumahnya untuk mengambil tangga dan seterusnya menyelamatkan ahli keluarganya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

CUEPACS mahu dikaji semula – Utusan


CUEPACS mahu dikaji semula

Oleh AZELI ALI
azeli.ali@utusan.com.my

PULAU PINANG 4 Okt. – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu kerajaan mengkaji semula kadar faedah pinjaman perumahan sebanyak empat peratus yang dikenakan ke atas penjawat awam.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, perkara itu berikutan kadar yang dikenakan tersebut membebankan kakitangan awam yang terpaksa membeli rumah dengan harga semakin tinggi.

Menurutnya, langkah Kementerian Kewangan membenarkan bank komersial menawarkan pinjaman perumahan kepada penjawat awam juga harus dikaji semula.

“Kadar faedah empat peratus yang ditetapkan itu berdasarkan harga rumah yang masih rendah tetapi tidak lagi sesuai kini kerana harga rumah semakin tinggi.

“Selain itu, jika sebelum ini pinjaman melalui Bahagian Pinjaman Perumahan Kementerian Kewangan boleh dibuat 100 peratus, tetapi jika diserahkan kepada bank, kita bimbang pembeli terpaksa membayar deposit antara lima hingga 10 peratus,” katanya.

Lantik guru sertai PVR – Utusan


Lantik guru sertai PVR

Oleh ANGELINA SINYANG
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 4 Okt. – Polis Diraja Malaysia (PDRM) bercadang melantik guru sekolah sebagai anggota Pasukan Sukarelawan Polis (PVR) bagi menangani masalah jenayah di kawasan sekolah terutama kes penculikan pelajar.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, dalam pembentangan Bajet 2013, kerajaan telah meluluskan penambahan 10,000 anggota PVR dengan peruntukan berjumlah RM70 juta.

Beliau berkata, penambahan anggota PVR membolehkan pasukan keselamatan itu meningkatkan kehadiran anggotanya di kawasan awam termasuk pusat beli-belah, kawasan perumahan dan sekolah dalam usaha mencegah jenayah.

“Kita mahu anggota polis bersifat omnipresence (terdapat di mana-mana) di lokasi yang menjadi tumpuan awam seperti pusat beli-belah, taman perumahan dan juga sekolah.

 

Tempoh mohon program matrikulasi dilanjut sehingga 30 November – Bernama


Tempoh mohon program matrikulasi dilanjut sehingga 30 November

 

PUTRAJAYA 5 Okt. – Bahagian Matrikulasi Kementerian Pelajaran melanjutkan tarikh permohonan program matrikulasi sesi 2013/2014 yang sepatutnya berakhir Rabu depan kepada 30 November ini.

Kementerian Pelajaran dalam kenyataan hari ini, berkata pendaftaran melalui laman sesawang http://www.moe.gov.my itu dibuka kepada pelajar Sijil Pelajaran Malaysia 2012 dengan membeli nombor pengenalan individu yang berharga RM6 di cawangan Bank Simpanan Nasional, bagi permohonan melalui Internet.

Untuk sebarang pertanyaan mereka boleh menghubungi talian bantuan Bahagian Matrikulasi di 03-8884 4036/4040 dari 8.30 pagi hingga 4.30 petang pada hari bekerja. – BERNAMA

Permohonan Ke Program Matrikulasi KPM Sesi 2013/2014 di Laman Web Rasmi Kementerian Pelajaran Malaysia


Permohonan Ke Program Matrikulasi KPM Sesi 2013/2014 di Laman Web Rasmi Kementerian Pelajaran Malaysia

Sukacita dimaklumkan bahawa Permohonan Ke Program Matrikulasi KPM Sesi 2013/2014  di Laman Web Rasmi Kementerian Pelajaran Malaysia akan dipanjangkan sehingga 30 November 2012.

Harap maklum.