Dua sekolah dilanda banjir – Berita Harian


Dua sekolah dilanda banjir

 Banjir kilat  yang berlaku di Sekolah Menengah Kebangsaan Derma. Banjir kilat yang berlaku di Sekolah Menengah Kebangsaan Derma.

Pelajar terpaksa menyinsing seluar masuk kelas

Kangar: Kira-kira 2,000 pelajar dari dua sekolah terpaksa mengharungi bah untuk masuk ke kelas masing-masing susulan banjir kilat yang melanda kawasan sekolah mereka, semalam.

Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Tamil Kangar yang mempunyai 800 murid dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perlis, mempunyai 1, 200 pelajar dinaiki air antara paras buku lali sehingga lutut.

“Kita ada terima maklumat mengenai banjir kilat berkenaan yang turut menyebabkan beberapa bilik darjah dimasuki air. Namun, ia tidak serius dan persekolahan berjalan seperti biasa,” Dun Kasa, Pengarah Pelajaran Perlis

Air mula melimpahi kawasan sekolah bermula jam 6 pagi, susulan hujan lebat melanda sekitar negeri sejak awal malam kelmarin.

Keadaan itu menyebabkan pelajar dan murid terbabit terpaksa menyinsing seluar masing-masing untuk meredah air yang bertakung terutama di laluan masuk sekolah.
Bagaimanapun, banjir mulai surut secara beransur-ansur kira-kira tiga jam kemudian.

Tidak serius
Pengarah Pelajaran Perlis, Dun Kasa, berkata banjir itu tidak menjejaskan persekolahan termasuk di kedua-dua sekolah berkenaan.

“Kita ada terima maklumat mengenai banjir kilat berkenaan yang turut menyebabkan beberapa bilik darjah dimasuki air. Namun, ia tidak serius dan persekolahan berjalan seperti biasa,” katanya.

Difahamkan, selain dua sekolah berkenaan beberapa kawasan sekitar turut dilanda banjir kilat terutama di Kampung Bakau, Behor Temak, Taman Perlis dan Taman Kemajuan, di sini.

Siap sedia

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu, ketika ditemui mengakui Perlis kini sudah bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir susulan fenomena air pasang dan hujan lebat berterusan di negeri ini.

Katanya, walaupun paras sungai utama dan Empangan Timah Tasoh belum mencapai tahap berjaga-jaga, kerajaan negeri sudah bersiap sedia termasuk menyediakan kelengkapan dan memastikan bekalan makanan mencukupi.

“Ketika ini air di Empangan Timah Tasoh mencatatkan paras normal iaitu 28.35 meter. Namun, sebagai langkah awal semua persiapan sudah dilaksanakan menerusi Jawatankuasa Bencana Negeri untuk memastikan keadaan terkawal sekiranya berlaku banjir,” katanya.

10,715 cikgu baru – Berita Harian


10,715 cikgu baru

2012/10/06 – 05:18:58 AM Oleh Syuhada Choo AbdullahCetakEmel Kawan
pix_gal0

Kumpulan pertama siswazah lulusan IPGM, IPTA akan diberi penempatan mulai tahun depan

Kuala Lumpur: Seramai 10,715 graduan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) akan diberi penempatan, tahun depan.

Mereka adalah kumpulan pelajar yang sudah dan bakal menamatkan pengajian tahun ini di IPGM serta IPTA, dan akan dilantik ke jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS).

“Kepada mereka yang akan dilantik sebagai pendidik, berkhidmatlah dengan jujur dan penuh dedikasi,” Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri

Kerajaan menetapkan keputusan itu selepas mengambil kira secara terperinci keperluan guru dalam jangka panjang yang digariskan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pelantikan itu tertakluk kepada graduan yang memenuhi syarat skim perkhidmatan PPPS, sudah membuat permohonan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) dan berjaya dalam temu duga dikendalikan SPP.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, seramai 2,960 graduan terbabit dikenal pasti sudah menamatkan pengajian mereka sebelum 1 Julai lalu dan dijadualkan menjalani temu duga oleh SPP.

Penempatan interim
“Mereka adalah 2,478 graduan program J-QAF (Jawi, Al-Quran, Arab dan Fardu Ain), 368 dari program TESL (Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua), 90 dari program KPLI (Kursus Perguruan Lepas Ijazah) IPGM dan IPTA termasuk mereka dari Program Pelajar Cemerlang (PPC), 14 dari program Bahasa Perancis, dan 10 calon mengulang temu duga berdasarkan keperluan opsyen.

“Sementara SPP menyelesaikan urusan temu duga, Kementerian Pelajaran akan membuat penempatan secara interim bagi kumpulan ini mulai 16 Oktober ini. Pelantikan tetap adalah tertakluk kepada keputusan temu duga oleh SPP,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Sementara itu bagi baki 7,755 pelajar yang menamatkan pengajian selepas Jun lalu, Muhyiddin berkata, mereka perlu mengemukakan permohonan kepada SPP untuk pelantikan ke jawatan PPPS Gred DG41 supaya penjadualan temu duga dapat disegerakan.

“Penempatan mereka yang lulus temu duga SPP akan dibuat tahun depan. Kepada mereka yang berjaya dan akan dilantik sebagai pendidik, berkhidmatlah dengan jujur dan penuh dedikasi,” katanya.