Sesi belajar dalam surau – Sinar Harian


Sesi belajar dalam surau

NORAFIZA JAAFAR
6 Oktober 2012
Murid-murid belajar dalam keadaan kurang selesa selepas sesi pelajaran terpaksa dilakukan di dalam s
Murid-murid belajar dalam keadaan kurang selesa selepas sesi pelajaran terpaksa dilakukan di dalam surau.

KOTA PUTERI – Seramai 25 murid di sebuah Kafa Integrasi Al-Falah di sini menggunakan surau yang diubahsuai untuk tujuan pembelajaran sejak awal tahun lalu.

Pengerusi surau yang juga penyelia sekolah, Ahmad Mohamed berkata, pihaknya bercadang mengumpul dana RM150,000 untuk membina sebuah sekolah enam kelas bagi menggantikan kelas sedia ada.

Menurutnya, kelas yang tidak sempurna antara faktor utama ibu bapa tidak yakin menghantar anak mereka ke Kafa itu menyebabkan ramai kanak-kanak di kawasan itu tidak bersekolah agama.

“Sekolah agama terdekat terletak di Ijok iaitu kira-kira tiga kilometer dari Kota Puteri pastinya menyukarkan ibu bapa menghantar anak-anak mereka kerana faktor masa dan tekanan kerja.

“Atas faktor itu, hasil perbincangan pihak surau dan ibu bapa bersetuju untuk mewujudkan satu Kafa di Kota Puteri dan menjadikan kelas sementara di surau,” katanya kepada Sinar Harian, baru-baru ini.

Namun begitu katanya, perancangan masa depan diatur supaya sekolah agama dapat dibina dalam tempoh 10 tahun dari sekarang untuk memenuhi permintaan penduduk.

“Dianggarkan 200 unit rumah telah siap di kawasan sekitar sini dan dijangka akan meningkat berikutan pertumbuhan pesat melalui projek perumahan yang sedang giat dijalankan.

“Buat masa ini segala pengurusan Kafa adalah di atas sumbangan pihak perseorangan dan juga syarikat swasta yang sudi menyalurkan bantuan kewangan untuk melancarkan proses pembelajaran,” katanya.

Malahan beliau berkata, gaji empat guru yang dipertanggungjawab memberikan ilmu kepada 25 murid juga menggunakan wang hasil sumbangan itu.

Justeru itu katanya, untuk mencapai hasrat membina sekolah agama itu, pihaknya kini sedang giat mengumpul dana dan dalam proses permohonan kepada pihak berkaitan.

Puad: 30 peratus pelajar terbaik SPM akan ditawar kursus perguruan – Bernama


Puad: 30 peratus pelajar terbaik SPM akan ditawar kursus perguruan

6 Oktober 2012
puad-zarkashi
Dr Mohd Puad Zarkashi

BATU PAHAT – Pengambilan calon untuk Kursus Perguruan Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak akan diiklankan mulai tahun depan dan sebaliknya akan ditawarkan kepada 30 peratus pelajar lepasan SPM yang memperolehi keputusan terbaik.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata langkah tersebut adalah usaha bagi meningkatkan kualiti guru selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Sebelum ini, katanya, lepasan SPM yang ingin menjadi guru perlu memohon untuk menduduki ujian kelayakan khas atau M-Test dan akan dipanggil untuk temuduga selepas lulus itu.

Bagaimanapun mulai tahun ini, permohonan untuk mengambil ujian M-Test adalah terbuka kepada semua pelajar SPM pada hari terakhir peperiksaan, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata apabila keputusan peperiksaan SPM keluar nanti, kursus itu akan tawarkan kepada 30 peratus pelajar yang memperoleh keputusan terbaik.

Sebelum itu, Mohd Puad, yang juga Ahli Parlimen Baru Pahat, menghadiri majlis pemimpin bersama rakyat dan penyampaian cek baikpulih rumah nelayan peringkat Parlimen Batu Pahat di Pengkalan Nelayan Kampung Sungai Suloh di sini.

Sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan untuk membantu membaiki 155 buah rumah dari enam kampung nelayan di daerah itu. – Bernama