Pengajaran Bahasa Inggeris hangat diperbincangkan pada dialog pendidikan – Bernama


Pengajaran Bahasa Inggeris hangat diperbincangkan pada dialog pendidikan

6 Oktober 2012

KUALA LUMPUR – Isu pengajaran Bahasa Inggeris (BI) di sekolah turut menjadi topik hangat yang dibangkitkan pada sesi dialog Hari Terbuka Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 di Pusat Transformasi Bandar Pudu Sentral di sini hari ini.

Turut mendapat perhatian ialah isu kualiti khidmat perguruan yang rata-rata dibangkitkan oleh ibu bapa yang menyertai sesi selama kira-kira satu setengah jam bersama panel Kementerian Pendidikan Malaysia.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Dasar dan Pembangunan Pendidikan), Dr Amin Senin yang merupakan salah seorang anggota ppanel berkata antara isu yang dibincangkan melibatkan pengajaran BI ialah seperti masalah kaedah pengajaran dan kesesuaian sukatan mata pelajaran dalam meningkatkan mutu penguasaan BI di kalangan pelajar sekolah.

“Ia merupakan antara isu yang menjadi perhatian ibu bapa serta penjaga, dan dengan itu kita percaya penyelesaiannya memerlukan penelitian sempurna iaitu dengan meningkatkan mutu pengajaran bahasa Inggeris itu sendiri bagi memastikan murid turut menguasai bahasa berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas sesi dialog berkenaan.

Turut serta dalam dialog yang disertai kira-kira 200 orang itu ialah Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, Abdullah Md Yunus.

Dr Amin berkata segala cadangan dan input dari sesi dialog itu akan dibawa ke peringkat perbincangan selanjutnya yang akhirnya akan dibawa ke jawatankuasa pemutus yang dipengerusikan oleh Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Perdana Menteri, sebelum dimasukkan ke dalam laporan.

“Jika cadangan itu dilihat boleh membawa kepada penambahbaikan kualiti pendidikan, kami bersedia menerima dan memasukkan cadangan-cadangan di dalam laporan,” katanya.

Beliau berkata sesi dialog seumpama ini akan diadakan sekali lagi di sini  memandangkan terdapat banyak permintaan dari beberapa pihak berkaitan supaya ia diadakan di tempat yang lebih besar dan selesa dengan penyertaan lebih ramai orang.

“Lokasi akan kita beritahu nanti. Sesi dialog juga akan dibuat dalam bulan ini di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang yang mensasarkan lebih 1,000 penyertaan serta di Johor, Kelantan, Sabah dan Sarawak,” katanya.

Hari terbuka di Johor dan Kelantan akan diadakan pada 13 Okt ini di Pusat Kegiatan Kokurikulum, Jabatan Pelajaran Negeri Johor, Johor Baharu dan Kelantan Trade Centre, Kota Baharu.

Manakala di Sabah dan Sarawak, ia akan diadakan pada 20 Okt di Kuching dan Suria Sabah di Jalan Pantai, Kota Kinabalu.

Dr Amin berkata selain dapat menyertai sesi dialog secara langsung, orang ramai juga boleh memberikan maklum balas secara dalam talian melalui kemudahan komputer riba yang disediakan.

Pada September lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan laporan awal pelan tersebut yang menggariskan 11 anjakan strategik dan operasi untuk mengubah sistem pendidikan negara.

Laporan awal pelan itu yang memaparkan visi sistem pendidikan dan pelajar yang Malaysia perlu dan berhak miliki, memperinci anjakan yang diperlukan untuk mencapai objektifnya. – Bernama

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s