Calon PMR dalam perjalanan ke sekolah maut kemalangan – Bernama


Calon PMR dalam perjalanan ke sekolah maut kemalangan

9 Oktober 2012

KEPALA BATAS – Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Keladi yang dalam perjalanan untuk menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) maut selepas terlibat dalam kemalangan di Kampung Permatang Langsat, di sini awal hari ini.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam/Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, ASP Suhaimi Mohd Noor berkata mangsa Muhamad Farhan Mohd Sidek, 15, yang berasal dari Kampung Permatang Durian, di sini meninggal dunia di tempat kejadian pada kira-kira 6.40 pagi akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

“Mangsa yang menunggang motosikal milik bapanya dalam perjalanan untuk mengambil rakan baiknya yang tinggal di Kampung Permatang Langsat iaitu tidak jauh dari tempat kemalangan sebelum mereka ke sekolah.

“Bagaimanpun ketika mangsa sampai di simpang Kampung Permatang Langsat, sebuah Perodua Viva tiba-tiba keluar dari simpang. Muhamad Farhan yang gagal mengelak merempuh kenderaan berkenaan,” kata Suhaimi.

Beliau berkata akibat rempuhan itu mangsa terpelanting beberapa meter dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.

Suhaimi berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Kepala Batas untuk bedah siasat. – Bernama

Senarai Nama Peminjam Tegar Kementerian Pelajaran Malaysia


Senarai Nama Peminjam Tegar Kementerian Pelajaran Malaysia

Dimaklumkan bahawa dilampirkan senarai Nama Peminjam Tegar Kementerian Pelajaran Malaysia.
(Pembayaran yang telah dibuat pada bulan semasa  akan dikemaskini pada bulan berikutnya)
 
Sila hubungi :
Bahagian Tajaan Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia,
Aras 1, Blok 2251, Jalan Usahawan 1, 63000 Cyberjaya, Selangor.
Talian Hotline : 03-8321 7124 atau Faks : 03-8321 7103, Emel : penguatkuasaan@moe.gov.my

SENARAI PEMINJAM TEGAR SEHINGGA 30 SEPTEMBER 2012

4,000 guru Kemas bakal terima gaji taraf diploma – Bernama


4,000 guru Kemas bakal terima gaji taraf diploma

POKOK SENA 9 Okt. – Kira-kira 4,000 guru tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) akan menerima faedah termasuk gaji setaraf lulusan diploma mulai tahun depan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata sebanyak RM50 juta diperuntukkan kepada Kemas dalam Belanjawan 2013 untuk tujuan tersebut.

“Kenaikan ini memberi kebaikan kepada kanak-kanak yang dihantar mendapat bimbingan di Tabika Kemas,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Tabika Kemas Taman Bandar Baru Pokok Sena, di sini hari ini.

Mohd Shafie berkata sebanyak RM15 juta lagi akan diguna bagi melaksanakan projek pembangunan dan menyediakan prasarana lebih baik untuk Tabika Kemas.

Terdahulu ketika berucap, beliau berkata perkara yang perlu dihayati dan difahami dalam pendidikan berkualiti bermula dengan penyediaan ramuan awal kanak-kanak.

“Satu ramuan yang dititikberatkan Kemas dalam pendidikannya ialah peranan institusi kekeluargaan bagi membentuk modal insan yang kreatif, inovatif dan berkemahiran tinggi untuk kejayaan masa depan.

“Bagaimanapun kejayaan ini hanya boleh dicapai dengan sokongan dan kerjasama ibu bapa, masyarakat dan juga pihak swasta selaras dengan halatuju negara berlandaskan perancangan Strategi Lautan Biru,” katanya.

Beliau berkata kejayaan Tabika Kemas diukur melalui tahap kemampuan anak didiknya menguasai kemahiran asas iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul dan dianggap gagal jika tidak dapat menguasai kemahiran asas tersebut. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121009/dn_29/4000-guru-Kemas-bakal-terima-gaji-taraf-diploma#ixzz28o4X4cxN
© Utusan Melayu (M) Bhd

35,525 calon duduki PMR di Kelantan bermula hari ini – Utusan


35,525 calon duduki PMR di Kelantan bermula hari ini

KOTA BHARU 9 Okt. – Seramai 35,525 calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2012 di Kelantan, menduduki peperiksaan itu yang bermula hari ini sehingga 16 Oktober depan.

Pengarah Pelajaran negeri, Hussain Awang berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 28,542 merupakan calon sekolah bantuan penuh kerajaan.

Beliau berkata, selebihnya adalah calon dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan persendirian.

“Kesemua calon menduduki peperiksaan di 321 pusat peperiksaan tetap yang disediakan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. – UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121009/dn_28/35525-calon-duduki-PMR-di-Kelantan-bermula-hari-ini#ixzz28o4OOZnn
© Utusan Melayu (M) Bhd

481,424 calon duduki PMR seluruh negara – Bernama


481,424 calon duduki PMR seluruh negara

9 Oktober 2012
PMR 2012
Pengawas memeriksa slip calon Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah 2012 di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Uda, Johor Bharu. – Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Seramai 23,733 pelajar di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah antara 481,424 calon yang menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di seluruh negara bermula hari ini hingga 16 Okt.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Abdullah Mad Yunus berkata sebanyak 209 pusat peperiksaan dibuka di seluruh negeri itu dengan 1,797 orang petugas mengendalikan perjalanan peperiksaan.

“Daripada jumlah itu, sebuah adalah pusat peperiksaan persedirian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam,  Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) menyatakan seramai 448,436 calon  dari sekolah bantuan penuh kerajaan dan 5,846 calon sekolah di bawah agensi kerajaan seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) mengambil peperiksaan itu.

Selain itu, seramai 10,051 calon adalah dari sekolah agama tadbiran negeri, 13,728 calon sekolah swasta, 1,151 calon persendirian perseorangan dan 2,212 calon dari Sekolah Agama Rakyat.

Sebanyak 3,560 pusat peperiksaan dibuka di seluruh negara dengan 33,898 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar.

Di ALOR SETAR, seramai 39,405 calon mengambil peperiksaan PMR di 296 pusat peperiksaan di seluruh Kedah, seorang daripadanya menduduki peperiksaan di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.

Pengarah Pelajaran Kedah Mansor Lat berkata daripada jumlah itu, seramai 35,426 calon adalah dari sekolah kerajaan manakala selebihnya calon dari sekolah swasta, Sekolah Menengah Agama Negeri, Sekolah Agama Rakyat, Maktab Rendah Sains Mara, Sekolah Integriti dan Pusat Pemulihan Akhlak.

Seramai 44 orang penyelia kawasan, 296 ketua pengawas dan 2,140 pengawas peperiksaan dilantik bagi memantau peperiksaan berlangsung.

Di KOTA BAHARU, seramai 35,525 calon menduduki PMR di Kelantan tahun ini dengan 110 calon terdiri daripada calon kurang upaya.

Pengarah Jabatan Pelajaran Kelantan, Husin Awang berkata daripada 35,525 calon itu, seramai  28,542 calon adalah dari sekolah kerajaan, 5,454 calon dari sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK), 745 calon dari Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), MARA (628) calon dan swasta/persendirian (156) calon.

Di MELAKA, Pengarah Jabatan Pelajaran Melaka Kasim Mohamad berkata seramai 15,015 calon menduduki peperiksaan PMR di negeri itu hari ini dengan 12 daripadanya menduduki peperiksaan di hospital akibat kemalangan jalan raya dan sakit.

Beliau berkata daripada jumlah itu seramai 209 calon merupakan murid Sekolah Asrama Penuh, 455 calon Sekolah Menengah Kebangsaan Agama dan 489 calon Sekolah Menengah Agama Jabatan Agama Islam  Melaka (JAIM).

Selain itu, 257 ialah pelajar  MRSM, 108 calon sekolah swasta dan 13,754 calon Sekolah Menengah Kebangsaan termasuk calon tumpang.

Beliau berkata kesemua calon menduduki peperiksaan di 103 pusat peperiksaan di negeri itu dengan bilangan petugas peperiksaan seramai 1,000 orang.

Di TERENGGANU, seramai 23,025 calon menduduki PMR di 177 pusat peperiksaan di seluruh negeri itu.

Pengarah Pelajaran Terengganu, Zakaria Husein berkata daripada jumlah itu seramai 22,229 merupakan calon sekolah bantuan penuh kerajaan.

Zakaria berkata terdapat 124 orang calon Orang Kurang Upaya iaitu lapan orang yang mengalami masalah terencat akal, buta dan bisu masing-masing seorang, pekak (26 orang), rabun (10 orang) dan spastik (tiga orang) manakala seramai 75 calon pula mengalami kecacatan anggota. – Bernama

Mohd Anuar cekal hadapi peperiksaan walaupun bertongkat – Bernama


Mohd Anuar cekal hadapi peperiksaan walaupun bertongkat

9 Oktober 2012

KUALA LUMPUR – Kecekalan Mohd Anuar Ibrahim, 15, teruji apabila dia terpaksa menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dalam keadaan bertongkat akibat patah kaki.

Mohd Anuar, antara 481,424 pelajar yang menduduki PMR di seluruh negara bermula hari ini, mengalami patah kaki setelah terjatuh ketika bermain bola sepak di rumahnya di Perumahan Awam Desa Rejang, Kuala Lumpur, kira-kira dua minggu lalu.

Mohd Anuar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Seri Rampai berkata dia menguatkan semangat untuk datang ke sekolah bagi menduduki peperiksaan walaupun kakinya terasa berdenyut dan pedih.

Menurutnya dorongan ibu bapa, rakan-rakan dan guru sekolah memberi motivasi kepadanya untuk menduduki peperiksaan Bahasa Melayu kertas 1 dan kertas 2 serta Pendidikan Islam kertas 1 hari ini.

“Saya tidak menafikan tumpuan ulang kaji agak terganggu setelah kaki disimen…sebelum kejadian saya dapat mentelaah lebih daripada tiga jam namun setelah kejadian, segalanya terbatas,” katanya.

Mohd Anuar berkata dia tidak menduga akan tercedera ketika membuat latihan untuk pertandingan bola sepak yang bakal disertainya tidak lama lagi namun  kakinya tersadung dan jatuh ketika bertindak sebagai penjaga gol.

“Akibat kejadian itu saya terlantar di rumah dan hanya membaca buku dari atas katil,” katanya.

Walaupun menahan sakit ketika menjawab peperiksan hari ini, Mohd Anuar yakin dapat menjawabnya dengan baik berdasarkan persediaan yang telah dilakukannya.

“Saya mensasarkan semua A bagi empat daripada lapan matapelajaran yang diambil…kalau dapat lebih itu ibarat bonus bagi saya,” katanya.

PMR bermula hari ini dan dijadual berakhir pada 16 Okt. – Bernama

Puad Zarkashi: Amalan LGBT bimbangkan – Bernama


Puad Zarkashi: Amalan LGBT bimbangkan

9 Oktober 2012
Dr Mohd Puad Zarkashi
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Puad Zarkashi

KANGAR – Amalan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini semakin membimbangkan dan ia antara cabaran yang perlu ditangani secara bersama oleh kerajaan dan rakyat, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi hari ini.

Menurut beliau, amalan itu yang turut disokong dan diperjuang oleh pihak tertentu di negara ini merupakan ancaman kepada budaya murni rakyat dan boleh mencetuskan suasana tidak sihat dalam negara.

Bercakap kepada para pemberita selepas merasmikan seminar keibubapaan bertema “Menangani Isu LGBT” peringkat negeri Perlis di Kolej Matrikulasi Perlis di sini hari ini, beliau berkata, lebih membimbangkan jika ia merebak secara meluas di institusi pendidikan.

Katanya, beliau tidak dapat memberikan angka mengenai kes itu walaupun ia wujud tetapi menurutnya apa yang lebih penting ialah langkah mengawal perlakuan songsang itu demi masa depan negara.

Antara langkah yang sedang diambil termasuk melalui seminar keibubapaan berkaitan LGBT supaya para peserta dapat didedahkan dengan bahaya LGBT bukan sahaja kepada insitutusi keluarga tetapi negara, katanya.

Dr Puad berkata, siri seminar itu telah lama dilaksanakan dan sehingga kini 10,000 peserta yang terdiri daripada kepimpinan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG), guru kaunseling dan guru penolong kanan hal ehwal murid telah menyertai 13 siri seumpama itu di seluruh negara manakala pada 16 Oktober ini akan ia berlangsung di Kelantan.

Beliau berkata, ada pihak yang memandang negatif penganjuran seminar seumpama itu dengan alasan ia membawa mesej yang berbahaya kepada rakyat.

Beliau turut mengakui ada pemikiran bahawa guru-guru berperwatakan lembut berpotensi terbabit dengan LGBT namun menurutnya Kementerian Pelajaran tidak akan terburu-buru menghukumnya.

“Selagi mereka melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan baik, mereka tidak akan dikenakan sebarang tindakan kecuali setelah didapati melanggar etika kerja,” katanya.

Kementerian Pelajaran hanya mahu guru-guru yang beretika dan mulai tahun depan, tawaran kursus perguruan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)  hanya ditawarkan kepada 30 peratus pelajar paling cemerlang  begitu juga dengan tawaran bagi kursus perguruan lepasan ijazah yang hanya membabitkan 30 peratus pelajar cemerlang.

Ini sejajar dengan dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2035 yang mana para guru perlu mempunyai kualiti yang hebat, katanya. – Bernama

Pelajar bakal duduki STPM ditemui lemas – Bernama


Pelajar bakal duduki STPM ditemui lemas

9 Oktober 2012

BESUT – Seorang pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) bulan depan ditemui lemas hari ini di kawasan perkelahan Air Terjun, Lata Tembakah, Hulu Besut di sini.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Kamaruddin Zakaria berkata, Muhammad Hafiz Azuan Ghazali, 19, tiba di kawasan itu kira-kira 9.30 pagi bersama tiga rakan belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Chepa, Kelantan.

“Sejam kemudian mereka naik ke kawasan air di tingkat tiga dan 15 minit kemudian mangsa yang sememangnya tidak tahu berenang didapati hilang dari pandangan rakan-rakannya.

“Pada mulanya rakannya menyangka mangsa telah naik ke tebing dan pergi ke kawasan hutan berdekatan tetapi setelah puas mencari tidak menemuinya dan mereka melaporkan kejadian itu kepada petugas dari Jabatan Perhutanan di situ,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata kerja mencari anak kepada pegawai polis di Kelantan itu dilakukan pasukan polis, bomba, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Perhutanan dengan bantuan orang ramai.

“Mayat mangsa akhirnya ditemui pasukan penyelamat kira-kira pukul 1.10 petang dan dibawa ke Hospital Daerah Besut untuk bedah siasat,” katanya. – Bernama

Pelajar patah tulang betis – Sinar Harian


Pelajar patah tulang betis

WARTAWAN SINAR HARIAN
9 Oktober 2012
Pelajar patah tulang betis
Motosikal Honda yang ditunggang Atikah terperosok ke bawah kereta dan hampir melanggar hadapan rumah Rosni, kelmarin.

Motosikal ditunggangginya dilanggar kereta ketika cuba masuk lorong kanan

PASIR MAS – Seorang pelajar perempuan, tingkatan dua dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kangkong, patah tulang betis, apabila motosikal yang ditunggangginya dilanggar sebuah kereta Proton Waja, pada jam 2.15 petang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, mangsa Nurul Atikah Mohd Azani, 14, dalam perjalanan pulang selepas tamat persekolahan, dipercayai cuba memasuki lorong kanan, di Cabang Tiga Kangkong.

Bagaimanapun, pemandu kereta Waja dari arah Tanah Merah ke Pasir Mas, terkejut dengan tindakan mangsa, tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikalnya sehingga ke bahu jalan.

“Atikah yang memakai topi keledar dan tidak mempunyai lesen memandu, patah di betis kiri, manakala pemandu kereta bersama seorang penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Saksi yang melihat kejadian diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas, untuk membantu siasatan dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, saksi, Rosni Mat, 40, berkata, dia terkejut apabila mendengar tangisan seorang gadis di hadapan rumahnya, petang berkenaan.

Menurutnya, ketika kejadian dia bersama anak-anak sedang berehat di ruang tamu dan mendengar dentuman kuat, dekat jalan raya.

“Pelajar perempuan itu menangis dan meraung kesakitan, malah saya lihat banyak darah di atas lantai rumah.

“Kami angkat mangsa ke tempat yang lebih selamat, sebelum dihantar ke Hospital Pasir Mas untuk rawatan lanjut,” katanya kepada Sinar Harian.

Rosni berkata, dia lega kerana anak-anak tidak bermain di depan rumah, jika tidak mereka mungkin turut menjadi mangsa dalam kemalangan itu

Katanya, kereta Waja melanggar motosikal yang diletakkan di depan rumah, namun bersyukur ia tidak melanggar dinding, yang terletak kurang satu meter daripada tempat kejadian.

110 pelajar OKU duduki PMR di Kelantan – Bernama


110 pelajar OKU duduki PMR di Kelantan

9 Oktober 2012

KOTA BHARU – Seramai 110 daripada 35,525 calon yang menduduki Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di Kelantan tahun ini, terdiri daripada calon kurang upaya.

Pengarah Jabatan Pelajaran Kelantan, Husin Awang berkata mereka dikategorikan sebagai Calon Berkeperluan Khas (CBK) yang menduduki peperiksaan di sekolah khas, hospital dan sekolah harian biasa.

Daripada jumlah itu, seramai 31 orang ialah pelajar kurang upaya pendengaran, rabun (11), terencat akal (18), dan lain-lain kecacatan (50), katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Husin berkata kebanyakan mereka yang dikategorikan sebagai calon CBK itu mempunyai Kad Orang Kurang Upaya dan didaftarkan dengan JPN sebelum menduduki sesuatu peperiksaan.

Daripada jumlah 35,525 calon itu, seramai 28,542 calon sekolah kerajaan, calon sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) 5,454 orang, calon Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) 745, MARA (628) dan swasta/persendirian (156), katanya. – Bernama