Tolak rayuan perogol kanak-kanak – Sinar Harian


Tolak rayuan perogol kanak-kanak

RUBIAH OMAR
10 Oktober 2012
Tolak rayuan perogol kanak-kanak
Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu menolak rayuan dan mengekalkan hukuman 15 tahun penjara serta enam sebatan terhadap Senni, semalam.

Mahkamah Tinggi kekalkan hukuman 15 tahun penjara, enam sebatan

KUALA TERENGGANU- Perbuatan kejam seorang warga Indonesia yang tergamak merogol kanak-kanak berusia sembilan tahun sehingga mengalami pendarahan teruk pada bahagian kemaluan amat dipandang serius oleh Mahkamah Tinggi, di sini, semalam.

Ini terbukti apabila Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa menolak rayuan dan mengekalkan hukuman 15 tahun penjara serta enam sebatan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, dua tahun lalu terhadap tertuduh, Senni, dari Jawa Timur, Indonesia.

Terdahulu, Senni yang bekerja sebagai tukang elektrik didapati bersalah merogol mangsa yang ketika kejadian berusia 9 tahun di sebuah rumah di Taman Selasih Jalan Padang Luas, Kampung Padang Luas, Besut, pada 4 Mei 2009 antara jam 7 malam hingga 8 malam.

Dengan itu, Senni yang semasa kejadian berusia 23 tahun didapati bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai tidak kurang 5 tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan jika disabitkan kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli lampin pakai buang untuk adiknya di kedai berhampiran telah ditarik oleh tertuduh masuk ke dalam rumahnya sebelum dibawa ke dapur dan dirogol.

Selepas kejadian, mangsa pulang ke rumah dan menangis apabila hendak membuang air kecil kerana mendakwa sakit pada bahagian kemaluan sebelum ibu mangsa ternampak darah meleleh keluar dari kemaluan mangsa dan turut mendapati terdapat kesan luka seperti ‘hati ayam yang hancur’.

Terdahulu dalam rayuannya, Senni yang tidak diwakili peguam merayu agar mahkamah mempertimbangkan rayuan meringankan hukuman yang dijatuhkan kepadanya sebelum ini dengan mendakwa sudah insaf.

Selain itu, Senni turut mendakwa semasa kejadian usianya masih muda, jadi dia terlalu jahil sehingga sanggup melakukan perbuatan itu terhadap seorang kanak-kanak yang masih mentah selain mendakwa hendak pulang ke tanah airnya secepat mungkin disebabkan kedua orang tuanya di kampung sudah uzur.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Jazamuddin  Ahmad Nawawi.

Trauma jejak kaki ke sekolah – Sinar Harian


Trauma jejak kaki ke sekolah

WARTAWAN SINAR HARIAN
10 Oktober 2012
Trauma jejak kaki ke sekolah
Siti Nor Fitrah berehat sambil menikmati hidangan selepas selesai menduduki kertas pertama peperiksaan PMR di Hospital Tampin, semalam.

Seorang calon PMR ambil peperiksaan di hospital atas nasihat pakar psikiatri

TAMPIN – Akibat penyakit dihadapinya, seorang calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) terpaksa mengambil peperiksaan berkenaan di Hospital Tampin, semalam.

Siti Nor Fitrah Ramli, 15, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Undang Haji Adnan (Duha), di sini, mengalami gangguan tekanan atau Traumatic Stress.

Dia dikesan mengalami penyakit itu sejak Jun lalu berbuat demikian atas nasihat pakar psikiatri hospital terbabit.

Menurut Siti Nor Fitrah, penyakit itu menyebabkan dia mudah pengsan sebaik tiba di sekolah.

Malah, katanya, dia pernah pengsan sebaik sahaja menjejak kaki ke pintu pagar sekolah.

“Sejak bulan Jun lalu, sudah tidak terkira berapa kali saya pengsan ke sekolah. Doktor memberitahu saya mempunyai perasaan ‘tidak boleh ke sekolah’.

“Penyakit ini membuatkan perasaan saya seolah-olah trauma dengan sekolah dan atas nasihat doktor Isnin lalu, kes saya dirujuk ke HT untuk membolehkan saya menduduki peperiksaan PMR di hospital, tanpa risiko untuk pengsan seperti di sekolah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Hospital Tampin, semalam.

Siti Nor Fitrah juga akui sedih dan terkilan kerana tidak berpeluang untuk menduduki peperiksaan bersama rakan lain di sekolah, namun terpaksa akur.

“Bagaimanapun, saya akan cuba berusaha memberi terbaik bagi peperiksaan PMR ini walaupun persekitaran menduduki peperiksaan seperti ini tidak pernah sama sekali tergambar dalam fiki-ran saya selama ini,” katanya.

Siti Nor Fitrah merupakan seorang daripada 1,176 calon yang menduduki PMR di daerah Rembau, tahun ini.

Calon PMR Maut Dalam Perjalanan Ke Sekolah – Bernama


Calon PMR Maut Dalam Perjalanan Ke Sekolah

KEPALA BATAS: Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Keladi yang dalam perjalanan untuk menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) maut selepas terlibat dalam kemalangan di Kampung Permatang Langsat, di sini pagi Selasa.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam/Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, ASP Suhaimi Mohd Noor berkata mangsa Muhamad Farhan Mohd Sidek, 15, yang berasal dari Kampung Permatang Durian, di sini meninggal dunia di tempat kejadian pada kira-kira 6.40 pagi akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

“Mangsa yang menunggang motosikal milik bapanya dalam perjalanan untuk mengambil rakan baiknya yang tinggal di Kampung Permatang Langsat iaitu tidak jauh dari tempat kemalangan sebelum mereka ke sekolah.

“Bagaimanpun ketika mangsa sampai di simpang Kampung Permatang Langsat, sebuah Perodua Viva tiba-tiba keluar dari simpang. Muhamad Farhan yang gagal mengelak merempuh kenderaan berkenaan,” kata Suhaimi.

Beliau berkata akibat rempuhan itu mangsa terpelanting beberapa meter dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.

Suhaimi berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Kepala Batas untuk bedah siasat. -BERNAMA

Kerajaan Digesa Kaji Punca Ramai Remaja Sakit Mental – Bernama


Kerajaan Digesa Kaji Punca Ramai Remaja Sakit Mental

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa segera mengenal pasti punca dan mencari langkah menangani peningkatan jumlah pesakit mental di negara ini, termasuk kanak-kanak dan remaja, yang berada pada tahap membimbangkan.

Datuk Ismail Kasim (BN-Arau) berkata peningkatan angka itu saban tahun menunjukkan isu tersebut perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan. “Kajian menyeluruh perlu dibuat untuk mengenal pasti faktor yang menyebabkan peningkatan pesakit mental di negara ini saban tahun.

“Kita sebagai ibu bapa mungkin tidak dapat kesan kedudukan anak kita dan tidak tahu mereka dalam keadaan yang memerlukan rawatan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2013 di Dewan Rakyat pada Selasa.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai baru-baru ini mendedahkan statistik Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan, yang mendapati kelaziman masalah kesihatan mental golongan kanak-kanak dan remaja meningkat daripada 13 peratus pada 1996 kepada 20 peratus tahun lepas. Liow berkata pengaruh Internet dan teknologi komunikasi selain faktor kesibukan ibu bapa dijangka terus membawa kepada peningkatan peratusan itu, yang dijangka terus meningkat dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Ismail berkata pendedahan lebih meluas perlu dibuat bagi memberi pengetahuan terutama kepada ibu bapa dan penjaga supaya dapat mengesan kemungkinan penyakit mental di kalangan kanak-kanak serta remaja lebih awal.

“Kita tidak mahu apabila negara maju, perkara seperti ini kita tinggalkan dan menjadi perkara terpencil sedangkan ia merupakan perkara yang serius,” katanya.

Beliau turut menekankan keperluan mewujudkan Jabatan Psikiatri di setiap daerah dan penambahan pakar kesihatan mental.

“Apa yang lebih penting, di peringkat awal isu perlu diberi penekanan dan Kementerian Kesihatan harus membuat kempen yang sesuai dalam menangani masalah tekanan ini sebelum ia sampai ke peringkat teruk,” katanya.

Kebimbangan serupa turut dibangkitkan Datuk Ismail Abdul Muttalib, yang menyifatkan isu itu amat serius kerana membabitkan kanak-kanak dan remaja, yang merupakan barisan pelapis negara.

“Saya mohon kerajaan memberi perhatian segera pada isu ini kerana anak-anak kecil dan remaja ini bila mental mereka terganggu, sudah tentu masa depan negara bangsa kita juga akan terjejas,” katanya. –BERNAMA

Kajian Mendalam Modul Baru Tingkatkan Kemahiran Guru – PM – Bernama


Kajian Mendalam Modul Baru Tingkatkan Kemahiran Guru – PM

PUTRAJAYA: Kerajaan akan menjalankan kajian mendalam berhubung modul baharu menggunakan teknologi maklumat (IT) bagi menaik taraf dan meningkatkan kemahiran guru dan bukan membandingkannya dengan cara tradisional dan konvensional, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata modul baharu itu boleh membawa kepada kemungkinan yang sangat menarik daripada menghantar mereka ke institut semasa cuti persekolahan.

“Kita perlu mengenal pasti beberapa guru cemerlang dalam setiap subjek pada setiap tahun, mendapatkan mereka bagi membangunkan kandungan dan meletakkannya dalam talian manakala guru-guru lain menjadi mentor dan fasilitator,” katanya pada akhir mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa MSC Malaysia (IPA) di sini, Selasa.

Najib berkata Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin pada mesyuarat itu bersetuju untuk meneliti perkara itu.

“Ini adalah kelebihan utama dalam soal bagaimana kita boleh menggunakan dan mengembangkan IT bagi meningkatkan kualiti pendidikan dan bakat yang kita ada dalam negara,” katanya.

Najib berkata trend di Amerika pada masa ini adalah bagi profesor terkemuka untuk mengajar secara online dan mereka boleh mencapai 100,000 hingga 150,000 pelajar berbanding saiz bilik darjah tradisional.

Dalam mesyuarat hari ini, beliau berkata satu spektrum baharu diperlukan dalam pendidikan.

“Kita boleh menyebarkan spektrum pendidikan bukan sahaja dalam hasil yang asas tetapi membuka lebih banyak peluang bagi perkongsian dengan sektor swasta untuk menghasilkan lebih banyak peluang pada masa depan,” katanya.

Sementara itu, Najib berkata kerajaan mengiktiraf mereka yang berpencapaian tinggi atau ikon dalam industri IT bagi menggalakkan lebih ramai orang menggunakan ICT sebagai satu pendekatan baharu dalam negara.

Sambil memberikan contoh, beliau berkata seorang usahawan rumpai laut dari Kunak, Sabah dengan pendapatan RM450 sebulan tetapi hari ini beliau meraih pendapatan RM20,000 sebulan selepas menggunakan IT bagi mengintegrasi produk-produknya ke pasaran dunia.

“Itu adalah satu cerita yang menarik. Apabila kita sebut ICT sebagai pendekatan baharu, ia adalah satu bukti nyata mengenai apa yang membolehkan wanita itu (petani rumpai laut) meraih pendapatan begitu banyak dengan menggunakan teknologi IT dan mengintegrasikan produknya ke pasaran dunia.

“Kita perlu lebih ramai orang yang sedemikian. Kita perlu mengiktiraf kejayaan mereka agar mereka boleh menjadi pemangkin dan ikon bagi menggalakkan lebih ramai orang menggunakan IT.

“Kita percaya konsep mengiktiraf mereka yang berpencapaian tinggi, mereka yang menggunakan IT dengan cara pendekatan baharu yang signifikan tidak sepatutnya dihadkan kepada usahawan tetapi juga kepada golongan profesional termasuk guru-guru yang boleh menjadi ikon kepada guru-guru lain dan pelajar-pelajar,” katanya.

Najib menyifatkan mesyuarat IAP hari ini sebagai sangat produktif kerana banyak kemungkinan baru yang menarik dibincangkan.-BERNAMA

Lebih Banyak Hari Bersekolah Pada Tahun Depan – mStar


Lebih Banyak Hari Bersekolah Pada Tahun Depan

Oleh KAREN CHAPMAN

PETALING JAYA: Ibu bapa yang ingin membawa anak-anak bercuti pada tahun depan harus ingat bahawa lebih banyak hari mereka berada di sekolah berbanding tahun ini.

Sebanyak 205 hari bersekolah iaitu dua hari lebih daripada tahun ini. Pelajar juga akan mendapat cuti yang pendek dengan 84 hari cuti tahun depan berbanding 87 hari tahun ini.

Pesta Menuai dan Gawai iaitu Mei dan Jun bertepatan dengan cuti pertengahan tahun manakala Hari Raya Aidilfitri yang dijangka jatuh pada cuti semester dua minggu pada bulan Ogos.

Kalendar sekolah tahun depan, seperti yang ditunjukkan di laman web Kementerian Pelajaran, menunjukkan bahawa pelajar kembali ke sekolah pada 2 Januari di semua negeri kecuali Kedah, Kelantan dan Terengganu, di mana kelas bermula sehari awal.

Pihak sekolah juga boleh memohon empat hari cuti Peristiwa yang tidak perlu diganti.

Mereka juga boleh memohon cuti ganti (cuti gantian), yang tertakluk kepada kelulusan oleh masing-jabatan pendidikan negeri.

Cuti akhir tahun akan bermula pada 15 November tahun depan, kecuali di Kedah, Kelantan dan Terengganu di mana cuti bermula sehari lebih awal.

Muhyiddin: Semua Sekolah Satu Sesi Dalam 5 Hingga 10 Tahun Lagi – mStar


Muhyiddin: Semua Sekolah Satu Sesi Dalam 5 Hingga 10 Tahun Lagi

PRIYA KULASAGARAN

KUALA LUMPUR: Kerajaan berharap untuk mempunyai sistem satu sesi di semua sekolah di seluruh negara dalam masa lima hingga 10 tahun, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kami mempunyai guru yang cukup (untuk membuat semua sekolah satu sesi) tetapi kita perlu lebih banyak sekolah.

“Ini juga boleh membawa kepada waktu persekolahan dilanjutkan,” katanya kepada pemberita selepas melawat SMK Gombak Setia di sini pada hari kedua PMR pada Selasa.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata membina lebih banyak sekolah bergantung kepada peruntukan bajet, sambil menambah bahawa 20 peratus sekolah 10,000 negara kini satu sesi.

Suspek perkosa lari ke ibu negara – Metro


Suspek perkosa lari ke ibu negara

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

TAPAH: Seorang lelaki dipercayai penagih diburu polis apabila melarikan diri ke ibu negara selepas memperkosa seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun, pertengahan September lalu.

Suspek dikenali sebagai Mohd Hadi Baharom, 50, atau Adi dikesan mempunyai beberapa rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah selain turut diletakkan di bawah pengawasan polis sebelum ini.
Jurucakap polis berkata, dalam kejadian jam 12.30 tengah malam, 12 September lalu, suspek dikatakan memecah masuk rumah jirannya di Kampung Petalin Baru, Bidor, di sini sebelum menceroboh bilik mangsa yang ketika itu tidur bersendirian.

 

“Suspek kemudian merogol mangsa sebelum melarikan diri dari rumah berkenaan. Difahamkan, mangsa berasal dari Slim River tinggal sementara di rumah berkenaan milik keluarga angkatnya.
“Pada keesokan hari, mangsa yang juga anak sulung daripada lima beradik pulang semula ke rumahnya di Slim Village dan menceritakan kejadian menimpanya kepada ibunya,” katanya.
Susulan itu, ibu mangsa membuat laporan polis dan pemeriksaan kesihatan hospital mengesahkan mangsa dirogol.

 

 

“Polis kesal apabila keluarga angkat mangsa mendakwa suspek bebas keluar masuk rumah berkenaan sebelum ini,” katanya.
Menurutnya, suspek yang mempunyai beberapa rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah dipercayai masih bersembunyi dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan gerakan mengesannya giat dijalankan.

 

Orang ramai yang mengenali suspek atau mempunyai sebarang maklumat diminta melaporkannya kepada polis atau menghubungi talian 05-4015222.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/10

Lelaki diburu – Metro


Lelaki diburu

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

GEORGETOWN: Polis memburu seorang lelaki yang dipercayai melakukan ugutan jenayah terhadap seorang lelaki lain selepas disyaki melarikan seorang gadis bawah umur dari Kuala Lumpur dalam kejadian di Jalan Air Itam di sini, awal pagi Ahad lalu.

Dalam kejadian jam 1 pagi itu, mangsa berusia 26 tahun yang juga saudara remaja perempuan berusia 17 tahun itu diminta keluarga gadis itu mencari anaknya yang dikatakan dibawa ke Pulau Pinang oleh seorang lelaki. Jurucakap polis berkata, selepas usaha mencari dilakukan sejak beberapa hari lalu, mangsa berjaya menemui anak saudaranya di kawasan Bukit Jambul sebelum membawanya pulang ke rumah di Air Itam.
Menurutnya, suspek berusia 23 tahun kemudian bertemu mangsa di sebuah medan selera dan berlaku pertengkaran serta tolak-menolak sebelum suspek mengugut mahu mencederakan mangsa sebelum beredar.

 

Katanya, mangsa yang bimbangkan keselamatan diri dan anak saudaranya itu kemudian membuat laporan polis. Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Ismail Idris ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata siasatan lanjut masih dijalankan.

 

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/10

Najib doa calon PMR jawab dengan baik – Metro


Najib doa calon PMR jawab dengan baik

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mendoakan semua 481,424 calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) menjawab dengan baik pada peperiksaan yang masuk hari kedua hari ini.

Perdana Menteri yakin ibu bapa dan guru sudah menyediakan pelajar terbabit dengan persiapan secukupnya sebelum menghadapi peperiksaan itu. “Saya mendoakan agar semua 481,424 calon PMR dapat menjawab dengan baik. “Saya pasti ibu bapa dan guru sudah memberi persiapan secukupnya kepada pelajar terbabit,” katanya dalam tweet terbarunya, di sini semalam. Kelmarin, Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) menyatakan seramai 448,436 calon dari sekolah bantuan penuh kerajaan dan 5,846 calon sekolah di bawah agensi kerajaan seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) mengambil peperiksaan itu.

 

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/10