Jawab soalan dalam wad – Metro


Jawab soalan dalam wad

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SEREMBAN: Seorang calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) boleh dianggap antara yang cekal apabila bersemangat menghadapi peperiksaan itu walaupun terlantar di wad hospital.

S Arun Pandian, 15, pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mambau, di sini, mengambil peperiksaan PMR di bilik khas Hospital Tuanku Jaafar Seremban gara-gara patah kaki kiri selepas terjatuh dari katil dua tingkat menyebabkannya dirawat di hospital itu sejak sebulan lalu.
Biarpun kaki kirinya patah dan tangan kanannya masih berbalut, semangat Arun bagi menduduki peperiksaan tidak pernah luntur. “Semangat saya kuat memandangkan saya ada cita-cita tinggi, tetapi sedih kerana terpaksa mengambil PMR di hospital ini,” katanya.

 

Pagi semalam, dia ditemani dua pelajar senasib yang turut sama menduduki PMR di bilik khas HTJS itu.
Arun ketika ditemui selepas menduduki Kertas Bahasa Melayu 1 berkata, dia dimasukkan ke hospital sebulan lalu kerana patah kaki kiri selepas terjatuh dari katil dua tingkat di rumahnya dan kelmarin, dia sekali lagi dimasukkan ke HTJS kerana komplikasi penyakit lain pula.
Menurutnya, tumpuannya menjawab soalan sedikit terjejas kerana kesakitan dan menggunakan komputer untuk menaip jawapan karangan.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/10

Pelajar lemas lepas tekanan – Metro


Pelajar lemas lepas tekanan

Oleh Mohammad Ishak
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

JERTIH: Hasrat seorang pelajar untuk melepaskan tekanan selepas menduduki peperiksaan percubaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dengan berkelah bertukar tragedi apabila dia lemas ketika mandi di Air Terjun Lata Tembakah, Hulu Besut, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi, Muhamad Hafiz Hazwan Razali, 19, yang juga pelajar tingkatan enam atas Sekolah Menengah Pengkalan Chepa, Kelantan, mandi di tingkat tiga air terjun berkenaan sebelum dia tiba-tiba hilang daripada pandangan rakan-rakannya.
Rakannya, Mohd Zubaidi Zulkifli, 19, berkata, mereka dan dua lagi rakan bertolak dari rumah mangsa di Taman Pinggiran Golf, Pengkalan Cepa, Kelantan kira-kira jam 7.30 pagi dengan menunggang dua motosikal berasingan sebelum tiba di kawasan perkelahan berkenaan dua jam kemudian.

 

“Arwah mengajak kami mandi di air terjun itu untuk menghilangkan tekanan selepas menghadapi peperiksaan percubaan baru-baru ini.
“Malah selepas kira-kira 15 minit sampai di air terjun berkenaan, arwah terlebih dulu meluru ke sungai untuk mandi diikuti saya dan seorang lagi rakan manakala seorang lagi berada di tebing sungai.
“Bagaimanapun tidak lama kemudian, arwah tiba-tiba hilang dan tiada seorang pun daripada kami ternampak dia lemas,” katanya.

 

 

Menurutnya, mengesyaki perkara buruk menimpa rakannya itu, dia kemudian bergegas membuat laporan di pondok pengawal Jabatan Perhutanan di pusat perkelahan itu sebelum gerakan mencari dilakukan pihak berkuasa termasuk polis, bomba dan Jabatan Pertahanan Awam dengan bantuan penduduk kampung.
Mayat mangsa dijumpai terdampar di dasar air terjun berkenaan kira-kira jam 1.30 tengah hari sebelum dibawa ke Hospital Besut untuk bedah siasat.

 

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria yang dihubungi berkata, ketika kejadian keadaan air di tempat mangsa mandi dalam dan berarus deras selain cuaca hujan.
“Mangsa yang dipercayai pertama kali berkunjung ke kawasan perkelahan berkenaan tidak pandai berenang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/10

Senior melampau – Metro


Senior melampau

Oleh Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
BUKTI...mangsa dan bapanya menunjukkan rakaman kejadian terbabit.
BUKTI…mangsa dan bapanya menunjukkan rakaman kejadian terbabit.

GURUN: “Anak saya dimalukan apabila dipaksa telanjang sebelum seorang pelajar merakam gambar bogelnya menggunakan telefon bimbit dengan alasan bergurau. Lebih mengecewakan, kejadian itu berlaku Februari lalu dan hanya diketahui apabila telefon bimbit pelajar berkenaan dirampas warden pada 30 September lalu.”

Demikian kata bapa pelajar lelaki berusia 13 tahun yang kesal dengan sikap sambil lewa pengurusan sebuah sekolah menengah di sini, yang didakwanya tidak mengambil tindakan terhadap aduannya berhubung kejadian itu.

Bapa berusia 36 tahun itu berkata, dia hanya mengetahui mengenai rakaman video bogel anak lelakinya itu selepas isterinya dimaklumkan anaknya dipanggil Guru Penolong Kanan, Hal Ehwal Pelajar (PKHEP) pada 1 Oktober lalu berhubung kejadian buli di asrama sekolah berkenaan.

Menurutnya, ketika itu, anaknya baru sebulan tinggal di asrama dan difahamkan kejadian berlaku ketika dia ke tandas dengan memakai tuala sebelum dipanggil pelajar senior dan dipaksa berbogel sebelum disepak berulang kali.

 
“Pada keesokan hari, isteri saya bertemu pengetua untuk melihat rakaman telefon bimbit itu dan dimaklumkan seorang pelajar tingkatan lima terbabit perbuatan itu, tetapi beliau enggan membenarkan isteri melihat rakaman berkenaan dengan alasan telefon itu kehabisan bateri.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/10

Mahu tebus kegagalan 35 tahun lalu – Metro


Mahu tebus kegagalan 35 tahun lalu

Oleh Salman Hamat
salman@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
LEGA...Nordin meninggalkan dewan peperiksaan, semalam.
LEGA…Nordin meninggalkan dewan peperiksaan, semalam.

JOHOR BAHRU: “Sejak berbulan lalu, saya mengulang kaji pelajaran dengan bantuan anak lelaki berusia 12 tahun dan baru selesai menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

“Hari ini (semalam), saya rasa seram sejuk dan berdebar-debar ketika membuka kertas soalan. “Bagaimanapun, kerana ingin mencabar diri sendiri, semua itu diketepikan malah saya tabahkan hati untuk ke pusat peperiksaan.” Itu kata calon Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) yang hanya mahu dikenali sebagai Nordin, 50, ketika ditemui di pusat peperiksaan PMR di Sekolah Menengah Kebangsaan Tasek Utara di sini, semalam.
Nordin bersama seorang lagi rakan berusia 40-an mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi calon persendirian paling tua menduduki PMR.

 

Dia yang bekerja sebagai tukang kebun berkata, usia bukan penghalang untuknya menduduki PMR, sebaliknya perlu dijadikan contoh kepada golongan muda supaya tidak mensia-siakan peluang yang ada dengan belajar bersungguh-sungguh.
“Saya menduduki PMR kerana mahu menebus kegagalan mendapat keputusan baik dalam peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) 35 tahun lalu.
“Saya mendaftar untuk menduduki PMR pada Februari lalu dengan yuran RM85. Walaupun sibuk, saya meluangkan masa mengulangkaji pelajaran.

 

 

“Pada mulanya anak dan isteri menyangka saya hanya bergurau, tetapi mereka kemudian memberi semangat dan dorongan,” katanya.
Bermula semalam, Nordin bersama rakannya itu mula menguji keupayaan diri dengan menjawab kertas soalan mata pelajaran Bahasa Melayu Kertas 1 dan 2, diikuti Pendidikan Islam pada sebelah petang.

 

Selain dua mata pelajaran itu, secara keseluruhan, calon PMR akan menjawab enam lagi mata pelajaran iaitu Bahasa Inggeris, Geografi, Sejarah, Kemahiran Hidup, Sains serta Matematik.
“Memang gementar kerana persediaan dibuat hanya ala kadar, paling merisaukan saya mata pelajaran Matematik kerana ia memerlukan kecekapan untuk mengira.
“Agak kekok dan segan kerana kami dikelilingi ratusan murid yang jauh lebih muda. Bagaimanapun, saya berasa lega apabila terjumpa seorang lagi calon hampir sebaya,” katanya.
Bapa kepada lima anak itu turut berharap dia lulus semua mata pelajaran.
Selain Nordin dan rakannya itu, seramai 166 pelajar tingkatan tiga yang lain turut menduduki PMR di pusat peperiksaan sama. Sementara itu, seorang guru dikenali sebagai Yahya, 40, berkata, dia terharu apabila mendapati dua calon yang menduduki PMR ialah individu seusia dengannya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/10

Modul baru lahir guru mahir – Berita Harian


Modul baru lahir guru mahir

Najib ketika mempengerusikan mesyuarat MSC di Putrajaya, semalam. Turut sama, Muhyiddin; Ketua Pegawai Eksekutif Multimedia Development Corporation Bhd (MDeC), Datuk Badlisham Ghazali  (kanan) dan Pengerusi MDeC, Tan Sri Abdul Halim Ali (kiri).Najib ketika mempengerusikan mesyuarat MSC di Putrajaya, semalam. Turut sama, Muhyiddin; Ketua Pegawai Eksekutif Multimedia Development Corporation Bhd (MDeC), Datuk Badlisham Ghazali (kanan) dan Pengerusi MDeC, Tan Sri Abdul Halim Ali (kiri).

Putrajaya: Kerajaan akan mengkaji modul baru bagi meningkatkan kemahiran pengajaran guru di sekolah melalui penggunaan teknologi maklumat (IT).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata berbanding cara lazim menghantar guru menjalani kursus di institut latihan semasa cuti sekolah, kemahiran pengajaran guru juga boleh dipertingkatkan dengan merujuk kepada kandungan yang dipaparkan secara dalam talian (online).

Kenal pasti guru cemerlang

“Kita boleh mengenal pasti beberapa guru cemerlang bagi setiap subjek setiap tahun untuk membangunkan kandungan dan seterusnya dimuat naik secara atas talian manakala guru lain akan menjadi mentor dan fasilitator.

“Kita perlu mengkaji model baru ini namun, ini satu kemungkinan kerana saya dimaklumkan oleh Panel Penasihat bahawa ini adalah trend baru di Amerika Syarikat.

“Di sana (Amerika Syarikat), profesor terkemuka (top notch professor) mengajar secara dalam talian dan pelajar yang mengikutinya mampu menjangkau 150,000 orang,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa (IAP) MSC Malaysia Ke-15 di pejabatnya, di sini semalam. Turut hadir, timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Najib berkata, Muhyiddin selaku Menteri Pelajaran, turut bersetuju mengkaji modul itu dengan teliti dalam usaha memperluaskan penggunaan IT bagi meningkatkan mutu pendidikan negara.

Selain itu, Perdana Menteri berkata mesyuarat IAP turut memutuskan untuk menggerakkan usaha mengiktiraf golongan yang cemerlang dan boleh dijadikan ikon dalam industri masing-masing melalui penggunaan IT.
ICT wujud ikon

Sebagai contoh, seorang wanita di Semporna, Sabah berjaya mengaut pendapatan RM20,000 sebulan hasil perniagaan rumpai laut secara dalam talian berbanding hanya RM450 sebulan sebelum itu.

“Ini membuktikan teknologi komunikasi maklumat (ICT) adalah game changer.
Kita perlu mengiktiraf pencapaian mereka supaya golongan ini menjadi pemangkin dan ikon untuk mendorong orang lain terbabit dalam IT.

“Pendekatan ini bukan saja membabitkan usahawan tetapi profesional seperti guru supaya mereka boleh menjadi ikon kepada guru lain,” katanya.

Katanya, antara perkara lain yang turut dibincangkan dalam mesyuarat itu termasuk usaha meningkatkan perniagaan mikro kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan PKS kepada perniagaan besar, komunikasi spektrum serta Lembah Silikon.

Tak diskriminasi guru lembut – Berita Harian


Tak diskriminasi guru lembut

Arau: Kementerian Pelajaran tidak bercadang menyekat peluang lelaki berperwatakan lembut menceburi bidang perguruan walaupun ia komited memerangi gejala lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Timbalan Menterinya, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata tidak ada sebab untuk kementerian tidak mengambil golongan itu menjadi guru jika mereka berkelayakan dan berkualiti untuk menjadi seorang pendidik.

“Kementerian tidak pernah melaksanakan dasar yang mendiskriminasi guru berperwatakan lembut, tetapi jika mereka melakukan aktiviti menyalahi etika perguruan dan memberi pengaruh tidak baik kepada pelajar seperti menyertai ratu pondan, maka kita akan ambil tindakan.

“Bagaimanapun, tindakan itu bukan bermaksud terus dipecat, sebaliknya termasuk kaunseling dan amaran, manakala bagi kes mahkamah kita akan biarkan mahkamah yang tentukan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Keibubapaan (Menangani Isu LGBT) di Kolej Matrikulasi Arau, di sini, semalam.

Tidak wujud ‘mesej berbahaya’

Mohd Puad berkata, dalam usaha kementerian memerangi isu LGBT, tidak wujud ‘mesej berbahaya’ seperti didakwa golongan terbabit termasuk diskriminasi atau menimbulkan kebencian terhadap kumpulan berkenaan.

“Malah, dua minggu lalu saya didatangi seorang guru lelaki yang meminta bantuan selepas dia digantung tugas kerana didakwa merangsang seks pelajar lelaki di sekolahnya dan kes berkenaan sudah pun dibawa ke mahkamah.

“Walaupun mengakui berasa marah dengan keberanian guru itu yang sanggup berjumpa saya sebagai seorang Timbalan Menteri Pelajaran untuk mengadu hal seperti itu, kita perlu terima hakikat sudah tiba masanya isu LGBT ini dibincang secara serius, terbuka dan tidak dianggap sebagai ‘taboo’ (larangan),” katanya.
Tetap pandang serius

Mohd Puad berkata, walaupun isu LGBT bukan sesuatu yang signifikan dan besar membabitkan kumpulan guru, kementerian tetap memandang serius usaha menyekat pengaruh ini dalam kalangan pendidik supaya ia tidak menular kepada pelajar.

“Tidak timbul soal kebencian, diskriminasi dan marah terhadap golongan ini apabila menyentuh isu memerangi LGBT dan tanggapan itu perlu diperbetulkan.
Maka sebab itu jika ia berlaku dalam kalangan guru sekolah, kementerian berharap mereka diberikan kaunseling, motivasi dan kesedaran untuk membimbing golongan ini ke jalan yang betul dan bukan terus dipecat,” katanya.

Pengambilan pelajar tingkatan 4 ke asrama penuh, MRSM diteruskan – Berita Harian


Pengambilan pelajar tingkatan 4 ke asrama penuh, MRSM diteruskan

2012/10/10 – 09:11:49 AMCetakEmel Kawan
gambar sebelum  gambar berikut

  • FotoMUHYIDDIN ketika membuat lawatan sambil diiringi pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Gombak Setia, Maimon Ahmad (kiri). – Foto Mohd Yusni Ariffin
  • FotoMUHYIDDIN menjawab soalan media selepas membuat lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Gombak Setia. – Foto Mohd Yusni Ariffin

KUALA LUMPUR: Pengambilan pelajar tingkatan empat ke sekolah berasrama penuh dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) tidak akan dihentikan walaupun peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) akan dimansuhkan pada 2014.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sistem pentaksiran yang dikendalikan pihak sekolah akan menentukan kelayakan pelajar selain syarat lain bagi kemasukan pelajar cemerlang ke sekolah berkenaan.

Sementara itu, beliau berkata, sekolah satu sesi akan dilaksanakan di seluruh negara selewat-lewatnya dalam masa 10 tahun.

Buat masa ini, hampir 20 peratus saja daripada 10,000 sekolah yang masih mempunyai sekolah dua sesi.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian ketika membuat tinjauan
perjalanan PMR di Sekolah Menengah Kebangsaan Gombak Setia, Jalan Seri Setia, Gombak, sebentar tadi.

Satu sesi persekolahan dilaksana sepenuhnya seawal lima tahun: Muhyiddin – Bernama


Satu sesi persekolahan dilaksana sepenuhnya seawal lima tahun: Muhyiddin

2012/10/10 – 12:35:33 PMCetakEmel Kawan
KUALA LUMPUR: Sistem satu sesi persekolahan dijangka dapat dilaksanakan sepenuhnya di seluruh negara dalam tempoh lima hingga 10 tahun, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata buat masa sekarang, kurang 20 peratus daripada keseluruhan sekolah di seluruh negara yang masih mengamalkan sistem persekolahan dua sesi.

Katanya sejak sekian lama, kerajaan mahu melaksanakan sistem satu sesi di seluruh negara kerana ia lebih sesuai untuk pembelajaran di negara ini tetapi perlu menambah bilangan bilik darjah dan mengatasi masalah kekurangan guru.

“Bilangan bilik darjah jadi masalah kerana di sesetengah tempat kita tidak meramalkan bilangan pelajar meningkat dengan begitu besar sekali. Jadi, terpaksa diadakan dua sesi iaitu pagi dan petang,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di Sekolah Menengah Kebangsaan Gombak Setia, di sini.

Muhyiddin berkata, pelaksanaan sistem persekolahan satu sesi penting kerana tempoh masa boleh dilanjutkan dengan menambah satu atau dua jam untuk mata pelajaran Matematik, Sains atau Bahasa Inggeris.

“Itu mudah dilakukan kerana mereka tidak perlu pulang lebih awal seperti yang dilakukan oleh sekolah-sekolah swasta. Aktiviti kokurikulum juga dapat diadakan pada waktu petang sekiranya sistem persekolahan satu sistem dilaksanakan,” katanya.

Muhyiddin berkata Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 juga mensasarkan pelaksanaan sistem persekolahan satu sesi sepenuhnya sekiranya mendapat peruntukan yang besar.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata peperiksaan bagi pelajar Tingkatan Tiga akan dibuat melalui penilaian sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SBA) apabila PMR dimansuhkan pada 2014.

Muhyiddin berkata selepas ini, hanya ada dua peperiksaan utama diadakan iaitu Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada peringkat rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada peringkat menengah.

“Setiap pelajar masih boleh diukur tahap pencapaian pelajaran mereka menerusi peperiksaan SBA yang dikendalikan oleh sekolah. Tetapi, ia masih lagi dipantau oleh Lembaga Peperiksaan agar soalan yang disediakan itu berkualiti dan dapat ukur kejayaan pelajar,” katanya.

Muhyiddin berkata, langkah ini juga membolehkan ibu bapa mendapat maklumat terkini prestasi anak mereka dalam menguasai bidang pelajaran mereka.

Mengulas lanjut, beliau berkata pengambilan pelajar tingkatan empat ke sekolah berasrama penuh dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) tidak akan dihentikan walaupun PMR akan dimansuhkan pada 2014.

“Pelajar cemerlang dan latar belakang ibu bapa yang miskin akan diberi keutamaan untuk mendapat tempat di sekolah berasrama penuh dan ini telah dimulakan sejak tahun lepas,” katanya.

Seramai 481,424 calon menduduki PMR di 3,560 pusat peperiksaan di seluruh negara mulai Isnin lalu hingga 16 Oktober ini. – BERNAMA

Penilaian Menengah Rendah lancar – Utusan


Penilaian Menengah Rendah lancar

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 9 Okt. – Seramai 481,424 calon menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) bermula hari ini sehingga 16 Oktober di 3,560 pusat peperiksaan seluruh negara.

Mereka menduduki kertas Bahasa Melayu 1 dan 2 pada sebelah pagi dan Pendidikan Islam petang.

Tinjauan Utusan Malaysia di Sekolah Menengah Sains Selangor (SMSS) mendapati peperiksaan berjalan lancar dan pelbagai gelagat dapat dilihat.

Ada segelintir calon yang masih sempat membuat ulang kaji terakhir sebelum memasuki dewan peperiksaan.

Pengetuanya, Nor Paizin Ibrahim, 56, berkata, seramai 119 pelajar sekolah berkenaan menduduki peperiksaan PMR tahun ini.

”Pihak sekolah berharap calon PMR dapat mengatasi rekod cemerlang tahun lalu yang mana kami mendapat pencapaian terbaik dalam masa sembilan tahun iaitu 86.55 peratus semua A,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121010/dn_10/Penilaian-Menengah-Rendah-lancar#ixzz28rzayabg
© Utusan Melayu (M) Bhd

IKLAN KEKOSONGAN JAWATAN PENOLONG PENGARAH DI BAHAGIAN MATRIKULASI


IKLAN KEKOSONGAN JAWATAN PENOLONG PENGARAH DI BAHAGIAN MATRIKULASI

Permohonan dipelawa kepada PPPS untuk berkhidmat sebagai Penolong Pengarah Gred DG41/DG 44(KUP) di Bahagian Matrikulasi.

Pemohon yang berminat boleh mengemukakan permohonan dan disertakan resume kepada Pengarah Bahagian Matrikulasi.

Bidang pengkhususan dan kepakaran yang diperlukan adalah seperti berikut:

i) Biologi

ii)Sains Komputer / Teknologi Maklumat

iii)Pengurusan Pendidikan

iv) Bahasa Inggeris

 

Sebarang pertanyaan, sila hubungi:

En. Mustafa Kamil Bin Sulaiman 03-8884 4008

Pn. Norazian Mohd Zaffin 03-8884 4070.

Tarikh TUTUP PERMOHONAN pada 30 November 2012