Peniaga pasar malam dipenjara 10 tahun kerana rogol pelajar – Bernama


Peniaga pasar malam dipenjara 10 tahun kerana rogol pelajar

11 Oktober 2012

JOHOR BAHARU – Seorang peniaga pasar malam dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua tuduhan merogol seorang pelajar berusia 13 tahun, Ogos lepas.

Hakim Zamri Bakar menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan terhadap Roslan Zakaria, 30, yang didakwa melakukan kesalahan itu dalam dua kejadian berasingan di tempat yang sama.

Bagi tuduhan pertama, Roslan yang berasal dari Padang Serai, Kedah, didakwa melakukan kesalahan itu di rumah bernombor 200, Jalan Saujana, Plentong, di sini, pada kira-kira 12.30 tengah hari, 10 Ogos lepas.

Bagi tuduhan kedua, Roslan didakwa melakukan kesalahan sama pada waktu dan tempat yang sama pada 13 Ogos lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Zamri bagaimanapun, memerintahkan hukuman penjara tersebut dijalankan serentak mulai tarikh tangkapan pada 9 Sept lepas.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Dzul Iswari Mohd Jaafar manakala Roslan tidak diwakili peguam.- Bernama

Sekolah Kebangsaan Danau Perdana dikosongkan atas faktor keselamatan – Bernama


Sekolah Kebangsaan Danau Perdana dikosongkan atas faktor keselamatan

11 Oktober 2012

KUALA LUMPUR – Sekolah Kebangsaan Danau Perdana, Taman Desa, Jalan Klang Lama di sini dikosongkan pada 2005 berikutan struktur bangunan yang terjejas akibat mendapan tanah, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata proses penilaian tahap keselamatan bangunan itu telah dilakukan perunding geoteknikal yang dilantik Jabatan Kerja Raya.

“Laporan penilaian tahap keselamatan mengesahkan bahawa struktur bangunan tersebut tidak selamat untuk diduduki.

“Sehingga kini, bangunan sekolah itu masih tidak boleh digunakan kerana kes ini sedang dalam proses timbang tara oleh Jabatan Peguam Negara.

“Sebarang keputusan berkaitan pembinaan bangunan sekolah itu hanya akan diputuskan setelah proses timbang tara selesai,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Teresa Kok (DAP-Seputeh) mengenai perkara itu di Dewan Rakyat hari ini. – Bernama

Semakan Panggilan Ujian MTeST bagi Program Diploma Perguruan Lepas Ijazah Sekolah Rendah (DPLI-SR) j-QAF Mod Latihan Perguruan Berasaskan Sekolah (LPBS) Ambilan Tahun 2013


Semakan Panggilan Ujian MTeST bagi Program Diploma Perguruan Lepas Ijazah Sekolah Rendah (DPLI-SR) j-QAF Mod Latihan Perguruan Berasaskan Sekolah (LPBS) Ambilan Tahun 2013

Sukacita dimaklumkan bahawa Semakan Panggilan Ujian MTeST bagi Program Diploma Perguruan Lepas Ijazah Sekolah Rendah (DPLI-SR) j-QAF Mod Latihan Perguruan Berasaskan Sekolah (LPBS) Ambilan Tahun 2013 boleh dibuat di sini  bermula 12 Oktober 2012.

Harap maklum.

Sekolah Agama Rakyat Tidak Dipinggirkan – Bernama


Sekolah Agama Rakyat Tidak Dipinggirkan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran menyalurkan bantuan berjumlah RM95 juta kepada sekolah agama rakyat (SAR) pada 2011, sekali gus menangkis tuduhan pembangkang bahawa kerajaan tidak menyediakan peruntukan kewangan untuk sekolah itu.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, kemudahan lain turut diberi kepada SAR selepas mereka berdaftar dengan kementerian.

“Sehingga kini, 156 daripada 382 SAR di seluruh negara telah berdaftar dengan kementerian dan ditukar status kepada sekolah agama bantuan kerajaan (SABK),” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen pada Khamis.

Beliau berkata, apa yang menjadi masalah sekarang ialah kebanyakan SAR enggan berdaftar dengan kementerian.

Puad berkata, antara kemudahan yang diberi kepada SAR yang berdaftar dengan kementerian ialah bantuan kewangan untuk menaik taraf sekolah serta guru-gurunyadilatih dari semasa ke semasa, berjawatan tetap, berpencen dan menerima skim gaji yang lebih baik.

Sekumpulan pelajar SAR dilihat berhimpun di pintu masuk bangunan Parlimen pagi Khamis dikatakan untuk menuntut peruntukan kepada sekolah berkenaan. – BERNAMA

Calon SPM cedera elak anjing – Sinar Harian


Calon SPM cedera elak anjing

WARTAWAN SINAR HARIAN
11 Oktober 2012
Calon SPM cedera elak anjing
Hamsinah menunjukkan kecederaan yang dialami anaknya Mohd Nor Afif Irham.

Terseret beberapa meter selepas terjatuh dari motosikal

BENUT – Seorang pelajar sekolah menengah tercedera apabila motosikal yang ditungganginya terjatuh dan terseret beberapa meter, gara-gara mengelak dua ekor anjing liar yang muncul secara tiba-tiba, dalam kejadian berhampiran Parit Serom, dekat sini, Isnin lalu.

Kejadian pada jam 8.30 malam itu berlaku ketika Mohd Nor Afif Irham Abd Rashim, 17, dalam perjalanan ke sekolah untuk menghadiri kelas tambahan.

Menceritakan detik cemas yang dilalui, Mohd Nor Afif Irham berkata, kejadian itu berlaku terlalu pantas dan tanpa diduga.

Dia yang merupakan pelajar Sekolah Menengah (SM) Sri Tanjung itu berkata, menjadi rutinnya pada setiap malam Isnin ke sekolah bagi menghadiri kelas tambahan yang diadakan sebagai persediaan untuk menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.

“Saya tak sangka kemunculan anjing liar itu memandangkan keadaan jalan ketika itu amat tenang dan sunyi.

“Secara tiba-tiba sahaja dua ekor anjing liar muncul di tengah jalan,

“Saya cuba mengelak, tapi malangnya saya terjatuh dan terseret ke bahu jalan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Parit Markom, dekat sini, semalam.

Dia yang masih trauma dengan kejadian itu berkata, ketika kejadian, tiada kenderaan lain yang melalui jalan tersebut.

Katanya, seorang penduduk yang tinggal di situ datang memberikan pertolongan kepadanya.

“Saya terus menghubungi rakan saya, dan saya dibawa menerima rawatan di klinik kesihatan berhampiran.

“Mujur saya tidak mengalami kecederaan yang teruk dan hanya mengalami luka di bahagian kaki, tangan dan badan,” katanya.

Ibunya, Hamsinah Omar, 51, berkata, dia amat terkejut apabila diberitahu mengenai kejadian yang menimpa anaknya itu.

“Saya amat terkejut dan khuatir Afif akan mengalami kecederaan teruk yang menyebabkan dia tidak boleh mengambil peperiksaan SPM pada tahun ini.

“Mujur, kecederaan Afif tidak serius,” katanya.

Jelasnya, laluan itu sudah biasa digunakan anaknya itu untuk ke sekolah yang terletak kira-kira lima kilometer dari rumahnya di Parit Markom.

Dia amat berharap agar kemalangan yang menimpa anak ketiga dari enam adik beradik itu dijadikan iktibar kepada pihak berkuasa yang terbabit untuk mengambil tindakan bagi mengatasi masalah anjing-anjing liar di situ.

Difahamkan, kejadian seumpama ini bukanlah yang pertama berlaku, kerana sebelum ini terdapat juga kemalangan yang melibatkan penduduk disebabkan oleh anjing-anjing liar sehingga ada yang mengorbankan nyawa.

Kadar Perkahwinan Kanak-Kanak Semakin Meningkat Membimbangkan – mStar


Kadar Perkahwinan Kanak-Kanak Semakin Meningkat Membimbangkan

Oleh S. INDRAMALAR

PETALING JAYA: Kadar perkahwinan di kalangan kanak-kanak semakin meningkat, berdasarkan statistik yang diperoleh daripada pelbagai sumber.

Di Kedah sahaja, statistik daripada Jabatan Agama Islam negeri menunjukkan peningkatan 35 peratus dalam permohonan perkahwinan melibatkan mereka di bawah umur, antara tahun 2008 dan 2010.

Jabatan itu menerima 75 permohonan perkahwionan daripada individu bawah umur pada 2008, 99 pada 2009 dan 101 pada 2010.

Daripada jumlah tersebut, 90 peratus melibatkan gadis bawah 16 tahun.

Salah satu punca adalah ibu bapa bersetuju anak-anak mereka yang di bawah umur untuk berkahwin kerana anak-anak gadis dikatakan “terlalu liar” dan di bawah kawalan mereka.

Mereka merasakan bahawa mengahwini anak merupakan penyelesaian terbaik. Selain itu, adalah untuk mengurangkan tekanan ekonomi.

Majoriti kes-kes tersebut dilaporkan di Sik dan Baling.

Statistik itu membimbangkan kerana mereka menunjukkan perkahwinan kanak-kanak merupakan suatu masalah besar di Malaysia, kata Pengurus Program Dana Populasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNFPA), Saira Shameem.

Hari ini (Khamis) merupakan Hari PBB Antarabangsa untuk Kanak-Kanak Perempuan buat julung kalinya, yang memfokuskan untuk menghentikan trend perkahwinan kanak-kanak.

Statistik PBB menunjukkan bahawa di seluruh dunia, sebanyak 10 juta kanak-kanak perempuan berkahwin secara paksa sebelum mereka berusia 18 tahun, berjumlah sehingga 25,000 kanak-kanak perempuan setiap hari.

“Dalam sebuah negara yang mempunyai ekonomi stabil seperti Malaysia, di mana wanita mempunyai pendidikan dan bekerja dalam pekerjaan di peringkat tinggi dan di mana gadis-gadis membentuk 60 peratus daripada pelajar-pelajar di institusi pengajian tinggi, keadaan ini tidak seharusnya berlaku.

“Kita perlu menangani pendidikan kesihatan seksual dan pembiakan untuk anak-anak kita. Kajian menunjukkan bahawa umur yang sesuai bagi pendidikan seks sebenarnya melewatkan seks untuk kali pertama. Pendidikan kesihatan seksual dan pembiakan juga akan membantu gadis-gadis membuat pilihan yang lebih bermanfaat,” kata Saira.

Kumpulan pejuang hak menggesa tindakan segera dilakukan bagi menghentikan perkahwinan kanak-kanak di Malaysia, sambil menunjukkan kesan berbahaya perkahwinan awal di kalangan perempuan, dan kurang bagi lelaki.

Dalam perspektif hak asasi manusia, perkahwinan menandakan berakhirnya zaman remaja dan kanak-kanak yang mengekang kebebasan mereka.

Kebanyakan perempuan yang berkahwin awal akan keciciran pendidikan di sekolah dan berhadapan dengan risiko kesihatan seperti kehamilan dan kelahiran anak pada usia muda.

Di seluruh dunia, kematian berkaitan kehamilan adalah punca kematian bagi gadis berusia antara 15 hingga 19 tahun.

Bagaimanapun, perkahwinan dibenarkan bagi mereka yang berumur antara 16 dan 18 tahun dengan kebenaran bertulis daripada ketua menteri.

Bagi Islam, umur yang sah untuk perkahwinan bagi lelaki adalah 18 tahun dan perempuan 16 tahun.

Bagaimanapun, dengan kebenaran mahkamah syariah, orang Islam boleh berkahwin pada sebarang usia.

Pengarah Eksekutif Sisters in Islam, Ratna Osman merasakan undang-undang negara perlu digubal, bagi menggesa usia yang dibenarkan untuk berkahwin bagi kedua-dua orang Islam dan bukan Islam adalah 18 tahun.

“Pada hari ini, perkahwinan kanak-kanak tidak boleh diterima. Adakah ini yang kita mahukan ia berlaku di Malaysia? Kami mahu umur yang dibenarkan di sisi undang-undang untuk kedua-dua lelaki dan perempuan adalah 18 tahun, dan minimum mutlak untuk perempuan Islam adalah 16 tahun tetapi dengan syarat-syarat yang ketat.

“Antara syarat-syarat tersebut adalah kanak-kanak perlu mempunyai kematangan yang mencukupi bagi memahami sifat dan tanggungjawab perkahwinan itu dan perunding kehakiman masing-masing mengesahkan kesediaan kanak-kanak itu sebelum mengeluarkan kelulusan,” kata Ratna.

Selagi ajal belum tiba – Metro


Selagi ajal belum tiba

Oleh Shalfarina Shahriman
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MARAN: Seorang warga emas dan cucunya berusia 11 tahun parah selepas Perodua Kancil yang mereka naiki dirempuh sebelum diseret lebih 20 meter oleh lori tangki yang dipandu seorang lelaki dipercayai berada di bawah pengaruh dadah, semalam.

Kejadian di Kilometer 102.8, Jalan Kuantan-Kuala Lumpur, berhampiran Kampung Jengka Batu 13, di sini, menyebabkan warga emas terbabit, Arsad Sidek, 73, patah kedua-dua kaki manakala cucunya, Danial Hakim Zainudin, 11, cedera di muka serta beberapa bahagian badan selepas dirempuh lori yang datang dari arah bertentangan.

Kedua-duanya dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshah), Temerloh dan dilaporkan stabil.

Pemandu lori berusia 20-an itu tidak cedera dan ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Maran selepas polis menemui peralatan menghisap syabu di dalam kenderaan berat berkenaan manakala ujian air kencing ke atas pemandu itu juga mendapati dia positif dadah.

 
Difahamkan, ketika kejadian jam 7.05 pagi itu, Arsad dalam perjalanan menghantar Danial Hakim ke Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Jengka Batu 13 kerana cucunya dijadualkan menduduki peperiksaan akhir tahun yang bermula semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/11

Mekanisme nilai pelajar – Metro


Mekanisme nilai pelajar

Oleh Muhd Izawan Baharin
izawan@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran mempunyai mekanisme untuk menilai pelajar bagi kemasukan ke sekolah berasrama penuh walaupun peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dimansuhkan mulai 2014.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, selain daripada pencapaian pelajar itu menerusi penilaian sekolah, latar belakang mereka juga diambil kira dalam pemilihan kemasukan ke sekolah berasrama penuh. “Kita akan memberi keutamaan jika latar belakang pelajar itu dari keluarga miskin, tetapi dia cemerlang dan langkah ini kita sudah mulakan tahun lalu,” katanya ketika ditemui media selepas membuat tinjauan perjalanan peperiksaan PMR di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gombak Setia, di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud.

 

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan memutuskan untuk memansuhkan PMR mulai 2014 dan peperiksaan utama selepas ini hanya Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada peringkat rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada peringkat menengah. “Walaupun begitu, kita putuskan untuk meneruskan penilaian menerusi sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SBA) di mana pelajar masih boleh diukur tahap pencapaian pelajaran menerusi peperiksaan dibuat oleh sekolah dengan dipantau Lembaga Peperiksaan supaya soalan disediakan setara dan berkualiti bagi mengukur sejauh mana kejayaan pelajar.
“Ia juga penting supaya ibu bapa dapat mengetahui prestasi anak mereka dan membantu kita mengenalpasti kekurangan dan mengambil langkah memperbaikinya,” katanya.
Sementara itu, menyentuh mengenai usaha kerajaan menjadikan sekolah satu sesi saja, beliau berkata, tinggal kira-kira 20 peratus saja lagi sekolah yang mempunyai dua sesi.

 

 

“Kalau boleh semua sekolah kita jadikan satu sesi dan caranya ialah menambah bilangan bilik darjah kerana bilangan guru bukan satu masalah disebabkan kita mempunyai tenaga pengajar yang mencukupi.
“Masalah bilik darjah timbul kerana di sesetengah sekolah, kita tidak dapat meramalkan kemasukan pelajar sehingga jumlahnya meningkat dengan besar sekali menyebabkan dua sesi terpaksa dilakukan,” katanya.

 

Menurutnya, sekolah satu sesi penting kerana tempoh pembelajaran boleh dilanjutkan satu hingga dua jam untuk mata pelajaran kritikal seperti bahasa Inggeris, matematik dan sains.
“Langkah itu yang dilaksanakan di sekolah swasta dan kebaikan lain sekolah satu sesi membabitkan aktiviti kokurikulum untuk pelajar,” katanya.
Beliau berkata, jika mendapat peruntukan mencukupi untuk menambahbaik kemudahan di sekolah, mungkin tempoh sekolah satu sesi mengambil masa antara lima hingga 10 tahun untuk dilaksanakan sepenuhnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/11

Remaja mengaku ragut beg tangan seorang guru – Utusan


Remaja mengaku ragut beg tangan seorang guru

KOTA BHARU 10 Okt. – Seorang remaja berumur 17 tahun mengaku

bersalah meragut seorang guru ketika dihadapkan di Mahkamah

Majistret di sini hari ini.

Remaja lelaki itu mengaku melakukan kesalahan tersebut bersama seorang rakannya yang masih bebas berhampiran bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Jalan Sultan Yahya Petra kira-kira pukul 7.30 pagi pada 26 September lalu.

Majistret Muhamad Hafiz Mohd. Noor menetapkan 7 November depan untuk menjatuhkan hukuman kerana pihak pendakwaan perlu mengemukakan laporan akhlak remaja berkenaan terlebih dahulu. – UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20121010/ma_03/Remaja-mengaku-ragut-beg-tangan-seorang-guru#ixzz28xwm1oHB
© Utusan Melayu (M) Bhd

Rogol pelajar: Penghantar surat dipenjara 50 tahun – Utusan


Rogol pelajar: Penghantar surat dipenjara 50 tahun

KUALA LUMPUR 10 Okt. – Seorang penghantar surat hari ini dijatuhkan hukuman penjara berjumlah 50 tahun dan 18 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini terhadap dua tuduhan merogol seorang pelajar di kawasan semak di Gombak, dekat sini, pada April tahun lepas.

Hakim Rozianayati Ahmad menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Mohd Mazrin Mustafa, 21, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Bagi tuduhan pertama, Mohd Nazrin dihukum penjara 25 tahun dan lapan sebatan manakala pertuduhan kedua yang sama dia dihukum penjara 25 tahun dan 10 sebatan.

Hakim memerintahkan hukuman penjara tersebut dijalankan serentak mulai hari ini.

Dalam penghakimannya, Roszianayati berkata Jabatan Kimia mengesahkan asid deoksiribonukleik (DNA) tertuduh terdapat di dalam kemaluan mangsa dan tiada kecacatan dari segi pengambilan sampel yang dibuat.

Mengikut fakta kes, mangsa yang berusia 15 tahun ketika itu pulang dari sebuah pusat beli-belah di Jalan Imbi di sini bersama jirannya menaiki sebuah motosikal apabila ditahan oleh tertuduh yang mendakwa dirinya polis.

Tertuduh kemudian membawa mangsa ke satu kawasan semak sebelum dia dirogol.

Mohd Nazrin didakwa merogol pelajar itu dua kali tanpa kerelaannya, di kawasan semak di Gombak, di antara pukul 1.40 pagi hingga pukul 4.30 pagi, 3 April 2011.

Bagi kedua-dua tuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

“Saya menghadapi tekanan perasaan dan pelajaran terganggu di sekolah. Semua impian dan cita-cita saya dah hancur,” kata mangsa ketika memberi keterangan di mahkamah.

Seramai 15 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan memberui keterangan sepanjang perbicaraan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Fadzlin Abd Zawawi manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Yusoff Ag. Lah dan Mohd Firdaus Mohd Razi. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20121010/ma_06/Rogol-pelajar-Penghantar-surat-dipenjara-50-tahun#ixzz28xwWhAvY
© Utusan Melayu (M) Bhd