Calon SPM cedera elak anjing – Sinar Harian


Calon SPM cedera elak anjing

WARTAWAN SINAR HARIAN
11 Oktober 2012
Calon SPM cedera elak anjing
Hamsinah menunjukkan kecederaan yang dialami anaknya Mohd Nor Afif Irham.

Terseret beberapa meter selepas terjatuh dari motosikal

BENUT – Seorang pelajar sekolah menengah tercedera apabila motosikal yang ditungganginya terjatuh dan terseret beberapa meter, gara-gara mengelak dua ekor anjing liar yang muncul secara tiba-tiba, dalam kejadian berhampiran Parit Serom, dekat sini, Isnin lalu.

Kejadian pada jam 8.30 malam itu berlaku ketika Mohd Nor Afif Irham Abd Rashim, 17, dalam perjalanan ke sekolah untuk menghadiri kelas tambahan.

Menceritakan detik cemas yang dilalui, Mohd Nor Afif Irham berkata, kejadian itu berlaku terlalu pantas dan tanpa diduga.

Dia yang merupakan pelajar Sekolah Menengah (SM) Sri Tanjung itu berkata, menjadi rutinnya pada setiap malam Isnin ke sekolah bagi menghadiri kelas tambahan yang diadakan sebagai persediaan untuk menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.

“Saya tak sangka kemunculan anjing liar itu memandangkan keadaan jalan ketika itu amat tenang dan sunyi.

“Secara tiba-tiba sahaja dua ekor anjing liar muncul di tengah jalan,

“Saya cuba mengelak, tapi malangnya saya terjatuh dan terseret ke bahu jalan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Parit Markom, dekat sini, semalam.

Dia yang masih trauma dengan kejadian itu berkata, ketika kejadian, tiada kenderaan lain yang melalui jalan tersebut.

Katanya, seorang penduduk yang tinggal di situ datang memberikan pertolongan kepadanya.

“Saya terus menghubungi rakan saya, dan saya dibawa menerima rawatan di klinik kesihatan berhampiran.

“Mujur saya tidak mengalami kecederaan yang teruk dan hanya mengalami luka di bahagian kaki, tangan dan badan,” katanya.

Ibunya, Hamsinah Omar, 51, berkata, dia amat terkejut apabila diberitahu mengenai kejadian yang menimpa anaknya itu.

“Saya amat terkejut dan khuatir Afif akan mengalami kecederaan teruk yang menyebabkan dia tidak boleh mengambil peperiksaan SPM pada tahun ini.

“Mujur, kecederaan Afif tidak serius,” katanya.

Jelasnya, laluan itu sudah biasa digunakan anaknya itu untuk ke sekolah yang terletak kira-kira lima kilometer dari rumahnya di Parit Markom.

Dia amat berharap agar kemalangan yang menimpa anak ketiga dari enam adik beradik itu dijadikan iktibar kepada pihak berkuasa yang terbabit untuk mengambil tindakan bagi mengatasi masalah anjing-anjing liar di situ.

Difahamkan, kejadian seumpama ini bukanlah yang pertama berlaku, kerana sebelum ini terdapat juga kemalangan yang melibatkan penduduk disebabkan oleh anjing-anjing liar sehingga ada yang mengorbankan nyawa.

Leave a comment