Pelajar SPM antara 2 didakwa rompak DJ Best 104 – Bernama


Pelajar SPM antara 2 didakwa rompak DJ Best 104

12 Oktober 2012
DJ - Best 104
Remaja berusia 17 tahun dan tukang cuci, Muhamat Arafi Amin Wong, 21, dibawa keluar oleh anggota polis dari Mahkamah Sesyen hari ini – Foto Bernama

JOHOR BAHARU – Seorang pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia bulan depan antara dua lelaki yang didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan merompak seorang juruhebah radio Best 104, bulan lepas.

Pelajar berusia 17 tahun itu dan Muhamat Arafi Amin Wong, 21, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan dibacakan di hadapan Hakim Hassan Abdul Ghani.

Pelajar dari Saleng, Kulaijaya itu dan Muhamat Arafi dari Senai bersama beberapa lagi yang masih bebas didakwa merompak Julie Diana Omar Shariff, 34, dengan menggunakan pisau di No. 53, Jalan Kasim Nor, Kampung Sungai Danga, Taman Perling, pada 1 pagi, 29 Sept lalu.

Mereka didakwa merampas dua utas rantai leher, sebentuk cincin, sepasang anting-anting, wang tunai RM6,000, kad ATM, kad pengenalan dan telefon bimbit yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM10,000.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan pelajar itu diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin manakala Muhamat Arafi diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Hakim menetapkan 24 Okt ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. – Bernama

Empat lagi hospital sertai projek sekolah dalam hospital – Bernama


Empat lagi hospital sertai projek sekolah dalam hospital

12 Oktober 2012

PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata empat lagi hospital dipilih menyertai projek ‘Hati Nurani’ iaitu Sekolah Dalam Hospital (SDH) bagi memberi kemudahan persekolahan kepada pelajar yang menerima rawatan di hospital.

Beliau berkata dengan pembukaan empat SDH itu, bilangannya kini bertambah kepada tujuh selepas Institut Pediatrik Kuala Lumpur, Hospital Ampang dan Hospital Serdang yang dibuka Julai tahun lepas.

Katanya SDH yang bakal dibuka adalah di Hospital Sultanah Aminah, Johor Baharu, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, Pahang, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Cheras, Kuala Lumpur dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata pelaksanaan fasa kedua SDH menandakan kejayaan tiga SDH yang menjadi perintis kepada projek tersebut.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Pelaksanaan Projek Hati Nurani: Sekolah Dalam HOspital, di sini, hari ini.

MoU tersebut adalah antara Kementerian Pelajaran, PPUKM, HUSM dan Yayasan Yaqeen manakala dua lagi hospital tersebut telah menandatangani MoU sebelum ini antara Kementerian Pelajaran, Kementerian Kesihatan dan yayasan tersebut.

Muhyiddin berkata sejak dilaksanakan tahun lepas, seramai 6,550 pelajar dari pra sekolah hingga ke sekolah menengah telah mendapat manfaat daripada program itu di ketiga-tiga hospital tersebut.

Katanya Hospital Serdang mencatatkan murid pra sekolah paling tinggi iaitu 328 murid, Hospital Kuala Lumpur mencatatkan bilangan murid sekolah rendah paling ramai (1,730) manakala pelajar sekolah menengah paling tinggi iaitu 855 murid dicatatkan di Hospital Ampang.

“Ini menunjukkan bahawa semakin ramai murid-murid pesakit yang mendapat manfaat daripada pembukaan SDH ini dan mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti,” katanya.

Justeru itu, beliau telah meminta kementeriannya meneliti hasil pelaksanaan program itu khususnya keputusan yang dicapai oleh pelajar pesakit yang menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Muhyiddin turut menyeru semua pihak yang terlibat dalam fasa kedua program itu agar memberi kerjasama penuh dan komitmen yang tinggi untuk mencapai kejayaan yang berterusan.

Beliau berkata pengurusan program itu juga perlu diperkemas dan diperkukuh dari semasa ke semasa bagi memastikan pelajar yang menerima rawatan mendapat pembelajaran seperti mana rakan-rakan mereka di sekolah.

Katanya kejayaan SDH bergantung sepenuhnya kepada kerjasama semua pihak termasuk doktor, jururawat, pentadbiran hospital, guru serta ibu bapa pesakit.

Muhyiddin berkata kementerian juga memutuskan bahawa program SDH akan menjadi program kekal dan ia sedang diinstitusikan sebagai program kementerian secara tetap yang mana pegawai dan guru di bawah penyeliaan dan pengurusan kementerian ditempatkan di hospital yang berkenaan.

Beliau juga membayangkan dalam satu tempoh yang tidak berapa lama, program itu dapat diperluaskan kepada lebih banyak hospital di negara ini.

Projek ‘Hati Nurani’ merupakan cetusan idea isteri Muhyiddin, Puan Seri Norainee Abdul Rahman, bagi memastikan kanak-kanak yang sedang menerima rawatan tidak ketinggalan dalam menikmati pendidikan berkualiti.- Bernama

Nelayan dan isteri tabah besarkan dua anak OKU – Bernama


Nelayan dan isteri tabah besarkan dua anak OKU

12 Oktober 2012

KEPALA BATAS – Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itulah pepatah yang sesuai buat pasangan suami isteri apabila dua daripada tiga anak mereka cacat sejak dilahirkan.

Rosli Man, 48, yang bekerja sebagai nelayan berkata beliau dan isterinya, Nor Zaha Rejab, 46, hanya mampu memendam hiba tidak berkesudahan setiap kali menatap kesengsaraan anak sulung mereka Mohd Rafizudin, 18, dan anak bongsu Nor Rahimah, 14.

Keadaan dua beradik itu tidak ubah seperti bayi kerana hanya mampu berbaring dengan kedua tangan dan kaki membengkok.

“Saiz mereka seperti kanak-kanak berusia satu tahun dan doktor mengesahkan otak mereka tidak berkembang, dan disebabkan itulah tidak boleh bergerak dan bercakap,” kata Rosli kepada pemberita di rumahnya di Sri Pantai, Penaga.

Rosli ditemui selepas menerima bantuan enjin bot daripada bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi pada Program Tinjauan Mesra ‘Jom P Bantu’ anjuran Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda).

Nor Zaha, seorang surirumah, menceritakan penderitaan dua beradik itu yang bermula apabila dilahirkan lebih kecil berbanding bayi lain, dan cacat selepas sering diserang sawan.

Beliau berkata doktor juga memaklumkan anaknya cacat berikutan masalah genetik kerana dia dan suaminya adalah sepupu.

“Kini segala keperluan mereka seperti makan, minum dan pakai diuruskan oleh saya kerana Rafizudin dan Rahimah memang tidak boleh menguruskan diri sendiri.

Bagaimanapun, saya menerima keadaan ini dengan reda dan tidak pernah menyesal dengan apa yang berlaku,” katanya.

Pasangan itu mempunyai seorang lagi anak iaitu Janatul Naim, 16, yang normal dan tidak menghadapi masalah genetik.

Beliau berkata dua anaknya itu menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 sebulan untuk sepanjang hayat.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak, terutama Perda, yang memberi bantuan enjin bot untuk memudahkan suami saya turun ke laut menangkap ikan,” katanya.

Sementara itu, Abdullah yang juga Anggota Parlimen Kepala Batas, berharap sumbangan tersebut dapat membantu keluarga berkenaan menambah pendapatan bagi menyara kehidupan mereka.- Bernama

Pegawai awam ke luar negara perlu dapat kelulusan KSN, KSU – Bernama


Pegawai awam ke luar negara perlu dapat kelulusan KSN, KSU

12 Oktober 2012

KUALA LUMPUR – Semua pegawai awam yang hendak ke luar negara atas urusan persendirian mesti mendapat kelulusan Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Setiausaha kementerian masing-masing, berkuat kuasa 1 Oktober.

Perkara itu dinyatakan menerusi Surat Pekeliling Am bilangan 3 Tahun 2012 yang dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri pada 1 Oktober, selaras dengan usaha menambah baik kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan.

Surat itu yang ditandatangani Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa bagi menggantikan Surat Pekeliling Am bertarikh 1 Mac 1984 dan 11 Jun 1986.

Menurut pekeliling terkini itu, pegawai terbabit perlu membuat perakuan mematuhi arahan keupayaan kewangan yang mencukupi untuk ke negara yang dilawati.

Selain itu, mereka juga perlu memastikan lawatan tidak dibiayai individu atau syarikat swasta yang boleh menimbulkan syak munasabah bahawa pegawai telah mengutamakan kepentingan peribadinya berbanding tugas awam pegawai atau membiarkan kepentingan peribadinya bercanggah dengan tugas rasmi pegawai.

Bagi pegawai yang sering berulang-alik ke luar negara jiran yang bersempadan dengan Malaysia, permohonan juga perlu dibuat melalui Borang Permohonan Perjalanan Pegawai Awam Ke Luar Negara Atas Urusan Persendirian.

Manakala pegawai yang sedang mengambil Cuti Belajar Bergaji Penuh (CBBP) di dalam atau luar negara hanya perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada
penyelia akademik di pusat pengajian dan memaklumkan kepada Ketua Jabatan dan Ketua Perkhidmatan pegawai awam untuk direkodkan.

Mereka juga tidak dibenar mengunjungi mana-mana negara yang dilarang kecuali dengan kelulusan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan. – Bernama

Perkahwinan Di Bawah Umur Dibenarkan – mStar


Perkahwinan Di Bawah Umur Dibenarkan

Oleh EMBUN MAJID

ALOR SETAR: Perkahwinan antara pasangan di bawah umur bukan satu jenayah dalam Islam jika dengan berbuat demikian boleh menghalang pasangan daripada terlibat dalam aktiviti tidak bermoral, kata anggota Exco Kedah.

“Jika ibu bapa pasangan bawah umur membenarkan perkahwinan, sepatutnya tidak ada sebarang masalah, Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan dan Koperasi Negeri Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul.

Beliau berkata di bawah Undang-Undang Keluarga Islam Kedah, ibu bapa yang mahu mengahwinkan anak-anak di bawah umur mereka dikehendaki mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Agama Islam.

Beliau berkata di dalam borang perkahwinan, pasangan dan ibu bapa mereka mesti menyatakan umur pengantin perempuan dan pengantin lelaki dan memberikan sebab perkahwinan.

Beliau berkata dalam kebanyakan kes, keputusan pasangan muda untuk berkahwin adalah bagi mengelakkan masalah sosial.

“Dalam kebanyakan kes ibu bapa membuat keputusan untuk membiarkan anak-anak mereka untuk berkahwin kerana mereka tidak lagi boleh mengawal mereka dan percaya bahawa, dengan berbuat demikian, mereka menghalang remaja daripada melakukan dosa,” katanya Khamis.

Berdasarkan rekod Jabatan Agama Islam Kedah dari 2008 sehingga 2010, terdapat 275 permohonan perkahwinan yang melibatkan individu di bawah umur.

Beliau berkata 75 permohonan telah diterima pada tahun 2008, 99 pada tahun 2009 dan 101 pada tahun 2010.

Lebih daripada 90 peratus daripada mereka yang terlibat adalah gadis di bawah umur 16.

Mohamed Taulan berkata dalam Islam seseorang yang telah mencapai umur baligh boleh berkahwin.

Ditanya mengenai kadar perceraian yang melibatkan perkahwinan di bawah umur, Mohamed Taulan berkata ia adalah lebih kurang sama seperti pasangan lain.

“Bagi pasangan muda, masalah boleh berlaku jika suami tidak mempunyai pendapatan tetap atau menganggur.

“Tetapi jika pasangan itu mempunyai sokongan yang baik daripada ibu bapa mereka, termasuk sokongan kewangan, mereka tidak mempunyai banyak masalah,” katanya.

Ambil tindakan tegas: KSN – Berita Harian


Ambil tindakan tegas: KSN

2012/10/12 – 01:04:02 AM Oleh Khairul Azran HussinCetakEmel Kawan
Shah Alam: Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap penjawat awam yang didapati menjadi tali barut membocorkan maklumat dan rahsia kerajaan.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Dr Ali Hamsa, berkata tindakan membocorkan rahsia adalah isu serius dan kerajaan tidak akan berkompromi jika benar ada penjawat awam yang sanggup menggadaikan integriti.

Kalau ada tali barut ini yang menyalahi integriti dan kita akan pastikan individu dikenal pasti menjadi tali barut itu dikenakan tindakan sewajarnya.

Kita memang ada agensi yang bertanggungjawab, contohnya dari segi keselamatan, kita ada pejabat keselamatan kerajaan, dari segi rasuah kita ada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Kakitangan Perkhidmatan Awam Persekutuan dan negeri Selangor di sini, semalam.

Terdahulu beliau bersama pegawai kanan Kerajaan Persekutuan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Bukit Kayangan di sini.

Sebelum ini, Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah mendakwa dana asing melebihi RM100 juta yang diterima Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) digunakan untuk membiayai ceramah politik, demonstrasi memburukkan kerajaan dan menyogok penjawat awam bagi mendapatkan maklumat dan rahsia kerajaan.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada Sultan Selangor membangkitkan isu pertukaran Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Datuk Mohamad Roslan Sakiman, Ali berkata, perkara itu tidak disentuh.

Tak, tak bangkit isu itu..ada soalan lain. Isu pertukaran Datuk Bandar Petaling Jaya tidak dibangkitkan ketika menghadap Sultan Selangor pagi tadi (semalam). Saya pergi ke semua negeri dan menghadap Tuanku, katanya.

Kerajaan PKR Selangor sebelum ini membekukan pertukaran Datuk Bandar Petaling Jaya ke Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) bagi membolehkan perbincangan lanjut dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung perkara itu.

195 sekolah agama berstatus SABK – Utusan


195 sekolah agama berstatus SABK

KUALA LUMPUR 11 Okt. – Kementerian Pelajaran telah menukar status 195 daripada 382 Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Sekolah Agama Negeri (SAN) di seluruh negara kepada status Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) sejak 2005 hingga kini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kesemua SAR dan SAN yang telah mendaftar dengan kementerian itu bakal mendapat manfaat peruntukan RM100 juta melalui Bajet 2013 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bulan lalu selain RM95 juta yang diterima pada Bajet 2011.

Sehubungan itu, kata beliau, tidak seharusnya timbul isu SAR atau SAN dianaktirikan oleh kerajaan seperti yang didakwa oleh pihak-pihak tertentu kerana kerajaan sentiasa membuka pintu kepada dua jenis sekolah itu untuk menjadi sekolah bantuan kerajaan.

“Isu sebenarnya adalah pihak Lembaga Pengurusan SAR dan SAN tidak mahu berdaftar di bawah SABK kerana bimbang kuasa mentadbir hilang berikutan rata-rata daripada mereka tidak mempunyai kelulusan bagi mentadbir sekolah.

“Ahli lembaga pengarah itu terdiri daripada pemilik asal sekolah sejak mula ditubuhkan. Jadi konsep yang mereka amalkan adalah warisan atau turun-temurun dan bukannya berdasarkan kepada kelayakan dalam pendidikan,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Beliau mengulas tindakan kira-kira 300 warga SAR dan SAN dari beberapa negeri dengan diketuai oleh Pengerusi Majlis Permuafakatan Institusi Pendidikan Islam Selangor (Mappis), Prof. Madya Zainal Abidin Kidam berdemonstrasi di hadapan bangunan Parlimen pagi ini bagi menuntut peruntukan daripada kerajaan melalui Bajet 2013.

Sambil menyatakan kerajaan sentiasa mengalu-alukan penukaran status SAR dan SAN kepada SABK, Mohd. Puad berkata, sekolah-sekolah di bawah SABK akan diberi geran berkapita, bantuan menaik taraf bangunan sekolah, latihan guru, guru-guru akan berjawatan tetap dan mempunyai pencen selain skim gaji yang lebih baik.

Beliau turut menolak dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan kerajaan menetapkan syarat ketat untuk mendaftar di bawah SABK dan menyifatkan itu hanya agenda politik pembangkang semata-mata.

“Kita mahu mereka berdaftar dengan SABK supaya sekolah mereka dimajukan, guru-guru mereka mendapat manfaat seperti guru-guru yang ada di Malaysia dan pendidikan pelajar lebih seimbang.

“Tetapi walaupun mereka telah berdaftar di bawah SABK, kerajaan tetap tidak mengganggu aspek kokurikulum mereka. SABK lebih kepada menjaga kebajikan warga sekolah,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri berkata, dakwaan pihak tertentu bahawa kerajaan sengaja menganaktirikan SAR dan SAN melampau kerana berdasarkan laporan Kementerian Kewangan, para pelajar di kedua-dua jenis sekolah itu turut menerima RM100 seorang menerusi Bantuan Persekolahan yang diperuntukkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Saya juga mempersoalkan tindakan SAR dan SAN yang menggunakan tenaga pelajar-pelajar untuk berdemonstrasi. Seharusnya pelajar-pelajar itu tidak berada di luar Parlimen bagi berdemonstrasi pagi ini. Tempat mereka di dalam bilik darjah,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Parlimen/20121012/pa_02/195-sekolah-agama-berstatus-SABK#ixzz2941NjURX
© Utusan Melayu (M) Bhd

Norizan tidak sanggup ‘diuji’ lagi – Utusan


Norizan tidak sanggup ‘diuji’ lagi

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.m

NURSAKINAH Norizan yang cedera parah akibat kemalangan jalan raya di Kemaman masih berada di Unit Rawatan Kecemasan, Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, semalam.

KUANTAN 11 Okt. – Seorang suami, Norizan Othman yang kehilangan isteri dan tiga anaknya sekali gus dalam kemalangan ngeri di Kemaman, semalam, mengakui tidak sanggup ‘diuji’ lagi untuk kehilangan dua anaknya yang cedera parah dan dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

Norizan, 49, berharap kedua-dua anaknya, Nursakinah, 17, dan Nursyafura, 13, dapat diselamatkan kerana hanya mereka sahaja yang boleh memulihkan semangatnya kembali.

“Saya harap sangat mereka (Nursakinah dan Nursyafura) yang dirawat di Unit Rawatan Kecemasan (ICU) dapat diselamatkan, mereka sahaja yang saya ada sekarang.

Sila dapatkan naskhah Utusan Malaysia hari ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121012/dn_11/Norizan-tidak-sanggup-diuji-lagi#ixzz2940uQeh9
© Utusan Melayu (M) Bhd

Dipukul gara-gara teman wanita – Sinar Harian


Dipukul gara-gara teman wanita

WARTAWAN SINAR HARIAN
12 Oktober 2012
Dipukul gara-gara teman wanita
Romah dan Mohd Alif menunjukkan laporan polis yang dibuat.

ALOR SETAR – Seorang ibu kesal apabila anak bongsunya dipukul rakan sekolah dengan menggunakan kayu cota dengan alasan anaknya mengganggu teman wanita pelajar lelaki itu.

Ibu mangsa, Romah Hashim, 53, berkata, kejadian yang berlaku Ahad lalu di sebuah sekolah agama swasta di Derga diketahui setelah dimaklumkan oleh anaknya, Mohd Alif Sharif, 15, yang menerusi panggilan telefon yang dibuat anaknya.

Mohd Alif yang kini sedang menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) mendakwa dia dipukul pelajar itu di bahagian perut, lengan, kaki dan belakang badan.

Menurutnya, akibat daripada kejadian terbabit anaknya terpaksa menjawab kertas soalan dalam keadaan tidak selesa kerana masih berasa sakit akibat daripada kejadian itu.

“Sewaktu menerima panggilan saya hanya menyangka tiada apa-apa kesan dan hanya bergaduh biasa namun apabila diperiksa saya mendapati terdapat kesan lebam di beberapa bahagian.

“Saya segera memaklumkan pada guru sekolah itu dan kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar,” katanya.

Romah berkata, sebagai ibu dia kesal kerana dengan kejadian yang berlaku kerana kayu cota merupakan barangan larangan yang tidak sepatutnya dibawa oleh pelajar ke sekolah.

Dia berkata, pihak sekolah sepatutnya memeriksa pelajar terlebih dahulu sebelum sesi persekolahan bermula kerana bimbang sekiranya mereka membawa barang larangan sehingga boleh menimbulkan kejadian yang berlaku terhadap anaknya.

Mohd Alif ketika menceritakan kejadian itu berkata, sehari sebelum kejadian dia telah berjumpa dengan rakannya itu di sebuah kafe siber di Simpang Kuala, dekat sini dan remaja itu telah mengugut akan memukulnya di sekolah.

Dia yang langsung tidak mengenali teman wanita rakannya itu tidak menyangka akan dipukul sehingga mengganggu konsentrasinya untuk menjawab peperiksaan.

“Walaupun masih berasa sakit di beberapa bahagian yang dipukul namun saya terpaksa habiskan menjawab kertas soalan.

“Selepas kejadian itu, saya tidak menerima ugutan daripada pelajar berkenaan dan berharap kejadian yang sama tidak berulang,” katanya.

Jurucakap sekolah memaklumkan kes yang berlaku adalah kes terpencil dan telah pun diselesaikan oleh pihak sekolah dengan memanggil kedua-dua pelajar untuk meminta maaf agar tidak mengulangi perbuatan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asistan Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu.

Adzaman berkata, kes itu diklasifikasikan sebagai ROA (Refer To Order) yang merujuk semula kepada sekolah.

2 ditahan rogol kanak-kanak 6, 10 tahun – Sinar Harian


2 ditahan rogol kanak-kanak 6, 10 tahun

WARTAWAN SINAR HARIAN
12 Oktober 2012

LEDANG – Tidak sedar diri, tepat buat seorang warga emas berusia 66 tahun apabila tergamak menjadikan kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun sebagai pemuas nafsu serakahnya, sejak kira-kira enam bulan lalu.

Bagaimanapun, rahsia itu terbongkar selepas adik mangsa melihat mangsa ditindih suspek dengan kedua-duanya berbogel, sebelum memaklumkan kejadian itu kepada keluarganya.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, kejadian itu berlaku pada 9 Oktober lalu, di belakang kedai makan dan minuman di Jalan Panggung Lama, Tangkak.

Menurutnya, suspek adalah pelanggan tetap kedai milik bapa mangsa dan kenalan bapanya sejak sekian lama.

“Suspek ditangkap jam enam petang, hari sama dan direman sehingga Ahad ini.

“Suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang media  di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang di sini, semalam.

Dalam kes berlainan pada hari sama, seorang kanak-kanak berusia enam tahun dirogol sepupunya berumur 24 tahun dalam kebun getah belakang rumah  mangsa di Kampung Anjung Batu, Tangkak.

Harun berkata, dalam kejadian jam 4.15 petang itu, kanak-kanak berkenaan sedang tidur atas sofa di beranda rumah, dan suspek yang kebetulan lalu di situ terangsang apabila melihat pakaian mangsa tersingkap.

“Semasa kejadian, ibu bapa mangsa tiada di rumah dan suspek mendukungnya ke kebun getah lalu merogolnya,” katanya.

Jelasnya, ekoran itu pihaknya menahan suspek di sebuah rumah tidak bernombor di kampung yang sama kira-kira jam 4.50 petang dan ditahan  direman sehingga Ahad ini.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati lelaki tersebut mempunyai satu rekod jenayah lampau dan kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.