Program Back to School akan ke setiap negeri
14 Oktober 2012

Editor edisi Terengganu, Wan Normi Hassan sempat bertanya khabar dan beramah mesra dengan peserta Back To School.
KUALA TERENGGANU – Selepas menjelajah Terengganu dan Kelantan bagi membantu golongan memerlukan, program Back to School dianjurkan Yayasan Nur-Karangkraf akan melebarkan langkah ke setiap negeri.
Timbalan Pengerusi Yayasan Nur-Karangkraf, Sharah Ibrahim berkata, Back to School merupakan aktiviti sepanjang tahun yang dijalankan Yayasan Nur-Karangkraf iaitu sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dibawah Kumpulan Media Karangkraf.
“Aktiviti di bawah program Karangkraf Peduli Duafa ini membantu meringankan beban mereka yang memerlukan seperti ibu tunggal, anak yatim, orang kurang upaya dan kurang berkemampuan secara konsisten.
“Kali ini, program bagi dua negeri di Pantai Timur iaitu Kelantan dan Terengganu dipilih sebelum musim tengkujuh bagi memudahkan sumbangan disalurkan kepada mereka,” katanya.
Menurut Sharah, Yayasan Nur-Karangkraf mengalu-alukan dan menjemput anak yatim, ibu tunggal dan orang yang kurang berkemampuan untuk menyertai aktiviti itu bagi merealisasikan objektif mereka.
“Kita harap dengan dana yang terkumpul sebanyak 10 sen melalui setiap pembelian majalah ini akan dapat diagihkan kepada mereka yang memerlukan. Kami juga berharap, agar sumbangan yang diberikan ini sedikit sebanyak mampu memberikan senyuman dan meringankan beban mereka,” katanya.