Bank Rakyat hulur sumbangan untuk asrama anak yatim – Bernama


Bank Rakyat hulur sumbangan untuk asrama anak yatim

16 Oktober 2012

KANGAR – Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Perlis hari ini menerima sumbangan pelbagai peralatan elektrik bernilai RM10,000 untuk keperluan asrama anak yatim Kompleks Dr Siti Hasmah Jejawi dekat sini.

Sumbangan disampaikan Pengurus Bank Rakyat Cawangan Kangar, Abdullah Bakar kepada Yang Dipertua pertubuhan berkenaan, Datin Seri Asiah Asmuni.

Asiah berkata pihak bank memperuntukkan zakat perniagaan sebanyak RM10,000 kepada pertubuhan itu dan pihaknya telah meminta bank membelikan peralatan dan keperluan itu menggunakan wang berkenaan untuk keperluan asrama kendalian pertubuhan itu.

Antara peralatan yang dibeli termasuk sebuah peti sejuk, peti simpanan ikan, daging dan sayur-sayuran, dua buah periuk nasi, sebuah ketuhar dan 100 biji gelas kaca.

Semasa berucap di majlis tersebut, Asiah yang juga isteri Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu berkata pihaknya sentiasa mengharapkan sokongan dan sumbangan pelbagai pihak bagi menggerakkan asrama pertubuhan itu yang menjadi antara komponen utama Kompleks Dr Siti Hasmah di sini.

Katanya setiap tahun pertubuhan itu membelanjakan kira-kira RM380,000 termasuk makanan penghuni asrama, gaji kakitangan, wang saku persekolahan dan kos pengangkutan penghuni antara asrama dan sekolah.

Beliau berkata setakat ini, ia menempatkan 55 penghuni lelaki dan perempuan yang belajar antara tahun empat dan tingkatan enam di sekolah-sekolah berhampiran. – Bernama

TARIKH KEMASUKAN DATA SARINGAN LINUS Kohort 1, 2 DAN 3, Tahun 2012


SARINGAN LINUS Kohort 1, 2 DAN 3, Tahun 2012.

PERHATIAN :

Tarikh pengisian data murid Saringan 3, Saringan 6 dan Saringan 9.

1.  Data hendaklah diisi mengikut format yang telah disediakan.  Sila tandakan berdasarkan penguasaan individu walaupun telah berada di aliran perdana.  Jumlah bilangan murid harus JUMLAH SEBENAR  yang ada dalam kelas tersebut.

2.  Kemasukkan data BERMULA dari 22 OKTOBER HINGGA 2 NOVEMBER 2012.

     ***  proses saringan bertulis bermula dari 14 hingga 19 Oktober 2012.

3. Sila kemaskini semua maklumat yang berkaitan contoh maklumat guru, murid LINUS PERDANA dan berkaitan.

4. Sila maklumkan kepada JPN maklumat bagi sekolah kurang murid.

5.  SEMUA SEKOLAH MESTI KEMASKINI WALAUPUN SEMUA MURIDNYA SUDAH DI ALIRAN PERDANA.

6.  Pegawai FasiLINUS di semua JPN & PPD dikehendaki menyemak pengisian data semua sekolah di bawah seliaan masing-masing.

Maklumat lanjut: http://nkra.moe.gov.my/

Pelajar mati peha terputus – Sinar Harian


Pelajar mati peha terputus

WARTAWAN SINAR HARIAN
16 Oktober 2012
Che Ku Mohd Shafiq Asmawi
Motosikal yang ditunggangi Che Ku Mohd Shafiq Asmawi putus dua selepas bertembung dengan kereta BMW dalam kemalangan dekat Gerai Lemang Kijal.
Walaupun kereta BMW turut remuk, namun pemandunya yang juga seorang kontraktor terselamat.
Walaupun kereta BMW turut remuk, namun pemandunya yang juga seorang kontraktor terselamat.

KIJAL – Seorang pelajar tingkatan empat maut dalam keadaan mengerikan selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta BMW, di Kilometer 136.2 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Gerai Lemang Kijal, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, Che Ku Mohd Shafiq Asmawi Che Ku Mohd Sani, 16, beralamat di Taman Air Jerneh, Kemasik yang dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu ke Kuantan, mati serta merta di tempat kejadian.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Baru Kerteh itu yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 Dream, dipercayai berlanggar secara berdepan dengan kereta yang datang dari arah bertentangan menyebabkan mangsa tercampak ke tepi jalan.

Sejurus kemalangan itu, motosikal ditemui kira-kira 42 meter dari tempat mangsa yang juga anak sulung dari empat beradik terbaring.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam yang mengesahkan kejadian itu berkata, akibat pertembungan itu motosikal yang dinaiki mangsa terputus dua, sementara kereta BMW yang dinaiki seorang kontraktor remuk teruk di bahagian depan sebelah kanan.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kemaman untuk bedah siasat dan hasil pemeriksaan didapati mangsa meninggal dunia disebabkan kecederaan parah pada bahagian dada kanan dan paha kanan. Jenazahnya dituntut ahli keluarga kira-kira jam 2 pagi.

“Bagaimanapun, punca kemalangan masih dalam siasatan. Justeru kita harapkan orang awam yang melihat kejadian tampil memberi maklumat untuk membantu siasatan,” katanya.

Mereka yang mempunyai maklumat boleh datang ke balai polis berdekatan atau menghubungi talian 09-859 2222.

3 sahabat bertembung sesama sendiri – Sinar Harian


3 sahabat bertembung sesama sendiri

WARTAWAN SINAR HARIAN
16 Oktober 2012

KUALA TERENGGANU  –  Seorang buruh terbunuh manakala dua pelajar tingkatan empat cedera apabila motosikal mereka bertembung sesama sendiri dalam kemalangan di Jalan Kampung Kebor Besar, Manir, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.15 malam itu, mangsa, Mohd Nor Firdaus Abd Rahman, 22, dari Kampung Kesom, Manir, maut di tempat kejadian manakala dua lagi rakannya, Mohd Ridhwan Mustafa, 16, dan Mohd Shafiq Yusri
Yusof, 16, cedera dan dihantar menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin berkata, ketika kejadian, ketiga-tiga mangsa dipercayai menunggang motosikal masing-masing dari arah Kampung Telari ke Kampung Manir.

“Tiba di lokasi kejadian, salah seorang daripada mereka dipercayai membuat pusingan U secara tiba-tiba dan akibatnya, dua lagi mangsa yang turut menunggang motosikal dalam keadaan laju tidak sempat mengelak sebelum bertembung sesama sendiri.

“Akibat pertembungan itu, mangsa, Mohd Nor Firdaus tercampak dan motosikalnya dipercayai terseret lebih 50 meter dari lokasi kejadian menyebabkan dia mengalami cedera parah di kepala dan mati serta-merta,” katanya.

Zamri berkata, dua lagi mangsa masing-masing berasal dari Kampung Banggol dan Kampung Kubang Palas, Manir, di sini, cedera di bahagian badan dan kini menerima rawatan di HSNZ.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Remaja 13 tahun rancang culik – Sinar Harian


Remaja 13 tahun rancang culik

WARTAWAN SINAR HARIAN
16 Oktober 2012

SHAH ALAM – Seorang remaja berusia 13 tahun sanggup berlakon diculik dan menuntut wang tebusan sebanyak RM100,000.

Bagaimanapun, drama penculikan itu tidak bertahan lama setelah polis menemui remaja lelaki tersebut di rumah rakannya di Taman Selayang Jaya, Jumaat lalu.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, bapanya menyedari kehilangan anaknya selepas mendapati kereta Proton Gen-2 miliknya hilang, kira-kira jam 7.30 pagi.

Beliau berkata, sehelai nota yang mengatakan anaknya diculik juga ditemui di dalam rumahnya di Bukit Idaman, Selayang.

“Lelaki itu dituntut untuk menyerahkan wang tebusan berjumlah RM100,000. Selain itu, wang tunai berjumlah RM5,000 juga didapati hilang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, semalam.

“Siasatan mendapati anaknya tidak diculik tetapi berada bersama dua rakannya.

“Kita turut menemui sebahagian wang yang dilaporkan hilang iaitu sebanyak RM3,000 dan tiga buah basikal yang baru dibeli,” katanya.

Beliau berkata, kereta milik lelaki itu ditemui ditinggalkan di sebuah pusat membeli belah di Selayang.

Sekolah bantuan kerajaan tidak dipinggir, kata Ka Siong – Bernama


Sekolah bantuan kerajaan tidak dipinggir, kata Ka Siong

16 Oktober 2012

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak pernah menafikan hak mana-mana sekolah termasuk sekolah bantuan kerajaan untuk menerima peruntukan perbelanjaan mengurus, malah memberi bantuan mencukupi dan konsisten setiap tahun.

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Wee Ka Siong berkata kementerian juga sentiasa cuba mengimbangi keperluan antara sekolah, namun perlu memberi tumpuan lebih kepada sekolah daif terutama yang terletak di pedalaman Sabah dan Sarawak agar kerja-kerja baik pulih boleh diselesaikan segera.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Hamim Samuri (BN-Ledang) di Dewan Rakyat, di sini hari ini, yang mahu tahu kedudukan sekolah kebangsaan (SK) dan sekolah menengah kebangsaan (SMK) memandangkan banyak desakan yang menuntut pembelaan kepada sekolah persendirian mutakhir ini.

Mengulas lanjut, Wee berkata sebanyak RM500 juta telah dibelanjakan bagi membaik pulih lebih 8,000 SK dan SMK pada tahun ini dengan RM400 juta lagi diperuntukkan untuk tahun depan.

Menjawab soalan tambahan Wong Ho Leng (DAP-Sibu) sama ada kerajaan bercadang memberi peruntukan tahunan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) serta Sekolah Mubaligh, Wee berkata bantuan itu diberi secara sistematik sejak tahun 2009 lagi.

“Pada 2009, kita beri SJKC RM50 juta dan SJKT RM50 juta. Disusuli RM50 juta lagi masing-masing untuk kedua-dua jenis sekolah itu tiga bulan kemudian.

“Semasa pembentangan Rancangan Malaysia ke-10, sebanyak RM70 juta peruntukan keseluruhan diberi kepada SJKC dan SJKT bagi tahun 2011-2012,” kata Wee.

Katanya kerajaan telah menambah sebanyak RM100 juta lagi tahun ini untuk memenuhi beberapa keperluan mendesak, manakala RM100 juta diperuntukkan bagi tahun 2013.

Menjawab soalan asal Wong, Wee berkata 60 buah Sekolah Menengah Persendirian Cina yang ada di negara ini merupakan institusi pendidikan swasta dan tidak terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Pelajaran termasuk penyediaan peruntukan. – Bernama

Patah tangan ketika bermain – Sinar Harian


Patah tangan ketika bermain

WARTAWAN SINAR HARIAN
16 Oktober 2012

TEMERLOH – Seorang kanak-kanak dipercayai patah tangan kiri pada bahagian tulang bahu hingga siku ketika bermain di taman permainan, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas).

Bapanya, Wan Zalizam Wan Ali, 39, berkata, kejadian itu berlaku sekitar jam 6.45 petang ketika dia menemani anaknya, Wan Norqudratul Najwa, 10, bermain kerana kanak-kanak tidak dibenarkan masuk ke dalam wad untuk melawat pesakit.

Bagaimanapun katanya, secara tidak sengaja Wan Norqudratul terjatuh ke lantai menyebabkan tangannya patah.

“Saya kecewa kerana lantai di taman permainan itu sudah lama rosak, tetapi pihak bertanggungjawab masih tidak mengambil tindakan untuk membaikinya.

“Nasib baik wad kecemasan dekat. Saya bergegas membawa Wan Norqudratul mendapat rawatan di wad tersebut. Lebih mengecewakan apabila saya diberitahu sudah ramai kanak-kanak menjadi mangsa hingga patah tangan,” katanya.

Wan Zalizam berkata, dia berharap pihak berkenaan dapat mengambil langkah segera untuk membaik pulih kerosakan itu kerana tidak mahu lebih ramai kanak-kanak mengalami nasib sama.

“Mengapa masih tiada tindakan jika ramai kanak-kanak menjadi mangsa di taman permainan itu? Perkara itulah dikesalkan, seolah-olah ia tidak penting.

“Ramai kanak-kanak bermain di kawasan tersebut dan tidak mustahil akan berlaku lagi kes sama jika tidak diatasi segera,” katanya.

‘Saya biar anak berjaya dahulu’ – Metro


‘Saya biar anak berjaya dahulu’

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SERDANG: Prinsip pembelajaran sepanjang hayat yang menjadi pegangan Penolong Pengarah Bahagian kurikulum Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), Roziah Idrus, 54, membuatkannya terus gigih untuk menghabiskan pengajian dan layak memperoleh Sarjana Pembangunan Sumber Manusia pada Majlis Konvokesyen Ke-36 Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, semalam.

Walaupun sudah mempunyai empat orang cucu, namun Roziah tidak pernah menganggap usia sebagai halangan untuknya menambah ilmu pengetahuan serta meningkatkan taraf kerjayanya ke peringkat yang lebih tinggi.
Roziah berkata, suami serta anak-anak menjadi pendorong utamanya untuk menyambung pengajian dan banyak membantu dalam mendapatkan bahan rujukan sepanjang dua tahun pengajiannya.

 

Katanya, dia tidak berkesempatan sebelum ini untuk menyambung pelajaran disebabkan tugasan kerja serta rumah tangga dan membuat keputusan untuk menangguhkan hasratnya itu buat seketika.
Menurutnya, rakan sekuliah banyak memberikan bantuan dan kebanyakan daripada mereka dianggap seperti anak sendiri membolehkannya dapat menyesuaikan diri dengan suasana kampus.
“Saya biar anak berjaya dahulu, seorang sudah menjadi jurutera Petronas di India, dua orang lagi doktor dan seorang lagi sedang menyambung pengajian dalam bidang akaun di United Kingdom.

 

 

“Bila semua sudah berjaya, barulah saya berasa senang hati meneruskan pengajian dalam Sarjana dan kemungkinan menyambung lagi pengajian dalam Ijazah Doktor Falsafah selepas ini walaupun sudah bersara dari kerjaya,” katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/16

‘Ma mana?’ – Metro


‘Ma mana?’

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUANTAN: “Ma mana?” itu soalan pertama Nursyafura Narizan, 13, mangsa yang terselamat dalam kemalangan mengorbankan enam nyawa awal pagi Rabu lalu.

Nursyafura antara dua mangsa terselamat dalam kemalangan ngeri yang berlaku di Kilometer 129.5, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, depan Sekolah Kebangsaan Mempaga Beris, Kemaman, Terengganu itu.
Dalam kejadian itu, Nursyafura kehilangan ibunya, Noran Ali, 39, dan tiga adiknya iaitu Nursyazleen Narizan, 12, Nur Syardiena Narizan, sembilan tahun dan Nurkhairatul Najiha Narizan, empat tahun.

 

Dua lagi yang maut ialah pemandu kereta, Khairudi Omar, 31, dan seorang lagi penumpang, Wan Aspisar Wan Abd Kadir, 43.
Kakak tiri mangsa, Nursyamira Abdullah, 21, berkata adiknya itu sudah dipindahkan ke wad biasa sejak sedarkan diri Sabtu lalu selepas tiga hari berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.
Katanya, seorang lagi adiknya, Nursakinah Narizan, 17, masih dirawat di ICU dan diberikan ubat tidur oleh doktor bagi menstabilkannya.

 

 

“Syafura ada bertanyakan mengenai keadaan ibu dan adik lain. Saya hanya mengatakan mereka semua di Hospital Kemaman (Terengganu).
“Bukan niat kami untuk menyembunyikan berita menimpa ibu dan adik, namun tidak mahu emosinya terganggu lebih-lebih lagi dia baru sedarkan diri,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/16

Pengetua sekolah agama dituduh rasuah lebih RM1 juta – Utusan


Pengetua sekolah agama dituduh rasuah lebih RM1 juta

Oleh IFQDAR RAHMAN

JOHOR BAHRU 15 Okt. – Seorang pengetua sekolah agama dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini dengan 14 pertuduhan menyalahgunakan kuasa untuk mendapatkan suapan berjumlah RM1,120,462.40 bagi syarikat milik isterinya, bermula 2011.

Tertuduh, Bachok@Abdul Samad Abdul Latip, 65, yang merupakan Pengetua Sekolah Menengah Agama (Arab) An-Nur didakwa melakukan kesalahan tersebut di pejabatnya di Jalan Jaafar, Benut, Pontian dalam tempoh setahun antara Julai 2011 hingga Julai 2012.

 

Dia didakwa mengarahkan kakitangan dan guru sekolah tersebut untuk mengeluarkan 14 baucar dan 14 cek Maybank Islamic yang berbeza nilai dalam tempoh tersebut dan ditandatangani tertuduh bagi membuat bayaran kerja membekal makanan di asrama sekolah itu kepada Zainab Enterprise yang merupakan syarikat milik isterinya. – UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20121015/ma_01/Pengetua-sekolah-agama-dituduh-rasuah-lebih-RM1-juta#ixzz29R3U2bkN
© Utusan Melayu (M) Bhd