Sekolah bantuan kerajaan tidak dipinggir, kata Ka Siong – Bernama


Sekolah bantuan kerajaan tidak dipinggir, kata Ka Siong

16 Oktober 2012

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak pernah menafikan hak mana-mana sekolah termasuk sekolah bantuan kerajaan untuk menerima peruntukan perbelanjaan mengurus, malah memberi bantuan mencukupi dan konsisten setiap tahun.

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Wee Ka Siong berkata kementerian juga sentiasa cuba mengimbangi keperluan antara sekolah, namun perlu memberi tumpuan lebih kepada sekolah daif terutama yang terletak di pedalaman Sabah dan Sarawak agar kerja-kerja baik pulih boleh diselesaikan segera.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Hamim Samuri (BN-Ledang) di Dewan Rakyat, di sini hari ini, yang mahu tahu kedudukan sekolah kebangsaan (SK) dan sekolah menengah kebangsaan (SMK) memandangkan banyak desakan yang menuntut pembelaan kepada sekolah persendirian mutakhir ini.

Mengulas lanjut, Wee berkata sebanyak RM500 juta telah dibelanjakan bagi membaik pulih lebih 8,000 SK dan SMK pada tahun ini dengan RM400 juta lagi diperuntukkan untuk tahun depan.

Menjawab soalan tambahan Wong Ho Leng (DAP-Sibu) sama ada kerajaan bercadang memberi peruntukan tahunan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) serta Sekolah Mubaligh, Wee berkata bantuan itu diberi secara sistematik sejak tahun 2009 lagi.

“Pada 2009, kita beri SJKC RM50 juta dan SJKT RM50 juta. Disusuli RM50 juta lagi masing-masing untuk kedua-dua jenis sekolah itu tiga bulan kemudian.

“Semasa pembentangan Rancangan Malaysia ke-10, sebanyak RM70 juta peruntukan keseluruhan diberi kepada SJKC dan SJKT bagi tahun 2011-2012,” kata Wee.

Katanya kerajaan telah menambah sebanyak RM100 juta lagi tahun ini untuk memenuhi beberapa keperluan mendesak, manakala RM100 juta diperuntukkan bagi tahun 2013.

Menjawab soalan asal Wong, Wee berkata 60 buah Sekolah Menengah Persendirian Cina yang ada di negara ini merupakan institusi pendidikan swasta dan tidak terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Pelajaran termasuk penyediaan peruntukan. – Bernama

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s