Hukuman rogol perlu budi bicara – Utusan


Hukuman rogol perlu budi bicara

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
syahrir.bakar@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 16 Okt. – Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi menegaskan, keputusan hukuman ke atas kesalahan rogol statutori atau mengadakan hubungan seks dengan gadis bawah 16 tahun perlu dikekalkan kepada budi bicara mahkamah dan hakim yang mengadili kes itu.

Beliau tidak bersetuju dengan gesaan beberapa pihak yang mahukan kerajaan meminda undang-undang menetapkan hukuman penjara mandatori ke atas pesalah yang mengadakan hubungan seks dengan gadis bawah umur.

Ini kerana katanya, dalam kebanyakan kes, kesalahan tidak hanya terletak kepada lelaki tetapi gadis bawah umur itu sendiri yang bersetuju untuk mengadakan hubungan seks terlarang.

Dalam sesetengah kes lain pula, kata beliau, ada juga gadis bawah umur yang melakukan sumbang mahram dengan mengajak adik lelakinya mengadakan hubungan seks dan dua keadaan tersebut membuktikan tiada hukuman tetap yang boleh dilaksanakan ke atas kes rogol statutori.

“Jika lelaki tua yang melakukan hubungan seks dengan gadis bawah umur, saya amat setuju dikenakan hukuman tertinggi iaitu penjara dan sebatan, tiada persoalan di situ.

“Tetapi jika kes hubungan seks terlarang melibatkan seorang remaja lelaki 15 tahun dengan remaja perempuan 15 tahun, adakah anda mengatakan remaja perempuan itu langsung tidak bersalah, saya rasa kedua-duanya bersalah.

“Jadi adakah adil jika hanya remaja lelaki itu dikenakan hukuman penjara lima atau 10 tahun sementara remaja perempuan itu pula bebas? Oleh itu saya fikir hukuman perlu dilihat dari semua sudut pada setiap kes dan tidak boleh ada hukuman tetap,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam (SKMTPA) berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan sesi dialog dengan masyarakat di sini hari ini.

Tun Zaki diminta mengulas kebenaran yang diberikan kerajaan kepada Jabatan Peguam Negara untuk meminda Seksyen 376 Kanun Keseksaan bagi mengekalkan hukuman penjara mandatori ke atas pesalah yang melakukan seks dengan gadis bawah umur.

Perkara itu diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz pada sidang Dewan rakyat semalam.

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) baru-baru ini menggesa kerajaan menetapkan hukuman lebih berat kepada pesalah yang melakukan seks dengan gadis bawah umur 16 tahun atau rogol statutori agar golongan itu tidak dieksploitasi secara seksual.

Usaha itu berikutan keputusan Mahkamah Rayuan Kuala Lumpur baru-baru ini yang mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen membebaskan pemain boling negara, Noor Afizal Azizan dengan perintah bon berkelakuan baik dan ikat jamin kerana ‘merogol’ gadis bawah umur.

Fakta menunjukkan Noor Afizal ketika berumur 19 tahun mengadakan hubungan seks dengan gadis berusia 13 tahun empat bulan semasa mereka bermalam di sebuah hotel di Air Keroh, Melaka pada 5 Jun 2009.

Perkara itu disedari oleh ayah gadis tersebut selepas membaca diari anaknya pada 19 Julai 2010 dan membuat laporan polis lapan hari selepas itu.

Zaki berkata, jika beliau yang mengadili kes Noor Afizal, beliau mungkin akan mengenakan hukuman sama ke atas pemain boling tersebut.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121017/dn_12/Hukuman-rogol-perlu-budi-bicara#ixzz29Wn9iAQ0
© Utusan Melayu (M) Bhd

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s