IPG Kampus Kent pertahan kecemerlangan bidang perguruan
TUARAN – Institut Perguruan Guru (IPG) Kampus Kent sebagai IPG tertua di Sabah akan mempertahankan kecemerlangannya bagi memartabatkan profesion perguruan sejajar usianya yang kini 60 tahun.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Hajiji Noor berkata institusi keempat tertua di negara itu juga menjadi institusi rujukan intelektualisme dalam era globalisasi negara khususnya merealisasikan aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.
“Dan kita sebagai pendukung dan penyokong seharusnya konsisten dalam merekayasa (menyerap) pelbagai usaha strategik yang kolektif dan konkrit untuk mempertahankan kecemerlangannya,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan perayaan jubli intan IPG itu di sini, hari ini.
Hajiji yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Sulaman berkata penubuhan IPG itu yang dikenali sebagai Kent Teachers’ Training College pada 18 Okt 1952 turut memberi pengiktirafan kepada daerah Tuaran sebagai hab pendidikan terunggul di Sabah.
“Malah jangkauan sinergi keilmuan pedagoginya dan pengantarabangsaan nama Tuaran telah merebak ke negara Brunei, China,, Australia dan Eropah kerana legasi IPG Kampus Kent,” katanya.
Beliau berkata institusi itu juga memainkan peranan sebagai pemangkin memperhebatkan kepelbagaian pembangunan fizikal dan kepesatan kemajuan ekonomi daerah Tuaran yang terletak di Pantai Barat Sabah dan menjadi pintu masuk ke Kota Kinabalu dari Kota Belud, Kota Marudu, Kudat dan Pitas.
Terdahulu, Pengarah IPG Kampus Kent Datuk Mary Teresa Kinajil ketika berucap berkata institut itu dengan kekuatan 88 staf pengurusan dan sokongan serta 98 staf akademik telah berjaya melahirkan 14,542 graduan. – Bernama