Pendidikan Cina diiktiraf – Utusan


Pendidikan Cina diiktiraf

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 17 Okt. – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia merupakan satu-satunya negara di luar China yang mengiktiraf pendidikan Cina sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan.

Namun, menurut Perdana Menteri, masyarakat sering mengambil mudah fakta itu walaupun jelas tiada negara lain khususnya di rantau ini yang mengiktiraf sistem pendidikan Cina kecuali Malaysia.

Malah, Najib menegaskan, beliau pernah menarik semula peruntukan dalam Akta Pendidikan 1996 yang memberi kebenaran kepada menteri menukar sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) kepada sekolah kebangsaan ketika memegang jawatan Menteri Pelajaran.

“Apa yang dilakukan itu merupakan tanda komitmen dan keikhlasan kita mengiktiraf sistem pendidikan Cina, seterusnya meletakkannya di dalam sistem pendidikan kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Melody FM Morning Boss terbitan Melody FM iaitu stesen radio berbahasa Cina kedua di bawah rangkaian radio Astro di All Asia Broadcast Centre di Taman Teknologi Malaysia, di sini hari ini.

Program yang ke udara pada pukul 8 pagi itu dikendalikan deejay Chui Ling dan Jentzen Lim.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib berkata, kerajaan juga mengiktiraf kewujudan 60 sekolah menengah persendirian Cina yang terdapat di negara ini.

Katanya, sekolah-sekolah itu turut mengambil peperiksaan awam seperti sekolah-sekolah lain.

Dalam program radio itu juga, Najib turut menjelaskan kedudukan terkini permohonan pembinaan sekolah menengah persendirian Cina di Kuantan, Pahang seperti yang dituntut komuniti di kawasan tersebut.

“Kita bersetuju dengan permohonan itu tetapi menetapkan semua pelajar wajib mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan jika pelajar mahu mengambil peperiksaan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC), itu terpulang kepada mereka,” katanya.

Menjawab soalan seorang pemanggil, Najib berkata, kerajaan menyediakan peruntukan kira-kira RM100 juta untuk membangunkan SJKC di seluruh negara.

Selain itu, tambah beliau, kerajaan turut menawarkan biasiswa kepada pelajar-pelajar terbaik UEC selain menyelesaikan segera isu kekurangan guru di SJKC.

Dalam pada itu, Najib turut melahirkan harapan melihat masyarakat Cina di negara ini fasih berbahasa Melayu.

Sementara itu, kerajaan mempelawa pemaju perumahan swasta menjalin kerjasama bagi membolehkan lebih banyak golongan pertengahan serta berpendapatan rendah memiliki kediaman sendiri di bawah program model kedua rumah mampu milik.

Najib berkata, berdasarkan model itu, kerajaan sedia menanggung sebahagian kos prasarana yang sebelum ini ditanggung sepenuhnya pemaju bagi membolehkan pemaju menjual rumah di bawah harga pasaran.

“Untuk tujuan ini, saya telah meminta pihak Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) mengadakan perbincangan dengan pemaju perumahan swasta supaya mereka boleh membina rumah-rumah yang boleh dijual di bawah harga pasaran,” katanya.

Kerajaan sebelum ini memperkenalkan program rumah mampu milik khusus untuk golongan pertengahan dan berpendapatan rendah. Projek itu dibina sepenuhnya oleh PR1MA dan Syarikat Perumahan Negara Malaysia (SPNB) di lokasi-lokasi utama seluruh negara.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, rumah mampu milik yang bakal dibina PR1MA dan SPNB dijangka berada di pasaran dua tahun lagi.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20121018/po_02/Pendidikan-Cina-diiktiraf#ixzz29cnHMTAl
© Utusan Melayu (M) Bhd

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s