Siling sekolah agama runtuh, 18 murid selamat – Bernama


Siling sekolah agama runtuh, 18 murid selamat

19 Oktober 2012

GEORGETOWN – Sebahagian siling di sebuah kelas yang menempatkan 18 murid Sekolah Agama Rakyat Masjid Tuan Guru di Tanjung Tokong, di sini runtuh hari ini.

Kesemua murid itu terselamat daripada terkena runtuhan kerana sewaktu kejadian mereka menjalani latihan amali solat di masjid yang terletak bersebelahan sekolah berkenaan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Jermal, Mohamad Noor Ismail berkata, kejadian pada pukul 2.45 petang itu berpunca daripada kayu penyokong utama siling yang telah reput dimakan anai-anai.

“Hasil pemeriksaan kami dapati struktur bumbung sekolah ini tidak lagi selamat diduduki kerana kayu penyokong asas telah dimakan anai-anai dari dalam,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Mohamad Noor menasihati pihak pengurusan sekolah supaya menghentikan aktiviti pembelajaran buat sementara waktu dan memusnahkan sarang pembiakan anai-anai kerana bimbang ia merebak ke bahagian kelas lain.

Beliau turut meminta para guru dan murid menjauhi kawasan runtuhan sehingga bangunan itu dibaik pulih sepenuhnya.

Sementara itu, pengerusi sekolah Abdul Rashid Khalid, 57, berkata kejadian itu pertama kali berlaku sejak sekolah itu ditubuhkan pada tahun 2005.

Beliau berkata sekolah yang mempunyai tiga kelas dan hanya memulakan operasi pada waktu petang itu baharu sahaja diubahsuai dua tahun lepas.

Aktiviti pembelajaran akan dipindah ke masjid berhampiran sehingga kerja-kerja membaik pulih selesai dilakukan, katanya. – Bernama

HARI MESRA PELANGGAN SURUHANJAYA PERKHIDMATAN PELAJARAN – SPP


HARI MESRA PELANGGAN SURUHANJAYA PERKHIDMATAN PELAJARAN
 

Program Hari Mesra Pelanggan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran akan diadakan di Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Teknik, Jalan Yaacob Latif, Bandar Tun Razak, 56000 Kuala Lumpur pada 23 Oktober 2012 (Selasa) dari pukul 9.30 pagi hingga 4.00 petang.

 

Anggota Perkhidmatan Pelajaran yang mempunyai pertanyaan mengenai urusan pelantikan dan perkhidmatan serta orang awam yang mempunyai pertanyaan mengenai urusan pengambilan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan, Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi dan Anggota Kumpulan Sokongan dijemput hadir.

 

Muat naik pada 18 Oktober 2012

KEPUTUSAN TEMU DUGA JAWATAN PENYELIA ASRAMA GRED N17 DI SEMENANJUNG – SPP


KEPUTUSAN TEMU DUGA JAWATAN PENYELIA ASRAMA GRED N17 DI SEMENANJUNG
Keputusan temu duga jawatan Penyelia Asrama Gred N17 di Semenanjung yang telah dijalankan pada 4 September 2012 hingga 25 September 2012 boleh disemak secara berperingkat mulai 15 Oktober 2012. Calon juga akan menerima surat rasmi pemberitahuan keputusan temu duga dari Suruhanjaya. Semak keputusan

___________________________________________________________________________________________________

KEPUTUSAN TEMU DUGA JAWATAN PENYELIA ASRAMA GRED N17

Perlis Kedah P. Pinang Kelantan Selangor WP K. Lumpur
N. Sembilan Melaka Pahang Perak Terengganu  Johor

(Sila Klik Pada Negeri Tuan/Puan memohon)

Muat naik pada 15 Oktober 2012

 

Murid parah digilis lori – Sinar Harian


Murid parah digilis lori

WARTAWAN SINAR HARIAN
19 Oktober 2012
Murid parah digilis lori
Sharmila yang cedera parah di kaki kiri dirawat di Unit Rawatan Rapi Kanak-kanak Hospital Tuanku Ja’afar.

SEREMBAN – Seorang murid Tahun Lima Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Ladang Cairo, Mantin, di sini, parah di kaki akibat digilis sebuah lori tanah.

Kejadian berlaku ketika mangsa, M Sharmila, 11, mahu melintas jalan di hadapan sekolah untuk menaiki bas yang sedia menunggu di seberang jalan, kira-kira jam 1.30 petang, semalam.

Bapa mangsa, P Murugan, 36, berkata, ketika kejadian, anaknya bersama 30 murid lain mahu melintas jalan, sebelum tiba-tiba muncul sebuah lori tanah muatan 10 tan.

“Pengawal keselamatan yang dilantik pihak sekolah telah memegang papan tanda berhenti dan  mengarahkan pemandu lori berkenaan supaya berhenti dengan meniup wisel serta memberi isyarat tangan, namun pemandunya enggan berbuat demikian,” katanya.

Murugan yang juga bekas pengawal keselamatan sekolah berkenaan berkata, anaknya kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Tuanku Ja’afar.

“Ambulans daripada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) membawa anak saya ke hospital sejurus kejadian berkenaan.

“Akibat kejadian itu, kaki kiri anak saya digilis lori terbabit, sementara murid lain sempat menyelamatkan diri,” katanya di Hospital Tuanku Ja’afar, di sini, semalam.

Menurutnya, keadaan anaknya kini stabil tetapi doktor mengesahkan tiga jari kaki Sharmila putus, sementara tulang pergelangan kaki hancur.

“Ini kejadian pertama yang berlaku di sekolah anak saya dan pemandu lori terbabit telah ditahan polis dengan bantuan orang ramai yang menangkapnya sejurus kemalangan berlaku.

“Apa pun, saya harap anak saya akan segera sembuh dan dapat ke sekolah semula,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd Yusoff Awang ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berkenaan.

Menurutnya, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berkenaan kejadian itu..

MAKLUMAN : e- GTukar Sistem Pertukaran Guru


MAKLUMAN : e- GTukar Sistem Pertukaran Guru

Pemberitahuan

Permohonan Pertukaran Guru Antara Bahagian / Negeri, Antara Daerah dan Dalam Daerah bagi pertukaran sesi Januari 2013 untuk Pegawai Perkhidmatan Pendidikan DGA 29, DGA 32 (KUP time based), DG 41, DG 44(KUP time based) dan DG 48 (KUP time based) dibuka mulai 01 hingga 30 September 2012. 


Adalah dimaklumkan bahawa atas sebab teknikal keputusan Pertukaran Guru Antara Negeri dan Bahagian Sesi Januari 2013 akan diumumkan pada 03 November 2012 .

Sila semak maklumat anda melalui laman web e-GTukar. Sekiranya terdapat sebarang pindaan yang perlu dibuat, sila berhubung dengan pegawai unit Menengah / Rendah di Pejabat Pelajaran Daerah atau Jabatan Pelajaran Negeri dengan segera sebelum sesi pertukaran bermula.

Jika masih menghadapi masalah untuk membuat permohonan e-GTukar, sila hubungi Pejabat Pelajaran Daerah atau Jabatan Pelajaran Negeri masing-masing (dapatkan no. telefon di “Bantuan”)

Sekian dimaklumkan.

Makluman lanjut lawat: http://apps.moe.gov.my/epgo/

‘Tak tahan diterajang’ – Metro


‘Tak tahan diterajang’

Oleh Haidhar Hilmi
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

BATU PAHAT: “Kami tidak tahan lagi kerana asyik ditampar dan diterajang penjaga rumah berkenaan. Sebab itu kami mengambil keputusan untuk melarikan diri,” kata B Rajasree, 15, seorang daripada empat penghuni yang melarikan diri dari sebuah rumah perlindungan remaja di Rembau, Negeri Sembilan, pada 8 Oktober lalu.

Selepas melarikan diri, Rajasree berkata, mereka terpaksa berjalan kaki kira-kira 20 kilometer dari Rembau hingga ke Pedas sebelum ditumpangkan pengguna jalan raya.

“Bukan niat kami untuk melarikan diri, namun layanan buruk kakitangan rumah perlindungan itu menyebabkan kami tidak tahan lagi untuk tinggal di situ.

“Sepak terajang adalah makanan harian kami dan sejak dimasukkan ke rumah itu, kami dilayan dengan teruk oleh penghuni serta penjaganya,” katanya ketika ditemui di rumah bapa angkatnya di Parit Bengkok di sini, semalam.

 
Menurut Rajasree, dia melarikan diri bersama tiga rakannya, Siti Khadijah Abdullah, 13, Siti Mustaqimah Kamarudi, 14, dan Siti Nur Azrin Rosli, 17, pada jam 12 tengah hari sebelum tiba di Pedas pada jam 4 petang sebelum menumpang pengguna jalan raya untuk ke Melaka.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/19

Sistem dan organisasi IPGM perlu disemak semula – Utusan


Sistem dan organisasi IPGM perlu disemak semula

BANGI 18 Okt. – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sistem dan organisasi Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) perlu disemak semula agar matlamat untuk melahirkan warga pendidik yang berkualiti dan terbaik mampu dicapai.

Timbalan Perdana Menteri berkata antara perkara yang wajar diberi perhatian adalah penambahbaikan berterusan sistem pengurusan, pentadbiran, modul latihan serta kemudahan prasarana.

“Saya telah meminta pihak atasan IPGM bersama pengurusan tertinggi Kementerian Pelajaran meneliti semula perkara-perkara ini.

“Kita perlu mewujudkan satu persekitaran kerja yang kondusif dan terbaik terutama bagi warga kerja IPGM dan persekitaran pembelajaran yang selesa kepada siswa pendidik,” katanya pada majlis perjumpaan bersama siswa pendidikan IPGM serta penyerahan Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (Kads1m) di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata pada masa yang sama beliau berharap IPGM akan terus relevan dalam melatih dan melahirkan guru-guru berwibawa dan cemerlang. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121018/dn_22/Sistem-dan-organisasi-IPGM-perlu-disemak-semula#ixzz29ip2zk9d
© Utusan Melayu (M) Bhd

Remaja bawa adik terjun tingkat dua elak disambar api – Utusan


Remaja bawa adik terjun tingkat dua elak disambar api

Anggota JPAM memberi rawatan kepada Noor Munirah Syazwani Zakir yang cedera akibat terjun bersama adiknya dari tingkat atas rumah teres dua tingkat semasa rumah mereka terbakar di Melaka, malam semalam.

MELAKA 18 Okt. – Keberanian seorang remaja perempuan berusia 16 tahun terjun dari tingkat atas rumah teres dua tingkat keluarganya yang terbakar malam tadi, bersama adiknya berusia tiga tahun, berjaya menyelamatkan mereka daripada rentung.

Kejadian di Taman Datuk Tamby Chik Karim, Batu Berendam itu berlaku ketika Noor Munirah Syazwani Zakir dan Yasin Amirul Aiman serta seorang lagi, Mohd. Zarif Nazmi, 8, leka menonton televisyen, pukul 9.40 malam.

Mohd. Zarif bagaimanapun diselamatkan jiran menggunakan tangga.

Menurut bapa mangsa, Zakir Abu Hussin, 38, ketika kebakaran yang dipercayai berpunca dari dapur, beliau dan isterinya, Norizan Idris, 39, keluar berniaga di pasar borong berhampiran.

Sila dapatkan naskhah Utusan Malaysia hari ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121019/dn_18/Remaja-bawa-adik-terjun-tingkat-dua-elak-disambar-api#ixzz29iokd3cb
© Utusan Melayu (M) Bhd