Mati berdentum – Metro


Mati berdentum

Oleh Sitie Nurhajatulziemah Mohd Nor
am@hmetro.com my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
CEDERA...anggota bomba membantu tiga mangsa yang terselamat.
CEDERA…anggota bomba membantu tiga mangsa yang terselamat.

REMBAU: Seorang remaja maut manakala tiga rakannya cedera parah apabila kereta dinaiki mereka yang hilang kawalan, merempuh pondok di tepi jalan di kilometer 6 Jalan Pedas-Linggi, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, Muhammad Amir Izzat Mohd Isnin,15, yang memandu kereta jenis Honda Jazz, cedera parah di kepala dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 2 pagi semalam di HTJS ketika dirawat.

Difahamkan, mangsa bersama tiga lagi rakan sebayanya dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Desa Permai Kundur, di sini, ketika kejadian berlaku.

Saksi, Nor Suhada Md Dom, 20, berkata, ketika kejadian dia berada di dalam rumah apabila terdengar dentuman kuat lalu meluru keluar.

 
“Saya terkejut melihat sebuah kereta terbalik di tepi jalan. Saya memaklumkan kepada ahli keluarga yang lain dan kami semua terus ke tempat kejadian. Saya menghubungi ambulans apabila mendapati pemandu dan penumpang cedera.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/20

Campak anak dari tingkap – Metro


Campak anak dari tingkap

Oleh ABD RAHMAN ADAM
abdulrahman@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MIRI: Sepasang suami isteri nekad mencampak dua anak ke luar menerusi tingkap pada ketinggian dua meter bagi menyelamatkan mereka daripada rentung ketika kediaman mereka di Kampung Pasir Lutong, di sini, terbakar malam kelmarin.

Kejadian berlaku jam 12.15 tengah malam ketika pasangan terbabit, Dublin Simon, 35, dan isterinya Devi Patrick, 22, tidur sebelum didatangi seorang jiran yang mengetuk dinding bertalu-talu memaklumkan rumah mereka terbakar.
Menceritakan kejadian itu, Devi berkata, sebaik terjaga, dia melihat api menjulang di bahagian siling manakala asap memenuhi ruang tamu rumah.

 

“Saya mengejutkan suami lalu kami mencapai dua anak berusia antara tiga dan sembilan tahun lalu mencampak dari tingkap bahagian dapur sebelum saya dan suami melompat menyelamatkan diri.
“Kami terpaksa berbuat demikian kerana api merebak cepat. Saya terkejut sebaik keluar dari bilik tidur mendapati api membakar keseluruhan ruang tamu selain siling rumah.
“Ketika itu, saya dan suami hanya memikirkan keselamatan dua anak selain seorang anak saudara berusia setahun yang ketika itu tidur,” katanya.

 

 

Menurutnya, sebelum kejadian, dia tinggal bersama seorang adik ipar serta isteri dan dua anaknya, masuk ke bilik tidur masing-masing jam 9 malam.
“Ketika kejadian kami tidur sebelum isteri adik ipar terjaga apabila terdengar ketukan bertalu-talu sambil berkali-kali memanggil nama kami.

 

“Namun, apabila semua terjaga, api membakar hampir keseluruhan ruang tamu rumah. Bagaimanapun, saya tetap bersyukur kerana tiada kejadian tidak diingini berlaku,” katanya yang cedera di kaki akibat terpijak bara.
Dalam pada itu, seorang jiran hanya mahu dikenali sebagai Yot, 36, berkata ketika kejadian, dia bersama suaminya berbual di ruang tamu sebelum dikejutkan dengan teriakan seorang jiran.
“Sebaik membuka pintu, saya terkejut mendapati api membakar ruang tamu rumah mangsa sebelum saya bersama suami mengetuk dinding dan memanggil mereka bagi menyelamatkan diri.
“Keadaan api marak menyebabkan semua mangsa terpaksa keluar dari tingkap bahagian dapur tanpa sempat menyelamatkan barangan berharga dan dokumen penting,” katanya.
Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Miri berkata, sebaik menerima panggilan jam 12.26 tengah malam, tiga jentera termasuk dua daripada Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng bersama 15 anggota dikerah ke tempat kejadian.
Bagaimanapun, katanya, sebaik tiba, api merebak ke keseluruhan rumah diperbuat daripada kayu dan pihaknya mengambil masa 10 minit untuk mengawal keadaan.
“Kebakaran dipercayai bermula di ruang tamu rumah terbabit sebelum merebak ke bahagian lain. Punca kebakaran serta jumlah kerugian sebenar masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/20

Pelajar digalak guna Facebook berkomunikasi dengan guru: Maglin – Berita Harian


Pelajar digalak guna Facebook berkomunikasi dengan guru: Maglin

2012/10/20 – 16:20:56 PMCetakEmel Kawan
KLANG: Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Maglin D’Cruz meminta pelajar sekolah menggunakan media sosial seperti Facebook untuk mengekalkan hubungan baik dengan guru mereka.

Beliau berkata, melalui cara ini, pelajar yang sudah menamatkan persekolahan boleh sentiasa merujuk guru untuk mendapatkan pandangan mengenai sesuatu isu sekiranya mereka mempunyai masalah berinteraksi dengan kolej atau profesor universiti.

“Pelajar yang sudah menanamatkan persekolahan dan menghadapi masalah kesukaran berinteraksi dengan profesor kolej mereka perlu menggunakan media sosial seperti Facebook untuk berkomunikasi dengan bekas guru mereka di sekolah bagi mendapatkan penjelasan mengenai sesuatu isu kerana mereka sudah bertahun-tahun mengenali antara satu sama lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyampaian sijil tamat persekolahan di Sekolah Menengah Convent Klang di sini, hari ini.

Sementara itu, Maglin menasihatkan semua sekolah di negara ini supaya mencontohi Sekolah Menengah Convent Klang dalam menganjurkan majlis penyampaian sijil tamat persekolahan bagi memberi peluang pelajar merasai majlis sebenar penyampaian ijazah.

Kira-kira 290 pelajar Tingkatan Lima sekolah berkenaan yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia bulan depan, menerima sijil masing-masing yang disampaikan Maglin pada majlis itu. – BERNAMA

Beri hadiah makanan, tonton wayang percuma – Kosmo


Beri hadiah makanan, tonton wayang percuma


ROSMAH sambil diiringi Saie Kie (kanan) bersalaman dengan kanak-kanak yang hadir pada Majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia Peringkat Kebangsaan 2012 di Putrajaya semalam.

 

PUTRAJAYA – Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor mencadangkan agar kanak-kanak diberi makan dan menonton wayang secara percuma sempena sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia setiap tahun.

Beliau berkata, restoran dan panggung wayang wajar menjalankan tanggungjawab sosial untuk meraikan kanak-kanak yang bakal menjadi pewaris negara.

“Dahulu, apabila kami menyambut Hari Kanak-kanak, kami bukan sahaja berkumpul di stadium, kami juga boleh masuk ke mana-mana restoran atau panggung wayang secara percuma. Saya pun berasa hairan macam mana amalan ini dihentikan sekarang.

“Jadi, saya berharap perkara ini dapat dipertimbangkan oleh kementerian berkenaan untuk berbincang dengan pengusaha restoran dan panggung wayang agar kanak-kanak boleh menonton wayang dan makan secara percuma pada Hari Kanak-Kanak,” katanya pada majlis perasmian sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia Peringkat Kebangsaan 2012 di sini semalam.

Tema sambutan tahun ini adalah Karisma Kanak-Kanak: Serlahkan Potensimu.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Heng Seai Kie.

Bas sekolah jadi prebet sapu – Sinar Harian


Bas sekolah jadi prebet sapu

WARTAWAN SINAR HARIAN
20 Oktober 2012
Bas sekolah jadi prebet sapu
Perkhidmatan bas sekolah yang dipercayai menjalankan perkhidmatan seperti kereta sewa.

JITRA – “Dulu pendapatan kami mencecah RM60 hingga RM70 sehari, tetapi kini hanya memperoleh RM30 hingga RM40 sehari. Kadang-kadang ada juga berbelas ringgit sehari,” kata pemandu teksi yang beroperasi sekitar institut pengajian tinggi (IPT) di kawasan ini.

Mereka mendakwa terpaksa menanggung kerugian akibat kewujudan perkhidmatan bas sekolah dengan mengenakan kadar harga yang murah.

Setiausaha Persatuan Pemandu-pemandu Teksi Jitra, Changlun, Bukit Kayu Hitam, Sintok, Kubang Pasu, Kedah, Abdul Manaf Mat Yatim, berkata, pemandu teksi secara keseluruhannya terpaksa menjadikan kawasan IPT sebagai tumpuan memandangkan orang ramai kurang menggunakan perkhidmatan itu.

Menurutnya, perkara itu juga bertujuan untuk mengelakkan daripada berlakunya pertambahan kereta sapu yang beroperasi secara tidak berlesen.

“Pendapatan kami mula berkurangan akibat kewujudan bas sekolah yang beroperasi seakan-akan perkhidmatan kereta sewa dengan menyediakan perkhidmatan dari rumah ke rumah.

“Jika hendak dibandingkan dengan perkhidmatan kereta sewa dengan hanya memuatkan empat penumpang, bas sekolah itu memuatkan penumpang seramai lapan orang dengan mengenakan bayaran murah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, baru-baru ini.

Abdul Manaf berkata, perkara itu memaksa pihaknya untuk mengurangkan kadar bayaran melepasi tahap sebenar yang ditetapkan oleh sesebuah teksi.

“Memandangkan ia menjadi sumber pendapatan kami, kami terpaksa menjalankan operasi seperti biasa demi menyara keluarga.

“Selain itu, ada juga sebahagian pemandu teksi turut mencari pendapatan sampingan memandangkan pekerjaan membawa teksi tidak dapat menampung perbelanjaan seharian keluarga,” katanya.

Beliau berkata, hampir 100 teksi berdaftar di bawah persatuan itu dan hanya sebahagian sahaja masih beroperasi untuk menjalankan perkhidmatan itu.

“Dulu pemandu teksi boleh menjadikan pekerjaan itu sebagai sumber pendapatan seharian, tetapi untuk sekarang tidak lagi,” katanya dengan nada kecewa.

Sempat ajar mangsa mengucap – Sinar Harian


Sempat ajar mangsa mengucap

WARTAWAN SINAR HARIAN
20 Oktober 2012
Sempat ajar mangsa mengucap
Ayah mangsa sempat menenangkan anaknya sebelum dikejarkan ke HTJ, malam kelmarin.

REMBAU – “Dalam keadaan cemas dan terperanjat melihat mangsa kemalangan, sepupu saya (Fahmi Abdul Rashid, 20,) sempat mengajar mangsa mengucap dua kalimah syahadah apabila melihat mulutnya sudah berbuih dan berdarah,” kata penduduk, Norsuhada Mohd Dom, 20, di Kampung Kundur Tengah, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 10 malam itu, mangsa, Muhammad Amir Izzat Mohd Isnin, 15, disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban kira-kira jam 2 pagi selepas terbabit dalam kemalangan di kilometer enam, Jalan Pedas-Linggi, malam kelmarin.

Norsuhada berkata, ketika kejadian dia dan keluarganya sedang menonton televisyen dan terperanjat apabila terdengar dentuman kuat disusuli bunyi benda besar berguling-guling beberapa kali.

“Kami terperanjat dan berharap tiada perkara buruk berlaku. Sebaik tiba di lokasi kemalangan yang terletak di jalan hadapan kawasan rumah, saya lihat ada beberapa mangsa sudah keluar dari kereta berkenaan.

“Bagaimanapun ada mangsa yang tersepit dan penduduk berjaya mengeluarkan mangsa serta berusaha menenangkannya,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di lokasi nahas berkenaan, malam kelmarin.

Sementara itu, Jurucakap Polis berkata, siasatan awal mendapati sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta jenis Honda Jazz yang menghala ke Kundur-Linggi dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu melanggar sebuah pondok yang berada di tepi jalan.

Menurutnya, kenderaan yang dipandu mangsa terbabas beberapa meter dari pondok berkenaan dan terbalik.

“Mangsa yang mengalami kecederaan parah telah dikejarkan ke HTJ.

“Tiga lagi mangsa yang turut sama berada di dalam kenderaan berkenaan kini mengalami kecederaan parah dan masing-masing kini mendapatkan rawatan susulan,” katanya.

Dalam kejadian itu, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau diketuai oleh Mohd Yusoff Samad dikejarkan ke lokasi kejadian.

43 pelajar India diberi kelas tambahan percuma – Sinar Harian


43 pelajar India diberi kelas tambahan percuma

WARTAWAN SINAR HARIAN
20 Oktober 2012
43 pelajar India diberi kelas tambahan percuma
Varijithevan sedang mengajar pelajar-pelajar SPM dalam kelas tambahan yang diadakan secara percuma.

KLUANG – MIC Bahagian Kluang menyediakan kelas tambahan percuma kepada 43 pelajar India yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

Pelajar-pelajar tersebut adalah mereka yang terdiri daripada keluarga kurang mampu dan mereka yang memerlukan kelas tambahan sebagai persiapan menghadapi peperiksaan tersebut.

Ketua MIC Bahagian Kluang, G Raman berkata, pelajar-pelajar akan diajar oleh seorang guru sukarela daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Mengkibol iaitu S Varijithevan.

“Program kelas tambahan itu adalah usaha MIC Kluang untuk membantu pelajar dalam kalangan kaum India untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan,” katanya pada program seminar di Balai Raya Persatuan Penduduk India, Taman Kluang Barat, di sini, kelmarin.

Raman berkata, selain itu MIC Bahagian Kluang juga mengadakan seminar kepada para pelajar berkenaan.

Katanya, bukan itu sahaja pihaknya turut menyumbangkan kelengkapan alat tulis kepada semua pelajar dan makanan tambahan yang berkhasiat sepanjang kelas tambahan itu berlangsung.

“Program seperti ini juga merupakan satu usaha untuk membuktikan bahawa kami amat mengambil berat tentang masalah yang dihadapi setiap penduduk berketurunan India khususnya dari golongan berpendapatan sederhana dan rendah.

“Dengan adanya program seumpama ini ianya secara tidak langsung dapat mendekatkan kami dengan masyarakat India seterusnya memahami permasalahan yang mereka hadapi, selain dapat meringankan beban ibu bapa pelajar berkenaan,” katanya.

Guru digesa lahirkan pelajar cemerlang dikalangan pelajar lemah – Bernama


Guru digesa lahirkan pelajar cemerlang dikalangan pelajar lemah

20 Oktober 2012

KEPALA BATAS – Canselor Universiti Terbuka Malaysia (OUM) Tun Jeanne Abdullah menggesa guru berusaha melahirkan  pelajar cemerlang daripada kalangan pelajar yang lemah dalam pelajaran dan tidak minat  belajar.

Beliau berkata selain ibu bapa, guru mempunyai peranan penting dalam mengubah sikap dan minda anak-anak untuk pembentukan insan cemerlang.

“Bagi tahun persekolahan 2013, tumpu pada pelajar paling lemah dalam kelas anda atau pelajar yang tidak minat belajar dan jadikan mereka pelajar yang lebih baik…saya percaya kita semua boleh lakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis pembelajaran sepanjang hayat OUM  ‘Learning Is Fun’ di Sekolah Kebangsaan Permatang Janggus, Penaga, di sini hari ini. Turut  hadir bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Naib Canselor OUM Prof Emeritus Tan Sri Anuwar Ali.

‘Learning Is Fun’ merupakan program yang dianjurkan oleh OUM bagi mendekatkan pelajar di kawasan luar bandar dengan bidang sains, matematik dan bahasa Inggeris serta teknik pembelajaran yang menarik bagi mata pelajaran itu.

Beliau juga menasihati pelajar agar tidak malu untuk menggunakan  bahasa Inggeris dalam komunikasi harian walaupun mereka kurang mahir dalam penguasaan bahasa antarabangsa itu.

“Walaupun pada mulanya susah tetapi jika selalu digunakan lama-lama kita akan mahir,  kita mungkin akan ketinggalan jika tidak mampu menguasai bahasa Inggeris, ke mana pun kita  pergi bahasa Inggeris tetap diperlukan,” katanya.

Selain itu beliau berharap ibu bapa meluangkan masa mendengar luahan perasaan anak mereka.

“Kadang kala sebagai orang dewasa kita juga lupa yang kita tidak sentiasa betul,  fahamilah anak-anak kita, saya yakin dengan hubungan keluarga yang erat, mereka bukan sahaja  akan hormat malah tidak akan takut untuk berkongsi masalah atau meminta nasihat,” katanya. – Bernama

21,610 murid khatam Al- Quran di Terengganu hari ini – Bernama


21,610 murid khatam Al- Quran di Terengganu hari ini

20 Oktober 2012
Ahmad Said
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said

KUALA TERENGGANU – Seramai 21,610 murid Tahun 2 hingga Tahun 5 di Terengganu berjaya mengkhatamkan al-Quran secara serentak dalam majlis berasingan yang diadakan di setiap daerah hari ini.

Daripada jumlah itu, seramai 6,383 murid melakukannya di Kuala Terengganu, 3,186 (Besut), 2,653 (Setiu), 2,551 (Marang), 2,555 (Dungun), 2,349 (Kemaman) dan 1,933 (Hulu Terengganu).

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata kejayaan itu adalah bukti keberkesanan modul Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) yang diperkenalkan kerajaan dalam usaha meningkatkan syiar Islam.

Beliau berkata bagi Terengganu, sebanyak RM36 juta diperuntukkan untuk perbelanjaan kelas Kafa dan sehingga ini, seramai 21,000 hingga 30,000 murid berjaya mengkhatam al-Quran setiap tahun.

“Penghayatan al-Quran perlu diterapkan seawal mungkin, malah semua murid di Tadika Yayasan Islam Terengganu mempunyai modul khas pintar al-Quran untuk mereka hayati sebelum melangkah masuk ke sekolah kebangsaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis itu di Stadium Tertutup Gong Badak di sini.- Bernama

Rumah guru disimbah cat – Sinar Harian


Rumah guru disimbah cat

HAZELEN LIANA KAMARUDIN
20 Oktober 2012
Siti Noor
Siti Noor menunjukkan keretanya yang disimbah dengan cat merah malam tadi.

KOTA BHARU – Sebuah keluarga hidup dalam ketakutan apabila rumah mereka di Taman Sabariah, di sini dibaling dengan cat merah dalam kejadian, jam 11 malam tadi.

Mangsa, Siti Noor Sidin Ahmad, 40, merupakan seorang guru berkata, pada malam tersebut dia sedang melakukan kerja rumah dan dikejutkan dengan bunyi letupan yang kuat.

“Apabila membuka tingkat rumah saya lihat lantai, serta tiang rumah dan kereta dipenuhi dengan cat berwarna merah,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Menurutnya, anak lelaki sulungnya, Amirul Azim Zulkifli, 13, sempat melihat sebuah kereta Perodua Kancil berhenti di hadapan pintu pagar rumahnya.

Beliau yang ketika itu tinggal bersama lima anaknya yang berumur di antara 13 hingga tiga tahun itu terus menghubungi suaminya, yang merupakan seorang pensyarah di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) Tanjong Malim Perak, Zulkifli Yaacob untuk memaklumkan kejadian tersebut.

Siti Noor berkata, sebaik sahaja selesai menghubungi suami, dalam jam 11.30 malam beliau terus membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Chepa.

“Ini merupakan kali pertama rumah saya di simbah dengan cat merah semenjak sembilan tahun menetap di kawasan perumahan ini.

“Sebelum kejadian, saya ada dimaklumkan oleh jiran-jiran bahawa mereka ternampak sebuah kereta Perodua Kancil dilihat melalui kawasan rumah ini beberapa kali,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azaham Othman mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut dan akan menjalankan siasatan lanjut.